Sabtu, 23 Julai 2016

NOVEL : MELUNAS DENDAM BAB 20


       Jalan raya di Kuala Lumpur pada pagi itu sudah mula sesak walaupun jam baru sahaja menunjukkan pada pukul sepuluh pagi. Itu bukanlah satu perkara yang pelik apabila berada di Kuala Lumpur. Kesesakan jalan raya dan Kuala Lumpur memang tidak dapat dipisahkan. Pendek kata, pukul berapa pun kita berada di jalan raya, kesesakan itu haruslah kita tempuhi.

          Hamad, Farah, dan Aiman sedang berada di dalam teksi pada waktu itu untuk pulang ke rumah. Mereka baru sahaja pulang dari hospital setelah menghantar Razali ke sana pada pukul sebelas malam tadi akibat dibelasah teruk oleh Hamad. Setelah sampai di hospital semalam, Razali terus dimasukkan ke wad kecemasan. Setelah diperiksa oleh kakitangan hospital yang bertugas, mereka mendapati tulang rusuk, tangan dan kaki Razali telah patah. Razali perlu dibedah namun akibat begitu ramai sekali pesakit yang perlu menjalani pembedahan semalam, maka Razali pun menjalani pembedahan pukul lima pagi tadi. Dan sekarang Hamad tidak mendengar khabar berita daripada sesiapa sama ada ayahnya itu sudah selamat menjalani pembedahan atau belum.

          Hamad sendiri benar benar tidak menyangka bahawa dia boleh bertindak sejauh itu dengan membelasah ayahnya sendiri sehingga separuh mati tanpa ada sekelumit pun rasa kasihan. Dia benar benar berang semalam dengan ayahnya. Sudahlah Razali memukul anaknya sehingga pecah bibir, Razali juga telah memecah televisyen yang dibelinya dengan hasil titik peluhnya sendiri sebagai pemandu teksi. Justeru itu, kerana terlalu mengikut rasa marah yang membara di hati, dia telah bertindak tanpa menggunakan akal yang waras.


          Dia tahu, dia memukul Razali semalam bukan hanya kerana Razali memukul Iman atau memecahkan televisyen kesayangannya sahaja, malah lebih dari itu. Dia memukul Razali dengan seteruk itu kerana dendam. Dendam kesumat yang telah lama bersarang di hati yang disimpannya selama bertahun tahun. Dia tidak tahu sama ada dia memukul Razali itu hanya kerana dia marah ataupun tidak tetapi sememangnya dia berasa puas setelah memukul orang tua itu sehingga lembik.

          Pendek kata, dia telah melunas dendam terhadap orang tua itu semalam!

          Dia masih tidak lupa bagaimana dia dipukul dengan teruk menggunakan rotan kerana berkelahi dengan Norin suatu ketika dahulu. Dia dipukul sehingga badannya berbirat birat. Begitu juga dengan Norin yang menerima nasib yang sama. Puncanya hanya kecil sahaja iaitu siapa yang mahu membuka pintu pagar rumah. Fauziah pada waktu itu mahu keluar dan ditemani olehnya untuk pulang ke kampung mereka di Perak. Mereka pulang dengan menaiki kereta. Yang tidak ikut untuk pulang ke kampung pada waktu itu adalah Norin, Hafizah, dan Razali.

Hafizah ketika itu tiada di rumah kerana berjumpa dengan temannya di pekan. Razali pula keluar bekerja. Hanya Norin sahaja yang tinggal di rumah kerana malas mahu pulang ke kampung. Memandangkan Fauziah mahu pulang ke kampung dengan menaiki kereta, dia meminta Hamad supaya membuka pintu pagar rumah supaya kereta dapat dikeluarkan. Namun dia yang malas telah menyuruh Norin untuk membuka pintu pagar tersebut. Norin yang juga malas tidak mahu membuka pintu pagar tersebut. Mereka bertengkar di situ dan akhirnya Norin juga yang membuka pintu pagar itu.     

Apabila dia dan Fauziah pulang dari kampung pada hari itu juga, Hamad dan Norin sekali lagi bertengkar dengan sangat hebat di rumah. Oleh sebab itulah, dia dan Norin ‘dibedal’ teruk oleh Razali dengan menggunakan rotan walaupun dia pada waktu itu dia sudahpun berusia 15 tahun dan Norin sudahpun berusia 18 tahun.

