Jumaat, 8 September 2017

DEKLAMASI PUISI DAN SEKSI OVARI


Image result for seksi ovari
Sumber : Google


Apabila Fazleena Hishamuddin menulis buku puisi Seksi Ovari, bermacam pendapat yang datang kepadanya dengan begitu banyak sekali. Ada pembaca yang memuji dan tidak kurang juga ada yang mengeji. 

Saya tidak mahu membicarakan secara panjang lebar mengenai buku itu. Apa yang hendak saya bicarakan adalah perbahasan yang membelengu buku itu. Saya fikir buku itu mengundang perbahasan kerana judulnya yang agak berani. Pembaca yang berfikiran sempit pasti akan membuat tafsiran pelbagai tanpa dahulu memahami. 

Saya fikir orang yang mengecam Fazleena itu kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan. Ini kerana ovari dan vagina itu tidak dapat mereka bezakan. Seandainya ovari dan vagina itu mereka tahu beza, pasti kemarahan itu tidak akan timbul dengan sebanyaknya. 

Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, ovari ialah organ pembiakan yang mengeluarkan ovum (pada orang perempuan atau pada binatang betina) dan organ pembiakan pada tumbuh-tumbuhan (yang di dalamnya terdapat ovul). Vagina pula ialah saluran peranakan pada organ pembiakan haiwan betina atau faraj.  

Apa yang saya hendak bicarakan dalam artikel ini adalah matlamat Fazleena melalui penulisan buku itu. Puisi yang selama ini dianggap bosan, melankolik, mendalam, ‘gelap’, dan mengantuk cuba diubah oleh Fazleena menjadi sesuatu yang segar dan baru. Fazleena melalui buku itu cuba menulis puisi yang mudah difahami. Namun keindahannya masih dikekalkan lagi. 

Sesetengah orang bukan sahaja tidak suka membaca teks-teks puisi, malah turut ‘getik’ untuk menghadirkan diri ke majlis-majlis membaca puisi. Ini kerana cara membaca puisi sering kali membosankan. Fazleena cuba mengubah keadaan ini dengan menjadikan cara membaca puisi itu sesuatu menarik dan menyeronokkan. Maka, tidak akan ada orang yang menguap ketika puisi sedang dibaca. Orang pun akan mudah faham dan terhibur juga. Secara perlahan-lahan puisi itu akan ramai orang suka. Itulah misi dan perjuangan Fazleena yang saya anggap mulia.

Selama ini ramai orang suka menulis puisi mendalam dan berat. Bagi mereka puisi puisi sebegitu bagus dan hebat. Tetapi sebenarnya menulis puisi-puisi sebegitu menjadikan masyarakat semakin jauh dengan puisi. Lalu puisi menjadi genre sastera yang paling tidak disukai. 

Bagi yang pertama kali membaca buku Seksi Ovari, mungkin mereka akan mula tertarik dengan puisi. Ini kerana puisi dalam buku tersebut bukanlah sesuatu yang sukar difahami. Maka akan ramai orang akan mula membaca buku-buku puisi. Dan akan ramai juga orang akan hadir ke majlis-majlis membaca puisi.  

Fazleena menulis puisi-puisi yang terdapat dalam buku Seksi Ovari itu adalah untuk dibaca di atas pentas sebenarnya. Puisi-puisi dalam buku itu adalah puisi-puisi yang mempunyai rima di hujungnya (seperti yang biasa saya lakukan). Fazleena cuba mengekalkan bentuk pantun dan syair lewat puisi-puisinya. Ini dilakukan supaya dapat menimbulkan rasa sedap dan seronok ketika puisi-puisi tersebut sedang dibaca.

Dengan tajuknya yang boleh mengundang kontroversi, dan puisi-puisi yang terdapat di dalam buku itu prosaik sifatnya serba-serbi, pasti sesetengah orang akan menganggap buku itu bukan sebuah buku puisi. Bagi menentukan sesuatu puisi itu bukan puisi tidaklah mudah sebenarnya. Pemikiran setiap orang yang lahir ke dunia adalah tidak sama. Tanggapan terhadap sesebuah puisi itu boleh sahaja berbeza-beza.   

Sebagai orang yang bergiat cergas dalam dunia teater seperti seniman Khalid Salleh misalnya, Fazleena menulis puisi adalah untuk dibaca (di atas pentas). Puisi-puisi di tangan Fazleena tidak hanya terperap di atas kertas sahaja. Fazleena cuba menyampaikan sesuatu mesej yang bernilai melalui puisi-puisinya.

Tidak ramai orang yang berfikiran seperti Fazleena dalam dunia sastera Melayu. Fazleena cuba menggambarkan puisi dengan cara yang segar dan baru. Meskipun buku Seksi Ovari itu diterbitkan secara ‘indie’, namun usaha itu harus dipuji. Harap dengan terbitnya buku puisi Seksi Ovari ini akan lebih ramai lagi orang akan suka dengan puisi. Puisi janganlah dianggap sebagai suatu perkara yang membosankan lagi.   
  

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.