Selasa, 1 Disember 2015

BAHASA MELAYU : CABARAN DAN KEJAYAAN

Sumber : Google

Bahasa Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu dalam Perkara 3 (1) telah memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hendaklah ditulis dalam apa apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang undang Parlimen. Ini bermaksud, bahasa Melayu mempunyai kedudukan yang tinggi di Malaysia berbanding dengan bahasa bahasa yang lain.

Walaupun bahasa Melayu mempunyai kedudukan istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi oleh kerana beberapa kekangan yang berlaku menyebabkan bahasa Melayu seperti hidup segan mati tak mahu di negara ini. Banyak pihak seolah olah tidak mengambil cakna akan kepentingan bahasa Melayu sebagai satu bahasa yang penting dan mesti dipertahankan supaya kekal terpelihara sampai bila bila.

Antara masalah yang dihadapi untuk memartabatkan bahasa Melayu adalah pengaruh bahasa asing terutama bahasa Inggeris. Banyak perkataan dalam bahasa Inggeris cuba dimelayukan seperti perkataan transformasi, reformasi, transaksi, finalis dan sebagainya. Pelik bin aneh apabila orang Melayu sendiri lebih suka menggunakan perkataan perkataan dalam bahasa Inggeris yang dimelayukan ini berbanding dengan menggunakan perkataan perkataan yang terdapat dalam bahasa Melayu itu sendiri. Mengapa kita tidak guna sahaja perkataan perubahan, pembaharuan, urusniaga, peserta akhir dan sebagainya untuk menggantikan perkataan dalam bahasa Inggeris tersebut? Inilah masalah kita orang Melayu. Terlalu mengagungkan bahasa Inggeris sehingga bahasa Melayu dianaktirikan.         
  
Pengaruh bahasa rojak juga antara penyebab mengapa bahasa Melayu semakin hilang ‘seri’ di tanah tercinta ini. Ramai orang Melayu terutama golongan artis, ahli ahli politik dan orang orang Melayu yang mendapat pendidikan Barat gemar menggunakan bahasa rojak dalam pertuturan mereka seharian. Bukan sahaja mereka, pelajar pelajar Melayu yang menuntut di IPT yang tidak mempelajari bidang bahasa Melayu turut mengalami fenomena yang sama. Mereka gemar mencantumkan ayat di dalam bahasa Melayu dan ayat di dalam bahasa Inggeris melalui pertuturan mereka seharian. Perkataan perkataan seperti  ‘actually’ ,  ‘so’  , ‘even’ dan sebagainya menjadi ‘santapan’ mereka seharian dalam pertuturan. Sikap mereka inilah sedikit sebanyak telah membunuh bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda mereka.  

Sejujurnya kebanyakkan orang Melayu telah mengalami krisis jati diri yang teruk. Ramai orang Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya tidak menyedari atau sengaja tidak menyedari akan kepentingan bahasa Melayu di negara ini. Kerajaan yang dipegang oleh orang Melayu pun dilihat gagal untuk memartabatkan bahasa Melayu di negara ini. Mereka sepatutnya mewajibkan pihak swasta dan jabatan jabatan kerajaan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam segala urusan baik secara rasmi ataupun scara tidak rasmi. Sebagai contoh, dalam temuduga kerja sama ada di syarikat swasta atau di jabatan kerajaan hendaklah dibuat di dalam bahasa Melayu. Jika mereka ingkar dengan cara menggunakan bahasa Inggeris juga, tindakan tegas wajarlah diambil. Ini bukan soal kekejaman sebaliknya soal prinsip dan jati diri yang wajar dipertahankan.  
  

Kebanyakkan orang Melayu sendiri sering memandang enteng kepada bahasa Melayu. Mereka beranggapan jika mereka mempelajari bahasa Melayu atau terlalu fokus pada bahasa Melayu akan menyebabkan mereka tidak akan mendapat peluang dalam bidang pekerjaan. Mereka sebenarnya terlupa bahawa rezeki itu datangnya dari Allah dan bukannya bahasa apa yang kita pakai.

Penggiat penggiat filem pun dilihat gagal dlam usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu. Mereka lebih gemar menggunakan bahasa rojak dan bahasa slanga di dalam filem filem mereka. Apabila filem filem mereka ditonton oleh sekalian anggota masyarakat, masyarakat lebih banyak mempelajari bahasa rojak dan bahasa slanga tersebut berbanding bahasa Melayu yang standard. Oleh sebab itulah, masyarakat semakin dilihat ‘dungu’ dalam berbahasa Melayu dalam konteks yang sebenarnya.

