Khamis, 19 Jun 2014

BENARKAH MAHASISWA MALAYSIA ‘MAHASISWA STRAWBERRY’?

Abby Abadi dan suaminya, Farhan


        Dalam artikel kali ini, saya cuba ‘lari’ dari mengulas isu isu semasa. Saya mahu mengulas isu yang ada kena mengena dengan diri saya sebagai seorang mahasiswa yang menuntut di Malaysia. Baru baru ini sebuah akhbar berbahasa Inggeris di negara ini telah mengeluarkan satu artikel berkenaan dengan mahasiswa di Malaysia. Mereka mengatakan mahasiswa kini sudah menjadi ‘mahasiswa strawberry’. Tetapi, apa yang dimaksudkan dengan ‘mahasiswa strawberry’ ini?

        Menurut akhbar bahasa Inggeris itu, istilah ‘mahasiswa strawberry’ ini bermaksud seseorang mahasiswa itu tidak memenuhi ciri ciri dan kualiti yang diperlukan oleh majikan dalam pasaran kerja di luar sana. Ini bermaksud mahasiswa di Malaysia tidak mampu untuk melakukan kerja kerja yang diberikan oleh majikan dengan cepat. Mahasiswa juga lesu dari segi intelektual dan gagal memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat.


        Pada hemat saya, ini bukanlah satu isu yang besar. Majikan perlu memahami bahawa bukan semua orang boleh memahami sesuatu perkara dengan cepat. Semua orang perlu belajar terlebih dahulu sesuatu perkara yang baru. Amatlah tidak wajar jika majikan meletakkan seseorang mahasiswa yang baru keluar dari universiti sebagai ‘strawberry’ hanya kerana mereka tidak menjalankan tugasan yang diberikan oleh majikan dengan cepat, baik dan masa yang pantas.

       Cuba bayangkan bayi mana yang baru keluar dari perut ibunya mampu untuk terus berjalan? Ini bermaksud seseorang itu perlu belajar terlebih dahulu sesuatu perkara sebelum dia benar benar mahir. Majikan yang mengatakan bahawa mahasiswa ini bertaraf ‘strawberry’ amatlah tidak wajar sama sekali. Adakah mereka (majikan) ini sewaktu mula mula bekerja sudah pandai semua? Justeru itu, janganlah terlalu angkuh dan sombong untuk mengatakan mahasiswa sekarang sudah seperti ‘strawberry’ ataupun dalam kata lain lemah!

       Di satu sudut yang lain pula, saya bersetuju dengan pandangan bahawa mahasiswa di Malaysia ini bertaraf strawberry. Jika dilihat, tidak ramai mahasiswa yang mahu menggunakan intelektual, tenaga dan ilmu yang ada pada diri mereka untuk membantu agama, bangsa dan tanah air mereka. Mereka lebih senang dengan kemudahan yang mereka terima sekarang ini. Sebagai contoh, ramai mahasiswa kita sudah memegang jawatan yang tinggi dalam syarikat syarikat konglomerat namun apa sumbangan mereka untuk membangunkan orang Melayu?

        Mengapa mereka tidak menggunakan kelebihan yang ada pada mereka untuk membantu peniaga peniaga kecil terutama peniaga Melayu untuk membesarkan perniagaan mereka? Oleh sebab itulah saya mengatakan mengapa mahasiswa mahasiswa ini masih bertaraf strawberry terutama memberikan khidmat bakti mereka kepada masyarakat. Mereka sepatutnya memberikan dana dan idea kepada peniaga peniaga Melayu yang masih merangkak rangkak dalam menguasai ekonomi ini. Jika mereka hanya sekadar berpeluk tubuh dan memerhati sahaja, nescaya tidak aka nada perubahan yang berlaku. 30% kek ekonomi yang diperuntukkan kepada orang Melayu hanya tinggal angan angan Mat Jenin sahaja.
 
