Jumaat, 27 Januari 2017

NOVEL : MENCARI MAKNA CINTA BAB 28


Sumber : Google



I
 
Mahmudah memberhentikan kereta Kancil miliknya di hadapan rumah Maimon. Dia mahu mengambil Adam dan Irfan untuk di bawa pulang. Maimon yang sedang bermain main dengan kanak kanak asuhannya begitu terkejut melihat kedatangan Mahmudah pada pukul dua petang itu.

“Awal kau balik hari ni. Kau tak kerja ke?” Maimon bertanya kepada Mahmudah sambil membuka pintu pagar rumahnya.

“Kerja tapi separuh hari je. Aku rasa macam tak sihat.” Jawab Mahmudah berbohong. Dia tidak mahu menceritakan perkara sebenar kepada Maimon. 

“Kalau kau tak sihat biarlah aku jaga budak berdua tu dulu. Kau pergilah klinik. Petang nanti baru kau ambil diaorang.” Ujar Maimon. 

“Aku bukan sakit apa pun. Cuma pening pening sikit saja. Lagipun aku malas nak keluar petang ni. Aku nak berehat kat rumah saja.” Kata Mahmudah.

“Kalau macam tu baiklah. Kau tunggu kejap. Aku nak siapkan budak berdua tu.” Pinta Maimon dan berlari masuk ke dalam rumah. Setelah Irfan dan Adam bersiap secara ala kadar, Mahmudah terus membawa mereka pulang. Ketika dia masuk ke dalam rumah, dia melihat ada nota yang ditampal pada belakang pintu rumah tersebut. Mahmudah membaca nota tersebut,

Mahmudah,
Kau tak payah masak apa apa malam ni. kita makan kat luar. Pukul lapan nanti aku ambil kau kat rumah.
 Sahiril.

Begitulah nota yang ditampal pada belakang pintu itu. Mahmudah menjadi hairan. Tidak pernah Sahiril mahu mengajaknya makan di luar. Apakah Sahiril sudah memaafkannya? Dia sendiri bingung memikirkan perkara itu.  

II

Mahmudah telah mempersiapkan Adam dan Irfan pada malam itu. Dia memakaikan kedua dua anak kecil itu pakaian yang cantik cantik. 

“Kita nak pergi mana mak long?” Soal Irfan ketika Mahmudah menyapukan sedikit bedak di wajahnya. 

“Hari ni papa kamu ajak kita semua makan kat luar.” Jawab Mahmudah.

 “Kita nak makan kat mana mak long?” Irfan bertanya lagi.

“Maklong sendiri pun tak tahu. Kita makan saja kat mana mana pun.” Jawab Mahmudah. 

Tiba tiba mereka mendengar loceng pintu rumah itu berbunyi. Mahmudah terus membuka pintu. Dia melihat Sahiril sedang berdiri di luar rumah. 

“Kamu semua dah siap?” Soal Sahiril. 

“Sudah. Kita nak makan kat mana ni?” Soal Mahmudah. 

“Kat hotel.” Jawab Sahiril pendek.

Sahiril membantu Mahmudah membawa barang barang Adam seperti botol susu dan lampin pakai buang jika diperlukan di sana nanti. Setelah memastikan pintu rumah berkunci, mereka terus meninggalkan rumah dan menuju ke RaHa Hotel. Sahiril telah menempah sebuah meja khas untuk makan malam di hotel tersebut. 

“Aku tak tahu kau suka makan apa jadi aku pesan Grill Fish untuk kau sebab aku tahu kau suka makan ikan keli. Ikan keli tak ada dimasak dalam makanan Barat jadi aku pesanlah ikan Salmon. Aku harap kau suka.” Ujar Sahiril.
 
“Untuk pengetahuan kau, aku juga suka makan ayam dan daging. Kalau kau order Chicken Chop atau Lamb Chop pun aku makan.” Kata Mahmudah. 

