Khamis, 23 Julai 2015

CERPEN : MANA DUIT KAMI?

Sumber : Google

         Pilihanraya umum akan berlangsung seminggu sahaja lagi. Ramailah calon calon dari parti kerajaan dan parti pembangkang berkempen di kawasan yang mereka tandingi untuk meraih undi. Setiap malam, ada sahaja ceramah diadakan bagi memperkenalkan calon yang bertanding di samping mendengar idea idea yang mahu dikemukakan oleh mereka untuk tujuan pembangunan. Menyembur-nyembur air liur mereka semasa berceramah untuk memikat hati pengundi supaya mengundi mereka dalam pilihanraya umum itu.

         Kehangatan dan bahang pilihanraya itu turut dirasai oleh penduduk Kampung Paku Besar. Hampir setiap hari ada sahaja ahli ahli parti atau calon bertanding – tidak kira dari parti pembangkang mahupun dari parti kerajaan singgah ke rumah mereka untuk berkempen. Pelbagai ayat ayat dan janji janji manis yang mereka taburkan kepada penduduk kampung. Pelbagai buah tangan yang mereka bawa berupa buah buahan dan makanan asasi untuk diberi kepada penduduk Kampung Paku Besar. Tidak dinafikan itu adalah teknik untuk calon berkempen bagi memikat hati penduduk Kampung Paku Besar supaya memberi undi kepada mereka.

         Di sebelah pagi, pelbagai program dianjurkan oleh kedua dua buah parti dan calon untuk bertemu dengan para penduduk. Pelbagai projek pembangunan yang akan calon calon itu berikan kepada penduduk kampung sekiranya mereka menang sebagai wakil rakyat di kawasan Kampung Paku Besar. Disebelah malam pula, ceramah ceramah politik juga dianjurkan untuk tujuan kempen di samping untuk membelasah pihak lawan. Calon dari parti kerajaan akan menghemtam calon dari parti pembangkang manakala calon dari parti pembangkang pula akan ‘membelasah’ calon dari parti kerajaan. Pendek kata, pelbagai cara yang mereka gunakan untuk membongkar keburukan lawan supaya pengundi tidak akan mengundi calon dari parti kerajaan atau calon dari parti pembangkang.


        Kempen itu tidak terhad atas kunjungan dari rumah ke rumah sahaja. Calon dari kedua dua parti turut berkunjung ke warung kopi, kedai makan, kedai runcit dan bengkel kereta untuk berkempen. Mereka seolah olah tidak berasa penat untuk berkempen bagi memenangkan diri sendiri. Ironinya, penduduk Kampung Paku Besar menerima kehadiran kedua dua calon itu dengan tangan terbuka. Mereka tidak menghalau calon atau penyokong parti yang datang ke tempat mereka walaupun mereka tidaklah menyokong parti itu. Mereka tetap melayan kedatangan calon itu dengan baik dan penuh sopan. 

          Bagi penduduk kampung yang pro kepada parti tertentu, mereka tidak punya masalah untuk memilih calon untuk di undi pada hari pengundian nanti. Penduduk kampung yang menyokong parti kerajaan sudah pastilah akan mengundi calon dari parti kerajaan iaitu Datuk Johan Gendut. Manakala penduduk kampung yang menyokong parti pembangkang, sudah pastilah akan mengundi calon dari parti pembangkang iaitu Dr. Laila Kering. Apa yang menjadi masalah adalah penduduk kampung yang tidak pro kepada mana mana parti atau lebih dikenali sebagai pengundi atas pagar. Mereka inilah yang akan menjadi penentu kepada kemenangan seseorang calon itu kerana bilangan mereka lebih ramai dari pengundi pengundi yang menyokong sesebuah parti politik.
 
           “Kau undi siapa nanti Man? Johan Gendut ke Laila Kering?” Soal Yazid Bengkeng sewaktu minum di Warung Tak Sedar Diri. Bersama sama dengannya di warung itu adalah Leman Lengeng dan Majid Buncit. Majid Buncit seraya memandang ke arah Leman Lengeng untuk mendengar jawapan daripada lelaki yang tidak gemar berbaju itu sambil menghirup teh tarik yang dibancuh oleh Limah Janda – taukeh Warung Tak Sedar Diri itu.

