Khamis, 26 Jun 2014

CERPEN : LAMBAIAN MAUT

Gambar Hiasan

       Suria menyenduk nasi ke dalam pinggan yang terletak di atas meja makan itu. Ada lima pinggan semuanya. Pinggan pinggan itu adalah untuk suaminya, dirinya sendiri dan tiga orang anaknya. Setelah siap, dia melaungkan nama anak anak dan suaminya.
       “Abang…. Along… Angah… Acik…. Mari makan…. Hidangan dah siap…” Suria memanggil seluruh ahli keluarganya untuk menikmati makan malam itu. Beberapa minit kemudian, suami dan tiga orang anaknya sudah duduk dan bersedia untuk menikmati makan malam di meja makan itu.
       “Sedapnya lauk malam ni. Ada laut kegemaran saya. Ikan keli masak bercili.” Ujar Along yang berusia  20 tahun.
       “Lauk kegemaran Angah pun ada. Ayam masak merah. Sedapnya…” Kata Angah pula yang berusia 16 tahun.

        Hanya Acik yang mendiamkan diri. Mungkin lauk kegemarannya tidak ada pada malam itu.
       “Apa lauk kegemaran Acik?” Soal Ibrahim yang hanya mendiamkan diri sedari tadi.
       “Kenapa mama tak masak tom yam campur?” Soal Acik yang berusia 13 tahun tetapi perangainya masih kebudak budakkan. Maklum sahaja, dia anak bongsu dalam keluarga itu. Sikap manjanya mesti lebih berbanding anak beradik yang lain. Kemahuannya sentiasa dituruti oleh Ibrahim dan Suria.
       “Lauk dah banyak sayang… Mama takut membazir kalau masak banyak banyak.” Jawab Suria.
       “Ala… tak nak makanlah kalau macam ni. Mama masak lauk kegemaran Along dan Angah je. Lauk kegemaran Acik mama tak masak.” Acik mula menarik muka empat belasnya. Merajuk.
       “Mama bukan tak nak masak tapi lauk kita dah banyak sangat ni. Nanti takut tak habis pula. Membazir saja. Membazirkan amalan syaitan. Okey takpe, esok mama masak tom yam campur. Malam ni Acik makan je apa yang ada. Lauk ni semua sedap sedap.” Suria memujuk.
        Untung sahaja Acik seorang anak yang baik dan tidak degil. Walaupun kemahuannya tidak dituruti, dia tetap boleh bertolak ansur. Walaupun dia anak bongsu, kadang kala tidak semua kemahuannya akan dituruti. Dia faham dan dia tahu itu. Justeru itu, dia tidak banyak buat kerenah yang bukan bukan.
        “Baiklah.” Jawab Acik mengalah. Dia tahu mamanya bukan sengaja tidak mahu masakkan tom yam campur untuknya. Mamanya mempunyai alasan yang kukuh atas  perkara yang berlaku.
        Mereka sekeluarga menikmati makan malam itu dengan penuh berselera. Ibrahim dan Along sudah tiga kali menambah nasi. Acik juga begitu walaupun lauk kegemarannya tidak ada. Bagitu juga dengan ayah.
       “Abang, dua minggu lagi saya nak berangkat ke Beijing.” Ujar Suria sambil memandang ke arah suaminya dengan menggunakan ekor mata. Dia berharap agar suaminya membenarkan dia ke Beijing bersama rakan rakan sepejabatnya untuk bercuti.
        “Nak buat apa pergi Beijing?” Soal Ibrahim tanpa memandang ke arah Suria. Dia sedang sibuk menikmati masakan isterinya yang sangat lazat pada malam itu.
      “Saja. Nak bercuti. Abang bagi tak saya pergi sana?” Suria meminta kebenaran.
      “Awak boleh pergi tapi dengan satu syarat.” Jawab Ibrahim.
      “Apa syaratnya?”
      “Awak mesti jaga diri elok elok kat sana.”
      Suria begitu gambira mendengar kata kata suaminya itu. Dia bersyukur kerana suaminya membenarkan dia pergi ke sana. Sudah lama dia tidak melancong dan inilah kali pertama dia akan keluar dari bumi Malaysia. Dia begitu teruja untuk melawat negara Tembok Besar itu.
        “Kalau mama pergi, Acik nak tinggal dengan siapa?” Soal Acik yang sudah mula mahu menangis. Walaupun dia sudah pun menjejakkan kaki ke sekolah menengah, namun sifat kebudak budakkan dan kemanjaannya masih tidak mampu lagi dikikis dalam dirinya.
        “Acik tinggallah dengan papa, Along dan Angah. Acik kenalah dengar cakap papa tau.” Jawab Suria.
      “Mama asyik pergi melancong je lepas tu tinggal acik sorang sorang.” Acik sudah mula menarik muka empat belasnya semula.
       “Ala… mama pergi bukan lama pun. Dua tiga hari je. Nanti mama balik la. Mama saja nak survey tempat tu. Kalau seronok lain kali kita pergi satu keluarga.” Suria cuba memujuk.
       “Mama janji nanti mama beli hadiah untuk Acik, Angah dan Along banyak banyak. Acik janganlah merajuk sayang…” Suria menyambung dan terus memujuk anaknya yang bongsu itu.  Mendengar sahaja perkataan ‘hadiah’ Acik lantas memberikan tindak balas yang positif. Dia sudah mula tersenyum.
       “Baiklah. Mama janji mama akan beli hadiah untuk Acik?” Soal Acik dengan wajah yang ceria.
       “Ya, mama janji sayang….” Jawab Suria.
        “Mama beli hadiah untuk Along, Angah dan Acik saja? Hadiah untuk papa tak ada?” Soal Ibrahim yang cuba untuk berseloroh.
         “Papa pun nak hadiah juga? Okay…. Okay… nanti mama belikan. Papa nak hadiah apa?” Soal Suria.
       “Papa gurau sajalah. Takkan dah tua tua pun nak hadiah lagi.” Ujar Ibrahim dan mereka sekeluarga tertawa bersama.