Dia melihat Irfan yang sedang berselera menikmati ayam goreng kegemarannya bersama dengan kentang goreng dan nugget. Mahmudah begitu kagum melihat hiasan dalaman hotel tersebut. Dekorasi hotel tersebut begitu menarik sekali. Dia yakin makanan yang dihidangkan di sini pasti mahal mahal belaka. Jika diharapkan gajinya sebagai kerani itu, dia hanya bermimpi untuk makan di sebuah hotel bertaraf lima bintang itu.

“Kalau aku tanya kau satu soalan boleh tak?” Mahmudah bertanya kepada Sahiril yang sedang menikmati hidangan Mix Grill itu. 

“Apa dia?” Sahiril bertanya pula. Dia meletakkan sudu dan garpu di dalam pinggan dan mengelap mulutnya dengan menggunakan napkin yang disediakan. 

“Kenapa tiba tiba kau bawa aku makan kat luar malam ni? Belum pernah lagi kau bawa aku keluar dengan anak anak kau ni. Tak ada angin tak ada ribut tiba tiba saja aku dapat nota yang kau nak bawa aku makan kat luar malam ni. Pagi tadi kau bukan main marah dengan aku. Ada apa apa ke?” Duga Mahmudah sambil mengangkat keningnya.

“Aku sebenarnya nak minta maaf dengan kau. Aku tahu kau tak bersalah sebenarnya. Pagi tadi selepas aku jumpa kau kat pejabat, Farid datang berjumpa dengan aku. Dia dah terangkan segala galanya. Aku memang bodoh kerana menuduh kau secara membabi buta saja. Maafkan aku Mahmudah.” Pinta Sahiril penuh keikhlasan. Mahmudah dapat melihat ketulusan hati lelaki itu dari anak matanya.
 
“Aku tahu aku dah banyak menyusahkan kau dan Mahani. Kalau susah sangat kau nak maafkan aku, kau mintalah apa saja. Aku akan tunaikan.” Ujar Sahiril membuat janji. 

Dia akan menunaikan apa sahaja permintaan Mahmudah walaupun permintaan itu seberat bumi. Ini semua untuk menghilangkan perasaan bersalahnya pada wanita itu. Mahmudah seorang wanita yang baik namun dia sengaja membutakan matanya untuk menafikan kebaikan kakak iparnya itu.

“Betul kau akan tunaikan apa saja permintaan aku?” Mahmudah cuba menduga keikhlasan dan ketulusan hati Sahiril. 

“Ya. Aku berjanji.” Jawab Sahiril jujur. 

“Jika Mahani sedar dari koma suatu hari nanti, boleh tak kau  menerima dia sebagai isteri kau yang sah, menerima Adam sebagai anak kandung kau dan menerima Irfan sebagai anak tiri kau dengan seikhlas hati?” Soal Mahmudah.

Sahiril sedikit terkejut mendengar bait bait kata Mahmudah itu namun dia cuba mengawal perasaannya. Dia hanya mendiamkan diri. Tiada kata yang keluar dari mulutnya pada waktu itu. 

“Untuk pengetahuan kau Sahiril, Mahani sangat mencintai kau sejak dari sekolah menengah lagi. Dia terlalu mencintai kau tapi dia takut kau tak dapat menerima dia sebab kamu berdua dari dua dunia yang berbeza. Kau anak orang kaya sedangkan dia adalah anak orang biasa. Dunia kamu berdua begitu jauh berbeza.” Sambung Mahmudah.
 
“Dia takut jika dia terlalu mengharapkan kau, kau akan tolak cintanya kerana kau anak orang berada sedangkan dia hanyalah anak orang biasa. Dia kahwin dengan Bakri bukan sebab dia mencintai lelaki itu tapi untuk lari dari kau.” Ujar Mahmudah. 

“Dia tahu kau tidak mencintai dia dan dia berazam untuk keluar dari kampung itu secepat mungkin supaya dia boleh melupakan kau dan cintanya pada kau.” Kata Mahmudah.

“Dia sengaja memberi alasan untuk mencari kerja di Kuala Lumpur tapi sebenarnya dia nak melupakan cinta dia pada kau. Dia berharap dengan mengahwini Bakri mampu menghapuskan rasa cinta itu tapi tak boleh. Dia terlalu mencintai seorang lelaki bernama Sahimi Sahiril bin Mansur. Memang dia tak pernah beritahu semua tu tapi aku boleh lihat dari dalam mata dia. Dia sangat menderita ketika hidup dengan Bakri dan tolonglah janganlah kau tambahkan lagi penderitaan dia lagi selepas ini. Tolonglah terima dia sebagai isteri kau yang sah.” Rayu Mahmudah dalam linangan air mata.

