Jumaat, 11 Disember 2015

KITA PUN AKAN MENYUSUL MEREKA

Sumber : Google

Beberapa minggu kebelakangan ini kita dikejutkan dengan pemergian tiga insan yang mempunyai nama besar di Malaysia iaitu pelakon veteran - seniwati Mariani, pelawak terkemuka - Yus Jambu, dan Tunku Laksamana Johor - Tunku Jalil ibni Sultan Ibrahim. Pemergian mereka yang secara tiba tiba itu mengundang rasa terkejut di hati peminat dan rakyat Malaysia.

Tiga tokoh yang mempunyai nama besar ini mempunyai peranan dan tanggungjawab mereka yang tersendiri sehingga kehilangan mereka ditangisi oleh segenap lapisan masyarakat. Bukan ahli keluarga mereka sahaja yang sedih, masyarakat yang tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengan mereka juga turut sama menumpang sedih. Ini membuktikan, kehadiran mereka di dalam masyarakat itu mempunyai kesan yang sangat besar.

Sebagai seorang manusia yang mempunyai rasa simpati, saya turut berasa sedih atas kehilangan mereka bertiga. Saya hanya mampu menitipkan doa kepada Ilahi semoga roh mereka bertiga dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang orang beriman.


Menyaksikan wajah wajah mereka yang sudah pun meninggalkan kita di dunia yang fana’ ini, saya mula terfikir, suatu hari nanti kita yang turut berasa sedih ini pun turut akan mengikut atau menyusul jejak langkah mereka ke alam barzah. Tatkala itu, sudahkah kita bersedia? Cukupkah segala amalan kita untuk pergi menghadap Ilahi?

Mengenangkan yang kita ini sudah pun berada di akhir zaman, kematian bila bila sahaja boleh mengundang kita. Tidak dapat tidak, kita sebagai hamba Allah dan umat Rasulullah perlu memperbanyakkan amalan diri supaya kita benar benar bersedia untuk bertarung dengan kematian dan menemui Allah s.w.t.

Ingatlah, kematian itu sangat dekat dengan kita. Kita jangan terlalu leka berhibur dan bergembira sehingga melupakan tanggungjawab dan peranan kita sebagai hamba Allah. Tidak salah untuk kita berhibur, tetapi berpada padalah. Janganlah terlalu melampau sehingga lupa akan segala perkara termasuk perkara perkara yang berkaitan dengan agama.

Kematian itu datang dalam keadaan yang sangat tepat (bukan cepat) dan tanpa disangka sangka. Kematian menjemput manusia tidak kira muda ataupun tua. Jika sudah ajal kita, sesaat tidak cepat dan sesaat tidak lambat ia akan datang juga. Tiada apa yang boleh kita lakukan kecuali bersedia dengan segala amalan untuk melindungi diri kita dari seksa kubur dan api neraka.

Sebagai umat Islam, kita jangan sesekali meninggalkan solat wajib lima waktu kerana ia adalah kewajipan kita. Perbanyakkan menunaikan solat sunat terutama solat sunat taubat sementelahan kita ini banyak melakukan dosa tidak kira masa. Seusai solat, banyakkan berzikir dan membaca Al Quran. Dan jangan sesekali kita lupa untuk berselawat. Sedekah pun antara cara untuk kita menambah pahala.

Semua amalan ini dapat membentengi diri kita daripada seksa kubur dan seksa api neraka. Amalan amalan ini juga kita lakukan untuk menambahkan pahala kita yang semakin sikit dimamah dosa hampir setiap hari. Namun begitu, kita jangan sesekali alpa bahawa kita melakukan semua amalan itu hanya untuk mendapat keredhaan Allah jua.    

Bayangkan jika kita pergi menghadap Allah tanpa persediaan? Bayangkan jika nyawa kita dicabut ketika kita sedang enak membuat maksiat? Apa agaknya akan jadi pada diri kita? Justeru, sebelum terlambat, buatlah persediaan dari sekarang. Lakukanlah apa yang Allah suruh dan tinggalkanlah apa yang Allah larang. Moga moga hidup kita kekal sejahtera sampai bila bila.

Akhir kata, bersedialah untuk menerima kedatangan ajal yang boleh tiba pada bila bila masa sahaja. Buatlah persediaan dari sekarang sebelum terlambat. Perbanyakkan amalan baik di dunia supaya kita senang di akhirat. Banyakkan berdoa kepada yang Maha Pencipta supaya mematikan kita dalam keadaan kita beriman dan dalam agama yang diredhai-Nya. Moga moga kita semua bertemu di syurga sana.




1 ulasan:

  1. ajal maut di tangan tuhan....kalau dah ajal memang xkan awal@lewat sesaat pun....janji Allah itu pasti

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.