Isnin, 5 Oktober 2015

MAHASISWA : ANTARA PELAJARAN DAN PERJUANGAN

Sumber : Google

Gerakan perjuangan mahasiswa yang dicetuskan oleh Anwar Ibrahim sejak tahun 70an dahulu telah berkembang pesat sehingga ke hari ini walaupun pada pandangan sesetengah pihak, perjuangan mahasiswa pernah melalui zaman kelesuannya setelah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dikuatkuasakan. Namun, setelah melalui zaman reformasi 1998, perjuangan mahasiswa mula bangkit kembali sehinggalah ke hari ini.

Di seluruh dunia termasuklah Malaysia, mahasiswa pasti akan berjuang menuntut itu dan ini untuk memastikan apa yang jelik di mata mereka boleh diperbaiki. Kejelikkan itu pun sebenarnya boleh dibuat tafsiran yang pelbagai. Kejelikkan yang bagaimana yang mahu diperjuangkan untuk diperbaiki oleh mahasiswa itu? Kejelikkan yang sememangnya bersifat kejelikkan atau kejelikkan yang diwar-warkan oleh orang politik yang hanya mengikut logik akal semata mata. Walau apa pun tafsiran kejelikkan yang hendak diperjuangkan oleh mahasiswa supaya boleh diperbaiki, mahasiswa itu dianggap sebagai golongan anak muda yang mempunyai intelektual yang tinggi, berani, dan mempunyai nilai sedar yang hebat.

 Cabaran dalam perjuangan memang tidak dapat dipisahkan. Oleh sebab mahasiswa itu dianggap sebagai pejuang, sudah pasti mereka perlu menghadapi pelbagai cabaran supaya perjuangan mereka itu boleh disedari dan diterjemahkan di dalam bentuk tindakan. Cabaran utama mahasiswa dalam perjuangan bagi saya adalah pelajaran. Sebagai mahasiswa yang berjuang untuk mengubah kejelikkan yang berlaku di dalam sesebuah masyarakat dan negara, mereka perlu pandai membahagikan masa antara perjuangan dan pelajaran. Jika mereka gagal menguruskan masa dengan baik, mereka pasti akan tercicir dalam pelajaran kerana mengejar perjuangan tadi. Apabila sudah tercicir dalam pelajaran mereka di universiti, mereka tidak boleh dipanggil sebagai mahasiswa sebaliknya pelajar universiti tercicir!
     

Mahasiswa yang berjuang juga mesti berhadapan dengan tindakan undang undang sama ada dari pihak universiti atau dari pihak kerajaan. Seperti yang berlaku kepada Fahmi Zainol dan Adam Adli, kerana mereka mengutamakan perjuangan melebihi pelajaran mereka di universiti, akhirnya mereka menjadi rugi kerana digantung atau dibuang daripada universiti.  Siapa yang harus dipersalahkan dalam hal ini?

Ibu bapa kepada seseorang mahasiswa yang ingin berjuang itu juga adalah antara cabaran buat mahasiswa yang bergiat dalam medan perjuangan. Ada ibu bapa yang menghalang anak mereka dari terjun ke medan perjuangan semasa anak mereka masih bergelar mahasiswa. Mereka mahukan anak mereka tamat pengajian terlebih dahulu kemudian barulah meneruskan perjuangan sama ada perjuangan menuntut keadilan atau perjuangan dalam parti parti politik bagi mengalahkan pihak pemerintah. Untuk pengetahuan semua, kebanyakkan mahasiswa yang berjuang ini adalah penyokong tegar parti pembangkang.  

Pada pendapat saya, seseorang mahasiswa yang ingin berjuang itu mestilah selepas mereka menamatkan pengajian mereka di universiti. Mereka sewajarnya mendapat sekurang kurangnya segulung ijazah terlebih dahulu kemudian barulah mereka boleh meneruskan perjuangan mereka. Mungkin juga mereka boleh meneruskan perjuangan mereka selepas mereka menamatkan pengajian ijazah sarjana (Master) atau Ijazah Doktor Falsafah (PhD). Saya kira itu lebih baik kerana untuk menjadi seorang pejuang, tidak cukup dengan keberanian sahaja tetapi juga perlu mempunyai ilmu yang banyak di dada dan di minda. 

Apabila seseorang mahasiswa itu berjuang, saya khuatir yang mereka tidak menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam pelajaran kerana tumpuan mereka lebih terarah kepada perjuangan. Perjuangan itu memang menyeronokkan kerana ia membakar semangat anak anak muda yang bergelar mahasiswa ini untuk mengubah sesuatu namun apakah mereka boleh memberi jaminan yang mereka mampu untuk mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang sekiranya mereka sibuk dengan perjuangan?

Memang tidak dinafikan bahawa ada mahasiswa yang mampu untuk meneruskan perjuangan hakiki mereka dan pada masa yang sama mampu untuk berjaya dalam perlajaran namun jumlah mereka tidaklah ramai. Jika mereka boleh berjuang dan pada yang sama boleh menunjukkan prestasi yang baik dalam pelajaran, wajarlah mereka meneruskan perjuangan mereka itu.

Pada saya pelajaran adalah sangat penting dalam hidup mahasiswa. Perjuangan bagi saya sudah jatuh menjadi perkara kedua melainkan jika perjuangan itu melibatkan agama, bangsa dan negara. Seseorang mahasiswa bagi saya perlu mendapat keputusan yang cemerlang dan menamatkan pengajian terlebih dahulu sebelum menjadi seorang yang ingin berjuang.

Seperti yang telah saya sebut di atas tadi, mahasiswa juga berdepan dengan undang undang universiti dan negara. Jika perjuangan mereka itu terlalu agresif tanpa melibatkan agama, bangsa dan negara, mereka sebenarnya sedang menempah ‘keranda’ mereka sendiri. Jika mereka dibuang daripada universiti, mereka tidak boleh lagi meneruskan pelajaran maka jika mereka menjadi pejuang pun, mereka hanya menjadi pejuang tanpa ilmu. Oleh sebab itu, saya percaya, mahasiswa mesti melengkapkan diri mereka dengan ilmu yang banyak terlebih dahulu sebelum menjadi seorang pejuang.

Walau apa pun, mahasiswa mesti cekap memilih apakah keutamaan sebenar dalam hidup mereka? Tidak salah untuk menjadi pejuang tetapi pelajaran janganlah ditinggalkan kerana perjuangan tanpa ilmu hanyalah perjuangan yang tumpul!    





2 ulasan:

  1. Perjuangan membabi buta hanya merosakkan. Bukankah banyak lagi platform lebih baik, lebih berkesan dalam menzahirkan perjuangan. Ikut hati mati, ikut rasa binasa diri..

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.