“Kenapa awak tak
cuba pertahankan saya masa Hamad marah saya tadi?” Soal Fauziah ketika dia dan
Razali sedang menonton televisyen di ruang tamu. Hanya mereka berdua sahaja
yang berada di ruang tamu rumah tersebut pada waktu itu. Hamad keluar bekerja
manakala Farah pula sedang melakukan sesuatu di dapur. Iman berada di dalam
bilik menyiapkan kerja sekolahnya.
“Macam mana saya nak pertahankan awak
kalau itu memang salah awak? Kan dah banyak kali saya pesan jangan cerita buruk
anak anak kat orang. Sekarang awak tengok apa akibatnya.” Razali menjawab
sambil memandang wajah Fauziah. Sesekali matanya tertancap pada peti televisyen
yang sedang menayangkan drama Melayu pada malam itu.
“Eleh, awak pun sama juga dulu suka
buka aib anak anak awak dekat kawan kawan dan saudara mara kita. Sekarang pula
awak nak berubah?” Sindir Fauziah.
“Saya kena berubah Fauziah. Awak juga
yang cakap nak jernihkan hubungan dengan anak anak. Kalau macam ni la sikap
awak, sampai bila bila hubungan kita dengan anak anak takkan jernih. Awak nak
macam tu?” Fauziah terdiam mendengar kata kata Razali. Ya, benar kata suaminya.
Jika sikap suka bercerita tentang hal keburukan anak menantunya kepada orang
luar itu tidak dibuang, sampai bila bila pun anak anak akan benci pada dirinya.
“Janganlah tukar! Atuk nak tengok
cerita tu!” Ujar Razali dengan nyaring apabila Iman mula mengubah siaran
televisyen yang sedang ditontonnya. Entah bila Iman muncul di ruang tamu rumah
itu dia sendiri pun tidak tahu.
“Boringlah cerita tu. Iman nak
tengok cerita kartun.” Kata Iman sambil matanya tidak lepas lepas memandang
peti televisyen tersebut yang sedang menyangkan cerita kartun.
“Hei Iman! Kan atuk tengah tengok
cerita tu. Kau janganlah tukar. Kau tu budak budak lagi. Mana boleh tengok tv.
Pergi baca buku lagi bagus.” Balas Razali.
“Iman dah habis baca buku dah. Iman
nak tengok tv pula. Asyik atuk je tengok tv. Sejak atuk kat sini, asyik cerita
atuk je atuk buka. Iman langsung tak boleh tengok cerita Iman.”
“Eh degil pula budak ni. Bagi sini remote
tu!” Razali cuba merampas alat kawalan jauh peti televisyen itu daripada Iman
namun Iman cuba melawan. Dia segera menarik alat kawalan jauh itu dari tangan
Razali.
“Abang, dah la tu. Dia kan budak budak
lagi. Biarlah dia tengok cerita dia.” Fauziah cuba meleraikan perbalahan kecil
yang berlaku di situ.
“Bagi sini remote tu Iman!
Kenapa degil sangat ni?!” Razali terus merampas alat kawalan jauh itu dari
tangan Iman dengan kasar. Iman yang kalah dalam ‘pertarungan’ merebut alat
kawalan jauh itu segera menyepak kaki Razali beberapa kali.
“Kurang ajar punya budak!” Kata Razali
dan lantas satu penampar paling padu diberi kepada Iman sehingga Iman terdorong
ke belakang. Bibir budak lelaki berusia sembilan tahun itu pecah sedikit lalu
mengeluarkan darah. Iman lantas menangis mendapatkan ibunya di dapur.
“Kenapa abang buat dia macam tu. Dia
kan budak lagi.” Fauziah memarahi Razali.
“Biarkan dia. Budak kurang ajar macam
tu memang patut diajar nanti bertambah kurang ajar!” Kata Razali.
“Ibu, ayah, kenapa tampar Iman sampai
macam ni?!” Sergah Farah yang baru sahaja sampai di ruang tamu sambil memegang
tangan Iman yang tidak henti henti menangis. Terdapat sedikit darah yang baru
dikesat di mulutnya.
“Anak kau tu kurang ajar sangat. Ayah
nak tengok tv, sesuka hati dia je nak tukar cerita yang ayah tengah tengok.”
Jawab Razali dengan nada yang agak tinggi untuk mempertahankan dirinya. Fauziah
yang berada di sebelahnya mula berasa tidak sedap hati.
“Kalau ye pun jangan la tampar muka
dia sampai berdarah. Lagipun ini tv saya tahu tak? Bukan tv ayah. Suka hati dia
la nak tukar cerita apa pun. Kalau ayah tak suka anak saya tukar tukar cerita
ayah, ayah boleh tengok tv ayah sendiri. Ini tv saya!” Bentak Farah.
