Isnin, 3 April 2017

FUNGSI SEBENAR FILEM YANG PERLU KITA TAHU



Image result for FILEM
Sumber : Google


Saya yakin dan percaya ramai orang di dunia ini suka menonton filem. Filem bukan sahaja sebagai wadah untuk mendapatkan hiburan, malah sebagai wadah untuk menyampaikan hasil seni, propaganda, kritikan, dan pemikiran. Filem juga merupakan salah satu daripada cabang cabang yang ada dalam media massa selain daripada akhbar, radio, majalah, dan televisyen. 


Walaupun filem (kadang kala) dianggap sebagai sebuah medan hiburan semata-mata, tetapi filem juga tetap ada pengaruhnya. Oleh sebab itulah mengapa filem sentiasa dikaji dan diberi perhatian. Setiap filem yang dihasilkan oleh seseorang pengarah pasti mempunyai sesuatu pengisian dan tujuan. Cuma pengisian dan tujuan itu perlu diselidik sama ada ia baik ataupun bukan.


Bekas pemerintah tertinggi Korea Utara – mendiang Kim Jong Il (bapa Kim Jong Un) misalnya, gemar menghasilkan filem filem propaganda untuk menunjukkan ‘kehebatan’ dan ‘keindahan’ ideologi komunis di Korea Utara. Melalui filem juga, mendiang mahu menunjukkan kekuatan tentera dan kemakmuran negara yang dimiliki oleh Korea Utara ke seluruh pelusuk dunia.  Filem Pulgasari misalnya, adalah antara filem propaganda yang dihasilkan oleh mendiang untuk menunjukkan keburukan kapitalisme yang amat dibenci oleh pemerintah Korea Utara.  


Bukan hanya mendiang Kim Jong Il sahaja, pengarah pengarah di Amerika Syarikat juga tidak kurang menghasilkan filem filem propaganda untuk ditonton oleh penduduk dunia. Selain untuk menunjukkan kehebatan yang ada di negara mereka, filem juga digunakan untuk menanam rasa benci penduduk dunia terhadap musuh musuh mereka seperti Rusia, Iran, Korea Utara, Vietnam dan sebagainya. Filem Rambo : First Blood II (lakonan Sylvester Stallone) misalnya, adalah contoh filem propaganda yang dihasilkan oleh pengarah Amerika. 


Bagi yang cekap membaca ‘kilat dan kilau’ sesebuah filem itu dihasilkan, pastilah tidak mudah untuk dipedayakan. Kita boleh tahu apakah tujuan sebenar sesebuah filem itu digarap. Sama ada untuk tujuan hiburan, atau ada niat lain yang disembunyikan, semuanya terpulang kepada kita bagaimana untuk mentafsir sesuatu metafora yang wujud di dalam sesebuah filem yang dihasilkan. 


Filem bukan sahaja diguna untuk tujuan hiburan dan propaganda semata-mata, malah untuk menyampaikan pemikiran dan kritikan juga. Malaysia adalah antara negara yang berani menghasilkan filem filem yang bersifat kritikan. Tetapi filem filem begini tidak banyak dihasilkan. Dan tidak banyak juga pengarah yang sanggup mengarahkannya. Filem Kaki Bakar (arahan U-Wei Haji Shaari) dan filem Kembara Seniman Jalanan (arahan Nasir Jani) misalnya, adalah antara filem yang sarat dengan kritikan sosialnya. Cuma masyarakat sahaja yang mahu atau tidak mahu menonton filem filem sebegini di pawagam yang ada di dalam negara. 


Saya bukanlah penonton filem yang tegar. Tetapi menonton filem adalah antara perkara yang saya gemar. Menonton filem filem yang berkualiti amat bagus sekali. Terutama untuk membentuk pemikiran dan mencambahkan intelektualiti. 


Filem yang bagus bagi saya adalah filem yang terdapat banyak nilai nilai murni. Ini kerana kita boleh mendapatkan banyak pengajaran daripada filem itu sendiri. Sama ada nilai murni itu dipersembahkan secara terang-terangan atau tersembunyi, ia terpulang kepada pengarah yang mempunyai bakat seni. Saya fikir tidak perlulah saya sebut filem mana yang mempunyai banyak nilai murni itu kerana ia begitu banyak sekali. 


Filem yang baik bagi saya juga adalah sarat dengan kritikan (tidak kisahlah kritikan kepada siapa pun) dan mempunyai pemikiran. Filem filem begini bagus untuk ditonton bagi menajamkan fikiran. Filem filem begini akan membuat kita berfikir sentiasa. Menonton filem filem begini tidak boleh dalam suasana hiburan semata-mata, tetapi perlu ditonton dalam suasana intelektual juga. Barulah metafora dan pemikiran di dalam sesebuah filem itu dapat kita lihat dan rasa. Filem Jogho (arahan U-Wei Haji Shaari), Apokalips X (arahan Mamat Khalid) dan Gedebe (arahan Namron) adalah filem yang wajar ditonton oleh masyarakat Malaysia. 


Filem sejarah juga sangat bagus untuk ditonton bagi mengetahui sejarah lampau sesuatu peristiwa seandainya kita ini malas membaca. Meskipun ada kalanya filem filem sejarah ini memaparkan plot dan naratif yang berbeza dari sejarah asalnya, tetapi sedikit sebanyak ia boleh memberi sedikit pengetahuan kepada kita juga. Antara filem sejarah yang saya suka tonton adalah Tanda Putra (arahan Shuhaimi Baba), The Iron Lady (lakonan Meryl Streep), dan The King’s Speech (lakonan Colin Firth). 
 

Filem yang mengandungi elemen lucah, seks, mencarut, mempromosikan LGBT, dan sebagainya adalah antara filem yang wajar dihindari. Ini kerana, filem filem sebegini boleh merosakkan pemikiran dan hati. Memang tidak dinafikan bahawa filem filem sebegini sering diberi perhatian. Terutama oleh anak anak muda yang hanya mementingkan keseronokkan dan hiburan. 


Pengarah dan penerbit di Malaysia jangan sesekali menghasilkan filem filem sebegitu. Kerana ia bukan sahaja tiada nilai, malah tiada mutu. Memanglah dengan menghasilkan filem filem sebegitu untungnya beratus ribu (mungkin juga berjuta), tetapi ia akan membuatkan masyarakat menjadi keliru dan terus haru biru. 


Kita juga perlu sekat filem filem daripada luar yang kotor ini daripada terus ‘bermaharajalela’ di negara kita. Kita tidak boleh membiarkan filem filem sebegini (seperti filem Beauty and The Beast misalnya) daripada merosakkan pemikiran anak bangsa kita. Cukup cukuplah anak bangsa kita terus dirosakkan dengan pemikiran yang entah apa apa. Janganlah dirosakkan lagi mereka dengan filem pula!  


Siapa kata filem tidak boleh merosakkan fikiran seseorang manusia? Jika dahulu berbikini, mencarut, dan seks bebas adalah perkara yang sangat tabu dalam kalangan masyarakat Amerika. Namun, akibat pengaruh daripada filem, perkara itu tidak lagi dianggap tabu atau salah di Amerika.   


Filem adalah sesuatu yang menyeronokkan kerana ia bersifat hiburan. Selain menghiburkan, ia juga boleh menajamkan fikiran. Tetapi tidak mustahil juga pada masa yang sama filem boleh merosakkan fikiran kita semua. Maka berhati-hatilah dengan filem yang hendak kita tonton di pawagam yang ada di dalam negara. Kerana bukan semuanya sesuai ditonton oleh masyarakat Malaysia.

  

 


0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.