Sumber : Google |
Setiap universiti yang ada dalam
negara pasti akan terlibat dalam kancah pilihanraya. Pilihanraya yang dibuat di
dalam kampus itu disertai oleh mahasiswa dan mahasiswi semua. Pilihanraya yang
dibuat itu tidak lain dan tidak bukan untuk melatih mahasiswa
kita menjadi pemimpin dan ahli politik belaka. Justeru, bolehlah kita
menganggap itu adalah suatu perkembangan sihat yang berlaku terhadap universiti
dan mahasiswa kita.
Walau bagaimanapun, ada juga
mahasiswa kita yang berada dalam dilema. Mereka tidak tahu untuk memilih
mahasiswa atau mahasiswi mana yang layak untuk menjadi pemimpin. Ini kerana,
tiada perang idea yang berlaku dalam universiti kita.
Perang idea di sini bermaksud
perdebatan dan pertembungan idea yang berlaku dalam kalangan mahasiswa yang
bertanding dalam pilihan raya untuk mengukur tahap intelektualiti dan idealisme
mereka. Perang idea sangat penting kerana ia boleh membuktikan mahasiswa mana
yang benar benar layak menjadi pemimpin kepada mahasiswa semua. Bagi menjadi
pemimpin kepada sekumpulan mahasiswa, seseorang itu hendaklah mempunyai ilmu,
fikiran, bakat, dan daya kepimpinan.
Semua elemen itu boleh dilihat jika
perang idea boleh dilakukan. Perang idea boleh dibuat dalam bentuk forum ataupun
acara debat. Soalan soalan yang dikemukakan dalam acara debat atau forum itu
pasti boleh mencabar segala apa yang ada dalam diri seorang mahasiswa yang
hendak menjadi pemimpin itu. Dan dari situlah diri seorang mahasiswa itu teruji
untuk dipilih sebagai seorang pemimpin diperingkat universiti.
Namun begitu, tidak banyak universiti
dan tidak ramai mahasiswa yang bersedia untuk terjun ke dalam kancah perang
idea ini. Mahasiswa yang hendak bertanding itu sekadar membentang slogan dan
mempamerkan manifesto serta menyebarkan kelebihan diri sendiri. Dan mahasiswa
lain yang bertugas sebagai pengundi ini hanya bergantung harap kepada elemen
itu untuk memberi undi kepada mahasiswa yang bertanding tadi tanpa mengetahui
adakah mahasiswa yang bertanding itu layak atau tidak diangkat sebagai pemimpin
universiti.
Bagi menjadikan gagasan perang idea itu
berjaya, pihak universiti dan pihak mahasiswa yang hendak bertanding tadi
perlulah berlapang dada untuk mengadakannya. Segala soalan yang akan
dilontarkan dalam wacana perang idea itu hendaklah dijawab dengan hati terbuka
oleh mahasiswa yang hendak bertanding tadi.
Ya, mungkin soalan yang akan
dikemukakan dalam wacana perang idea itu akan melibatkan isu isu yang sensitif
seperti politik dan kaum misalnya, namun terpulanglah bagaimana kepada
mahasiswa yang hendak bertanding itu menjawab soalan yang sensitif itu agar
tidak dilihat sensitif dan boleh diterima oleh semua. Jika menjawab soalan
sensitif pun payah, bagaimana pula hendak memimpin ramai mahasiswa yang banyak
kerenah?
Jika mahasiswa yang bertanding itu
tidak terlibat dalam kancah perang idea, maka lesulah fikrah mahasiswa kita.
Maka, mahasiswa yang bertanding itu hanya menjadi pemimpin kuda kayu apabila
mereka keluar daripada universiti nanti. Fikiran, idealisme, dan intelektualiti
mereka tidak teruji walaupun mereka menjadi pemimpin mahasiswa di peringkat
universiti.
Perang idea mungkin dilihat suatu
yang dangkal dalam diri seseorang mahasiswa atau universiti tetapi apa yang
pasti, ia boleh mencabar minda, fikiran, dan intelektualiti. Jika perang idea
ini tidak terjadi, maka mahasiswa kita yang bakal jadi pemimpin ini tidak akan
tahan uji di kemudian hari. Maka, jadilah mereka seperti mana pemimpin pemimpin
politik pada hari ini.
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.