          Leman Lengeng menggaru garu dadanya yang tiba tiba diserang rasa gatal. Dia mengibas-ngibas badannya yang kurus kering dan separuh bogel itu dengan menggunakan baju lusuh yang tersangkut di bahunya. Dialah satu satunya penduduk Kampung Paku Besar yang tidak gemar berbaju walau ke mana sahaja dia pergi. Ke sawah atau ke kebun, dia memang tidak akan berbaju. Bajunya ada tetapi selalu sangat tersangkut di bahunya. Dia hanya berbaju jika dia keluar dari kawasan Kampung Paku Besar. Jika tidak, dia akan terus berlengeng berjalan ke sekeliling kampung tanpa baju. Memang aneh orang kampung melihatnya namun apabila mereka sudah biasa, mereka tidak mengendahnya. Cuma orang luar sahaja yang akan memandang pelik padanya atau mungkin juga mereka anggap dia gila!

        “Aku tak tahu lagi la Pak Yazid. Aku belum buat keputusan lagi.” Jawab Leman Lengeng.

       “Ala...apa susah, kau undi saja Dr. Laila Kering. Lagipun dia dari parti Islam. Dah tentu tentu kau dapat pahala dan masuk syurga kalau kau undi dia sebab satu undi kau bagi kat dia, kau dah tegakkan syiar Islam di negara ni.” Begitu bersemangat sekali Yazid Bengkeng memberi penerangan kepada Leman Lengeng. Leman Lengeng menggaru garu kepalanya yang tidak gatal kerana dia tidak memahami apa kena mengena mengundi dalam pilihanraya dengan syurga, pahala, dosa, dan neraka. 

          Majid Buncit sekadar memerhati sahaja apa yang diucapkan oleh Yazid Bengkeng. Dia menggeleng-geleng kepalanya dan tergelak kecil penuh sinis mendengar kata kata Yazid Bengkeng itu.

         “Mana kau tahu kalau undi Dr. Laila tu boleh masuk syurga? Aku tak pernah dengar lagi ustaz ustaz bagi ceramah kata kalau undi Dr. Laila akan masuk syurga. Yang aku tahu kalau nak masuk syurga kita kena solat, puasa, tunai zakat, bersedekah bukan bagi undi dalam pilihanraya.” Ujar Majid Buncit.

         Apabila mendengar kata kata Majid Buncit itu, serta merta perasaan marah menerpa dalam diri Yazid Bengkeng. Dia lantas menepuk meja kerana tidak tahan apabila Majid Buncit membangkang kata katanya.

        “Kau apa tahu? Kau tu penjilat super tegar parti kerajaan. Kau jangan undi Johan Gendut tu Leman. Parti dia banyak makan rasuah. Suka rompak duit rakyat. Kejam dan zalim. Ingat Leman, kalau kau undi Dr. Laila, kau akan masuk syurga sebab kau dah tolong beri kemenangan pada Islam. Kalau kau undi Johan Gendut, kau berdosa besar sebab kau menangkan pemimpin yang suka rompak harta rakyat dan negara.” Kata Yazid Bengkeng yang terkenal dengan sikap cepat marah dan panas barannya.

          “Kau undi je siapa siapa yang kau suka Leman. Janji kau tunaikan tanggungjawab kau sebagai pengundi. Jangan rosakkan pemikiran kau dengan ceramah ceramah politik yang tak bertauliah tu.” Sindir Majid Buncit.

        “Pak Yazid dengan Pak Majid ni tahu tak yang saya tak mendaftar lagi sebagai pengundi. Macam mana saya nak mengundi?” Leman Lengeng bersuara sambil tersipu sipu malu. Kemudian dia tersengih sengih memandang kedua dua lelaki itu.

        “Ya Allah...kau ni sengal la Leman. Umur dah banyak pergi la daftar sebagai pengundi. Tunaikan tanggungjawab kau sebagai warganegara.”  Yazid Bengkeng agak marah dengan kata kata Leman Lengeng itu namun Leman Lengeng hanya tersengih sengih macam kerang busuk.