“Dia sangat mencintai kau Sahiril sebab tu dia boleh tahan hidup dengan kau. Aku pernah suruh dia buat laporan polis untuk tangkap kau masa kau pukul dia dulu tapi dia tak nak. Dia tak nak lelaki yang dia cintai masuk penjara. Untuk pengetahuan kau Sahiril, bukan dia yang perangkap kau. Memang dia mencintai kau tapi dia takkan buat perkara bodoh macam tu untuk kahwin dengan kau.” Ujar Mahmudah.

Sahiril yang dari tadi hanya mendengar luahan hati Mahmudah semakin tersentuh. Dia tidak menyangka bahawa Mahani terlalu mencintai dirinya sehingga sanggup mengorbankan kebahagiaan dirinya sendiri. Oleh sebab itulah Mahani masih sanggup tinggal bersamanya walaupun pelbagai perbuatan kejam yang dia lakukan pada diri Mahani.
 
“Mata kau dah buta Sahiril. Mata kau dah buta dengan fitnah dan tuduhan yang dilemparkan pada diri Mahani. Sebab itu kau tak boleh nampak kesucian cinta dia. Sebagai kakak dia aku merayu pada kau, tolonglah terima dia sebagai isteri kau dan tolonglah belajar mencintai dia. Aku dah tak sanggup tengok adik aku menderita Sahiril.” Mohon Mahmudah sambil menangis.

Kata kata Mahmudah telah banyak menyedarkan Sahiril. Benar kata Mahmudah. Mata dan hatinya telah buta denga fitnah yang dilemparkan pada Mahani. Dia dapat merasakan bahawa Mahani tidak bersalah dalam kes tangkap khalwat di hotel itu. Mahani hanya menjadi mangsa keadaan. Ada orang lain yang sengaja memerangkap dirinya bersama Mahani di dalam bilik hotel itu. Cuma ego diri telah membutakan dirinya sejak sekian lama. Ego yang tebal itu telah membutakan matanya.

Orang itu tentulah orang yang bermusuh dengan dirinya. Dia akan berusaha untuk mencari siapakan dalang disebalik semua itu. Dia yakin suatu hari nanti kebenaran pasti akan muncul. Orang yang bersalah akan menjelma juga nanti. 

“Baiklah Mahmudah. Aku akan tunaikan janji aku. Aku akan belajar untuk mencintai Mahani setulus hati aku.” Balas Sahiril akhirnya.

Mahmudah yang sedang menangis itu mengelap air mata yang tumpah di pipinya. Dia berasa amat gembira dengan kata kata yang keluar dari mulut Sahiril sebentar tadi. 

“Terima kasih Sahiril.” Ucap Mahmudah dengan perasaan gembira. 

“Sama sama. Mari kita makan. Nanti makanan kita sejuk pula.” Ujar Sahiril dan terus menyambung makan. Mereka menikmati makan malam mereka dengan penuh berselera sekali.

 III
          
Tiupan bayu laut yang sepoi sepoi bahasa itu telah menampar nampar wajah Farid yang sedang berdiri di gigi air itu. Dia berasa sungguh tenang apabila berada di tepi pantai Kampung Pantai Dahan itu. Sesekali matanya tertancap pada nelayan yang sedang membasuh sampan. Kebanyakkan penduduk Kampung Pantai Dahan bekerja sebagai nelayan. Ada juga di antara mereka yang bekerja sebagai penoreh getah.

Tapi kebanyakkan muda mudi di kampung itu sudah berkurangan. Kebanyakkan mereka sudah merantau ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki, mendapatkan ilmu dan menimba pengalaman. Jika ada pun mereka pastilah bekerja di kilang kilang yang terdapat di bandar namun jumlah itu amat sedikit sekali sehingga boleh dibilang dengan jari. Farid juga berazam untuk ke kota suatu hari nanti.

