Sumber : Google |
Mengapa bahasa Melayu sukar dimartabatkan? Mengapa bahasa
Melayu sering dipinggirkan? Inilah yang pejuang-pejuang bahasa sering
persoalkan. Bahasa Melayu terdapat dalam Perlembagaan tetapi acapkali
dianaktirikan.
Seperti kata Datuk Rahman Shaari (bekas pensyarah Universiti
Malaya) dalam kolumnya di akhbar Sinar Harian, bahasa Melayu sukar
dimartabatkan kerana ia tidak digunakan dalam bidang pekerjaan. Bahasa Inggeris
menjadi bahasa utama yang digunakan oleh ramai majikan. Dan sebab itulah bahasa
Melayu umpama mati tak mahu, hidup pun segan!
Seandainya semua (ulang : semua) majikan memilih bahasa
Melayu sebagai bahasa utama dalam sektor pekerjaan, baik dalam mesyuarat
mahupun dalam temuduga, pastilah bahasa Melayu ini akan ramai orang suka dan
akan ramai orang guna.
Tetapi sayangnya tidak ramai majikan mahu menggunakan bahasa
Melayu sebagai bahasa pengantar utama di syarikat mereka. Majikan yang
berbangsa Melayu barangkali mereka guna tetapi tidak dengan majikan yang bukan
berbangsa Melayu lebih lebih lagi yang ultrakiasu. Mereka lebih suka
menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa ibunda mereka dalam urusan seharian di
pejabat mereka. Maka bahasa Melayu pun sukar dimartabatkan pula.
Kerajaan pula dilihat tidak tegas dalam memartabatkan bahasa
Melayu. Sepatutnya kerajaan mewajibkan semua sektor baik kerajaan mahupun
swasta untuk menggunakan bahasa Melayu. Kewajiban itu hendaklah tertakhluk
dalam semua perkara seperti temuduga, urusan surat menyurat, mesyuarat dan
sebagainya. Barulah bahasa Melayu boleh dimartabatkan dengan serta merta.
Kita ambil contoh temuduga misalnya. Jika semua syarikat
menjalankan temuduga dalam bahasa Melayu dan melihat penguasaan tertingi dalam
bahasa itu sahaja, pasti semua graduan lepasan universiti akan belajar bahasa
Melayu tidak secara sambil lewa. Apa yang berlaku pada hari ini adalah
kebanyakkan temuduga yang dijalankan adalah menggunakan bahasa Inggeris. Maka,
bercemperalah semua graduan untuk belajar dan menguasai bahasa Inggeris.
Seandainya bahasa Melayu digunakan secara meluas dalam sektor
pekerjaan, baik swasta mahupun kerajaan, pastilah semua rakyat Malaysia (baik
yang Melayu mahupun yang bukan Melayu) akan belajar bahasa Melayu dengan penuh
kesungguhan. Dan pastilah mereka akan menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan
seharian. Ini kerana, bahasa Melayu itu sudah pun mempunyai nilai ekonomi.
Bahasa Melayu terus dianaktiri kerana dipercayai tidak mempunyai nilai ekonomi.
Pihak yang boleh meletakkan nilai ekonomi itu adalah pihak
kerajaan. Pihak kerajaan berupaya untuk meletakkan nilai ekonomi dalam bahasa Melayu
itu jika mereka bertegas agar bahasa Melayu digunakan secara meluas dalam
sektor pekerjaan.
Kerajaan boleh melaksanakan perkara tersebut dengan menggunakan
kuasa perundangan. Kerajaan perlu menggubal akta-akta baru yang boleh mendakwa
majikan yang tidak menggunakan bahasa Melayu di syarikat mereka dalam
menjalankan sebarang urusan. Meskipun cadangan ini dilihat keterlaluan, tetapi
inilah salah satu cara yang paling ampuh dan berkesan untuk bahasa Melayu itu
dimartabatkan dan tidak dianaktirikan.
Sebab itulah ramai orang menentang syarat lulus bahasa Melayu
untuk pegawai perubatan diserap masuk secara kontrak di hospital kerajaan itu
dilonggarkan. Ini kerana, itulah langkah berkesan untuk membolehkan bahasa
Melayu itu dimartabatkan. Walaupun usaha itu belum mencukupi, tetapi
sekurang-kurangnya usaha ke arah itu masih ada lagi. Ujar pepatah : kalau tak
dapat rotan, akar pun jadi.
Bahasa Melayu bukan hanya bermasalah dalam sektor pekerjaan
sahaja. Dalam banyak perkara pun begitu juga. Jika kita merentasi jalan raya
untuk ke mana mana, lihatlah bahasa apa yang digunakan pada papan-papan iklan
di sini sana? Adakah bahasa Melayu semata-mata? Atau ada bahasa Inggeris dan
bahasa-bahasa lain juga? Tepuk dada dan tanyalah selera.
Sampai bila pun bahasa Melayu sukar dimartabatkan jika
kerajaan tidak tegas untuk memartabatkannya. Bertegas supaya penggunaan bahasa
Melayu dalam sektor pekerjaan adalah antara salah satu cara. Jika kerajaan
culas bertindak sekarang, bahasa Melayu suatu hari nanti pasti akan hilang. Dan
tidak mustahil ia akan berlaku pada masa akan datang.
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.