        “Saya malas la nak mengundi. Saya malas nak campur hal hal politik ni. Politik ni menyebabkan kita jadi berpecah belah. Kita bergaduh walaupun sesama Islam. Saya tengok Pak Yazid dan Pak Majid ni pun cukuplah. Pasal politik pun nak berparang parang.” Balas Leman Lengeng.

        “Politik tu bagus Leman cuma bila ada manusia dari parti pembangkang yang suka mengkafir kafirkan orang, cakap sembahyang orang tu tak sah, sembahyang orang ni tak sah, itu yang umat Islam berpecah belah tu. Kalau ahli politik dari parti pembangkang tak jual agama, tak guna agama dalam politik, aku yakin masalah yang kau cakap tu takkan berlaku.” Majid Buncit menyanggah.

         “Lagi bagus la guna agama dalam politik daripada parti kau yang suka jual fitnah dalam politik. Tak suka dengan mana mana ahli politik daripada parti pembangkang, diaorang buat video seks pastu diaorang sebar dalam internet. Diaorang tabur janji entah apa apa kat penduduk kampung. Penduduk kampung yang bodoh, tak tahu apa apa, undilah diaorang, lepas tu sedih bila wakil rakyat dari parti kerajaan tak datang tengok, tak tolong diaorang masa diaorang tengah susah.” Yazid Bengkeng meningkah.

         “Dah la tu Pak Yazid dengan Pak Majid. Asyik bergaduh je korang dua ni. Saya nak balik dulu la. Nak tengok kebun sayur saya tu. Assalamualaikum.” Ucap Leman Lengeng dan terus ke kaunter untuk membuat pembayaran. Kemudian dia menghidupkan enjin motosikalnya dan berlalu pergi. Dia malas mahu melihat kedua dua penyokong parti politik itu bertegang leher.

         “Semua ni kau punya pasal. Kalau kau tak buat fitnah kat parti aku, aku dah boleh dah suruh si Leman undi parti pembangkang nanti. Tapi sebab kau buat fitnah, sama macam parti kau juga, habis rosak rancangan aku.” Yazid Bengkeng meluahkan kemarahannya kepada Majid Buncit setelah Leman Lengeng hilang dari pandangan mata mereka.

        “Siapa cakap aku buat fitnah? Aku hanya nak memperbetulkan keadaan je. Memang betul pun pemimpin parti pembangkang memang suka guna sentimen agama untuk meraih undi. Kalau korang tak guna agama, aku yakin parti yang kau sanjung tu dah lama terkubur dalam politik negara ni.” Bidas Majid Buncit.

        “Korang berdua ni nak minum ke nak bergaduh? Kalau nak bergaduh keluar dari kedai aku. Banyak lagi orang nak duduk minum kat sini. Dengar korang bergaduh, silap silap hari bulan habis lari semua pelanggan aku.” Limah Janda menegur Majid Buncit dan Yazid Bengkeng.

         “Sudahlah. Aku balik lagi bagus.” Kata Yazid Bengkeng lalu menuju ke motornya setelah membayar harga makanan. Majid Buncit sekadar memerhati sahaja sambil menggelengkan kepala.

.................................................................................................................

          Pilihanraya umum pun berlangsung dengan jayanya tanpa ada sebarang halangan. Semua pengundi yang berdaftar keluar mengundi bagi menunaikan tanggungjawab masing masing. Badan Penggerak Pilihan Raya Bagi Negara yang berperanan sebagai sebuah badan yang menjalankan pilihanraya sama ada pilihanraya umum atau pilihanraya kecil telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin dengan memastikan ‘pesta demokrasi’ itu berjalan lancar mengikut akta akta yang telah ditetapkan.

       Penduduk Kampung Paku Besar turut sama keluar beramai ramai untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi. Tanpa disangka sangka, parti kerajaan yang tidak pernah menang sekalipun di kawasan Kampung Paku Besar itu telah menang pada pilihanraya kali ini dengan menewaskan parti pembangkang. Datuk Johan Gendut yang mewakili parti kerajaan telah berjaya menewaskan Dr. Laila Kering daripada parti pembangkang. Datuk Johan Gendut menang kerana penduduk Kampung Paku Besar mahukan perubahan infrastruktur seperti balai raya, bangunan sekolah, jalan raya dan sebagainya disediakan seperti mana yang telah dijanjikan oleh Datuk Johan Gendut. 