“Eleh, setakat tv buruk macam ni aku
pun boleh beli la! Kedekut nak mampus!” Kata Razali dengan kuat dan kasar
kemudian dia menghempas alat kawalan jauh televisyen tersebut ke lantai
sehingga pecah berderai. Razali yang sememangnya panas baran itu kemudian belari
ke dapur untuk mengambil lesung batu lalu membaling lesung tersebut ke
televisyen itu beberapa kali sehingga pecah.
“Abang! Awak dah gila ke?” Jerit
Fauziah penuh kemarahan sambil menahan suaminya. Farah dan Iman yang
menyaksikan kejadian tersebut diam tidak berbunyi.
“Biarkan! Baru puas hati aku. Biar
semua orang tak payah tengok tv. Ada tv bodoh macam ni pun dah nak berlagak
dengan aku. Padan muka kau tv dah rosak.” Ujar Razali sambil tersenyum kepuasan.
“Apa yang bising bising ni?” Jerkah Hamad
yang entah bila muncul di muka pintu rumah tersebut.
“Abang, cuba awak tengok ayah awak ni.
Dia dah la tampar muka Aiman sampai berdarah bibir, lepas tu dia pecahkan tv
kita pula.” Farah mengadu kepada Hamad.
“Anak dan bini kau tu kurang ajar sangat.
Baru ada tv buruk dah nak kurang ajar dengan aku.” Ujar Razali dengan wajah
kegeraman.
Tidak semena-mena dan tanpa disangka
sangka oleh Farah dan Fauziah, Hamad menuju ke arah Razali dan lantas menumbuk
orang tua itu beberapa kali. Razali cuba melawan namun kudrat tuanya tidak
mampu untuk melawan kudrat muda Hamad. Hamad membelasah Razali sehingga lembik
di ruang tamu rumah itu. Segala penumbuk dan penendang singgah di muka dan
tubuh tua Razali.
Farah dan Fauziah yang berada di situ
cuba untuk menahan Hamad dan terus membelasah Razali namun hampa kerana tubuh
Hamad yang besar dan sasa itu tidak mampu ditahan oleh mereka. Mereka hanya
mampu melihat sahaja Hamad membelasah Razali sehingga patah riuk.
Apabila
melihat Razali yang sudah setengah mati dan lebam di sana sini itu sudah tidak
bergerak lagi, barulah Hamad berhenti. Dia sendiri terkejut melihat ayahnya
yang sudah tidak sedar diri itu. Dia melihat tangannya yang sudah mula kebas
kerana tidak henti membelasah ayahnya sendiri. Ada kesan darah di situ. Serta
merta perasaan bersalah menerpa ke dalam dirinya.
“Apa kau buat ni Mad? Ni kan ayah
kau?!” Fauziah yang menangis sejak tadi segera mendapatkan Razali yang
terbaring kaku di sudut ruang tamu rumah itu. Dia memangku kepala Razali dan
mengejutkan lelaki itu beberapa kali namun lelaki tua itu masih tidak sedarkan
diri. Hatinya mula risau melihat keadaan itu.
“Abang, kita kena hantar ayah pergi
hospital. Kalau mati orang tua tu susah pula. Cepat bang.” Farah berkata.
“Okay, okey.” Kata Hamad dengan nada
panik. Segera dia mendukung tubuh tua Razali itu dan lantas berlari keluar dari
rumahnya untuk membawa orang tua itu ke hospital. Setelah bersiap, Fauziah,
Farah, dan Iman turut mengikut sama.
......................................................................................................................
Hafreez berlari lari anak di dalam
Hospital Sejahtera itu untuk menuju ke wad kecemasan di mana Razali
ditempatkan. Di belakangnya terdapat Haliza yang sedang mendukung Hazim turut
melakukan perkara yang sama. Sesekali Hafreez memandang isterinya yang sedang
terkocoh kocoh mengejarnya supaya wanita itu berada dalam keadaan yang baik
baik sahaja.
Sejak mendapat panggilan telefon
daripada Farah yang mengatakan ayah angkatnya kemalangan, dia sentiasa dihurung
perasaan risau. Dia segera mengambil penerbangan ke Kuala Lumpur dari Sabah
pada malam itu juga dan sampai ke KLIA pukul enam pagi tadi bersama sama Haliza
dan Hazim. Setelah menghubungi ketuanya dengan memberitahu ayahnya mengalami
sakit tenat, dia segera menuju ke hospital tempat ayahnya ditempatkan. Mujur
ketuanya baik dan menyuruhnya mengambil cuti selama beberapa hari untuk melawat
ayahnya. Kerja kerjanya di Sabah akan diuruskan oleh ketuanya buat sementara
waktu.