Dia bercita cita untuk menjadi seorang wartawan selepas habis sekolah menengah nanti. Dia mahu menjadi salah seorang wartawan hiburan yang terkemuka di Malaysia suatu hari nanti.

“Farid!” Panggil satu suara seorang gadis dari arah belakang. Serta merta lamunannya sebantar tadi terbang di bawa angin laut. Sebuah senyuman terukir di bibir apabila melihat Mahani berdiri di belakangnya.

“Maafkan aku sebab aku lambat. Aku kena tolong mak aku hantar lepat kat kedai Makcik Kiah tu.” Mohon Mahani. 

“Kau dah lama tunggu?” Soal Mahani apabila melihat tiada respon daripada Farid. 

“Tak. Baru dalam beberapa minit. Marilah kita duduk kat kayu mati tu. Ada perkara yang aku nak bincang dengan kau.” Ujar Farid. Mereka berdua berjalan menuju ke sebatang kayu mati yang agak panjang dan lebar. Mereka duduk di atas kayu itu.

“Apa yang kau nak bincang dengan aku? Kenapa kita bincang kat sini? Kenapa tak bincang kat rumah saja? Rumah kita kan sebelah menyebelah saja.” Mahani bertanya bertubi tubi. Dia menjadi bingung kerana Farid mengajaknya untuk berbincang di pantai pada petang itu sedangkan mereka boleh berbincang di rumah memandangkan rumah mereka begitu hampir. Mereka berdua adalah jiran di kampung tersebut.

“Aku lebih suka kalau kita bincang kat sini. Kalau kita bincang kat rumah aku takut mak aku atau mak kau dengar.” Jawab Farid.

 “Kau nak bincang apa dengan aku sampai takut sangat mak kita dengar? Kau nak rompak bank ke?” Soal Mahani dalam nada suara yang sengaja direndahkan. Bergurau.

“Hish, kau ni! ke situ pula. Bukanlah!” Jawab Farid dalam wajah yang sedikit berkerut.

Mahani tertawa kecil melihat kerutan di wajah Farid itu. Dia suka mengusik anak jirannya itu.

 “Habis tu apa?” Soal Mahani di hujung tawanya. 

“A…ku s…uka k…au Mahani.” Jawab Farid tergagap gagap. Nada suatanya begitu rendah sekali hingga sukar di dengari oleh Mahani. 

“Apa dia? Ulang balik apa kau cakap tadi. Kenapa kau tergagap gagap ni?” Soal Mahani lalu tertawa kecil.

“Aku suka kau Mahani. Aku nak kahwin dengan kau.” Farid berkata dengan nyaring. Dia berasa amat lega setelah meluahkan perasaannya pada gadis itu. Sebaik sahaja mendengar kata kata yang keluar dari mulut Farid, Mahani lantas tertawa dengan kuat. Dia berasa lucu dengan kata kata Farid. Dia dapat merasakan bahawa Farid sedang bergurau dengannya.

“Mahani, kenapa kau ketawa sampai macam tu sekali? Aku tak buat lawaklah sekarang ni.” Ujar Farid. Mukanya sudah mula mencuka. Dia berasa seperti dipermainkan oleh Mahani. 

“Ok sorry sorry. Kau ni kenapa? Kenapa tiba tiba cakap hal ini?” Soal Mahani yang masih lagi ketawa. 

“Aku serius Mahani. Aku memang suka kau. Aku memang cinta dan sayangkan kau.” Farid berkata dengan bersungguh sungguh. Mahani mula berhenti ketawa apabila melihat wajah Farid yang serius itu. 

“Farid! Dengar sini. Aku anggap kau sebagai kawan baik aku saja. Tak lebih dari itu. Aku lebih selesa berkawan dengan kau. Lagipun kita masih bersekolah Farid. Tak lama lagi peperiksaan SPM akan bermula. Lebih baik kita berdua belajar supaya dapat keputusan yang cemerlang.” Ujar Mahani berterus terang.

