Sabtu, 30 Julai 2016

ALLAH PUN TUHAN YANG LEMAH!


Ketika saya minum bersama teman teman di sebuah kedai mamak di Kuala Lumpur, kami berbahas sedikit soal politik dan agama. Kami berbahas soal agama itu kerana kami adalah pengikut gerakan usrah suatu ketika dahulu. Pada ketika kami rancak berbincang soal agama itu, seorang teman bertanya kepada kami semua : bolehkah Allah cipta batu yang tidak boleh diangkat-Nya sendiri? Dan bolehkah Allah mencipta manusia yang mampu untuk menentang diri-Nya? Jika Allah tak boleh cipta benda benda begitu, maka Allah pun Tuhan yang lemah juga sama seperti tuhan tuhan yang lain!
Terkejut kami semua mendengar kata kata teman itu. Segera kami minta dia beristighfar dan bertaubat kerana mengucap perkara semacam itu. Kami katakan padanya, boleh terbatal akidahnya jika dia ucap seperti itu. Dan dia terus berhujah seperti tadi dengan penuh yakin dan rasa benar. Jika kami tidak punya asas agama, sudah tentu kami boleh terpesong akidah mendengar hujah hujahnya. Kami membalas hujahnya untuk menyedarkannya Allah bukanlah tuhan yang lemah. Tetapi dia tidak mahu terima. Dia tetap berpegang teguh dengan apa yang dia percaya itu.

Ketika seorang teman menghantar saya pulang ke rumah, kami berbahas lagi soal itu. Apabila diteliti, apa yang diucapkan oleh teman kami tadi itu, adalah pemikiran orang orang atheist – orang yang tidak percaya kepada tuhan dan agama.

Kami sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh terima pengaruh atheist itu. Meskipun dia tidak ikut usrah seperti kami, tetapi kami yakin dia pernah belajar agama. Namun, entah siapa yang merasuknya, fikirannya boleh menjadi seperti itu.
Kepada anda yang membaca artikel ini, sedarlah dalam masyarakat kita ini bukan sahaja ada liberal dan sekular, tetapi atheist pun ada juga.
Tujuan saya menulis artikel ini bukanlah saya mahu mengemukakan hujah saya berkenaan ‘kelemahan’ Allah itu. Pada saya, anda yang membaca artikel ini sudah pasti ada hujah tersendiri untuk membuat penafian bahawa Allah itu bukan Tuhan yang lemah. Dan saya yakin anda pun tidak mahu baca hujah hujah saya. Saya menulis artikel ini hanya untuk memberi kesedaran kepada anda, bahawa golongan atheist, sekular, dan liberal ini memang banyak dalam masyarakat kita dan mereka menular seluasnya. Anda perlu ambil cakna akan hal ini supaya anda juga tidak terjerumus menjadi seperti mereka atau ada anak (ahli keluarga) anda yang berfahaman macam mereka.
Golongan sesat dan songsang ini akan sentiasa melebarkan fahaman mereka kepada masyarakat semua. Bagi yang punya asas akidah yang kukuh, mereka boleh tidak percaya tetapi bagaimana pula kepada mereka yang longgar asas akidahnya? Jika mereka tidak hati hati, fahaman songsang semacam ini boleh juga berlaku kepada mereka.
Awasilah diri dan keluarga anda apabila berhadapan dengan golongan semacam ini. Jika pengetahuan agama anda tidak seberapa, jangan sesekali berhujah dengan mereka kelak anda akan tertewas jua. Cukup sahaja anda jauhkan diri anda daripada mereka dan belajarlah agama sebanyak banyaknya. Insha Allah…anda pasti boleh terhindar dari tipu daya dunia.       
Oleh : Hijaz Amir – wartawan

1 ulasan:

  1. Sedar tak sedar persekitaran dan orang sekeliling boleh mempengaruhi kita...

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.