Selasa, 6 Mei 2014

HUDUD MAMPU SATUKAN UMNO DAN PAS

      Melihat keadaan politik macapada ini membuatkan saya begitu teruja. Ini kerana Hukum Hudud yang hendak dilaksanakan oleh PAS barangkali mungkin akan menjadi kenyataan. Sejujurnya saya amat berharap dan sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t agar membenarkan Hukum Hudud ini boleh tegak dan berdiri dengan kukuh di bumi Malaysia ini. 

      Pelaksanaan Hukum Hudud ini bukanlah satu perkara yang mustahil. Brunei sendiri telah mengisytiharkan negara mereka telah menggunakan Hukum Hudud. Jadi, tidak salah rasanya jika Malaysia yang mempunyai penduduk yang beragama Islam sebanyak 60% ini tidak mampu untuk melaksanakan hukum suci itu di bumi yang makmur ini.

      Saya yakin Hukum Hudud ini mampu untuk memberi wajah baharu kepada Malaysia. Sudah pasti selepas ini pelbagai kemungkaran dan maksiat mampu untuk dihapuskan secara perlahan lahan. Saya amat yakin bahawa hukum yang Allah sediakan ini mampu untuk membawa kesejahteraan hidup kepada umat Islam di Malaysia terutama orang Melayu bukan sahaja di dunia malahan juga di akhirat.

      Namun begitu, saya amat berharap pihak PAS telah membuat kajian yang mendalam terhadap hukum ini seandainya benar mereka ikhlas dan jujur untuk melaksanakan undang undang Islam itu di Malaysia. Saya tidak mahu pelbagai masalah timbul apabila hukum Hudud ini sudah dijalankan. Pastikan mereka telah membuat perancangan yang rapi untuk memastikan objektif sebenar Hudud itu dapat dilaksanakan. 

      Walaubagaimanapun, saya yakin jalan buat PAS untuk melaksanakan Hukum Hudud ini bukan mudah. PAS sendiri mendapat tentangan dari rakan rakannya dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP dan PKR. Sudah acapkali saya bilang, PAS perlu keluar dalam PR. Hala tuju PAS tidak sama dan tidak akan pernah sama dengan PR. Tetapi sayang seribu kali sayang PAS tidak ada keyakinan diri. PAS takut untuk bertempur dengan UMNO secara bersendirian. Oleh itu, saya merasakan langkah PAS menyertai PR adalah satu kesilapan!  

      Saya amat yakin jika PAS tidak bersama PR semasa PRU 13, sudah pasti PAS mampu untuk menumbangkan UMNO - BN. Namun, PAS lebih percaya kepada kuasa pengundi daripada kuasa Allah. PAS lebih takut pengundi daripada Allah. Oleh itu, cita cita PAS untuk menawan Putrajaya hanya mimpi dalam mimpi sahaja. Saya optimis jika PAS berjuang secara bersendirian dan tidak bersama PR, sokongan orang Melayu kepada PAS akan meningkat dan sudah pasti Haji Hadi mampu untuk menjadi Perdana Menteri!

       Ini bukan satu perkara yang mustahil untuk PAS memerintah Malaysia jika benar dia percaya akan kekuasaan Allah melebihi 'kuasa' yang ada pada pengundi. PAS sebenarnya sudah silap percaturan dalam politik. Jika PAS masih mengambil jalan yang sama, saya yakin PAS tidak akan pernah berjaya memerintah kerajaan Malaysia. Kalau berjaya pun, saya yakin kuasa yang ada pada PAS begitu terhad. 

      Saya teringat satu perbualan saya dengan seorang sahabat di sebuah kedai mamak di Bangi tidak lama dahulu. Sahabat saya ini merupakan seorang penyokong PAS tegar dan sejati. Ketika saya mengkritik Mursyidul Am PAS di dalam blog ini pun, dia bermati matian mempertahankan bekas Menteri Besar Kelantan itu. 

      "Aku bukan tak nak sokong PAS tapi aku khuatir dengan adanya DAP dalam Pakatan Rakyat tu. Kalau PAS bersendirian, sudah pasti aku sokong PAS secara total." Ujar saya kepada dirinya. "Kau sebenarnya tak faham akan perjuangan PAS, DAP dan PKR itu." Jawabnya kepada saya. 

      Saya sendiri tidak tahu bahagian mana yang saya tidak faham akan perjuangan Pakatan Rakyat itu. Saya khuatir bukan saya yang tidak faham tetapi dia yang tidak faham! Mungkin dia faham atau dia buat buat tidak faham demi melihat PAS mendapat mandat daripada rakyat. Kalau kita celik hati dan celik pemikiran, kita akan tahu perjuangan ketiga tiga parti itu. PAS mahu melaksanakan Islam, DAP dengan dasar Malaysian Malaysia manakala PKR pula hanyalah memperjuangkan Anwar Ibrahim untuk jadi Perdana Menteri. Semua orang boleh nampak itu. Kalau anda tidak nampak, bermakna anda sudah dihinggap satu penyakit iaitu penyakit taksub kepada pemimpin atau dalam bahasa mudahnya Assabiyah!