Peristiwa itu sangat menyakitkan hatinya. Peristiwa itu hanyalah satu daripada seribu ‘kekejaman’ Razali terhadap dirinya. Kepalanya pernah ditolak sehingga jatuh ke tanah oleh Razali kerana dia lambat mengangkat kain di jemuran. Dia juga pernah ditampar berkali kali oleh Razali sehingga pecah bibirnya kerana melawan orang tua itu. Itulah sedikit sebanyak ‘kekejaman’ yang dilakukan oleh Razali terhadap dirinya. Sedikit demi sedikit, ‘kekejaman’ itu telah menghimpunkan titik titik dendam di hatinya sehingga menggunung tinggi. Dan dendam yang terhimpun itu perlu dilunaskan dan semalam adalah hari perhitungannya. Dia benar benar puas dapat memukul Razali semalam.  

          “Abang, abang dengar tak saya cakap ni?” Sergah Farah sambil menolak lembut badannya. Dia lantas tersedar dari lamunannya sebentar tadi.

          “Awak cakap apa tadi? Saya tak dengar la.” Balas Hamad sambil menumpukan perhatian pada pemanduan.

          “Saya tanya, awak tak rasa menyesal ke buat ayah macam tu semalam? Kesian pula saya tengok dia pengsan sebab kena belasah dengan awak.”

          “Nak menyesal apanya? Memang salah dia pun. Dia tampar Iman sampai berdarah bibir. Kita pun tak pernah pukul Iman sampai macam tu sekali. Dia sedap sedap dia je buat Iman macam tu. Dah tu pula pergi pecahkan tv. Dia ingat tv tu murah?”

          “Saya pun sakit hati juga dengan ayah dengan ibu awak tu. Dah layan elok elok pun buat kita macam tu lagi. Saya tak tahulah dengan ayah dan ibu awak tu. Perangai entah apa apa.”

          “Ibu dan ayah saya memang macam tu. Saya pun rasa macam...entahlah! saya rasa diaorang la mak bapak paling bangang yang pernah saya jumpa! Saya rasa takde mak bapak macam tu pun takpe rasanya.” 

          “Haihh...entahlah...nasib baik mak bapak saya tak macam tu. Saya bersyukur sangat dapat mak bapak yang baik walaupun kami orang susah. Saya kesian tengok awak, walaupun keluarga awak tu orang yang berduit juga sebab ibu awak tu seorang guru dan ayah awak tu seorang polis, tapi saya dapat rasakan yang awak tak bahagia dapat ibu dan ayah macam diaorang tu.”

          “Memang saya tak bahagia pun Farah. Saya betul betul menikmati kebahagian hidup ni bila saya dah tak berada di bawah jagaan diaorang. Selagi saya di bawah jagaan diaorang, selagi tu la saya tak bahagia. Hidup saya macam hamba dalam rumah tu. Disuruh buat itu ini. Pastu kena marah kalau ada kerja yang tak siap atau tak sempurna. Kena marah dan kena maki tu benda biasa yang saya dengar semasa saya membesar di rumah diaorang.”

          “Itulah bang. Bertabah sajalah. Dah nasib abang Tuhan bagi mak bapak yang rupa itu. Kita ni tak boleh pilih mak bapak. Apa yang Tuhan bagi tu, kita terima sajalah.” Kata Farah.

          “Hmm...tu la...hmmm...awak nak pergi kerja tak ni? Jam baru pukul sepuluh lebih ni. Awak boleh masuk noon kan?”

          “Malaslah saya nak kerja hari ni. Saya nak amik emergency leave. Saya tak larat nak kerja. Ngantuk. Saya nak tidur sebab semalam saya tidur tidur ayam je kat kerusi hospital tu. Sungguh tak selesa tidur duduk macam tu. Iman pun tak payahlah sekolah hari ni. Tengoklah dia, terbongkang kat belakang tu sebab mengantuk sangat berjaga malam tadi.”

          “Biarlah dia tak sekolah hari ni. Bagi dia rehat dulu. Luka kat bibir dia tu pun dah kering rasanya.”

          “Dah kering dah. Saya letak ubat semalam. Takpelah, nanti saya tulis surat kat cikgu dia kata dia tak boleh datang hari ni.”

