Sabtu, 7 Jun 2014

DYANA SOFYA KECUNDANG, PIALA THOMAS MELAYANG, LANGKAWI SAYA DATANG

       Ternyata saya tersilap dalam meramalkan tentang kemenangan Dyana Sofya di PRK Parlimen Teluk Intan yang berlangsung minggu lepas. Saya begitu optimis dalam menyatakan bahawa Dyana Sofya mampu menang di Teluk Intan. Ini berdasarkan kepada tiga faktor. Pertama, kerusi itu adalah kerusi DAP, kedua majoriti pengundi adalah pengundi Cina yang sayangkan DAP dan ketiga majoriti rakyat memang menolak BN.

       Ketiga tiga faktor ini merupakan kelebihan buat Dyana untuk memenangi kerusi Teluk Intan itu. Datuk Mah Siew Keong ternyata tidak mempunyai kelebihan seperti Dyana. Datuk Mah hanya bergantung kepada jantera parti dan manifesto serta kempen berterusan untuk memikat pengundi. Ternyata Dyana lebih kuat berbanding Datuk Mah sementelahan dia dibantu oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang.


       Ternyata kuasa Allah mengatasi kuasa pengundi. Semua orang tahu bahawa Dyana Sofya mampu untuk menang. Lihat sahaja jumlah majoriti yang diterima oleh mereka berdua. Perbezaan hanyalah sebanyak 283 undi sahaja. lihatlah bertapa sengitnya pertarungan Dyana dan Datuk Mah di Teluk Intan ini.

       Sejujurnya saya sendiri berasa terkejut dan masih kurang percaya bahawa Datuk Mah mampu merampas semula kerusi ini daripada DAP. Jika diselidik dengan lebih mendalam, antara faktor kekalahan Dyana adalah dia calon yang masih muda. Dia masih tidak pandai lagi bermain dalam arena politik yang sedia mencabar ini. Selain itu dia juga sentiasa dibayangi oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang sentiasa mengekorinya ke mana sahaja.

        Faktor perkauman juga masih membayangi dalam PRK ini. Memandangkan Dyana calon Melayu, maka dia kurang diterima oleh pengundi Teluk Intan yang majoritinya adalah Cina. Walaubagaimanapun, saya tidak yakin ini merupakan isu kuat pengundi Teluk Intan menolaknya. Semua orang tahu bahawa Dyana adalah boneka DAP. Jadi pada saya faktor ini tidaklah berapa kukuh untuk diperkatakan.

       Menurut penulis Blog Tinta Merah, Mohd Sayuti Omar (MSO), jentera PAS Perak ternyata tidak membantu Dyana dalam PRK kali ini. Jika benarlah apa yang dikatakan oleh MSO ini, ternyata PAS mengambil jalan yang paling baik dalam PRK kali ini. PAS perlu menyatakan pendirian mereka mengenai sikap orang Islam yang menolak Hudud. Jika mereka menolak UMNO kerana UMNO menolak Hudud, mereka juga perlu menolak Dyana yang juga menolak Hudud. Jika diamati, ini adalah suara akar umbi PAS. Hanya Hadi Awang dan pimpinan tertinggi PAS sahaja yang buta hati dan buta mata yang masih mahu bersetongkol dengan DAP sedangkan akar umbi PAS sudah tidak mahu lagi bertahaluf siyasi dengan DAP.

       Faktor Dyana yang menolak Hudud dan menimbulkan isu UiTM juga merupakan antara faktor rakyat Teluk Intan terutama Melayu menolak calon DAP ini. Pengundi pengundi dapat merasakan bahawa Melayu seperti Dyana inilah yang akan menghancurkan masa depan Melayu dan Islam apabila PR memerintah nanti. Tindakan pengundi Melayu yang saya rasa menolak Dyana ini adalah langkah yang paling baik.

        Melayu seperti Dyana ini memang tidak sepatutnya disokong. Ini mungkin satu kifarah dari Allah buat Dyana yang terang terang menolak Hudud!

         Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng antara faktor kekalahan Dyana adalah peratusan pengundi yang mengundi yang rendah iaitu sebanyak 66.5%. Beliau mendakwa kebanyakkan pengundi yang tidak hadir adalah pengundi yang menyokong pembangkang dan berada di luar kawasan. Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga, faktor permainan politik UMNO ketika berkempen dan faktor Dyana adalah muka baru di kawasan itu dan tidak mempunyai masa untuk mengenali pengundi merupakan faktor utama kekalahan calon itu.

       Apa pun, keputusan sudah diketahui. Datuk Mah adalah pemenangnya. Najib pula jangan terlalu gembira dengan keputusan ini. Kemenangan Datuk Mah bukanlah kerana pengundi pengundi Cina sudah kembali menyokong BN. Mereka masih lagi menyokong DAP namun mungkin kerana kesilapan DAP meletakkan calon yang masih mentah dalam dunia politik menyebabkan pengundi pengundi di Teluk Intan tidak mengundi Dyana.
       Segala janji janji dan tanggungjawab perlu dilaksanakan untuk mengembalikan sokongan rakyat terhadap BN. Jika BN di bawah pimpinan Najib masih mengamalkan sikap buruk yang sama dalam kepimpinan mereka nescaya UMNO dan BN sedang menggali kubur mereka sendiri!

Piala Thomas : Malaysia Gagal Lagi!

        Sepatutnya saya menulis berkenaan dengan perkara ini dalam tulisan saya sebelum ini namun akibat terlalu banyak isu yang hendak diperkatakan maka saya menangguh untuk memberi ulasan berkenaan dengan kejohanan Piala Thomas yang menyaksikan Malaysia sekali lagi menempah kekalahan di tangan Jepun di dalam tulisan saya pada kali ini.

        Saya bukanlah peminat sukan. Saya lebih minat politik dan sastera daripada sukan namun apabila menyentuh nama Malaysia di persada antarabangsa saya perlu bangkit untuk menyatakan pendirian saya.

       Sejujurnya saya sedih dengan kekalahan yang menimpa Malaysia padahal Malaysia sebenarnya hanya mempunyai satu tapak sahaja lagi untuk membawa pulang Piala Thomas itu. Namun, akibat kesilapan yang dilakukan oleh Liew Darren menyebabkan Malaysia sekali lagi berputih mata untuk mendapatkan piala berprestij itu.

       Melihat kepada suasana sukan di Malaysia, sebenarnya saya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi pada mana mana kejohanan yang disertai oleh Malaysia. Sukan apa pun yang disertai oleh pemain pemain Malaysia, saya tidak yakin mereka mampu untuk menang. Jika menang pun, itu adalah suatu keajaiban!

      Bukan niat saya untuk memandang rendah kepada pemain pemain Malaysia namun setiap kali Malaysia menghantar wakil untuk menyertai sesuatu pertandingan, Malaysia sebenarnya sedang menempah kekalahan dalam pertandingan itu. Seharusnya kerajaan dan persatuan persatuan sukan perlu mempertingkatkan usaha untuk melatih atlet atlet di negara ini supaya mampu untuk menjadi juara dalam sesuatu pertandingan!
       Jika keadaan ini berterusan, sampai bila pun Malaysia akan terus kalah dan kalah. Sampai bila kita mahu mengharapkan Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol Ann David untuk mengharumkan nama Malaysia? Sampai bila Azizulhasni Awang, Sazali Samad, Pandalela Rinong akan terus bertahan untuk membawa kejayaan buat Malaysia?

      Sudah sampai masanya untuk pihak pihak yang bertanggungjawab perlu memikirkan suatu jalan penyelesaian yang kukuh dalam masalah ini. Jika tidak, industri sukan di Malaysia hanya tinggal debu debu sejarah sahaja. Pihak pihak yang bertanggungjawab perlu mencari pemain pelapis yang benar benar berwibawa untuk menggantikan pemain pemain senior yang sudah menginjak ke usia tua.