         “Jahanamlah tempat ni bila Johan Gendut tu menang.” Ujar Yazid Bengkeng setelah keputusan kemenangan Datuk Johan Gendut itu diumumkan oleh pegawai Badan Penggerak Pilihan Raya Bagi Negara pada malam pilihanraya umum itu.

         “Kenapa Pak Yazid cakap macam tu?” Leman Lengeng bertanya walaupun dia tidak pergi mengundi pada hari itu kerana belum mendaftar lagi.

        “Ye la, nanti kau tengok sajalah nanti apa dia akan buat kat kampung ni. Macam macam projek dia akan buat sebab nak kayakan kroni kroni dia. Tempat ni akan jahanam sebab sifat rakus dan tamak dia tu. Kau tahu, dia ni kaki rasuah tau. Aku pun tak faham kenapalah dia boleh menang.” Yazid Bengkeng menjawab dengan rasa tidak puas hati.

       “Dah orang semua undi dia, sebab tu dia menang.” Leman Lengeng menjawab.

      “Bukan...dia menang sebab dia rasuah penduduk kampung ni. Dia bagi duit la, beras la, gula la, pastu dia nak bangunkan sekolah la, nak baiki jalan raya la, padahal tu semua hanyalah gula gula pilihanraya je. Penduduk kampung ni pun satu, nampak duit sikit langsung gelap mata.” Yazid Bengkeng meningkah.

        Leman Lengeng hanya diam sahaja mendengar kata kata Yazid Bengkeng. Matanya tertancap pada susuk tubuh Datuk Johan Gendut yang sedang bersalaman dengan ahli parti dan pengundi pengundinya. Beribu ribu ucapan tahniah yang diterima olehnya. Malam itu senyuman Datuk Johan Gendut lebar sekali kerana terlalu gembira. Dia sangat berpuas hati dengan jentera partinya yang telah bertungkus lumus memenangkannya di kawasan itu. Di benar benar tidak menyangka bahawa dia mampu untuk menang sebagai wakil rakyat di kawasan itu padahal kawasan Kampung Paku Besar itu sudah empat penggal dikuasai oleh parti pembangkang. Dia bolehlah dianggap sebagai wira kerana telah berjaya menembusi kubu kuat parti pembangkang.

        “Kau tengoklah senyuman dia tu. Mesti dia tengah gembira sangat sebab rancangan dia dah berjaya. Kau tengoklah nanti apa dia akan buat kat kawasan kampung ni. Silap silap haribulan kampung ni boleh tergadai dibuatnya.” Yazid Bengkeng masih berkata kata meluahkan rasa tidak puas hatinya. Leman Lengeng hanya diam sahaja. Dia mula memikirkan kata kata Yazid Bengkeng itu. Dia mahu lihat sejauh mana benarnya kata kata Yazid Bengkeng.

.................................................................................................................

         Rancangan pembangunan yang dicadangkan oleh kerajaan dan dipersetujui oleh Datuk Johan Gendut sebagai wakil rakyat di kawasan itu telah menimbulkan rasa gusar dan amarah di hati penduduk Kampung Paku Besar. Pihak kerajaan yang diketuai oleh Perdana Menteri mahu membangunkan kondominium, hotel, dan pusat membeli belah di atas tanah Kampung Paku Besar. Memandangkan kawasan Kampung Paku Besar itu terletak di pinggir Bandar Awangan, maka kerajaan melihat kawasan itu sangat berpotensi sebagai sebuah bandar komersial. Kerajaan boleh menjana pendapatan berbilion bilion ringgit hasil pembangunan di kawasan itu.

         Walaupun rancangan itu dilihat megah pada pandangan orang ramai, namun tidak pada pandangan penduduk Kampung Paku Besar. Mana tidaknya, kerajaan mahukan tanah penduduk kampung tersebut untuk tujuan pembangunan, tetapi kerajaan tidak mahu membayar mengikut harga hartanah semasa. Harga tanah semasa penduduk kampung di situ adalah RM1000 kaki persegi tetapi kerajaan tidak mahu membayar mengikut harga tersebut. Kerajaan mahu membayar  lebih rendah daripada harga tanah semasa. Inilah yang menimbulkan rasa tidak puas hati di pihak penduduk Kampung Paku Besar dan mereka tidak mahu menjual tanah mereka kepada kerajaan. Mereka tetap menentang cadangan tersebut walaupun sudah beberapa kali perbincangan dibuat antara pihak kerajaan dengan pihak penduduk Kampung Paku Besar.