………………………………………………………………………………………….

        Tinggal lagi satu minggu Suria akan berangkat menuju ke negara Tembok Besar itu. Perasaan teruja begitu membedal bedal sanubarinya. Perasaan suka dan gembira bercampur campur dalam mangkuk hatinya. Segala persiapan untuk berangkat ke negara kelahiran Mao Zee Tung, Jackie Chan, Jet Li, Bruce Lee dan ramai lagi personaliti personaliti besar dunia. Negara komunis yang mempunyai penduduk lebih dari satu billion itu akan menjadi destinasi percutiannya pada tahun ini.
        Tiket kapal terbang, hotel penginapan, pakaian yang hendak dipakai di sana semuanya sudah disiapkan oleh Suria. Begitu juga dengan passport dan banyak lagi keperluan keperluan lain. Semuanya sudah disiapkan. Semuanya sudah disediakan.
          Suria memandang tiket kapal terbangnya yang berada di tangannya. Dia akan menaiki pesawat MH370 pada pukul 12.41 pagi itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Walaupun waktu dinihari dia akan berangkat, namun dia tetap teruja. Begitu juga dengan kawan kawannya yang akan turut serta dalam percutian itu. Mereka akan menaiki pesawat Malaysia Airlines – sebuah syarikat penerbangan negara yang dilanda dengan pelbagai masalah kewangan.
         Namun begitu, dia tetap untuk menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan itu sementelahan dia percaya syarikat penerbangan itu mampu untuk memberi perkhidamatan terbaik buat diri dan rakan rakannya. 
       Dia berdoa agar perjalannya pergi dan balik akan berada dalam keadaan selamat…

