Jumaat, 20 Januari 2017

MENGAPA MANUSIA TIDAK BOLEH HIDUP TANPA TELEFON PINTAR?


Image result for smartphone
Sumber : Google


Sesiapa sahaja pada zaman ini pasti sangat sangat memerlukan telefon pintar (smartphone). Ke mana sahaja mereka pergi atau apa sahaja yang mereka lakukan mereka mesti membawa telefon pintar. Telefon pintar itu umpama barang wajib yang mesti dibawa oleh manusia ke mana-mana. Barangkali jika tiada telefon pintar manusia boleh mati serta-merta.

Ya, telefon pintar itu ada banyak gunanya. Manusia mencari hiburan seperti mendengar lagu atau menonton video misalnya, mereka boleh menggunakan telefon pintar. Manusia yang ingin mencari arah tempat yang mereka ingin tuju tetapi mereka tidak tahu, mereka boleh menggunakan telefon pintar. Manusia yang ingin mencari kawan di alam maya, mereka boleh menggunakan telefon pintar. Semuanya manusia boleh lakukan atau harapkan hanya dengan menggunakan telefon pintar. 

Boleh dikata yang telefon pintar itu ada segalanya. Oleh sebab itulah ramai beranggapan mengapa ramai manusia tidak boleh hidup tanpa telefon pintar. Dan disebabkan itu jugalah mengapa ada manusia yang jelik dengan manusia lain yang seperti ‘menyembah’ telefon pintar.

Bagi saya manusia yang sering ‘bersama’ dengan telefon pintar ini bukan kerana telefon pintar itu ada segalanya. Ada sebab lain mengapa telefon pintar itu amat penting kepada mereka. 

Telefon pintar amat amat diperlukan ketika seorang manusia itu berasa bosan. Misalnya, ketika mereka menunggu bas atau menunggu kawan, mereka pasti dibungkus dengan rasa bosan. Terutama jika bas atau kawan tersebut mengambil masa yang lama untuk datang bertemu mereka. Maka mereka menggunakan telefon pintar untuk menghilangkan kebosanan yang melanda. Mereka melayari internet, Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya bagi menghilangkan kebosanan tersebut sehinggalah bas atau kawan mereka itu tiba. 

Budaya tidak bertegur sapa dalam kalangan manusia juga menyebabkan telefon pintar itu dianggap penting bagi sesetengah manusia. Misalnya, jika kita duduk di sebuah dewan sebelum sesuatu majlis dimulakan, pastilah kita akan menatap telefon pintar terlebih dahulu untuk menghilangkan bosan. Cuba jika ada orang menegur kita atau atau kita menegur orang lain dahulu, dan kita berbual mesra dengan orang itu, pasti telefon pintar tidak akan kita tatap selalu. 

Namun, budaya bertegur sapa memang tidak subur dalam kalangan kita. Kita mesti mahu orang lain tegur kita dahulu dan kemudian barulah kita tegur orang itu pula dan begitulah sebaliknya. Semua orang minta ditegur dahulu untuk menjadikan sesebuah komunikasi atau hubungan itu bermula. Sikap buruk ini tidak dinafikan memang ada pada saya. 

Urusan yang banyak juga menyebabkan ramai manusia tidak boleh meninggalkan telefon pintar mereka. Ada sahaja pemberitahuan (notification) yang ada di dalam aplikasi Whatsapp atau Telegram yang menuntut mereka membalas dengan segera. Ada sahaja urusan atau perkara yang dihantar di dalam aplikasi Whatsapp atau Telegram itu menuntut perhatian mereka. Jika mereka tidak membalas atau menjawab segala pemberitahuan atau urusan yang ada di dalam semua aplikasi itu, barangkali urusan mereka atau urusan orang lain akan terganggu. Maka telefon pintar bagi mereka sangatlah perlu. 

Tetapi ada juga sesetengah manusia yang memang sengaja atau suka menatap telefon pintar waima ketika ada orang lain bersama mereka. Mereka tiada pun urusan yang penting sebenarnya yang menuntut perhatian mereka tetapi barangkali mereka berasa janggal atau mereka memang malas untuk melayan orang yang berhampiran dengan mereka (seperti kawan misalnya) maka mereka mengambil keputusan untuk menatap telefon pintar dalam masa yang lama. Manusia beginilah yang banyak membuang masa dan memutuskan jalinan perhubungan yang sedia ada. 

Ada sesetengah manusia yang mereka lebih suka hidup dalam dunianya sendiri. Mereka tidak mahu langsung bergaul dengan orang lain dan sentiasa membuat hal sendiri. Hidup mereka hanyalah menatap telefon pintar setiap hari. Mereka lebih menghargai rakan rakan yang berada di alam maya berbanding rakan rakan yang berada di alam realiti. Manusia begini yang ramai orang benci. Mereka merasakan bahawa hanya mereka dan telefon pintar mereka sahaja yang ada di dalam dunia ini. 

Tidak dinafikan bahawa telefon pintar itu memang banyak kegunaan. Tetapi jika digunakan secara berlebihan ia akan menyebabkan ketagihan dan akhirnya merosakkan. Telefon pintar digunakan untuk memudahkan urusan kita. Jangan disebabkan telefon pintar kita terputus hubungan sesama manusia.

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.