Hafreez sampai di ruangan menunggu wad
kecemasan Hospital Sejahtera itu. Dia melihat Fauziah, Farah, Iman, Hamad,
Norin, dan Hafizah sudah berada di situ. Hanya mereka sahaja yang berada di
ruangan menunggu itu. Mereka duduk dan menunggu dengan pelbagai ragam wajah.
Ada yang berwajah risau, ada yang berwajah mengantuk, ada yang berwajah bosan,
dan ada juga yang berwajah sedih. Hafreez dan Haliza menghampiri mereka.
“Assalamualaikum ibu.” Ucap Hafreez
lalu segera mendapatkan Fauziah. Begitu juga dengan Haliza yang melakukan
perkara yang sama. Fauziah yang agak terkejut dengan kehadiran Hafreez secara
tiba tiba itu lantas menangis di situ juga. Dia memeluk Hafreez dengan erat.
“Macam mana dengan keadaan ayah bu?
Ayah okey je kan?” Soal Hafreez kepada Fauziah setelah dia menenangkan orang
tua itu. Haliza yang sedang mendukung Hazim segera duduk disebelah kanan
Fauziah untuk mendengar khabar berita tentang ayah mertua angkatnya. Hafreez
pula duduk disebelah kiri Fauziah.
“Ayah kau kena operation.
Tangan, kaki, dan rusuk dia patah. Doktor tengah operate dia sekarang.”
Fauziah menjawab.
“Ya Allah...macam mana boleh patah bu?
Ayah accident macam mana? Siapa yang langgar dia?” Hafreez bertanya
lagi.
“Siapa cakap dengan kau yang ayah kau accident?”
Fauziah bertanya kembali dengan nada bingung.
“Kak Farah.” Jawab Hafreez sambil memandang
birasnya yang duduk berhampiran dengan Hamad.
“Ayah kau bukan accident. Abang
Hamad kau yang belasah dia!” Balas Fauziah sambil menghantar jelingan maut
kepada Hamad yang berdiri tidak jauh dari situ.
“Ya Allah...abang Hamad belasah dia?
Bang, kenapa buat macam tu kat ayah?” Hafreez memandang wajah Hamad yang berada
dalam keadaan risau itu.
“Pasal tv dengan budak kecik pun boleh
belasah ayah sendiri sampai setengah nyawa. Dasar anak derhaka!” Tekan Fauziah
dengan penuh kegeraman.
“Oh...ibu fikir saya anak derhaka je
la? Ayah punya salah ibu tak kira pula?” Bidas Hamad.
“Abang Mad, kot ye pun abang Mad marah
sangat dengan ayah, takkan pukul ayah sampai patah riuk macam tu? Abang ni
takde perikemanusiaan ke?” Kata Hafreez.
“Kau takde kat situ kau jangan cakap
banyak. Kalau ayah tak melampau, aku pun takkan buat macam tu la!” Balas Hamad.
“Dah la tu. tak payah nak bergaduh
dekat hospital ni. Memang ayah yang salah pun. Bagus la dia kena macam tu. Selama
ni dia fikir penampar dia je hebat. Penampar orang dia tak fikir lagi.” Kata
Hafizah.
“Sampai hati kau Hafizah cakap macam
tu. Kot ye pun kau tak suka ayah kau tu, tapi kau kena ingat, dia yang besarkan
kau. Dia yang bagi kau makan, duit dia yang cari untuk hantar kau masuk
universiti. Kau tak boleh cakap macam tu kat dia.” Ujar Fauziah.
“Saya tak hadap la semua tu ibu kalau
ibu nak ungkit semua tu. Memang itu tanggungjawab dia, dia kena buat la. Kalau dia
tak nak buat semua tu, jangan kahwin dan jangan ada anak.” Hafizah mencelah.
“Astaghfirullahalazim.” Fauziah
mengucap panjang mendengar kata kata Hafizah. Dia lantas menangis di situ juga
kerana terhiris hati mendengar kata kata tajam yang dilemparkan oleh Hafizah
sebentar tadi.
“Kak long, kak long tak boleh cakap
macam tu. Jangan jadi anak derhaka kak long.” Hafreez cuba menasihati.
“Kau tak payah nak sebut pasal derhaka
derhaka kat sini. Kau tak dibesarkan macam kami dibesarkan jadi kau tak layak
nak sebut pasal derhaka.” Norin menyampuk.
“Okay! Fine! Kak long, Kak
Ngah, dan Abang Hamad dengar sini baik baik. Mulai hari ni saya yang akan jaga
ibu dan ayah sampai bila bila. Ibu dan ayah takkan jejakkan lagi kaki kat rumah
korang dan takkan jumpa korang lagi. Tapi ingat, kalau ada sesuatu yang terjadi
kat korang, jangan korang cari ibu dan ayah lagi. Saya takkan benarkan lagi
korang jumpa lagi dengan ibu dan ayah. Faham?!” Hafreez memberi amaran keras
kepada adik beradik angkatnya.