“Aku tahu kau takkan sukakan aku sebab aku ni lembut dan tak kacak. Kalau aku ni kacak dan ‘keras’ macam lelaki lain pasti kau akan sukakan aku betul tak?” Soal Farid sedikit merajuk. Dia juga ingin menduga hati sahabat baiknya itu. 

“Tak... Farid. Kalau dah jodoh aku dengan kau tak kira kau tu kacak ke, ‘keras’ ke tapi ini soal hati Farid. Hati aku tak mencintai kau.” Balas Mahani.

Mahani memandang wajah sahabat baiknya itu. Mereka telah berkawan sejak mereka berusia tiga tahun lagi dan sampai sekarang mereka berdua masih bersahabat. Ibu Mahani juga telah menganggap Farid sebagai anaknya sendiri.

 “Habis tu kau suka siapa? Kau ada suka lelaki lain kan? Siapa budak lelaki tu Mahani? Siapa?” Soal Farid bertubi tubi. Ada nada tidak berpuas hati dalam suaranya.

“Kenapa kau nak tahu?” Soal Mahani pula.

 “Aku nak tahu siapa lelaki tu. Aku nak tengok adakah lelaki itu lebih baik dari aku. Kalau lelaki itu sepuluh kali lebih baik dari aku, aku takkan sebut sebut lagi pasal perkara ni.” Ujar Farid seolah olah mencabar diri Mahani.

“Kalau aku sebut nama lelaki itu kau takkan sebut sebut lagi pasal hal ni sampai bila bila?” Soal Mahani untuk menduga kesungguhan Farid.

“Betul. Aku bersumpah.” Jawab Farid sambil mengangkat tangannya seperti orang sedang membaca ikrar.

“Sahimi Sahiril!” Jawab Mahani jelas dan lancar. Dia begitu bangga menyebut nama lelaki yang dicintainya itu. 

“Sahimi Sahiril anak Datuk Mansur dan Datin Hasanah tu?” Soal Farid sedikit terkejut.

 “Ya.” Jawab Mahani pendek. 

“Sahimi Sahiril pewaris tunggal RaHa Hotel tu?” Soal Farid lagi seperti tidak percaya.

 “Ya.” Jawab Mahani sambil tersenyum.

 “Budak lelaki paling hot kat sekolah kita dan juara Muay Thai peringkat daerah tu ke?” Soal Farid lagi tidak berpuas hati. 

“Ya Farid. Banyak betul soalan kau ni.” Kata Mahani.

“Kau biar betul Mahani. Macam mana kau boleh jatuh cinta dengan dia? Kau tahukan dia tu playboy. Lebih baik kau lupakan saja dia.” Ujar Farid memberi nasihat.

“Bukan semudah tu Farid. Aku dah jatuh hati pada dia. Tapi aku tahu dia takkan mencintai aku. Dia anak orang kaya. Sudah tentu dia takkan pandang perempuan macam aku.” Kata Mahani.

 “Kalau kau dah tahu dia takkan sukakan kau kenapa kau masih mencintai dia?” Soal Farid. 

“Cinta itu buta Farid. Cinta tak mengenal rupa, usia, pangkat mahupun harta. Hanya Allah saja yang tahu apa makna cinta.” Ujar Mahani.

“Kau dah janjikan Farid untuk tak menyebut lagi tentang perkara ni. Aku harap kau boleh faham perasaan aku. Aku terlalu mencintai Sahiril. Aku akan mencintai dia sampai bila bila. Aku harap kau faham dan tolong lupakan cinta kau pada aku. Carilah gadis lain yang lebih baik dari aku.” Ujar Mahani dan terus meninggalkan Farid di tepi pantai itu. Seperti yang diduga oleh Farid, Mahani pasti akan menolak cintanya.
 
Sudah pasti Mahani tidak akan mencintai lelaki yang lembut dan tidak tampan sepertinya. Kenangan sembilan tahun lalu kini menerpa dalam fikiran Farid. Dia yang sedang berdiri di balkoni apartment rumahnya yang menghadap Bandaraya Kuala Lumpur itu hanya mampu mengeluh. Dia tidak tahu mengapa dia boleh jatuh hati pada sahabatnya sendiri. Sampai sekarang dia masih tidak mampu untuk melupakan Mahani. 

