Sabtu, 21 November 2015

BERTEMU AIMAN BANNA DI MASJID TUANKU MIZAN

Sumber : Google

Aiman Banna – kalau nama ini disebut sudah pasti belia belia Melayu Islam kenal dengan lelaki ini. Seorang pendakwah muda yang comel, berkarisma, berani dan berwawasan. Memang Aiman Banna – setahu saya – tidak pernah masuk ke dalam mana mana program televisyen namun remaja yang berusia 19 tahun ini sangat terkenal di dunia Twitter dan mungkin juga di dunia blog (jika saya tidak silap).

Baru baru ini, persatuan PEMBINA UiTM Shah Alam menganjurkan sebuah forum berkenaan dengan remaja Islam (saya lupa nama tajuk forum dalam Bahasa Inggeris itu) di mana Aiman Banna menjadi salah seorang daripada panelisnya. Seorang lagi panel adalah Ustaz Abdul Rahman – juga seorang pendakwah yang popular – tetapi saya tidak mengenalinya. Saya pada awalnya sekadar suka suka sahaja datang ke majlis ilmu itu. Tidak sangka pula dapat bertemu dengan Aiman Banna di sana.

Saya mengenali Aiman Banna melalui Twitter. Pada awalnya saya tidak kenal siapakah pemilik akaun Twitter yang mempunyai ribuan malah ratusan ribu pengikut (followers) itu, tetapi saya tahu dia acapkali menulis berkenaan dengan dakwah melalui tweet tweetnya. Kemudian saya mendapat tahu dia menulis buku dakwah yang berjudul Henshin (saya tidak sempat membeli buku ini) yang merupakan sebuah buku yang agak laris di pasaran. Mungkin berada di tempat ketiga sebagai buku paling laris di kedai buku MPH (jika saya tidak silap).


Melalui tweet tweetnya, Aiman banyak mengadakan ceramah di beberapa buah sekolah dan institut pengajian tinggi. Setakat pada malam dia hadir ke UiTM Shah Alam itu, sudah 108 buah tempat yang telah dia hadiri di mana dia dijemput untuk menyampaikan ceramah tersebut. Ternyata bukan calang calang manusia bernama Aiman Banna ini.

Saya pernah membayangkan yang Aiman mungkin akan singgah ke UiTM Shah Alam suatu hari nanti untuk menyampaikan ceramah namun tidak sangka pula apa yang saya bayangkan itu menjadi kenyataan dengan secepat itu. Bukan kerana saya terlalu fanatik kepada beliau, cuma ingin tahu juga apakah kelebihan anak muda ini sehingga ramai orang mengaguminya.  

Ternyata orang yang mengagumi anak muda ini punya sebab yang tersendiri. Beliau memang remaja yang luar biasa. Baru berusia 19 tahun tetapi sudah mampu untuk berkahwin (akan menjadi bapa tahun hadapan), memimpin beberapa buah syarikat, menjadi seorang pendakwah seterusnya bergelar seorang pelajar dalam bidang syariah. Empat perkara yang berjalan secara serentak inilah yang membezakan Aiman dengan remaja remaja dan pendakwah pendakwah (termasuk motivator) yang lain.  

‘Berguru’ dengan Aiman sedikit sebanyak memberi satu pengalaman manis dalam diri saya. Kunci kejayaan Aiman adalah jangan pandang rendah pada diri sendiri dan jauhkan diri daripada dosa. Namun itulah yang selalu dilakukan oleh kita semua menyebabkan Allah terpaksa menangguh kejayaan kita. Sedikit sebanyak, Aiman telah membentuk satu aliran pemikiran baru dan menyuntik motivasi dalam diri saya.

Walaupun ada sahabat saya tidak menyukai Aiman kerana ada beberapa pendekatan dakwah yang Aiman gunakan tidak cocok pada padangan sahabat saya itu, namun pada saya, itu adalah lumrah. Setiap manusia pasti ada kelemahan di sana sini. Ulamak pun boleh melakukan dosa bagaimana pula kita sebagai manusia biasa.  Pada saya, walaupun Aiman itu hebat dan luar biasa, namun hakikatnya dia tetap manusia biasa yang sudah pasti tidak akan terlepas dari melakukan kesalahan dan dosa.

Kita tidak boleh sesekali menghukum seseorang hanya berdasarkan luarannya sahaja. Kenali dahulu orang tersebut kemudian barulah kita boleh membuat penilaian yang berhemah ke atas dirinya. Mungkin Aiman mempunyai alasan tersendiri mengapa beliau mengambil pendekatan dakwah sebegitu. Pada saya, hadir dahulu ke sesi ceramah Aiman, kemudian barulah kita boleh menilai apakah pendekatan dakwah yang anak muda ini gunakan sesuai ataupun tidak. 

Sebenarnya negara ini kekurangan anak muda yang berwawasan dan berinovasi seperti Aiman. Di negara negara Barat, anak anak muda yang mencipta kejayaan yang luar biasa seperti Mark Zuckerberg bukanlah sesuatu perkara yang ganjil. Namun, di sini, kita kekurangan orang orang seperti itu. Mungkin Aiman adalah pencetus kepada kebangkitan anak muda yang boleh mencapai kejayaan luar biasa pada masa akan datang.

Pada saya Aiman boleh pergi jauh sebagai seorang pendakwah dan motivator kejayaan. Cuma ke mana Aiman mahu membawa dirinya saya tidak pasti. Cukuplah saya katakan yang Aiman mempunyai masa depan yang cerah sebagai da’i moden dalam kalangan anak muda. Sebagai seorang pemerhati sosial, saya akan terus memerhatikan Aiman untuk melihat lebih banyak kejayaan yang bakal dikecapi oleh anak muda ini. diharapkan agar pendekatan dakwah Aiman yang dianggap ‘songsang’ oleh sesetengah orang itu boleh diambil cakna oleh Aiman.  



5 ulasan:

  1. Untungnya MNH ketemu Aiman Banna..;)

    BalasPadam
  2. dah lama xsinggah sini...pekabo haziq?? hihi

    BalasPadam
  3. dah lama xsinggah sini...pekabo haziq?? hihi

    BalasPadam
  4. Kak Deanna. Khabar baik kak. Sihat. Sibuk sikit dengan belajar. Maaflah tak sempat nak.singgah blog akak. Cuti semester nanti saya blogwalking puas puas blog akak.

    BalasPadam
  5. haziq..xpe...utamakan yg ptg dulu....dont worry hehehhe

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.