Para sarjana kita terutama professor professor di universiti kurang menggunakan kepakaran mereka dalam usaha usaha membuat penterjemahan dalam bahasa Melayu. Banyak ilmu ilmu penting yang ditulis oleh tokoh tokoh Barat tidak diterjemah ke dalam bahasa Melayu dalam kuantiti yang banyak. Maka, istilah ‘bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu’ dilihat semakin tidak relevan pada masa kini. Sepatutnya, para penterjemah perlu berganding bahu dengan para sarjana di negara ini menterjemah buku buku yang ditulis oleh sarjana sarjana Barat untuk memastikan ilmu ilmu yang besar dan penting dapat diterjemahkan dalam bahasa Melayu secara besar besaran agar bahasa Melayu dilihat sebagai sebuah bahasa ilmu pengetahuan.

Di sekitar bulan Oktober 2014, Pensyarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Teo Kok Seong telah mendedahkan seramai 604 peserta kaum Cina dan India yang mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tidak boleh bercakap dalam Bahasa Melayu namun boleh lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ini adalah satu masalah yang berat sebenarnya kerana bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan maksudnya semua rakyat Malaysia mesti fasih bercakap dalam bahasa Melayu. Apabila perkara semacam itu tidak berlaku, wujud satu kebingungan di benak kita mengapa perkara itu boleh terjadi? Adakah betul di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi? Jika perkara semacam itu berlaku, bermakna SJKC dan SJKT telah melanggar undang undang dan tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan! 

Oleh itu, kerajaan wajar mengambil tindakan yang tegas kepada mana mana SJKC dan SJKT yang telah melanggar undang undang yang ditetapkan. Jika tidak, sampai bila pun bahasa Melayu akan terus tidak dimartabatkan dan lama kelamaan akan dilupakan suatu hari nanti. Jika perkara itu berlaku, tidak mustahil bahasa Melayu akan berubah menjadi bahasa kedua tatkala ada pihak pihak tertentu di dalam negara ini terutama puak puak ultrakiasu (istilah yang digunakan oleh Prof. Dr. Ridhuan Tee Abdullah yang merujuk kepada pihak yang sentiasa mahu menang dalam semua perkara) meminda Perlembagaan Persekutuan yang menurunkan darjat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.       

Perkara itu tidak mustahil untuk berlaku jika kita sebagai orang Melayu gagal dalam memelihara dan memartabatkan bahasa Melayu seperti lazimnya.

Sebagai rakyat Malaysia yang tinggal di sebuah negara yang berbilang kaum, kita sama sekali tidak boleh menafikan bahasa Melayu merupakan bahasa perpaduan dalam kalangan kita. Oleh sebab itulah, bahasa Melayu mesti dimartabatkan dan digunapakai oleh semua kaum yang ada di negara ini. Hal ini kerana bahasa Melayu dapat digunakan sebagai penyatu kepada kepelbagaian agama, budaya, dan adat resam untuk semua kaum yang ada di negara ini. Memandangkan kebanyakkan rakyat di negara ini berbeza dari segi kepercayaan, amalan, dan bahasa, bahasa Melayu boleh menjadi unsur penyatu dalam hal tersebut supaya tidak timbul rasa curiga seterusnya mewujudkan rasa kepercayaan, kemesraan, hormat menghormati dan rasa selamat dalam benak semua kaum yang ada di Malaysia. Oleh itu, perpaduan antara kaum boleh dipupuk seterusnya keamanan dan keharmonian di dalam negara ini akan kekal terpelihara sampai bila bila.  

Tidak lama dahulu, berlaku pendebatan hangat dalam kalangan ahli akademik, ahli politik, pejuang bahasa, rakyat marhaen, dan tokoh pendidikan mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). PPSMI dilaksanakan pada zaman pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamed pada tahun 2003 dan telah termaktub sebagai keputusan Dasar Kerajaan Malaysia hasil daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 9 Julai 2002.

Tujuan kerajaan menggubal dasar tersebut adalah kerana kerajaan mahu menyediakan sumber tenaga manusia yang hebat untuk mencapai taraf negara maju dari peringkat awal persekolahan supaya pelajar pelajar dapat bersaing dalam era globalisasi. Kerajaan pada waktu itu berpendapat bahasa Inggeris adalah bahasa hubungan antarabangsa dan jika ramai pelajar menguasai bahasa itu maka pelbagai ilmu boleh didapati oleh mereka.

Sepanjang dasar PPSMI ini berlangsung, beberapa isu yang tidak enak didengar telah timbul antaranya ketidaksediaan guru guru dalam memberi pengajaran di dalam kelas, berlaku jurang yang sangat besar antara pelajar pelajar di luar bandar dengan pelajar pelajar di bandar, tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, dan sebagainya.