       Oleh kerana kedegilan penduduk kampung itu, pihak kerajaan mula bertindak balas dengan mendirikan bangunan yang tinggi tinggi di sekitar Kampung Paku Besar. Walaupun sudah acapkali dibantah, namun kerajaan langsung tidak mengendahkan bantahan penduduk kampung. Kerajaan terus membina kondominium mewah setinggi dua puluh tingkat sebanyak tujuh buah di sekeliling kampung itu menyebabkan kawasan kampung itu sedikit terkepung dan terhimpit dengan bangunan bangunan yang tinggi itu.   

          Pada suatu hari, berlakulah suatu tragedi di mana berlaku tanah runtuh di kawasan Kampung Paku Besar oleh kerana pembangunan yang dibuat secara melulu di atas sebuah bukit oleh pihak kerajaan. Kawasan bukit itu mahu dibina sebuah pusat membeli belah di atasnya. Tanah runtuh itu telah menyebabkan tiga buah rumah rosak teruk dan salah sebuah rumah itu dimiliki oleh Leman Lengeng.

        Leman Lengeng dan dua orang jiran yang rumah mereka rosak itu telah datang kepada Datuk Johan Gendut untuk meminta bantuan di pejabat wakil rakyat namun gagal kerana Johan Gendut tiada di pejabat. Setiap kali mereka bertiga datang untuk meminta bantuan, setiap kali itulah Johan Gendut tiada di pejabat.

      “Apa ni? Kata wakil rakyat tapi asyik tak ada je nak dengar masalah rakyat. Baik tak payah jadi wakil rakyat kalau macam tu.” Kata Leman Lengeng kepada seorang wanita yang bertugas di pejabat wakil rakyat itu.

       “Saya minta maaf encik tapi Datuk Johan memang tak ada hari ni. Dia sekarang sibuk sebab sekarang dia dah jadi Pengerusi Syarikat Pembangunan Tanah Negara. Nanti kalau dia dah ada kat pejabat, saya akan segera hubugi encik bertiga.” Ujar wanita itu.

       “Dah sepuluh kali tau kami datang sini...asyik tak ada je.” Rungut salah seorang jiran Leman Lengeng yang rumahnya musnah kerana tanah runtuh itu. Dia berdiri di kanan Leman Lengeng.

       “Tah, penat penat kami undi dia, dia tak ada pula nak bantu kami. Masa mengundi hari tu bukan main baik lagi. Macam macam dia janji nak tolong kami. Dah jadi wakil rakyat, janji ke mana, dia ke mana.” Jiran yang mengalami nasib yang sama dengan Leman Lengeng turut meluahkan rasa tidak puas hatinya.

        “Saya betul betul minta maaf pada encik bertiga. Saya janji kalau Datuk Johan datang nanti, saya akan segera hubungi encik bertiga.” Kata wanita itu yang sudah mula cuak melihat muka Leman Lengeng yang masam mencuka itu.

.................................................................................................................

         “Aku dah cakap dah, jangan undi Johan Gendut tu tapi penduduk kampung ni degil. Nak juga bagi undi kat kaki rasuah tu. Sekarang tengok apa dah jadi. Masa kau susah ada si Johan tu datang tolong?” Yazid Bengkeng berkata ketika dia, Leman Lengeng dan Majid Buncit sedang berjalan menuju ke rumah seusai menunaikan solat Isyak secara berjemaah di masjid kampung itu. Leman Lengeng hanya diam sahaja. Dia sedih dengan nasib yang menimpa dirinya.

        “Apa kata kau pergi jumpa dengan orang di Jabatan Perumahan Negara. Cuba kau mengadu nasib kat sana. Setahu aku, projek atas bukit tu di bawah kendalian Jabatan Perumahan Negara.” Cadang Majid Buncit.

