Ahad, 30 September 2018

DAJJAL, YAKJUJ MAKJUJ SUDAH KELUAR ATAU BELUM?


Kita sering mendengar di mana-mana tentang hampirnya kedatangan kiamat kepada kita sementelahan kita ini ialah umat akhir zaman. Sudah pastilah apa yang kita dengar itu menggerunkan hati kita. Pasti kita berasa insaf sebentar dan cuba untuk menambahkan amal ibadat kita sebagai persediaan menanti kedatangan kiamat itu.

Kedatangan kiamat sangat sinonim dengan kehadiran Dajjal dan Yakjuj Makjuj. Keluarnya Dajjal dan Yakjuj Makjuj itu ialah tanda-tanda besar untuk tibanya kiamat. Kita sebagai orang Islam memang sentiasa takut dengan kehadiran makhluk-makhluk itu. Hal ini kerana, makhluk-makhluk tersebut akan membawa banyak kerosakan di muka bumi. Sebab itulah kita wajib berdoa kepada Allah supaya kita tidak lagi hidup tatkala makhluk-makhluk itu sudah keluar supaya kita tidak menerima bahana daripada kedatangan mereka.

Dajjal dan Yakjuj Makjuj memang selalu dikaitkan dengan Freemason, Illuminati dan Teori Konspirasi. Sejauh mana perkara itu betul masih lagi menjadi perdebatan. Kita sebagai orang Islam kadang-kadang lebih teruja untuk membaca kaitan Dajjal dan Yakjuj Makjuj dengan perkara-perkara tersebut berbanding membaca Surah Al-Kahfi untuk membentengi diri kita daripada terhasut dengan fitnah-fitnah Dajjal.

Kehadiran Dajjal dan Yakjuj Makjuj juga seolah-olah (ulang : seolah-olah) dinantikan oleh kita semua, umat Islam. Lihat sahaja apabila timbul berita tentang seorang kanak-kanak bermata satu lahir di dunia. Terus jadi kecoh seluruh alam memperkatakan hal itu kerana percaya bahawa Dajjal telah pun lahir ke bumi. Namun, kecoh-kecoh umat Islam setakat itu sahajalah. Untuk menambah amal ibadat bagi terlindung daripada kejahatan Dajjal jauh sekali.

Suka ataupun tidak kita pada kedatangan Dajjal dan Yakjuj Makjuj itu, kita perlu terima hakikat bahawa mereka pasti akan keluar juga. Kita sebagai umat Islam perlu bersedia daripada sekarang dengan menambah amal ibadat supaya kita terlindung daripada kerosakan yang mereka lakukan. Dan kita wajar berdoa supaya ketika makhluk-makhluk itu keluar kita sudah tiada lagi di muka bumi ini.

Kerosakan yang dibawa oleh Dajjal dan Yakjuj Makjuj itu besar sekali. Silap langkah kita pun boleh berada dalam kelompok orang-orang yang akan terpengaruh dengan kerosakan dan kemungkaran yang mereka lakukan.

Kehadiran Dajjal dan Yakjuj Makjuj akan memesongkan banyak perkara. Kebenaran akan menjadi kebatilan manakala kebatilan akan dianggap sebagai kebenaran. Tanpa perlu kehadiran Dajjal dan Yakjuj Makjuj pun hal sebegitu sudah terjadi sekarang. Lihatlah isu-isu yang berlaku di sekeliling kita. Hak untuk menjadi LGBT didesak untuk diiktiraf di negara ini. Begitu juga hak untuk melakukan seks bebas asalkan menggunakan kondom. Jelas perkara yang salah cuba untuk dibetulkan.

Jika perkara semacam itu pun orang Islam sudah ramai yang terpengaruh untuk membenarkannya, masakan jika kehadiran Dajjal dan Yakjuj Makjuj nanti orang Islam tidak akan terpengaruh? Sebab itulah kita perlu mengelak untuk hidup sezaman dengan Dajjal dan Yakjuj Makjuj.

Kita sebagai orang Islam perlu mengurangkan kecaknaan kita terhadap tanda-tanda kehadiran Dajjal dan Yakjuj Makjuj. Yang perlu kita lakukan ialah selalu berdoa supaya kita jauh dan terhindar daripada mereka. Hal ini kerana, kita sendiri tidak yakin adakah kita mampu untuk berlindung daripada kerosakan yang akan mereka lakukan.  


0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.