Belum terlambat rasanya untuk saya
mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru guru saya yang telah bersusah
payah mengajar dan mencurah ilmu kepada saya selama ini. Ucapan ini juga saya
tujukan khas kepada semua guru guru dan insan yang bergelar pendidik sama ada
di dalam atau di luar negara.
Bercakap soal Hari Guru ini saya teringat
zaman persekolahan saya iaitu di tingkatan empat dan tingkatan lima . Pada waktu itulah
saya sudah nampak di mana hala tuju saya selepas SPM nanti dan kerjaya yang
saya pilih pada waktu itu adalah guru. Habis satu sekolah saya cerita yang saya
mahu menjadi guru. Saya begitu meminati profesion perguruan ini kerana saya
suka dengan matapelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.
Justeru itu, untuk mempraktikan minat
saya dalam bidang sastera dan sejarah itu maka saya memilih profesion yang
mulia ini. Saya bercadang selepas habis SPM saya mahu melanjutkan pelajaran ke
Institut Pendidikan Guru (IPG) dan mahu mengambil Kursus Pendidikan Lepasan SPM
(KPLSPM) tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Saya bercita cita untuk
mengajar pelajar sekolah menengah dalam matapelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah
tetapi apabila mendapat tahu bahawa
KPLSPM hanya untuk guru guru sekolah rendah, saya mula merancang untuk mengajar
dalam Bahasa Melayu, Sivik dan Kajian Tempatan.
Sejak itu, saya sentiasa mempersiapkan
diri saya untuk menjadi seorang guru. Saya suka membuat pembentangan yang
disuruh oleh guru saya di hadapan kelas. Saya suka mengajar rakan rakan saya
dan saya akan gembira jika mereka faham apa yang saya ajar. Dan sudah pasti
mereka akan minta saya untuk mengajar mereka dalam matapelajaran Sejarah kerana
ramai pelajar memang tidak menyukai matapelajaran itu.
Saya juga banyak membaca tentang
kerjaya seorang guru sama ada di internet ataupun melalui buku. Saya sering
membaca sebuah buku yang ada di perpustakaan sekolah saya yang menceritakan tentang
kerjaya seorang guru. Saya sudah lupa tajuk buku itu tetapi saya ingat nama
penulisnya – Norbi Abdullah.
Walaubagaimanapun, kita hanya mampu
untuk merancang tetapi Allah yang menentukan. Selepas keputusan SPM
dikeluarkan, saya terus mendaftarkan nama saya secara atas talian (online)
ke laman web KPM untuk memasuki kursus perguruan itu. Namun, sayang seribu kali
sayang apabila keputusan panggilan temuduga dikeluarkan, nama saya tidak
disenaraikan untuk ditemuduga.
Hanya Allah sahaja yang tahu betapa
kecewa, hampa dan sedihnya saya kerana tidak berjaya bukan sahaja untuk masuk
ke IPG malah untuk ditemuduga pun saya tidak berjaya (pemohon perlu menghadiri
temuduga terlebih dahulu kemudian jika berjaya akan dihantar masuk ke IPG). Ini
didasarkan kepada beberapa faktor antaranya syarat untuk masuk ke IPG mesti 6A
tetapi saya hanya mendapat 4A sahaja dalam SPM. Kedua, persaingan yang terlalu
sengit untuk merebut tempat dan ketiga kuota yang terlalu kecil diberikan iaitu
sekadar 50 orang untuk satu matapelajaran yang mahu diajar.
Saya sedih dan kecewa di atas kegagalan
itu. Saya juga malu kerana saya sudah mencanangkan kepada ramai orang yang saya
mahu menjadi guru melalui IPG dan akhirnya saya tidak berjaya. Seorang rakan
sekolah pernah berkata kepada saya ketika berbuka puasa di sebuah restoran
tahun 2012 dahulu. “Dulu kau bukan main heboh lagi nak masuk IPG, kenapa tak
masuk jadi cikgu?” Soalnya kepada saya. “Dah tak ada rezeki nak masuk, nak buat
macam mana.” Jawab saya.
Namun begitu, rasa kecewa itu semakin
lama semakin terubat dan lama kelamaan semangat saya untuk jadi guru itu telah
mati. Walaubagaimanapun, saya tetap akan menjadi guru. Menjadi seorang guru
dalam dunia penulisan. Mendidik umat Islam, orang Melayu dan rakyat Malaysia
dengan menggunakan pena. Bukankah pena itu lebih tajam dari mata pedang?
Pesanan saya kepada guru guru di luar sana , bersyukurlah kerana
anda berjaya menjadi seorang guru. Bukan semua orang dapat menjadi guru seperti
anda. Gunakanlah peluang yang diberi oleh Allah dan kerajaan ini dengan sebaik
mungkin. Sebarlah ilmu kepada anak bangsa kita sebanyak mungkin dan taburlah
baktimu kepada negara ini sebesar mungkin.
Sesungguhnya kerjaya yang anda pilih ini
sangat mulia. Jangan sesekali mensia siakannya. Saya sedih melihat guru guru yang
sikapnya seperti penjenayah! Bertindak sesuka hati terhadap anak murid tanpa
ada rasa belas kasihan. Sudah banyak kes yang melibatkan guru mencederakan anak
murid. Saya tidak mahu menulis kes kes tersebut di sini. Rakan rakan boleh cari
sendiri di internet mengenai salah laku guru guru ini. Guru guru seperti inilah
yang telah mencemarkan profesion perguruan yang mulia ini.
Saya masih ingat kata kata ayah saya
“semua pendidik adalah guru tetapi bukan semua guru adalah pendidik. Semua orang boleh menjadi guru tetapi bukan
semua orang boleh menjadi pendidik.” Ternyata apa yang dinyatakan oleh ayah
saya itu banyak betulnya dengan melihat kepada keadaan sekarang. Ramai orang
memilih kerjaya sebagai seorang guru sebagai kerjaya terakhir dan akhirnya
mereka melakukan perkara perkara yang menjahanamkan martabat perguruan itu
sendiri seperti memukul pelajar sehingga cedera dan sebagainya.
Saya menulis ini adalah berdasarkan
pengalaman saya sendiri. Saya teringat akan guru Matematik saya ketika saya di
Tingkatan 3, guru Bahasa Inggeris saya ketika di tingkatan 5, pensyarah perakaunan saya ketika saya di semester pertama dahulu
dan pensyarah Bahasa Arab ketika saya di semester dua. Keempat empat matapelajaran ini bukanlah matapelajaran yang saya minat dan agak sukar namun
akibat kesungguhan dan dedikasi mereka mengajar saya menyebabkan saya mampu
lulus dengan cemerlang dalam ketiga tiga matapelajaran itu.
Ini membuktikan bahawa guru juga
merupakan salah satu faktor terpenting dalam kejayaan seseorang pelajar itu.
Justeru itu, anda perlu melakukan tugas anda dengan bersungguh sungguh dan
penuh dedikasi untuk memastikan kejayaan para pelajar anda sendiri.
Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan
Selamat Hari Guru kepada guru guru saya dan guru guru yang ada di seluruh Malaysia .
Tanpa mereka sudah tentu saya bukan menjadi manusia seperti hari ini. Terima
kasih cikgu. Segala jasa baik cikgu amat saya hargai dan tidak dapat saya balas
sampai bila bila. Hanya Allah yang mampu untuk membalas jasa jasa cikgu semua.
Semoga Allah memberi ganjaran yang baik di atas jasa bakti cikgu kepada saya
selama ini. Terima kasih cikgu…
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.