          “Baguslah kalau macam tu.” Kata Hamad akhirnya.

......................................................................................................................

          Setelah lima hari terlantar di hospital, Razali dibenarkan pulang. Sepanjang tempohnya berada di hospital, Hafreez dan Fauziahlah yang secara bergilir gilir menjaganya di hospital.

          Walaupun masih berbaki seminggu lagi untuk Hafreez melunaskan tugas tugasnya di Sabah, namun atas budi bicara ketuanya, dia dibenarkan untuk tidak menyambung tugasnya di Sabah. Dia dibenarkan untuk pulang ke Semenanjung lebih awal dari masa yang telah ditetapkan. Dia sangat bersyukur kepada Allah kerana memudahkan urusannya dalam menjaga ayahnya yang sedang sakit itu.

          “Ayah kena banyak berehat tau. Ayah tak boleh terlalu banyak bergerak. Ayah dah tua. Nanti kalau ayah banyak sangat bergerak, ayah lambat sembuh nanti.” Hafreez menasihati. Dia memandang wajah Razali yang sedang terbaring di katil itu.

          “Tapi ayah bosanlah kalau asyik terperap je dalam bilik ni. Ayah nak juga tengok tv kat tingkat bawah tu.”

          “Pasal tu ayah jangan risau. Nanti saya akan beli sebuah tv untuk ayah. Kita letak dalam bilik ni. Ayah tak payah turun ke bawah lagi untuk tengok tv.”

          “Hmmm...bagus juga tu. Lagi satu, macam mana ayah nak solat dengan tangan dan kaki ayah yang bersimen ni?”

          “Ohhh...pasal tu ayah jangan risau. Saya ada beli satu produk yang khas untuk bertayamum. Produk tu macam bedak, sesuai untuk orang sakit macam ayah bertayamum. Nanti ayah boleh solat guna produk tu.”

          “Baguslah kalau macam tu. Terima kasih ye Hafreez sebab sanggup layan kerenah ayah yang macam macam ni. Kau memang anak yang baik. Walaupun kau hanya anak angkat ayah, tapi kau jaga dan layan ayah macam ayah ni ayah kandung kau sendiri. Ayah benar benar terharu dengan cara kau layan ayah ni.” Ucap Razali dengan rasa terharu. Dia benar benar berterima kasih kepada Tuhan kerana mengurniakan Hafreez dalam keluarganya. Jika tidak Hafreez, sudah tentu dirinya dan Fauziah sekarang berada di kaki lima jalan.

          “Takde apalah ayah. ayah dah besarkan saya, jadi saya wajib untuk membalas jasa ayah walaupun pada hakikatnya saya memang tak mampu. Ayah tak payahlah berterima kasih dengan saya. Berterima kasihlah kepada Allah Yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa.” Balas Hafreez.

          “Pasal kerja kau kat Sabah macam mana? Boss kau tak marah ke kau tinggalkan kerja kau kat Sabah tu?”

          “Pasal kerja tu dah settle dah. Ayah tak payahlah risau pasal saya. Apa yang penting ayah sihat. Oh ye, pihak hospital ada bekalkan kerusi roda untuk ayah kalau ayah nak ke mana mana. Nanti kalau ayah nak ke bilik air ke, ada kerusi roda tu untuk ayah guna.”

          “Baiklah.” Razali mengangguk.

          “Okaylah, ayah rehat dulu ye. Saya nak turun ke bawah kejap. Nak tengok apa yang ibu dan Haliza masak. Nanti kalau ayah ada apa, ayah panggil je saya ye. Nanti saya datang.”

          “Hmm...baiklah.” Razali mengangguk. Kemudian dia melihat Hafreez meninggalkan dirinya di bilik tidur itu untuk turun ke bawah. Dia sememangnya sangat terharu dengan layanan Hafreez terhadapnya. Hafreez sungguh baik kerana tabah dan sabar dalam menghadapi kerenahnya sehari hari. Tidak seperti anak anaknya yang lain. Mereka benci pada dirinya. Mereka dendam pada dirinya dan oleh sebab itu mereka sanggup ‘membuang’ dirinya dari hidup mereka. Malah ada yang sanggup membelasahnya tanpa peri kemanusiaan.


1 ulasan:

  1. Oh ini tulisan saudara sendiri?

    M I Fitri
    acil89.blogspot.my

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.