Sudah banyak gadis yang ingin diperkenalkan kepada dirinya. Ibunya sering menyuruh dia berumahtangga secepat mungkin namun semuanya ditolak mentah mentah oleh Farid. Tiada wanita yang boleh menambat hatinya kecuali Mahani. Dia akan berusaha untuk mendapatkan Mahani walau apa cara sekalipun.

IV

Sahiril masih lagi belum tidur walaupun jam sudah menunjukkan ke angka dua belas tengah malam. Dia lantas bangun dari katilnya dan berjalan untuk menuju ke dapur. Dia menjerang air dan membancuh secawan kopi untuk menghangatkan badannya. Dia luar hujan turun dengan begitu lebat menyebabkan malam itu berasa amat dingin sekali. Sahiril bersendirian di ruang tamu rumah tersebut.

Mahmudah sudah lama tidur bersama Irfan dan Adam. Wanita itu sering tidur awal. Pada pukul sepuluh malam sahaja Mahmudah pasti akan mengantuk dan akan mula masuk tidur. Pada malam ini entah mengapa mata Sahiril masih lagi belum mengantuk. Dia asyik teringat akan kata kata Mahmudah di restoran tadi. Dia tidak menyangka yang Mahani mencintai dirinya.

Walaupun sukar untuk dia terima tapi dia amat percaya pada kata kata Mahmudah. Dia yakin yang Mahmudah tidak berbohong padanya. Dia juga dapat merasakan bahawa Mahani mencintai dirinya. Dia dapat melihat dari anak mata wanita itu. Walaupun dia banyak menyakiti wanita itu dari segi mental dan fizikal dia tahu Mahani masih mencintai dirinya.

Oleh sebab itu Mahani masih lagi bertahan di rumah itu walaupun dirinya menderita apabila tinggal di rumah itu. Mahani tetap melayan dirinya seperti seorang suami walaupun dia tidak pernah mengaggap Mahani isterinya. Dia juga dilayan dengan sebaiknya semasa mereka ‘bersama’ buat kali pertama walaupun Mahani masih boleh menolak permintaanya pada malam itu kerana dia telah memukul wanita itu dengan teruk sekali.

Hasil ‘pertemuan’ itu Mahani telah melahirkan zuriatnya yang bernama Adam. Dia seolah olah bermimpi apabila mendapat tahu bahawa Mahani menghamilkan anaknya namun perasaan benci dan dendam pada Mahani mengatasi segala galanya. Dia tidak dapat menerima diri Mahani mahupun anak yang dikandung oleh wanita itu. Benar kata Mahmudah, dia telah termakan kata fitnah yang dibuat oleh ibunya dan Melisa. 

Dia berasa amat bersalah pada Mahani. Mahani seorang wanita yang baik dan ikhlas. Dia yakin Mahani tidak akan buat perkara sekeji itu. Dia kenal benar dengan Mahani sejak mereka di sekolah menengah lagi. Dia berasa amat berdosa kerana memperlakukan Mahani seperti itu. Dia menjadi buta sehingga tidak mengenal yang mana kaca dan yang mana permata. Mahani seorang isteri yang terbaik dikurniakan Allah untuknya.

Dia sahaja yang tidak mahu menghargai pemberian Allah itu. Dia perlu mengubah keadaan ini. Dia berazam untuk belajar mencintai Mahani sepenuh hatinya. Dia akan menerima Adam dan Irfan sebagai anak anaknya. Dia berjanji untuk mengubah semua keadaan itu dengan kadar segera. Dia segera mencapai telefon bimbitnya. Dia mendail nombor peguam keluarganya. 

“Hello Encik Rahmat. Saya nak Encik Rahmat membatalkan surat perjanjian itu dengan kadar segera. Saya dah ubah fikiran.” Ujar Sahiril kepada Encik Rahmat.

 “Baiklah Encik Sahiril. Saya akan batalkan surat perjanjian itu esok juga.” Jawab Encik Rahmat yang berada dalam keadaan mengantuk. 

“Terima kasih Encik Rahmat. Maaf kerana menggaggu Encik Rahmat malam malam macam ni.” Mohon Sahiril.