      Doa saya ialah industri sukan di Malaysia mampu untuk mengecapi zaman kegemilangannya di era 80an dan 90an. Kalau atlet atlet dahulu boleh mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa mengapa tidak atlet atlet sekarang? Jika disemak secara mendalam, ternyata atlet atlet dahulu begitu banyak kekurangan berbanding atlet atlet sekarang dari segi kemudahan dan imbuhan. Oleh itu, tidak ada alasan untuk atlet atlet sekarang untuk tidak mengecapi kejayaan seperti atlet atlet dahulu.

        Jika beginilah atlet atlet Malaysia yang dihantar ke sesuatu pertandingan dan hanya membawa pulang kekalahan, lebih baik ambil sahaja saya – orang yang tidak minat sukan dan tidak pandai bersukan untuk bertanding di Piala Thomas atau mana mana pertandingan sukan. Sudah pasti Malaysia akan menempah kekalahan!

Langkawi : Dari Lagenda ke Le Tour

        Alhamdulillah, saya selamat sampai di Kuala Lumpur setelah berada di Pulau Langkawi selama 3 hari 2 malam untuk menghabiskan cuti semester saya bersama adik adik dan ibu. Menaiki penerbangan Air Asia begitu mendebarkan saya walaupun itu bukanlah kali pertama saya menaiki kapal terbang. Masih terbayang bayang di kotak fikiran saya terhadap tragedi yang menimpa peawat MNH370.  Tetapi saya bersyukur kepada Allah tiada musibah yang menimpa saya sepanjang perjalanan yang hanya memakan masa selama satu jam itu.
         Saya kagum dengan pembangunan yang dinikmati oleh Pulau Langkawi. Pantainya yang cantik dan penduduknya yang sangat baik, peramah dan sedia membantu sekiranya kita berada di dalam kesusahan. Beberapa kali kami tersesat untuk pergi ke tempat tempat tertentu namun kami berjaya menemui tempat yang hendak kami tuju dengan bantuan penduduk tempat.

      Sepanjang tempoh lawatan itu, tidak banyak tempat yang kami lawati kerana faktor tenaga, kos dan masa. Kami hanya melawat Pekan Kuah, Dataran Lang, Makam Mahsuri dan Pantai Cenang. Kami juga melihat Tasik Dayang Bunting tetapi dari jauh sahaja. Kami tidak sempat untuk menaiki kereta kabel, melawat Padang Mat Sirat, Beras Terbakar dan banyak lagi.

       Di Pulau Langkawi juga, saya menemui sebuah warung yang menyediakan juadah nasi lemak yang hanya berharga RM1.50 dengan menawarkan pelbagai lauk pauk seperti ayam sambal, sambal sotong, sambal ikan, telur goreng dan pelbagai lagi. Belum pernah lagi saya menjumpai cara penyediaan makanan yang kreatif sebegitu. Rasanya pun sedap.  

       Keunikan Pulau Langkawi adalah sukar untuk orang tersesat jalan kerana jalannya mudah dicari dan ada banyak papan tanda. Jika tersesat pun, kita pasti akan menjumpainya semula dengan mudah atas bantuan penduduk tempatan yang ramah tamah itu. Tetapi awas! Kita akan terseat jika tidak membaca papan tanda dengan betul atau terlalu banyak berangan

       Sesungguhnya melawat Pulau Langkawi menjanjikan satu kenangan manis dalam hidup saya. Mungkin apabila saya sudah bekerja nanti, Pulau Langkawi akan menjadi destinasi percutian saya suatu hari nanti. Melihat kemajuan Pulau Langkawi, saya teringat kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed. Walaupun dari segi politik dan agama saya banyak tidak bersetuju dengan beliau, namun kegigihan beliau memperkenalkan Pulau Langkawi dan Malaysia di mata dunia amat saya hargai. Terima kasih Tun Mahathir….






     








0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.