Sabtu, 5 Disember 2015

SIFAT HORMAT PENTING DALAM KELUARGA

Sumber : Google

Keluarga adalah institusi asas yang membentuk masyarakat. Jika institusi asas ini hancur kerana tidak dijaga dengan baik, maka masyarakat pun boleh terheret sama dalam kancah kehancuran tersebut. Oleh itu, pada pandangan saya, antara salah satu cara untuk menjaga institusi keluarga adalah dengan saling menghormati antara satu sama lain.

Konteks hormat ini bukan hanya ditujukan kepada anak dengan ibu bapa sahaja tetapi juga mesti ditujukan dalam konteks ibu bapa dengan anak sama. Maksudnya di sini, bukan anak sahaja yang mesti menghormati ibu bapa seperti yang sepatutnya, ibu bapa juga mesti menghormati anak seperti yang sepatutnya. Bagaimana anak mahu menghormati ibu bapa jika ibu bapa sendiri tidak pandai menghormati anak? Ingatlah, pepatah Melayu ada menyebut : bagaimana acuan begitulah kuihnya.

Jika kita imbas kembali segala masalah sosial yang berlaku pada hari ini sebahagian besarnya adalah berpunca daripada keluarga. Oleh kerana keluarga sendiri itu gagal menjadi keluarga yang baik, maka anak anak secara tidak langsung telah dihinggapi dengan penyakit yang tidak baik. Anak anak memprotes dengan cara mereka sendiri dengan menggunakan kaedah yang salah sebagai menunjukkan sikap pesimis mereka terhadap kegagalan institusi keluarga tersebut.


Oleh sebab itulah, amat penting institusi keluarga ini perlu dipelihara dengan sebaik mungkin. Nilai nilai yang baik mesti diterapkan oleh ibu bapa kepada anak anak. Ibu bapa itu sendiri pun mestilah mempunyai nilai nilai yang baik sebelum menerapkan nilai nilai tersebut kepada anak anak. Bagaimana ibu bapa mahu menerapkan nilai nilai yang baik kepada anak anak sekiranya mereka sendiri tidak mempunyai nilai nilai yang baik?      

Antara nilai nilai yang baik tetapi selalu dilupakan oleh ramai ibu bapa adalah nilai hormat menghormati. Ibu bapa sering berkata bahawa anak anak mesti menghormati mereka namun adakah mereka telah menghormati anak anak mereka sendiri? Bagaimana mereka mahu menjangkakan anak anak mereka mahu menghormati mereka sedangkan mereka sendiri tidak menghormati anak anak mereka?

Apakah yang saya maksudkan dengan nilai hormat menghormati itu? Saya wajar berikan contoh untuk memberi kefahaman kepada anda semua. Katakan anak anda sedang memberitahu tentang sesuatu perkara kepada anda dan anda tidak dengar apa yang anak anda cuba sampaikan, tolong jangan memarahi mereka atau meninggikan suara kepada mereka. Bertanya dengan nada suara yang elok terlebih dahulu. Jika di peringkat awal anda sudah memarahi mereka, usaha mereka untuk memberitahu kepada anda tentang sesuatu perkara itu akan terbantut. Akibatnya, mereka sudah tawar hati untuk memberitahu perkara tersebut kepada anda di samping hati mereka akan berasa sakit dan kecewa.

Jika anda ingin menyuruh anak anak anda melakukan sesuatu, suruhlah dengan baik menggunakan nada suara yang rendah dan sopan. Jangan sesekali menyuruh anak anda seperti anak anda itu orang gaji atau hamba sahaya anda. Jika anda menyuruh mereka dengan kasar, mereka akan terguris hati lalu rasa sakit dan kecewa akan wujud dalam hati mereka.

Apabila anda acapkali berbuat sedemikian, lama kelamaan rasa sakit dan kecewa itu akan melekat dan bersarang dalam sanubari anak anak anda. Lalu menimbulkan rasa marah dan dendam di atas perbuatan anda itu. Anda telah berlaku tidak adil dan tidak menghormati anak anak anda. Lalu terbentuklah satu aliran pemikiran dalam diri mereka untuk sama sama tidak mahu menghormati anda sebagai ibu bapa.

Jangan sesekali salahkan mereka jika mereka menjawab atau melawan teguran anda. Jangan salahkan mereka juga jika mereka tidak pandai menghormati anda. Itu bukan salah mereka tetapi itu adalah salah anda kerana anda tidak pandai menghormati diri mereka sebagai seorang anak. Anda terlalu ego kepada anak anak kerana anda fikir anda yang berkuasa ke atas diri anak anak anda.

Setiap manusia di dalam dunia ini dijaminkan hak mereka sama ada di dalam agama atau di dalam undang undang negara. Hormati hak itu. Jika hak hak ini tidak dihormati, tindak balas yang tidak baik akan berlaku. Jangan terkejut jika ada anak sanggup menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua tua. Bukan kerana mereka benci kepada ibu bapa mereka tetapi mereka marah di atas sikap ibu bapa mereka yang tidak pandai menghormati mereka sewaktu mereka kecil dan remaja dahulu.

Keluarga yang baik adalah keluarga yang menitikberatkan nilai menghormati dan nilai kasih sayang dalam pentadbiran kekeluargaan. Jika dua nilai ini dilanggar, maka kesan kesan yang tidak baik sama ada berlaku kepada keluarga tersebut atau berlaku kepada anak anak tersebut boleh terjadi. Jadi, mulai sekarang, belajarlah untuk menghormati ahli keluarga sendiri seperti mana kita belajar untuk menghormati orang lain.    




1 ulasan:

  1. Benar sekali. Sifat hormat menghaormati sesungguhnya bermula dari diri kita, dari rumah dan keluarga barulah kepada masyarakat..:)

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.