“Baguslah kalau macam tu. Aku pun
malas nak jumpa dengan orang tua jijik ni. Menyusahkan!” Kata Norin sambil
menjeling dan terus berjalan meninggalkan ruangan menunggu itu.
“Aku pun sama! Farah, Aiman, jom kita
balik.” Kata Hamad sambil menarik tangan isteri dan anaknya untuk meninggalkan
hospital tersebut. Hanya Hafizah yang berada di situ bersama Haliza, Hazim, dan
Hafreez. Hafreez memandang Hafizah dengan tajam.
“Kak long, kak long tak nak ikut diaorang
sekali?” Sindir Hafreez. Hafizah hanya tersenyum sinis mendengar sindiran
Hafreez itu.
“Memang aku nak ikut pun tapi sebelum
tu aku nak cakap sikit dengan kau. Kau tak membesar macam mana aku dengan Norin
dan Hamad membesar. Layanan yang kau terima dengan kami terima daripada ibu dan
ayah sangat berbeza. Kau tak berada di tempat kami jadi kau tak tahu apa yang
kami rasa. Aku harap kau tak angkuh sangat walaupun kau ni kononnya seorang
anak angkat yang baik dan soleh.” Ujar Hafizah. Kemudian dia turut meninggalkan
hospital tersebut dengan rasa hati yang penuh kepuasan. Dia puas kerana baginya
Razali telah menerima pembalasan kerana telah ‘mendera’ dirinya sejak sekian
lama.
Hafreez yang berada di sisi Fauziah
pada waktu itu cuba menenangkan ibunya yang dilanda kesedihan dan kerisauan
itu. Dia mengurut perlahan tubuh ibunya tanda menenangkan wanita tua itu.
“Sabarlah bu. Saya yakin yang diaorang
akan terima balasan dari Allah di atas perbuatan mereka. Orang yang derhaka
kepada ibu bapa ni bu takkan selamat dunia dan akhirat.” Hafreez memujuk.
Fauziah hanya diam sahaja. Tiada kata yang keluar dari mulutnya waktu itu.
Dia tahu, semua yang berlaku ini bukan
salah anak anaknya seratus peratus. Ada juga diantara apa yang terjadi ini
adalah disebabkan oleh dirinya dan suaminya. Tetapi kerana keegoannya tidak
mahu mengaku kesilapan diri sendiri, anak anak bertambah benci kepadanya. Tiada
apa yang mampu dilakukannya saat itu selain daripada berdoa kepada Allah supaya
mengampunkan segala dosa anak anaknya dan menjauhkan mereka daripada segala
malapetaka.
“Siapa ahli keluarga kepada Haji
Razali bin Rahim?” Fauziah dan Hafreez tersentak apabila ada seorang doktor
lelaki yang keluar dari sebuah bilik menyebut nama ayah mereka dengan kuat.
Lantas Fauziah dan Hafreez berdiri dan bergerak ke arah doktor tersebut. Hanya
Haliza yang masih duduk di kerusi sambil memangku Hazim yang sedang tidur.
Mungkin kerana penat setelah melalui perjalanan yang agak lama tadi iaitu dari
Sabah ke Kuala Lumpur.
“Kami doktor? Macam mana dengan ayah
saya doktor?” Hafreez bertanya kepada doktor lelaki tersebut.
“Ayah encik dah okay setelah menjalani
pembedahan cuma sekarang dia perlu banyak berehat. Tulang rusuk, tangan kanan,
dan kaki kiri dia patah. Saya nasihatkan
supaya encik dapat pastikan dia tak banyak bergerak sebab dia dah tua. Kalau
dia terlalu banyak bergerak, susah untuk dia cepat sembuh.” Doktor tersebut
menjawab.
“Baiklah doktor. Saya akan ingat pesan
doktor tu. Mmm...bila ayah saya boleh keluar doktor?”
“Lagi tiga empat hari dia boleh
keluar. Okaylah, saya ada hal ni. Kalau ada apa apa, boleh tanya pada nurse
ye.”
“Okay. Terima kasih doktor.” Ucap
Hafreez sambil tersenyum. Dia kemudian bersalaman dengan doktor lelaki
tersebut.
“Sama sama.” Balas doktor tersebut.
Kemudian dia berjalan menuju ke sebuah bilik meninggalkan Fauziah dan Hafreez
di situ. Hafreez dan Fauziah benar benar bersyukur kerana Razali selamat.
Mereka kemudiannya kembali ke tempat duduk Haliza.
“Apa kata doktor bang?” Soal Haliza.
“Doktor cakap ayah okay. Lagi tiga
empat hari ayah dah boleh keluar wad.” Hafreez menjawab dengan penuh rasa lega.
“Alhamdulillah. Lega saya dengar ayah
dah okay.” Balas Haliza sambil tersenyum.
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.