…………………………………………………………………………………………

        Pada hari dia berangkat ke Beijing, suami dan anak anaknya menghantarnya ke lapangan terbang. Walaupun sudah jauh malam, Along, Angah dan Acik masih dalam keadaan segar bugar. Tidak kelihatan rasa mengantuk pada wajah mereka. Ini kerana mereka tidak mahu melepaskan peluang untuk bersama ibu mereka pada ‘waktu waktu terakhir itu.’ Entah mengapa Ibrahim rasa tidak sedap hati untuk melepaskan Suria ke Beijing.
         Dia dapat merasakan satu perasaan halus yang dia tidak tahu apa seolah olah mahu menyatakan bahawa menghalang Suria dari pergi ke Beijing pada waktu itu. Dia mahu bersuara untuk menghalang isteri tercintanya pergi namun apabila melihat keterujaan yang ada pada Suria dia membatalkan niatnya. Dia tidak mahu merosakkan kegembiraan isterinya. Dia tidak mahu menghancurkan keterujaan isterinya.
        Along, Angah dan Acik juga begitu. Mereka berasa berat hati untuk melepaskan ibu mereka ke Beijing. Mereka dapat merasakan seolah olah itulah kali terakhir mereka akan melihat ibu mereka. Hanya doa kepada Allah Azzawajalla sahajalah yang mampu mereka hulurkan supaya ibu mereka berada dalam keadaan selamat pergi dan juga selamat kembali.
        “Acik, dengar cakap papa, Along dan Angah tau. Jangan nakal nakal masa mama tak ada. Ingat, mama sentiasa sayang Acik, Angah, Along dan papa.” Ujar Suria apabila mereka sampai dihadapan KLIA.
        Acik sekadar mendiamkan diri. Tiada kata yang keluar dari mulutnya pada waktu itu. Harinya rawan kerana terpaksa berpisah dengan mamanya buat sementara waktu namun rasa hatinya dia akan berpisah dengan mamanya buat selama lamanya.
        “Acik janganlah sedih. Mama pergi kejap saja. Minggu depan mama balik la…” Ujar Suria untuk memujuk anak lelaki bongsunya itu yang sedang dalam kesedihan itu. Ada suatu perasaan aneh yang menyentak nyentak hatinya. Dia dapat merasakan itulah kali terakhir dia akan melihat wajah anak anak dan suaminya.
         “Mama, boleh tak mama jangan pergi. Acik tak sukalah kalau mama tak ada.” Kata Acik sambil memeluk ibunya. Air jernih sudah mula bertakung di kelopak matanya.
       “Mana boleh sayang…. Mama dah tempah tiket semua. Mama tak pergi lama pun. Pejam celik pejam celik mama dah balik.” Kata Suria lagi sambil membalas pelukan anak bongsunya itu.
       Along dan Angah hanya mendiamkan diri. Lebih lebih lagi Along. Sebagai anak sulong yang menjangkau usia 20 tahun, dia mula merasakan bahawa istilah ‘pejam celik pejam celik’ itu sebagai satu istilah yang pelik pada waktu itu. Dia dapat merasakan bahawa yang ada hanya ‘pejam’ sahaja dan ‘tidak akan ada celik celik’ lagi.
     Mereka bertiga bersalaman dengan ibu mereka. Pelbagai pesanan yang diberikanoleh Suria seolah olah dia akan pergi ke suatu tempat yang jauh dan tidak akan kembali lagi.
      “Along, Angah, Acik… jaga diri baik baik ye sayang. Belajar rajin rajin. Dengar cakap papa. Mama sayang semua anak anak mama. Mama minta maaf kalau mama selalu marah kamu semua. Mama marah bukan sebab mama benci tapi sebab mama sayang. Mama nak kamu jadi hamba Allah dan manusia yang baik.” Suria berkata dengan panjang lebar.
        Angah dan Acik sudah mula menitiskan air mata. Hanya Along dan Ibrahim sahaja yang cekal menahan esak tangis itu dalam sanubari mereka. Ya, mereka menangis namun dalam hati cuma.
        “Abang, saya minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki. Halalkan makan minum saya selama ini. Maafkan segala kesalahan yang pernah saya lakukan kepada abang.” Mohon Suria dengan bersungguh sungguh. Dia memandang wajah suaminya yang sangat dicintainya itu. Ada garis garis kesedihan di wajah lelaki tampan yang sudah menginjak usia pertengahan 40an itu. Sejujurnya dia sangat mencintai suaminya dan dia tidak mahu berpisah dengan lelaki yang telah dia kahwini selama 21 tahun itu.
        Suria sendiri sudah mula mengalirkan air mata. Dia berasa sangat berat hati untuk meninggalkan keluarganya itu. Dia dapat merasakan bahawa dia akan meninggalkan mereka buat selama lamanya.
        “Abang mmafkan segala kesalahan awak pada abang dan abang halalkan segala makan minum awak selama ni. Pergi baik baik. Abang doakan agar awak selama pergi dan selamat kembali.” Balas Ibrahim sambil mengusap kepala isterinya yang berbungkus dengan kain tudung itu kerana isterinya mencium belakang tangannya. Ada suatu perasaan yang tidak enak menyerang hatinya agar menghalang isterinya utnuk pergi. Dia dapat merasakan ada perkara buruk yang akan berlaku namun dia cuba berfikiran positif. Dia berserah dan bertawakkal kepada Allah Azzawajalla agar menjaga keselamatan isteri yang amat dicintainya itu.
      Suria mengucup tangan suaminya selama mungkin seolah olah tidak mahu melepaskannya. Kemudian dia bersalaman dengan anak anaknya yang lain. Dia membuka pintu kereta untuk turun. Ibrahim, Along, Angah dan Acik turut sama turun untuk membantu Suria mengeluarkan beg pakaian dari bonet kereta. Kemudian mereka bersalaman dan berpelukkan buat kali terakhir.
        Sejurus itu, Suria mula melangkah sambil menarik luggage yang berisi pakaiannya. Ibrahim dan anak anak hanya menghantar Suria dengan pandangan mata sahaja sambil melambai lambai ke arah wanita yang mereka sayangi itu. Begitu juga dengan Suria. Dia turut sama melambai ke arah suami dan anak anaknya. Suasana pilu dan sedih menyelubungi suasana tika itu. Mereka melambai lambai ke arah Suria sehingga Suria hilang dari pandangan mereka dan menuju ke balai pelepasan. 

