Isnin, 16 Januari 2017

HINA DAN PUJI BUAT FAIZ SUBRI



Image result for faiz subri
Sumber : Google


Setinggi tinggi tahniah saya ucapkan kepada Faiz Subri di atas kemenangan dalam The FIFA Puskas Award 2016 yang diterima olehnya. Sesungguhnya kemenangan yang diterima oleh Faiz itu telah mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia. Ribuan terima kasih kepada Faiz kerana telah mempopularkan negara di persada antarabangsa. 


Ramai rakyat Malaysia tumpang gembira atas kejayaan yang Faiz Subri terima. Tidak putus putus pujian yang datang kepada beliau di sini sana. Yalah, bukan mudah untuk mana mana anak Malaysia meraih anugerah yang cukup berprestij di pentas antarabangsa. Bila sesekali diterima, gegak gempitalah seluruh negara.  


Di sebalik sanjungan dan pujian yang beliau terima, kritikan dan penghinaan terhadap diri beliau tetap juga ada. Kritikan dan penghinaan ini bermula sejak dari awal lagi beliau dicalonkan untuk menerima anugerah yang berprestij itu. Pastilah ada sebab mengapa orang ramai melemparkan kritikan dan penghinaan sebegitu.


Kemenangan Faiz mula menjadi pertikaian apabila melihat kedudukan bola sepak Malaysia di pentas antarabangsa begitu memalukan. Orang ramai membuat pertikaian bagaimana Faiz boleh menang di saat bola sepak Malaysia berada di kedudukan bawahan. Tidaklah logik jika seorang pemain yang hebat berada dalam pasukan bola sepak negara yang sentiasa dirundung dengan kekalahan demi kekalahan.  


Pada saya kemenangan Faiz itu usahlah dipertikaikan. Ya, saya akui bahawa pasukan boleh sepak Malaysia begitu banyak kelemahan. Tetapi kemenangan yang diterima oleh Faiz itu adalah kemenangan individu dan bukannya kemenangan berpasukan. Faiz menang atas dasar undian. Ramai suka dengan cara Faiz melakukan jaringan semasa perlawanan. Yang undi Faiz itu bukan rakyat Malaysia sahaja, penduduk dunia pun ramai yang undi juga.


Tidak cukup dengan kemenangan yang menjadi pertikaian, pakaian yang Faiz mahu pakai semasa menerima anugerah itu turut dipersoalkan. Faiz bercadang untuk memakai baju Melayu serta bertengkolok sekali. Ramai yang hina dan keji di dalam media sosial kerana menganggap Faiz terlalu berlebihan dalam hal ini. 


Saya percaya bahawa Faiz mahu berbaju Melayu dan bertengkolok itu kerana beliau mahu membawa imej Melayu dan imej Malaysia di persada dunia. Saya yakin di hati kecilnya beliau berbangga menjadi anak Melayu dan anak Malaysia. Atas sebab itulah dia memasang niat sebegitu rupa. Tetapi niat baik Faiz itu telah disalahtafsir oleh ramai orang dalam negara dan sebab itulah banyak penghinaan yang beliau terima. Namun akhirnya beliau membatalkan niat tersebut atas faktor cuaca. 


Saya tidak hairan perkara semacam itu boleh berlaku. Sememangnya ramai rakyat Malaysia berfikiran sebegitu. Mereka lebih suka bercakap hal yang remeh temeh dan suka menyibuk akan perihal diri orang. Sebab itulah minda rakyat Malaysia terus terkekang dan tidak berkembang. Dan pada saya manusia sebegini hanyalah bagai anjing yang menyalak di waktu siang!


Kita sepatutnya berbangga dan menyokong hasrat Faiz untuk berbaju Melayu itu. Sekurang-kurangnya masyarakat dunia tahu apa itu Malaysia dan apa itu Melayu. Barulah budaya dan negara kita masyarakat dunia boleh kenal dan tahu.



Bahasa yang Faiz guna semasa berucap setelah menerima anugerah itu pun tetap juga orang mahu kritik dan hina. Ada yang menyoal mengapa Faiz tidak bercakap dalam bahasa Melayu sahaja? Ada juga yang menyoal mengapa bahasa Inggeris yang Faiz guna, teruk sebegitu rupa? Masing masing bercakap seolah-olah mereka adalah sarjana bahasa!


Sebagai pelajar bahasa, pastilah saya tidak setuju dengan bahasa Inggeris yang Faiz guna. Saya lebih cenderung untuk Faiz berucap dalam bahasa Melayu kerana ia adalah bahasa kebangsaan dan bahasa ibundanya. Saya tetaplah mahu kata yang Faiz tidak cuba memartabatkan bahasa kebangsaan bagi Malaysia. Tetapi saya tidak mahu pertikai ataupun hina. Saya optimis pastilah Faiz ada sebab sebab tertentu mengapa beliau menggunakan bahasa Inggeris dan bukannya bahasa Melayu. Maka, saya hormati keputusannya untuk berucap dalam bahasa Inggeris itu. 


 Saya tidak mahu pertikai baik atau buruk bahasa Inggeris yang Faiz guna. Saya tidak mahir dalam bahasa Inggeris maka tidaklah layak untuk saya bercakap mengenainya. Apa yang pasti, Faiz cuba untuk bercakap bahasa Inggeris yang ramai rakyat Malaysia sanjungi. Sama ada buruk ataupun baik kita tolaklah ketepi. Janganlah terlalu mengecam orang seolah olah kita ini sempurna serba serbi. Untuk berada di kedudukan Faiz itu ramai orang belum tentu boleh lagi.


Apa pun, Faiz Subri telah pun meraih kemenangan. Sama ada yang Faiz terima itu sebuah pujian ataupun segunung penghinaan, Faiz perlulah berlapang dada dan terbuka fikiran. Memang kita tidak boleh memuaskan hati semua orang. Lebih baik jadi diri sendiri daripada mengikut telunjuk orang. Yang penting Allah tahu niat yang kita pasang.

1 ulasan:

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.