Sumber : Google |
Puisi
merupakan karya seni yang mempunyai kedudukan paling tinggi dalam bidang
sastera bagi ramai penulis di dunia. Meskipun bentuknya pendek dan ringkas
sahaja, tetapi hendak menulisnya tidak semudah yang ramai orang sangka. Menulis
sebuah puisi bukan sahaja perlu mahir menggunakan bahasa (seperti rima,
inversi, metafora, simile, anafora, dan epifora), tetapi banyak lagi perkara
lain perlu dititikberatkan di dalamnya.
Memandangkan
puisi itu berada di kedudukan tertinggi dalam dunia kesusasteraan, maka puisi
itu ramai orang takutkan. Ini kerana bagi kebanyakkan orang maksud sesebuah puisi
itu sukar untuk difahami. Oleh yang demikian, genre puisi adalah genre sastera
yang paling kurang diminati. Sebab
itulah sesiapa yang hendak menerbitkan sesebuah buku puisi, orang itu perlu
bersedia untuk rugi.
Puisi
terbahagi kepada dua jenis iaitu puisi tradisional dan puisi moden. Puisi
tradisional terbahagi kepada empat bentuk iaitu pantun, syair, gurindam, dan
seloka. Manakala puisi moden adalah yang kita kenal pada hari ini sebagai sajak
sahaja.
Puisi
tradisional seperti pantun misalnya, ia terikat dengan beberapa ciri utama.
Pantun mesti mempunyai empat baris serangkap ; dua baris pertama dikenali
sebagai pembayang (atau sampiran) dan dua baris terakhir dikenali sebagai
maksud.
Puisi
moden yang kita kenali sebagai sajak pada hari ini, tidak terikat dengan
ciri-ciri seperti puisi tradisional sama sekali. Menulis sesebuah sajak boleh
dilakukan sebebasnya mengikut kehendak seseorang penulis itu sendiri.
Dalam
esei ini, saya cuma membicarakan tentang puisi moden yakni puisi yang berbentuk
‘sajak’ sahaja. Puisi tradisional seperti pantun, gurindam, seloka, dan syair
akan saya tulis pada lain masa.
Menurut
Prof Muhammad Haji Salleh (seorang tokoh akademik dan Sasterawan Negara) dalam
bukunya Pengalaman Puisi, sajak adalah karya seni yang bernilai rendah manakala
puisi adalah karya seni yang bernilai tinggi. Atas pandangan inilah saya
membezakan apa itu sajak dan apa itu puisi dalam artikel sebelum ini. Dalam
artikel sebelum ini, antara lain saya menulis :
“Sajak
dan puisi itu sebenarnya tidak jauh beza. Tetapi puisi lebih sukar difahami dan
diteka maksudnya. Namun, kedua-duanya mempunyai bentuk yang sama. Dan
kedua-duanya amat mementingkan keindahan dan kecekapan berbahasa.”
“Puisi
perlu disampaikan secara tersirat dan maksudnya sukar difahami. Jika maksudnya
mudah difahami, ia tidak menjadi puisi lagi. Ia sekadar menjadi sajak sahaja.
Namun, jika puisi terlalu kabur maksudnya, seperti puisi-puisi A.S Amin dan
Noor S.I misalnya, ia adalah sesuatu yang tidak bagus juga.”
Antara
(ulang : antara) perkara yang paling ‘diharamkan’ dalam penulisan sesebuah
puisi adalah puisi itu berbentuk prosaik yakni puisi-puisi yang jelas
maksudnya. Sebab itu saya beranggapan bahawa puisi yang berbentuk prosaik itu
hanya layak dipanggil sajak sahaja.
Penulis
Suhaimi Haji Muhammad (Allahyarham) pernah menimbulkan kemarahan sesetengah
penulis dalam dekad 80an apabila menyatakan bahawa sajak-sajak yang mudah
difahami itu sebagai ‘sajak tahi’! Namun, bagi penulis Zahari Hasib
(Allahyarham), puisi adalah curahan nurani kehidupan seorang penyair dan kerja
penulisan adalah milik peribadi kerana setiap penulis berhak untuk bersuara
dengan caranya sendiri.
Menulis
sesebuah puisi bukan sahaja perlu menitikberatkan kekaburan makna. Pemikiran,
tujuan, perasaan, kehidupan, kebijaksanaan, keindahan, gaya bahasa, dan nilai amat
dipentingkan juga. Selain itu, perkara lain yang dititikberatkan adalah tema,
persoalan, bentuk, nada dan tanda baca.
