Sumber : Google |
Bapa saya pernah berkata : orang
Melayu (sudah semestinya Islam) zaman sekarang sudah semakin hilang adab.
Sangat berbeza dengan orang Melayu zaman dahulu yang sentiasa menjaga adab.
Pada mulanya, saya tidaklah faham akan frasa ‘hilang adab’ yang bapa saya
sebutkan itu. Tetapi lama-kelamaan, semakin saya membesar, barulah saya tahu.
Apabila saya melihat masyarakat kita
(baca : Melayu) pada masa kini, sikap ‘hilang adab’ itu tidaklah dapat saya
nafi. Ia memang berlaku kepada masyaraka kita pada ketika ini. Ia berlaku bukan
sahaja kepada rakyat biasa, malah kepada pemimpin tertinggi negara juga.
Tidak boleh kita lupa apabila melihat
gelagat seorang menteri mengeluarkan perkataan lucah kepada seorang ahli
parlimen di Dewan Rakyat tidak lama dahulu. Tidak dapat juga kita tutup mata
melihat perangai ahli ahli parlimen kita yang bukan sahaja terjerit-jerit
ketika berbahas di Dewan Rakyat yang mulia, malah ada juga yang mencarut,
memaki hamun, dan mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya.
Inilah bukti nyata ahli ahli parlimen kita yang sepatutnya bertindak secara
professional telah kehilangan adab sopan mereka.
Jika ahli ahli parlimen yang mewakili
rakyat pun boleh bertindak sebegitu rupa, maka jangan hairan bin terkejut
apabila melihat rakyat jelata juga boleh melakukan perkara yang sama.
Cuba kita renung masyarakat kita pada
hari ini. Banyak adab sopan dan budaya santun yang diamalkan oleh masyarakat
Melayu dahulu sudah hilang hari demi hari. Misalnya, apabila lalu dihadapan
orang tua, berapa ramai orang muda yang membongkokkan sedikit badan mereka?
Berapa ramai orang muda pada hari ini mencium tangan ketika bersalam dengan
orang yang lebih tua daripada mereka? Tepuk dada dan tanya iman kita.
Bangsa Melayu terkenal dengan adab
sopannya sejak lama dahulu. Namun, hari ini segala adab sopan yang diamalkan
dahulu telah hilang ditelan waktu. Orang Melayu dahulu mencipta segala budaya
sopan santun itu pasti ada sebab-sebabnya. Ia sebagai lambang untuk orang muda
menghormati orang tua. Ia juga sebagai proses untuk mendidik anak bangsa supaya
menjaga adab dan sopan santun mereka. Apabila budaya semacam itu sudah tidak
diamalkan lagi, maka lahirlah generasi muda Melayu yang biadap seperti yang
kita lihat pada hari ini.
Sebab itu jangan hairan apabila
membaca berita artis yang beragama Islam berani bercium mulut di khalayak ramai
ketika melangsungkan perkahwinan. Dan sebab itu jangan berasa pelik melihat ada
orang yang sanggup memakir keretanya dalam tempoh masa yang lama di hadapan
pintu pagar rumah kita sehingga menyusahkan kita untuk masuk ke rumah kita
sendiri. Inilah tanda-tanda orang Melayu semakin biadap hari demi hari.
Cuba kita renung mengapa kadar
kemalangan jalan raya semakin meningkat di negara kita? Ia bukan kerana masalah
cuai atau tidak mematuhi undang-undang semata-mata, tetapi kerana masalah adab
dan sopan santun juga. Apabila ada pemandu yang tidak langsung menyantuni
pemandu lain di jalan raya, yang suka memandu mengikut sesedap rasa, maka
terjadilah banyak kemalangan jalan raya seperti yang acapkali dilaporkan dalam
berita.
Saya kira jika semua (ulang : semua)
pemandu tidak cuai, mematuhi undang-undang dan menyantuni pemandu lain di jalan
raya, pasti kemalangan jalan raya tidak berlaku dengan sebanyaknya.
Adab adalah suatu perkara yang sangat
penting dalam masyarakat Melayu. Adab dan sopan santun memang tidak lari dari
kehidupan orang Melayu. Menjaga adab bukan sahaja membuatkan orang lain rasa
dihormati, malah diri dan bangsa kita juga akan disanjung tinggi. Apabila adab-adab
yang diwariskan oleh nenek moyang kita dahulu telah hilang, maka jangan sedih
apabila melihat bangsa Melayu yang gemilang dahulu sudah tidak lagi dipandang.
Dalam berbicara tentang adab ini,
ulama’ terulung Nusantara, Hamka ada bermadah : kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu
seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya.
Orang Melayu ini tidak dapat
dipisahkan dengan agama Islam. Islam yang Rasulullah bawa itu telah
menyenaraikan akhlak-akhlak yang baik sebagai panduan. Menjaga adab dan
bersopan santun adalah tanda tanda kita sebagai orang yang beriman. Maka
peliharalah agama Islam ini dengan menunjukkan diri sebagai orang yang
mempunyai adab dan kesantunan.
Sebagai orang Melayu dan Islam,
jagalah adab kita terutama di hadapan orang. Jangan tunjukkan sikap biadap yang
membuatkan kita dibenci orang. Orang yang beradap dan bersopan santun akan
dipandang tinggi sentiasa. Jika biadap, bukan sahaja orang tidak suka,
dikhuatiri tubuh badan akan turut binasa!
sy setuju dengan entri ni
BalasPadam