Ahad, 11 Mei 2014

GST, AZIZ SATTAR DAN EL NINO

      Hampir setiap hari orang bercakap pasal Goods and Service Tax (GST) atau dalam Bahasa Melayunya Cukai Barangan dan Perkhidmatan. Kiri kanan depan dan belakang orang bercakap pasal GST. Di kedai kopi, di restoran mewah, di hotel lima bintang dan di mana sahaja orang bercakap tentang GST. Dari pemandu teksi hingga ke ahli akademik juga ahli politik tidak habis habis berbincang tentang cukai yang akan dilaksanakan oleh kerajaan mulai Mei tahun hadapan ini.

      Pelbagai teori, pendapat, kritikan dan pujian yang diterima oleh cukai ini. Tiba tiba sahaja nama GST menjadi begitu popular dan diperdebatkan di mana mana. Ada yang bersetuju dengan pelaksanaannya dan tidak kurang juga yang menentang. Pihak kerajaan (BN) terus mempertahankan cukai ini manakala pihak pembangkang (PR) bermati matian menentang. Saya sendiri berasa takjub melihat sebegitu ramai orang bercakap pasal GST seolah olah mereka itu pakar ekonomi namun apabila ditanya apa maksud GST itu ada juga yang tidak tahu!


      Sebetulnya saya sendiri tidak memahami GST ini secara maksimum. Ini kerana GST ini melibatkan ekonomi dan ekonomi bukanlah bidang yang saya minat. Saya sekadar tahu keberkesanan dan keburukannya namun teori serta praktikalnya secara menyeluruh tidaklah saya ketahui. Jadi, memadailah saya tidak membahaskan mengenai GST ini secara terperinci kerana saya khuatir rakan rakan sekalian akan mendapat maklumat yang salah apabila membaca blog saya ini. Lebih memalukan jika saya salah dalam menghurai tentang GST ini sudah pasti saya akan dikecam. Jadi, lebih baik saya ikut saranan Pak Habib (S. H. Alattas) – tulis apa yang kita tahu sahaja. Jangan tulis perkara yang bersifat half truth.

      Jika ditanya kepada saya, adakah saya bersetuju GST itu dilaksanakan di negara ini? Jawapan saya adalah saya bersetuju dan pada masa yang sama juga tidak bersetuju. Mengapa? Ini kerana GST itu sendiri mempunyai kebaikan dan keburukannya tersendiri. Kebaikkannya adalah orang tidak boleh lari dari membayar cukai seterusnya meningkatkan pendapatan negara. Keburukkannya adalah cukai ini membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana seperti keluarga saya.

      Tentu rakan rakan sekalian mengatakan saya seorang penulis yang tidak ada pendirian dalam soal ini. Ya. Memang saya tidak ada pendirian dalam soal ini kerana pada saya cukai ini mempunyai pro dan kontranya yang tersendiri. Susah untuk saya menolak dan susah juga untuk saya menerimanya ibarat diluah mati emak ditelan mati bapak.

       Saya menulis tentang GST ini bukan tanpa fakta yang rapi. Saya sudah mendengar pendapat dari kedua dua belah pihak – kerajaan dan pembangkang dalam soal ini. Setiap apa yang dikatakan oleh kedua dua belah pihak ini sukar untuk kita nafikan. Jadi, sebagai seorang penulis yang tidak bias kepada mana mana pihak, lebih baik saya mengambil sikap berkecuali dalam hal ini.

       Apa yang hendak saya tekankan adalah, apabila GST ini sudah dilaksanakan pada tahun hadapan dan diteruskan sampai bila bila, pastikan kerajaan menggunakan hasil kutipan cukai ini dengan sebaik mungkin. Gunakan duit itu untuk pembangunan agama, bangsa dan negara ini. Jangan gunakan duit rakyat itu untuk memenuhi tuntutan nafsu serakah ahli ahli politik yang rakus dalam merompak wang rakyat. Ingat! Rakyat membayar cukai untuk pembangunan negara bukan untuk masuk dalam tembolok pemimpin negara!

Belasungkawa : Aziz Sattar dalam kenangan

      Sesungguhnya negara telah kehilangan seorang seniman dan pelakon veteran yang cukup berbakat iaitu Allahyarham Aziz Sattar. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir di Pusat Perubatan KPJ Kajang kerana penyakit jantung di usia 89 tahun. Allahyarham bukanlah pelakon yang saya minat tetapi apabila saya menonton filem beliau bersama Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarham S. Samsudin menerusi filem Seniman Bujang Lapok dan Bujang Lapok saya pasti tidak akan henti henti ketawa.
      
      Babak lakonannya yang paling saya minat adalah ketika dia discreen testkan oleh Pengarah Ahmad Nisfu di dalam filem Seniman Bujang Lapok. ‘Walaupun rupa mu tidak ku kenal tetapi lubang hidungmu tetap menjadi pujaan hatiku.’ Itulah dialog yang paling lucu yang saya rasa mewujudkan satu identiti buat diri Allayarham dalam lakonannya. Semoga Allahyarham di tempatkan dalam kalangan orang beriman dan semoga rohnya di cucuri rahmat. Al Fatihah…

El Nino : Ujian Allah Buat Kita

       Fenomena El Nino yang mengakibatkan peningkatan suhu dan taburan hujan dijangka akan melanda rantau Asia Tenggara  pertengahan tahun ini. Menurut Sinar Harian (Khamis, 8 Mei 2014) pakar kaji cuaca belum dapat memastikan adakah Malaysia akan menerima tempias El Nino pada kali ini namun jika ia berlaku kemungkinan untuk Malaysia menghadapi musim kemarau berpanjangan selama enam bulan berturtut turut mulai tahun ini.

            Diharapkan agar pihak berkuasa yang terlibat dalam pengurusan bekalan air agar membuat persediaan awal bagi menghadapi fenomena luar biasa ini untuk mengelakkan krisis bekalan air yang serius.

       El Nino adalah fenomena pemanasan suhu permukaan laut yang berlaku dalam tempoh enam bulan berturut turut setiap dua hingga empat tahun di Timur Lautan Pasifik.


       Seandainya fenomena ini berlaku di Malaysia, apa yang saya harapkan adalah kita perlu banyak bersabar untuk menghadapi ujian Allah ini. Sama samalah kita berdoa agar fenomena ini tidak berlaku di Malaysia.     

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.