       “Tak payah la susah susah Leman. Buang masa kau je. Diaorang pun takkan boleh bantu kau. Percaya la cakap aku.” Ujar Yazid Bengkeng sambil tersenyum sinis.

       “Belum cuba belum tahu lagi Leman. Esok aku bawa kau dengan dua orang jiran kau tu pergi ke Jabatan Perumahan Negara.” Kata Majid Buncit lagi.

        “Okeylah Pak Majid. Esok saya cakap dengan jiran saya dua orang tu. Kesian saya tengok diaorang Pak Majid. Terpaksa menumpang kat rumah saudara mara untuk berteduh. Saya pun nasib baik mak mertua ada kat sini. Kalau tak...tak tahu saya nak duduk kat mana.” Balas Leman Lengeng dengan nada sedih. Yazid Bengkeng hanya tersenyum sinis. Dia yakin yang usaha Majid Buncit untuk membawa Leman Lengeng dan dua orang jirannya itu ke pejabat Jabatan Perumahan Negara hanya sia sia belaka. Dia pasti usaha mereka itu tidak akan berhasil.   

.................................................................................................................

         Pagi pagi la Leman Lengeng dan dua orang jirannya sudah sampai di pejabat Jabatan Perumahan Negara dengan menaiki motokar yang dipandu oleh Majid Buncit. Setelah mengambil nombor giliran, mereka menunggu seketika sebelum dipanggil untuk bertemu dengan salah seorang pegawai yang bertugas di jabatan itu. Leman Lengeng pun lantas menceritakan masalah yang mereka hadapi dan meminta jalan penyelesaian daripada pegawai tersebut.

       “Pihak kami amat maklum tentang hal itu. Kami faham masalah yang encik bertiga hadapi. Oleh itu, kami sudah mengeluarkan pampasan sebanyak RM25 000 untuk setiap orang bagi membaiki kerosakan rumah encik bertiga. Kami juga akan hantar orang orang kami untuk membersihkan tanah runtuh tu. Minggu depan mereka sampai. Maafkan kami kerana berlaku kelewatan sedikit memandangkan kami perlu mencari badan yang bertauliah bagi membersihkan kesan tanah runtuh itu.” Ujar pegawai itu setelah Leman Lengeng menceritakan masalah mereka bertiga.
      
       “Baguslah kalau macam tu. Bila kami boleh dapatkan RM25 000 tu? Maklum sajalah, kami ni bukannya orang kaya sampai ada dua tiga rumah. Kalau boleh kami nak dapat cepat duit tu untuk baiki kerosakkan rumah kami tu.” Kata Leman Lengeng.

          “Oh...pihak kami dah bagi duit tu kepada wakil rakyat Kampung Paku Besar iaitu Datuk Johan Gendut. Dia yang minta duit tu sebab dia nak bahagi bahagikan kepada encik bertiga. Encik tak jumpa dia ke?” Balas pegawai tersebut. Jawapan yang keluar dari mulut pegawai tersebut telah mengejutkan Leman Lengeng, Majid Buncit dan dua orang jiran Leman Lengeng itu.

         “Bila pihak tuan bagi duit tu kat Datuk Johan Gendut?” Majid Buncit bertanya dengan rasa tidak puas hati.

       “Mengikut rekod kami dah bagi sejak hari kedua lagi kejadian tanah runtuh tu berlaku. Apa dia tak bagi lagi ke?” Jawab pegawai itu lagi.

       “Dia tak pernah jumpa kami pun sejak dia menang pilihanraya tahun lepas. Bila kami nak jumpa dia, dia asyik tak ada kat pejabat je.”  Salah seorang jiran Leman Lengeng menjawab.

        “Saya fikir lebih baik encik segera jumpa dia. Minta duit tersebut daripada dia dengan segera untuk baiki rumah encik bertiga.” Ucap pegawai itu.

.................................................................................................................