Bagi
yang tidak gemar membaca teks-teks puisi, eloklah puisi yang indah itu
didengari. Menonton persembahan membaca puisi yang dilakukan oleh penyair tertentu
adalah salah satu cara untuk kita menikmati keindahan dan mesej yang hendak
disampaikan dalam sesebuah puisi. Di Malaysia, kita ada ramai penyair yang
boleh membaca (atau mendeklamasikan) puisi-puisi ciptaan mereka.
Datuk
Rahman Shaari (bekas pensyarah Universiti Malaysia) adalah pendeklamator puisi
yang cukup prolifik di Malaysia. Sajaknya yang berjudul Pak Kaduk Ahli Strategi
adalah antara sajak yang saya suka. Perhatikan bait-bait sajak Pak Kaduk Ahli
Strategi di bawah :
“Telah
tahu aku kini / Mengapa begitu jadi / Pak Kaduk dengan ayamnya / Ayam Perkasa /
Ingin menentang ayam istana.”
Sajak
ini jika dibaca begitu sahaja, kita tidak akan menikmati keindahannya. Tetapi
seandainya Datuk Rahman Shaari mendeklamasikan sajak ini, keindahan dan
mesejnya barangkali boleh kita nikmati.
Abdul
Ghaffar Ibrahim (AGI) – seorang pelukis dan bekas pensyarah UiTM – telah
memperkenalkan penulisan puisi 3V kepada dunia sastera Malaysia. Puisi 3V itu
singkatan kepada verbal, vokal, dan visual sebenarnya. Verbal adalah isi sajak,
vokal ialah bunyi sajak, visual adalah teknik sajak. Antara sajak AGI yang
dideklamasikan secara 3V adalah sajak Duka. Perhatikan bait-bait sajak Duka di
bawah :
“Duka
ada di ilmu / Duka ada di ragu / Duka ada di jemu / Duka ada di temu / Duka ada
di suka / Duka ada di muda / Duka ada di tua / Duka ada di mata / Duka ada di
hidup / Duka ada di duda / Duka ada di janda.”
Sajak-sajak
yang dideklamasikan oleh AGI biasanya dalam bentuk nyanyian – kalau itulah
istilah paling tepat yang boleh saya gunakan. Saya kira teknik mendeklamasi
sajak begini adalah suatu pembaharuan. Saya angkat topi kepada AGI kerana
berani menghasilkan teknik mendeklamasikan sajak yang cukup berbeza. Meskipun
tidak ramai penyair yang boleh terima, tetapi ia sudah menjadi khazanah sastera
yang cukup berharga.
Khalid
Salleh – seorang seniman dan penggiat teater tersohor Malaysia – juga terkenal
dengan puisi-puisi yang sering dideklamasikannya. Puisi Kalau Aku Menjadi PM
ciptaannya sangat mengagumkan diri saya. Bait-bait puisi itu tertulis begini :
“Kalau
aku menjadi PM / Kesemua nama jalan yang ada di Putrajaya ketika ini / Akan ku
sembunyikan di luar pagar bangunan Parlimen / Setidak-tidaknya menjadi tontonan
kepada semua ahli Parlimen / Bahawa bahasa Melayu adalah bahasa nasional atau
bahasa kebangsaan / Yang ditetapkan oleh Perlembagaan Malaysia Artikel 152 (1)”
Puisi
yang ditulis oleh Khalid Salleh ini tidak sama cara bacanya seperti puisi-puisi
yang A. Samad Said cipta. Cara bacanya cukup berbeza. Yang dipentingkan dalam
puisi Khalid Salleh adalah mesej bukan bunyi. Sebab itulah puisi beliau tidak sesuai
dibaca dengan hanya menatap teks sebaliknya sesuai dibaca secara deklamasi.
Yang dipentingkan dalam persembahan Khalid Salleh adalah cara penyampaian puisi
supaya puisinya yang kabur itu khalayak boleh fahami.
Saya
mengharapkan agar esei tentang puisi ini dapat memecahkan kekeliruan dalam diri
pembaca. Dan saya mengharapkan agar pembaca mendapat sedikit sebanyak maklumat
daripadanya. Saya tidak mampu menghasilkan sebuah puisi yang terlalu kabur
maksudnya sampai ke mati. Yang mampu saya buat adalah bercerita tentang puisi
yang amat saya minati. Ini sahajalah sumbangan saya untuk khazanah
kesusasteraan bangsa dan negara saya ini.
Terima kasih atas penjelasannya, jika tuan mempunyai karya, silalah singgah di blog saya ya. Terima kasih.
BalasPadam