Sabtu, 22 September 2018

SEBAB TOK PA KELUAR UMNO


Terkejut semua apabila Dato’ Sri Mustapha Mohamed keluar UMNO baru-baru ini. Tidak disangka politikus yang mesra dengan panggilan Tok Pa itu boleh mengambil tindakan sedemikian. Selepas Tok Pa mengambil keputusan keluar UMNO, Datuk Seri Anifah Aman pula menuruti langkah beliau. 

Tok Pa bukanlah seperti Khairy Jamaluddin yang sering tidak sejalan dengan pandangan dan pemikiran popular pemimpin UMNO yang lain. Setakat yang diketahui, Tok Pa dilihat tidak banyak bersuara semenjak UMNO menemui kekalahan mereka pada PRU-14 yang lalu. Tiba-tiba sahaja beliau mengambil tindakan keluar UMNO. Pastilah sekian ramai penggamat politik tanah air berasa terkejut.

Pastilah Tok Pa memberi alasan yang muluk-muluk untuk menghalalkan tindakan beliau keluar UMNO itu. Bukan Tok Pa sahaja, mana-mana politikus pun akan turut melakukan perkara yang sama. Hanya beliau sahaja yang tahu sebab sebenar mengapa beliau mengambil tindakan sedemikian.

Tindakan politikus keluar daripada parti politik ini bukanlah perkara yang baru. Sebelum Tok Pa, sudah ramai politikus yang mengambil tindakan seperti beliau. Ada pelbagai sebab sebenarnya mengapa seseorang politikus itu mengambil peluang untuk keluar daripada parti yang disokongnya selama ini selama puluhan tahun.

Antara sebab seseorang politikus itu keluar parti ialah : (1) kerana prinsip perjuangan (2) kerana dibeli oleh pihak tertentu (3) kerana ditekan oleh pihak tertentu dan (4) kerana kepimpinan parti tidak menunaikan kehendak peribadi.    

Jika seseorang politikus itu keluar daripada sesebuah parti politik kerana prinsip perjuangannya yang suci dan murni tidak mengapalah juga. Namun, jika mereka keluar kerana sebab-sebab yang bersifat peribadi atau melibatkan kepentingan diri sendiri, sesungguhnya politikus itu adalah politikus yang bertaraf sampah sahaja.

Tindakan Tok Pa keluar UMNO itu membuatkan UMNO bertambah derita. UMNO sudahlah menderita sejak kalah dalam PRU yang lalu, kini semakin derita apabila seorang demi seorang pemimpin utamanya keluar. Bilangan kerusi UMNO di Parlimen semakin kecil hari demi hari.

Tidak diketahui berapa ramai lagi pemimpin UMNO yang lain hendak keluar atau lompat parti. Telah ditularkan ada beberapa lagi pemimpin UMNO yang hendak keluar. Semakin kecil nampaknya bilangan kerusi UMNO di Parlimen.  

Ada yang berpandangan bahawa bagus juga jika ramai lagi yang mahu keluar UMNO. Menurut mereka, biarlah yang tinggal dalam UMNO itu pemimpin yang ingin berjuang demi agama, bangsa dan tanah air. Bukan pemimpin yang mengharapkan kuasa dan harta sahaja.

Perkembangan mutakhir UMNO ini pastilah menimbulkan rasa gembira kepada penyokong parti lawan. Mereka pasti gembira kerana mereka percaya UMNO akan semakin terkubur. Harap kegembiraan mereka itu tidaklah berpanjangan. Hal ini kerana, tidak mustahil pemimpin parti mereka pun boleh keluar daripada parti masing-masing jika keadaan memaksa.

Ingatlah, tiada apa pun yang mustahil dalam dunia politik. Kata penulis politik Sayuti Omar : jangan pernah percaya dengan sumpah dan janji orang politik tetapi jangan rasa mustahil dengan tindakan orang politik.

Tok Pa seorang pemimpin yang berintegriti dan berwibawa. Harap apa yang Tok Pa lakukan itu adalah semata-mata untuk agama, bangsa dan negara dan bukan kerana sebab-sebab peribadi yang lain. 

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.