Oleh sebab itulah, pada Mac 2009, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said dan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka,. Allahyarham Datuk Dr. Hassan Ahmad telah mengetuai Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang disertai lebih 8000 orang peserta menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan melakukan perarakan ke Istana Negara.

Ramai cendekiawan terutama tokoh tokoh bahasa antaranya Sasterawan Negara Allahyarham Prof. Dr. S. Othman Kelantan dan Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan menentang pelaksaan dasar PPSMI ini kerana beberapa sebab antaranya melanggar perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan, melanggar perkara mengenai hak asasi rakyat, memandaikan rakyat melalui bahasa asing bertentangan dengan teori pembelajaran, terdapat banyak kesan negatif penggunaan bahasa Inggeris dalam pembinaan negara, dan penggunaan bahasa Inggeris dalam pembelajaran Sains dan Matematik adalah sesuatu yang bertentangan dalam konteks pembelajaran bahasa.

Bagi memartabatkan bahasa Melayu di persada antarabangsa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah melakukan pelbagai usaha untuk mencapai tujuan tersebut. DBP yang bertindak sebagai penerbit telah banyak menerbitkan buku buku dalam bahasa Melayu antaranya novel, buku teks, puisi dan sebagainya. DBP juga banyak menterjemah buku buku di dalam bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu supaya banyak ilmu yang ditulis oleh sarjana sarjana Barat dapat dikembangkan di dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, usaha ini masih dilihat kecil dan perlu diperbesar dan diperkemaskan lagi pada masa akan datang. 

Di era Kesultanan Melayu Melaka, bahasa Melayu telah menjadi bahasa lingua franca maksudnya pedagang luar yang datang berdagang ke Melaka mesti menggunakan bahasa Melayu apabila berurusan dengan penduduk tempatan. Apabila kerajaan Melaka melakukan hubungan diplomatik dengan kerajaan China, bahasa Melayu menjadi bahasa perantara untuk jurubahasa.

Menurut Teo Kok Seong (2011) yang dipetik dalam Ku Hasnita Ku Samsu dan rakan rakan (2013), seramai 195 juta orang daripada 5700 juta orang penduduk dunia adalah penutur dalam bahasa Melayu pada tahun 1995. Ini adalah bukti bahasa Melayu adalah bahasa utama dunia dan diisytiharkan sebagai bahasa dunia yang kelima.

Bahasa Melayu terus mendapat pengiktirafan yang tinggi oleh masyarakat dunia apabila beberapa buah universiti di dunia seperti Universiti Moscow, Universiti Amur dan Universiti Timur Jauh turut memperkenalkan subjek bahasa Melayu dan Pengajian Melayu di universiti masing masing (Victor 2011). Ini adalah satu pencapaian yang membanggakan kerana bahasa Melayu digunapakai dalam bidang pendidikan tinggi di negara negara lain.

Menurut Ku Hasnita Ku Samsu dan rakan rakan (2013), karya karya dalam bahasa Melayu juga banyak diterjemahkan ke dalam bahasa ibunda di negara asing seperti Russia dan China. Ini menunjukkan bahasa Melayu diiktiraf sebagai satu bahasa ilmu yang sangat penting di dunia. Golongan golongan yang memandang enteng terhadap bahasa Melayu terutama golongan ultrakiasu sewajarnya berfikir dahulu dengan aliran pomikiran yang sebetulnya supaya bahasa Melayu dapat dimartabatkan oleh mereka juga.

Kesimpulannya, bahasa Melayu adalah bahasa yang sangat penting dalam konteks menjadi alat perpaduan kaum di Malaysia dan sebagai bahasa ilmu yang diiktiraf oleh rakyat Malaysia. Oleh itu, semua rakyat Malaysia terutama orang Melayu khasnya dan orang bukan Melayu amnya mesti berusaha segigih mungkin untuk memartabatkan bahasa Melayu sama ada di dalam dan di luar negara. Kerajaan melalui DBP dan tokoh bahasa mesti berganding bahu untuk menterjemah dan menerbitkan buku buku yang berkualiti di dalam bahasa Melayu. Kerajaan juga mesti bertindak tegas dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu dengan cara mengenakan tindakan undang undang kepada mana mana pihak yang tidak memartabatkan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian. Semoga bahasa Melayu akan kekal terpelihara sampai bila bila.  



1 ulasan:

  1. Begitu teruk bila ada rakyat malaysia yang tidak tahu berbahasa melayu..

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.