“Sama sama.” Balas Encik Rahmat dan mematikan telefon bimbitnya dan menyambung tidur semula. 

Sahiril berasa lega. Dia berasa puas kerana telah melakukan perkara yang sebetulnya. Setelah menghabiskan sisa sisa kopi yang ada di cawan, dia terus masuk tidur setelah meletakkan cawan ke dalam sinki.


Datuk Hasanah melangkah masuk ke kamar kerja Sahiril. Dia melihat anak tunggalnya itu sedang tekun melakukan tugasannya. Tidak sia sia dia menghantar Sahiril belajar sehingga ke United Kingdom dan tidak sia sia juga dia mewariskan RaHa Hotel kepada Sahiril. Dia yakin Sahiril mampu untuk memimpin hotel tersebut untuk menjadi sebuah hotel yang terkemuka di dunia seperti Hotel Hilton dan Hotel Plaza yang dimiliki oleh jutawan hartanah New York iaitu Donald Trump.

“Mama, bila mama sampai? Saya tak sedar pun.” Ungkap Sahiril yang kelihatan agak terkejut apabila melihat Datuk Hasanah sudah berada di hadapannya. 

“Mama dan dekat dua minit kat sini tapi kamu saja yang tak perasan. Khusyuk betul kamu buat kerja.” Ujar Datuk Hasanah. Sahiril tidak pasti adakah itu sindiran atau pujian dari ibunya. 

“Biasalah mama. Orang berniaga katakan. Arwah papa pun macam ni juga dulu sampai tak ada masa nak balik rumah.” Balas Sahiril pula.

“Kamu pun sama macam arwah papa kamu juga. Kalau bekerja tak ingat langsung nak balik rumah. Kamu pun dah lama tak datang jenguk mama.” Ujar Datuk Hasanah seolah olah wanita tua itu merajuk. 

“Saya bukan tak nak jenguk mama. Saya betul betul tak ada masa sekarang ni. Kerja kat pejabat ni berlambak sangat. Nak harapkan budak budak alamatnya sampai bila pun tak siap.” Sahiril memberi alasan yang dirasakannya munasabah.

“Semalam mama ada baca surat khabar Harian Malaysia. Wartawan yang tulis cerita pasal kamu hari tu dah minta maaf secara terbuka. Dia juga ada cakap apa yang terjadi adalah salah faham. Mama pelik juga kenapa wartawan tu tiba tiba minta maaf? Kamu ada buat apa apa ke pada wartawan tu?” Soal Datuk Hasanah sambil mengangkat keningnya.

“Pasal perkara tu mama tak payah risau. Yang penting perniagaan dan nama baik keluarga kita selamat.” Ujar Sahiril.

 “Mama bukan apa. Mama tak nak kamu buat perkara yang bukan bukan.” Kata Datuk Hasanah. 

“Saya tahu mama. Mama tak perlu risau pasal hal tu.” Balas Sahiril. 

“Mama datang ni pun nak beritahu kamu sesuatu. Mama nak berangkat ke Paris esok. Kawan mama ada buat pertunjukkan fesyen kat sana. Dia minta mama temankan dia kat sana.” Ujar Datuk Hasanah.

“Oh patutlah mama datang pagi pagi macam ni kat pejabat. Mama pergi baik baik ye. Jaga kesihatan mama  dan yang paling penting jangan mengorat mat mat saleh kat sana.” Kata Sahiril bergurau. Datuk Hasanah tertawa kecil mendengar gurauan anak lelakinya itu. 

“Mama tahulah nak jaga diri mama kat sana. Kamu pun sama juga. Jaga diri kamu elok elok. Jangan nanti bila mama balik berlambak lagi gossip liar kamu dengan Melisa tu.” Pesan Datuk Hasanah. 

“Baiklah.” Jawab Sahiril sambil tersenyum.  

VI 

Mahmudah begitu tekun menghadap komputernya sejak tadi. Pelbagai kerja yang perlu dia siapkan pada hari ini. Kepalanya berasa pening apabila membuat terlalu banyak kerja pada satu satu masa. Namun semua itu dia telan dengan redha. Suka atau tidak dia perlu melunaskan semua kerja yang diberikan oleh majikannya dengan sempurna. Ini semua adalah demi mencari sesuap nasi untuk menyara hidupnya.