      Ini bukan satu omong kosong. Sudah terbukti di depan mata bahawa DAP menolak hukum Hudud yang mahu dilaksanakan oleh PAS. Penasihat PKR dan bekas ketua ABIM - Anwar Ibrahim pula dengan jelas menolak hukum Hudud yang mahu dilaksanakan oleh PAS. Jelas terbukti bahawa memang perjuangan ketiga tiga parti ini tidak sehaluan. Hanya orang yang buta hati sahaja tidak akan nampak akan perkara ini mungkin kerana dirasuk dengan penyakit taksub kepada pemimpin!

      Sekarang PAS hanya boleh mengharapkan UMNO - parti yang mereka anggap kafir oleh Haji Hadi, parti yang mereka mahu 'K.O' dalam satu solat hajat yang dibuat oleh adik Nik Aziz di Kelantan dan parti yang mereka paling benci dalam politik. PAS boleh 'bertepuk bertampar' dengan DAP tetapi mereka begitu memusuhi UMNO - parti yang dianggotai oleh saudara seIslam mereka.

      Saya yakin dengan adanya Hudud ini, PAS dan UMNO dapat bersatu dibawah satu payung yang sama iaitu Islam. Jika selama ini mereka berlainan ideologi politik namun kini mereka mampu untuk bersatu dengan adanya kekuatan Islam itu sendiri. 

      Jika PAS dan UMNO boleh duduk semeja untuk membincangkan masalah Hudud ini, PAS dan UMNO tidak memerlukan mana mana parti lagi untuk menyokong mereka. Mereka sudah tidak perlu lagi sokongan DAP, MCA, MIC dan NGO NGO yang membantah pelaksanaan Hudud di bumi Malaysia ini. Inilah sebenarnya diharapkan oleh semua umat Melayu dan Islam agar PAS dan UMNO boleh bersatu. Dengan bersatunya dua parti keramat Melayu ini, nescaya umat Islam akan bertambah kuat dan orang orang kafir sudah pasti tidak akan berani lagi memperlekeh orang Islam dan Melayu selepas ini. 

      Ingat! kuasa politik masih dipegang oleh majoriti orang Islam dan Melayu di negara ini. Kita lihat sahaja UMNO. Tanpa sokongan pengundi Cina pun, mereka masih boleh memerintah sehingga kini. Ini membuktikan, bukan pengundi yang menentukan hala tuju politik Malaysia ini, tetapi Allah s.w.t. Jika Allah mengatakan, selama lamanya UMNO akan memerintah, selamanyalah UMNO akan memerintah. Tetapi jika Allah mahu PAS memerintah, suatu hari nanti PAS pasti akan mampu untuk memerintah Malaysia. 

     Selain mahu membentangkan di Parlimen, PAS perlu mempergiatkan usaha untuk memberi penerangan yang secukupnya kepada seluruh rakyat Malaysia mengenai hukum hudud ini. Kita sendiri tidak tahu semaksimum mungkin tentang hukum Hudud ini. Inilah peranan yang sepatutnya dimainkan oleh media media yang dikuasai oleh UMNO untuk memberi penerangan secukupnya kepada rakyat Malaysia - tidak kira Melayu, Cina, India dan lain lain - mengenai hukum Hudud ini. 


       Daripada Astro, TV3, RTM dan sebagainya yang sering memaparkan program program nyanyian yang tidak mendatangkan faedah itu, adalah lebih baik jika media media ini boleh memainkan peranan yang penting dalam mencerahkan pemahaman rakyat Malaysia terutama yang bukan Islam tentang pelaksanaan Hudud ini. Media media ini perlu menjemput agamawan yang bertaburan dari seluruh Malaysia ini untuk memberi penjelasan yang sewajarnya dan UMNO perlu bertegas di dalam ini sementelahan UMNO adalah tulang belakang kerajaan yang memerintah hari ini. 

      PAS dan UMNO tidak perlu takut dan gentar dengan ancaman yang hendak dibuat oleh DAP dan MCA yang mahu menentang pelaksanaan ini. Ingatlah, Allah sentiasa bersama dengan orang orang yang benar. Mengapa kita mesti takut dengan orang Kafir sedangkan Allah selalu menolong hamba hambaNya yang mahu menegakkan agamanya. 

      Akhir kalam, saya minta kepada seluruh umat Islam di Malaysia yang membaca blog ini agar boleh berdoa agar hukum Hudud ini mampu dilaksanakan di bumi Malaysia ini. Berdoalah agar PAS dan UMNO boleh bersatu di bawah satu payung yang sama iaitu menegakkan hukum Islam di negara bertuah ini. Janganlah gentar dan takut untuk membuat sesuatu perkara yang baik kerana Allah pasti bersama kita dan akan sentiasa membantu kita. Selain itu, PAS dan UMNO juga perlu memberi penerangan yang secukupnya mengenai hukum Hudud ini kepada seluruh rakyat Malaysia agar persepsi negatif terhadap perkara ini dapat dielakkan. 

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.