………………………………………………………………………………………

         Ibrahim memandu kereta Proton Personanya membelah jalan raya pada petang itu untuk pulang ke rumah dari pejabat. Sejak Suria tiada, dialah yang bertanggungjawab menguruskan rumahtangga dan keperluan tiga orang anak kesayangan mereka. Apabila mendengar siaran berita dari corong radio di keretanya, dia memperkuatkan suara radio itu untuk mendengar berita yang disampaikan oleh pemberita.
       Begitulah biasa yang dia lakukan jika mendengar berita di dalam kereta. Dia mahu mengetahui tentang perkembangan yang berlaku di dalam negara dan juga di luar negara. Dia tidak mahu ketinggalan dalam mengikuti isu isu semasa. Dia tidak mahu dikenali sebagai katak di bawah tempurung.
        Alangkah terkejutnya dia apabila Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahaya mengesahkan bahawa pesawat MH370 telah hilang dari radar MAS. Menggigil seluruh tubuh Ibrahim pada waktu itu. Serta merta dia teringat akan isterinya, Suria yang berada dalam pesawat itu. Pelbagai persoalan yang menerpa ke dalam kotak fikirannya. Bagaimana dengan isterinya di dalam pesawat itu? Selamatkah dia? Ke mana pesawat itu menghilang? Bagaimana pesawat itu boleh hilang dari radar?
       Semua persoalan itu berlumba lumba masuk ke dalam fikirannya. Secara tidak sedar dia mula menangis. Jantungnya berdegup laju. Dia amat takut, risau dan khuatir. Segala perasaan tidak enak mula menyerang tangkai hatinya. Dia benar benar buntu pada waktu itu.

…………………………………………………………………………………………..

        Suasana sedih mula menyelubungi KLIA apabila Perdana Menteri mengumumkan bahawa pesawat MH370 telah berakhir di lautan Hindi. Semua keluarga penumpang yang berada di situ mula mengalirkan air mata. Tidak kurang juga yang meraung dan meratap. Mereka diserang rasa sedih kerana ahli keluarga mereka telah pergi buat selama lamanya.
       Walaubagaimanapun, Ibrahim berasa sangsi dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri itu. Ada perasaan ragu ragu yang muncul di benaknya. Pelbagai misteri, rahsia dan persoalan masih tidak mampu dirungkai sehingga kini. Dia amat yakin isterinya masih hidup. Dia tidak tahu bagaimana dia bisa mendapat keyakinan itu tetapi inilah kenyataan.
      Dia memandang satu persatu wajah anak anaknya yang sedang menangis tidak henti henti terutama Angah. Mereka benar benar sedih kerana mereka telah kehilangan ibu yang amat mereka sayangi. Ibu yang telah melahir dan membesarkan mereka bertiga. Tiada apa yang bisa mereka lakukan lagi selain berdoa agar roh ibunya di cucuri rahmat.
       Ibrahim juga sedih namun dia cuba menahan kesedihan itu. Dia tidak mahu menunjukkan di hadapan anak anaknya bahawa dia lemah. Dia mesti kuat demi anak anaknya. Tiada apa yang dapat dia lakukan selain dari berdoa kepada Allah s.w.t agar isterinya dapat dijumpai dalam usaha mencari dan menyelamat yang telah mula digerakkan oleh kerajaan sejak kehilangan pesawat itu.
      Ternyata lambaian isterinya di KLIA tempoh hari bukan hanya lambaian terakhir tetapi lambaian maut. Kini isteri yang amat dicintai sudah tidak ada lagi. Dan apa yang boleh dia lakukan selain meneruskan kehidupan dan membesarkan anak anaknya seorang diri. Suria, di manakah kau sayang? Abang dan anak anak masih menanti dirimu sehingga kini. Jika kau masih hidup, pulanglah ke pangkuan kami isteriku. Jika kau sudah pergi, ku titipkan doa untukmu sebagai bekalan di akhirat sana.



0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.