Dia tidak suka bergantung dengan orang lain dan dia juga tidak suka meminta minta. Mahmudah akan pakai apa sahaja yang termampu. Dia juga tidak suka membazir. Dia akan membeli barang barang yang dia perlu sahaja. Dia tidak kisah jika harga barang tersebut murah asalkan barang tersebut masih elok dan boleh untuk dipakai. Dia memandang Noni yang juga tekun membuat kerja.

Apabila dia memandang sekeliling, dia mendapati kawan kawan yang sepejabat dengannya juga tekun membuat kerja. Ini semua mesti sebab Encik Sulaiman ada di situ. Jika orang tua itu tidak ada pasti pejabat itu seperti kapal mahu karam. Mereka akan bercakap dari membuat kerja. Pelbagai cerita yang Mahmudah dengari. Dari segi ekonomi, politik, sampailah ke dunia hiburan pun Mahmudah boleh tahu tanpa membaca surat khabar.

Ramai kawan kawannya di sini yang menjadi wartawan tidak bertauliah. Ketika dia sedang tekun menaip di komputernya, Mahmudah mendengar telefon bimbitnya berbunyi. Mahmudah segera menjawab panggilan tersebut. Panggilan tersebut adalah dari
Dr. Nora. 

“Assalamualaikum. Ini Cik Mahmudah binti Mahat ke?” Doktor Nora bertanya dengan lembut dari hujung talian.

“Waalaikumussalam. Ya, saya Mahmudah. Ada apa doktor?” Soal Mahmudah pula. 

Hatinya mula rasa berdebar debar. Dia dapat merasakan ada sesuatu perkara yang berlaku pada Mahani. Jika tidak masakan doktor itu mahu menelefonnya pada waktu pagi bergini. Belum pernah lagi Doktor Nora menelefon dirinya. 

“Saya nak beritahu pada Cik Mahmudah yang Puan Mahani dah sedar pagi tadi. Sila datang ke hospital sekarang sebab dia nak sangat jumpa dengan Cik Mahmudah.” Jawab Doktor Nora.

Hati Mahmudah berasa begitu lapang dan gembira sebaik sahaja mendengar kalimah kalimah yang keluar dari bibir Dr. Nora itu. 

“Baik doktor. Saya akan datang sekarang.” Balas Mahmudah lalu menamatkan panggilan. 

“Siapa yang telefon tadi tu? Kenapa kau nampak macam gembira sangat ni? Kau menang loteri ke?” Soal Noni yang sedari tadi asyik memandang ke arah Mahmudah.

“Berita ni lebih gembira dari berita aku menang loteri. Adik aku dah sedar dari koma. Aku nak lawat dia kat hospital sekarang.” Jawab Mahmudah dengan gembira. Dia terus mengemaskan kertas dan fail yang bertimbun di atas meja itu. Kemudian dia terus ke bilik Encik Sulaiman untuk memohon cuti separuh hati. Dia begitu gembira kerana cutinya diluluskan. Mungkin kerana angin orang tua itu baik pada hari ini.

Dia terus menghantar khidmat pesanan ringkas kepada Sahiril, Ramli dan Nadia untuk memberitahu tentang berita tersebut. Mahmudah berasa terlalu gembira namun dia tetap memandu dengan berhati hati untuk menuju ke Hospital Kuala Lumpur itu. Dia tidak mahu kegembiraan yang dia kecapi itu meragut nyawanya. Dia berdoa agar semua perkara yang baik baik terjadi kepada Mahani selepas ini.


2 ulasan:

  1. bab 29 please! hehe singgah sini ye haziq!

    BalasPadam
  2. I am really surprised by the quality of your constant posts.You really are a genius, I feel blessed to be a regular reader of such a blog Thanks so much..I’m really enjoying the design and layout of your site. It’s a very easy on the eyes which makes it much more pleasant for me to come here and visit more often. Did you hire out a designer to create your theme? Excellent work!
    Onlinekaj.com
    ভিটমেট

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.