        Leman Lengeng dan dua orang jirannya berusaha untuk berjumpa dengan Datuk Johan Gendut untuk meminta pampasan yang telah diberikan oleh Jabatan Perumahan Negara untuk membaiki rumah mereka yang rosak teruk. Pada awalnya, mereka gagal untuk berjumpa dengan wakil rakyat Kampung Paku Besar itu namun setelah berusaha beberapa kali, mereka akhirnya dapat bertemu dengan wakil rakyat tersebut. Mereka segera meminta pampasan daripada Datuk Johan Gendut namun dia telah memberikan pelbagai alasan yang tidak munasabah seolah olah duit itu dia yang punya. Wakil rakyat Kampung Paku Besar itu berjanji akan segera memberi wang tersebut setelah semua urusannya selesai. Urusan apa? Tidak pula diketahui oleh Leman Lengeng walaupun sudah ditanya berkali kali kepada lelaki itu. Lelaki itu asyik berdolak dalik dan memberi pelbagai alasan. Keengganan Datuk Johan Gendut menyerahkan wang pampasan itu telah mengundang kemarahan penduduk Kampung Paku Besar termasuklah Yazid Bengkeng.    

        “Aku dah cakap dah jangan undi Johan Gendut tapi korang degil. Korang nak juga undi penjarah harta rakyat dan si perasuah tu. Sekarang tengok apa dah jadi?” Yazid Bengkeng menghamburkan kemarahannya kepada penduduk Kampung Paku Besar yang hadir dalam mesyuarat tergempar yang dibuat oleh ketua kampung di balai raya kampung tersebut.

         “Aku setuju dengan kau Yazid. Sebelum ni aku bermati-matian sokong Johan Gendut tu. Tak sangka dia sanggup buat kita macam ni. PRU akan datang kita jangan sokong lagi dia. Kita jangan bagi undi kat parti kerajaan.” Majid Buncit bercakap dengan nada kesal.

       “Sudahlah tu, kita dah tak boleh buat apa apa lagi. Nasihat saya, jangan undi lagi calon calon dari parti kerajaan pada PRU akan datang. Kita undi sahaja calon dari parti pembangkang. Biarlah tak ada pembangunan kat kampung kita ni asalkan dia datang juga tengok kita sekali sekala dan cuba juga untuk bantu kita daripada calon parti kerajaan tu yang lansung tak buat apa apa.” Kata Tok Ketua dengan nada kecewa. Dia sama sekali tidak menyangka bahawa mereka akan mendapat seorang wakil rakyat yang teruk seperti itu.

        “Macam ni saja la. Saya cadangkan kita kutip derma daripada penduduk kampung untuk baiki rumah Leman Lengeng dengan dua jirannya tu. Pastu kita gotong royong baiki rumah tersebut. Aku akan cuba cari dana untuk tampung perbelanjaan membina rumah tu kalau derma tak cukup.” Sambung Tok Ketua lagi. Semua penduduk kampung termasuklah Yazid Bengkeng dan Majid Buncit bersetuju dengan cadangan Tok Ketua.  
         
        “Saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada Tok Ketua dan penduduk kampung sebab sudi bantu saya sejak saya dan keluarga saya berada dalam kesusahan. Sesungguhnya jasa korang semua memang tak dapat saya balas. Kalau nak harapkan wakil rakyat kita, sampai kiamat pun saya takkan ada rumah.” Ucap Leman Lengeng dengan nada sayu.

       “Tak apalah Leman. Kita sebagai orang sekampung wajar bantu membantu penduduk kampung yang dalam kesusahan. Aku yakin ramai orang kampung akan hulurkan bantuan. Esok derma kilat akan kita lancarkan untuk dapatkan dana untuk bina rumah kau tu.” Balas Tok Ketua.

      Leman Lengeng dan dua orang jirannya sangat bersyukur di atas keikhlasan Tok Ketua dan penduduk Kampung Paku Besar kerana sudi untuk membantu mereka. Namun, sehingga kini, mereka masih berasa kesal kerana mendapat wakil rakyat yang teruk seperti Datuk Johan Gendut itu.


4 ulasan:

  1. hmmmm....mcm pernah dgr kisah ni...tp di mana yerrr??? heheheh....tp itu lah hakikat yg amat sukar utk terima bg setengah pihak....realitinya....indah khabar dari rupa.....

    BalasPadam
  2. Wakil rakyat tu pasti tidak menggunakan duit berbilion rakyat untuk kepentingan diri huhu..

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.