Sabtu, 26 September 2015

DARI PERNIAGAAN KE BAHASA MELAYU



Alhamdulillah…saya bersyukur ke hadrat Allah Taala kerana diberi peluang untuk belajar dalam bidang yang saya minati iaitu bidang Bahasa Melayu sekarang. Saya telah diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Shah Alam dalam program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Gunaan (Kepujian) Bahasa Melayu Komunikasi Professional.

Walaupun pada hakikatnya saya lebih cenderung kepada bidang kesusasteraan Melayu dalam cabang kemelayuan itu sendiri namun saya tetap optimis apabila diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang saya ambil kini. Bermula dari 7 September 2015, bermulalah kehidupan saya sebagai seorang mahasiswa di Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sebenarnya saya tidak kisah pun jika tidak berpeluang untuk menyambung dalam bidang kesusasteraan Melayu kerana bagi saya, apa sahaja yang berkaitan dengan Melayu, memang menjadi minat saya untuk mendalaminya. Mungkin kerana pemikiran Melayu sangat tebal dalam diri saya menyebabkan saya jadi begitu namun saya bukan manusia rasis. Saya hanyalah seorang Islam yang cintakan Islam, Melayu, dan Malaysia.


Ketika saya ditemuduga untuk mendapatkan tempat dalam program ini, saya ditanya oleh ramai orang mengapa saya mengambil bidang Bahasa Melayu dan bukannya bidang perniagaan. Diploma saya di Kolej Poly Tech Mara Bangi (KPTM) adalah dalam bidang Pengajian Perniagaan tetapi di peringkat ijazah sarjana muda, saya mengambil bidang Pengajian Bahasa Melayu pula. Rata rata yang berjumpa dengan saya menjadi pelik kerana bidang yang ambil semasa diploma begitu kontra dengan bidang yang saya ambil sewaktu ijazah sekarang.

Sejak di tingkatan lima lagi, saya memang sudah jatuh cinta subjek Bahasa Melayu. Sebelum itu, saya memang minat ‘gila’ dengan subjek Sejarah. Saya sering mendapat markah yang tinggi dalam kedua dua subjek itu. Tetapi sejak guru Bahasa Melayu saya iaitu Puan Rohani binti Maidin mengajar saya subjek Bahasa Melayu, entah mengapa saya dapat melihat ‘kecantikan’ Bahasa Melayu itu. Lalu saya bercita cita untuk menjadi guru Bahasa Melayu dengan melanjutkan pelajaran ke Institut Pendidikan Guru (IPG) selepas tamat SPM namun kerana keputusan SPM saya tidak melayakkan untuk menyambung pengajian ke IPG, saya memilih KPTM untuk meneruskan perjuangan saya di dunia akademik walaupun saya tidak minat dengan bidang perniagaan pun. Tetapi bak kata orang tua tua, kalau tiada rotan, akar pun boleh juga.

Saya berjuang bermatian di peringkat diploma dahulu supaya saya bisa mendapat tempat di universiti awam. Lalu, apabila pendaftaran UPU dibuka untuk program ijazah, saya pun mula mendaftarkan diri. Pada awalnya saya bercadang untuk meneruskan sahaja ijazah saya dalam bidang perniagaan, tetapi bila difikirkan semula, mengapa tidak saya tukar bidang sahaja dan meneruskan minat saya yang asal. Maka, saya pun memilih bidang Bahasa Melayu, Pengajian Melayu dan Sastera Melayu semasa pendaftaran UPU dahulu. Kemudian UiTM memanggil saya untuk ditemuduga untuk program yang saya ambil sekarang.   

Dalam hampir 400 orang yang memohon, UiTM hanya mengambil 60 orang sahaja untuk mengikuti program tersebut untuk sesi kali ini dan saya antara yang terpilih. Mungkin kerana faktor CGPA diploma saya yang agak tinggi dan kecemerlangan prestasi saya semasa ditemuduga, maka saya pun terpilih.

Saya tidak tahu apa yang akan berlaku kepada saya di peringkat ijazah kini. Adakah saya mampu untuk meneruskan kecemerlangan saya semasa di peringkat diploma dahulu ke peringkat ijazah? Saya tidak punya jawapan untuk soalan itu tetapi saya berdoa semoga kecemerlangan sentiasa berpihak kepada diri saya. Saya berazam untuk memperoleh Anugerah Dekan di setiap semester di peringkat ijazah ini. Saya juga berharap agar segala kenangan pahit saya semasa diploma dahulu tidak berulang lagi di peringkat ijazah sekarang.

Bercakap tentang minat saya untuk menyambung pengajian dalam bidang kesusasteraan Melayu, barangkali saya akan meneruskannya di peringkat Ijazah Sarjana (Master) pula nanti. Insha Allah…saya berazam (jika diizinkan Allah) untuk menghabiskan pengajian saya hingga ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang yang saya cintai ini. Saya bercita cita untuk menjadi pensyarah dan ahli akademik bagi mendidik anak bangsa saya dalam bidang Bahasa dan Kesusasteraan Melayu.     

Walau apa pun, perjuangan saya baru sahaja bermula. Pelbagai cabaran yang perlu saya tempuhi sepanjang pengajian saya di sini. Diharapkan semoga saya diberi kekuatan oleh Allah untuk berjuang dalam dunia akademik yang saya pilih sekarang. Saya mengharapkan doa dari pembaca blog saya semua untuk mendoakan diri saya agar kecemerlangan dan kesejahteraan sentiasa berpihak kepada diri saya sama ada di dunia mahupun di akhirat.


8 ulasan:

  1. Semoga sentiasa yang terbaik buat MNH..:)

    BalasPadam
  2. Tahniah dan selamat maju jaya. Terus terang saya katakan, inilah kali pertama saya dengar jurusan sebegini wujud. Sungguh bertuah kerana ada 'blogger' (saya tidak tahu Bahasa Melayu bagi perkataan ini) yang unik dan bejuang menjadikan Bahasa Melayu dan satera sebagai 'niche'nya (saya juga tidak tahu bahasa Melayu bagi perkataan ini). Tahniah.

    BalasPadam
  3. Izin berkunjung gan, salam kenal semoga sukses AMIIIN...

    BalasPadam
  4. Tahniah adik semoga dipermudahkan pelajaran nti

    BalasPadam
  5. Saya pelajar undang undang yg ingin melanjutkan pelajaran kebidang apb tetapi tak pasti adakah ini pilihan yg tepat untuk saya 😔

    BalasPadam
    Balasan
    1. Adik kena buat pilihan berdasarkan minat adik. Kalau adik betul betul minat dalam bidang bahasa, maka adik boleh masuk ke APB. Untuk pengetahuan adik, ramai dalam kalangan kawan kawan saya lepasan Asasi Undang undang Kuantan (sudah ditutup) dan Asasi Undang Undang Shah Alam. Alhamdulillah, mereka boleh survive dengan baik di APB. Yang penting adik kena tahu yang adik boleh bawak tak bidang bahasa ni. Kalau boleh, confirm adik boleh survive.

      Padam
  6. Assalam...boleh kak Adah tahu, semasa adik di dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang bahasa Melayu ni, ada tak adik pernah menggunakan Manuskrip Bahasa Melayu sebagai bahan rujukan untuk mana-mana subjek? (email: norsaadahnor@iium.edu.my)

    BalasPadam
  7. Assalam...boleh kak Adah tahu, semasa adik di dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang bahasa Melayu ni, ada tak adik pernah menggunakan Manuskrip Melayu sebagai bahan rujukan untuk mana-mana subjek? (email: norsaadahnor@iium.edu.my)

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.