Jumaat, 30 September 2016

TAHNIAH KEPADA YDP MPP UiTM TERBARU



 

Sekalung tahniah saya ucapkan kepada Muhamad Aidil Faizin bin Mohd Mazni atau (mungkin) lebih mesra dipanggil Izin kerana bukan sahaja telah memenangi jawatan Majlis Perwakilan Pelajar mewakili Akademi Pengajian Bahasa buat kali kedua malah dilantik pula sebagai Yang Di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara untuk sesi 2016/2017.



Dia menang untuk jawatan MPP itu kerana dia ada pengalaman sebagai MPP sebelum ini. Tambahan pula, sekalian mahasiswa dan mahasiswi di APB itu percaya bahawa dia boleh buat kerja dan jadi pemimpin mereka. Maka, dia dipilih sekali lagi untuk menduduki jawatan MPP bagi mewakili APB untuk sekelian kalinya.



Tidak disangka sama sekali bahawa beliau boleh terpilih sebagai YDP MPP untuk sesi kali ini. Terpilihnya beliau untuk menduduki jawatan itu bukan sahaja satu perkara yang manis buat dirinya, malah buat mahasiswa dan mahasiswi di APB juga. Sekalian warga APB terutama pelajar Bahasa Melayu Komunikasi Professional pasti mahu mengucapkan tahniah di atas pelantikannya.



Saya tidaklah rapat dengannya tetapi saya mengenalinya sementelahan dia adalah senior saya. Sebagai seorang junior yang satu kursus dengannya, tentulah saya bangga akan segala pencapaian dan kedudukan yang diperolehinya pada masa kini.



Duduknya Izin di kerusi YDP MPP itu bukanlah satu kerja yang mudah. Banyak kerja yang menantinya dan sudah pasti kerja itu sangat payah. Tetapi sebagai orang yang sudah bersedia untuk menyandang jawatan, saya yakin dia mampu harunginya dengan mudah. Moga moga Allah memberinya kekuatan untuk membantu ramai pelajar yang punya banyak masalah. Segala harapan siswa dan siswi UiTM terhadap dirinya kini semakin terserlah. Dan diharap dia tidak lupa bahawa dia kini sedang memegang amanah.



Perjuangan utama Izin di kerusi YDP MPP itu adalah menjulang bahasa Melayu ke persada yang lebih tinggi di peringkat universiti. Dia adalah mahasiswa dalam kursus Bahasa Melayu Komunikasi Professional maka itulah perjuangannya yang paling hakiki. Dia perlu memastikan bahawa sekalian mahasiswa dan mahasiswi yang menuntut di UiTM boleh cinta kepada bahasa Melayu. Jika mereka boleh cinta kepada bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, masakan mereka tidak boleh mencintai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda? Itulah yang Izin perlu buat sebagai pelajar bahasa.



Jika sekalian mahasiswa dan mahasiswa di UiTM boleh membuat bermacam program, masakan membuat program yang memartabatkan bahasa Melayu tidak boleh? Dengan adanya Izin di kerusi MPP itu, diharapkan program program yang boleh memartabatkan bahasa Melayu dipergiatkan selagi boleh.



Tidak cukup hanya dengan memartabatkan bahasa ibunda, memartabatkan UiTM sebagai universiti terkemuka dan mengekalkan UiTM sebagai universiti untuk orang Melayu dan Bumiputra sahaja  adalah perjuangan Izin yang sangat mulia. Pastikan UiTM boleh terjulang di peringkat dunia dan tidak diganggu gugat oleh sesiapa.



Sebagai seorang mahasiswa, Izin pasti tahu masalah yang dihadapi oleh ramai mahasiswa. Jika ada mahasiswa yang mengadu dengannya tentang sesuatu masalah, bantulah mereka sampai ke sudah. Janganlah ditinggalkan mereka seperti sampah.



Bukan semua orang berpeluang untuk duduk di kerusi YDP MPP. Izin yang berpeluang untuk duduk di kerusi itu sungguh beruntung sekali. Bintang kerjanya pasti cerah di kemudian hari atas kedudukannya yang diperolehinya kini.



Kebanyakkan yang jadi pemimpin politik pada hari ini seperti Anwar Ibrahim, Ahmad Shabery Cheek, Puad Zarkashi, Takiyuddin Hassan, Husam Musa, Anuar Musa dan lain lain adalah pemimpin mahasiswa suatu ketika dahulu. Dengan duduknya Izin di kerusi YDP itu, Izin mungkin boleh jadi seperti mereka atau mungkin juga boleh jadi lebih baik daripada mereka. Moga moga Allah merahmati perjalanan kerjaya Izin selepas ini tidak kira dalam bidang apa sekalipun asalkan Izin boleh bekerja dan berkhidmat dengan seikhlas hati.     



Tahniah kepada Izin kerana terpilih sebagai YDP MPP. Semoga Izin boleh berkhidmat kepada sekalian mahasiswa dan mahasiswi di universiti ini dengan baik sekali.






0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.