        Mahasiswa juga boleh menjadi strawberry apabila mereka tidak menggunakan ilmu dan intelektual mereka oleh kerana terlalu percaya kepada dakyah dakyah yang dibuat oleh pihak tertentu. Mereka tidak menyiasat terlebih dahulu apakah dakwaan pihak pihak itu sama ada betul atau salah. Mereka terima bulat bulat tanpa usul periksa apa yang diberitahu oleh pemimpin pemimpin mereka. Sebagai contoh, mereka tega melupakan bangsa dan agama mereka oleh kerana rasa benci mereka kepada UMNO/BN. Mereka rela jika Islam dan Melayu musnah asalkan UMNO/BN dikuluhumkan. Jika sikap ini masih diamalkan oleh mahasiswa mahasiswa kita terutama mahasiswa Melayu nescaya Islam, Melayu dan Malaysia akan menuju kehancuran!

        Ini bukan sebuah cerita dongeng tetapi inilah kenyataan yang perlu diterima oleh mahasiswa di Malaysia. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Dyana Sofya. Oleh kerana bencikan UMNO/BN maka dia tega menolak hukum Hudud dan mempertikaikan dasar UiTM yang selama ini memberi tumpuan kepada orang Melayu dan Bumiputra sahaja. Mengapa dia boleh menjadi begitu? Ini kerana dia tidak menggunakan ilmu yang ada padanya untuk berfikir sebaliknya menggunakan nafsu politiknya tanpa ditunjangi oleh iman dan kerasionalan.

        Saya tidak kata salah menjadi pembangkang. Itu hak anda. Memuji tidak semestinya menyokong dan menegur tidak semestinya membenci. Menjadi pembangkang adalah hak anda namun apakah yang anda lakukan jika Islam dan Melayu semakin terhakis oleh kerana kuasa politik? Adakah anda hanya akan membutakan mata dan memekakkan telinga? Tepuk dada dan tanya iman.

      Jika pemimpin pemimpin anda cuba untuk menjahanamkan Islam dan Melayu, apakah anda hanya akan mendiamkan diri atau membenarkan apa yang dikatakan oleh mereka? Anda harus berani membuat teguran kerana ini adalah agama dan bangsa anda. Jika anda takut untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara anda sendiri maka benarlah anda adalah mahasiswa bertaraf strawberry.

      Fenomena mahasiswa yang menjadi pak turut atau yesmen ini bukan sahaja ada dalam parti pembangkang malahan dalam UMNO/BN juga. Kalau diikutkan, di dalam UMNO/BN inilah yang paling teruk. Oleh sebab itu, banyak masalah yang berlaku dalam negara ini gagal diselesaikan dengan baik. Masalah rasuah, sosial, pendatang asing, dan banyak lagi masih berleluasa di Malaysia. Ini kerana tidak ada mahasiswa yang menyokong parti itu yang mahu membuat teguran kepada kepimpinan UMNO/BN untuk mengubah dan menyelesaikan masalah yang ada.

       Mereka menganggap apa yang dilakukan oleh pemimpin pemimpin mereka semuanya betul dan tidak ada silap. Jika perkara ini berterusan, bukan hanya Islam dan Melayu sahaja bakal hancur, malahan Malaysia juga akan menerima nasib yang sama. Jadi, nasihat saya muhasabahlah mahasiswa mahasiswa semua. Letakkanlah Islam, Melayu dan Malaysia dihadapan dan bukannya kuasa politik di hadapan. Berhentilah dari menjadi mahasiswa bertaraf strawberry….

Hiburan Ke Arah Pemikiran Islam

       Islam tidak menghalang umatnya untuk berhibur namun sudah pasti ada batas batas dan garis panduan yang perlu dipatuhi oleh umat Islam. Hiburan yang melampau sememangnya tidak baik untuk jiwa umat Islam. Ini kerana jika kita terlalu banyak berhibur nescaya kita akan mudah leka dan lalai dalam menunaikan tanggungjawab kita kepada agama kita – Islam.
      Hiburan juga mesti mengikut garis panduan yang telah ditetapkan dan tidak boleh terlalu melampau. Tahukah anda bahawa hiburan adalah satu senjata orang Yahudi untuk melemahkan umat Islam. Mereka mahu umat Islam terus leka dengan hiburan dan sedikit demi sedikit akan meninggalkan agama Islam yang suci ini.

       Saya sedih melihat rancangan The Band yang ditayangkan di Astro itu. Jelas kelihatan remaja remaja kita sudah rosak akhlak. Terkinja kinja dan bercampur antara lelaki dan perempuan dalam menyanyi. Kata pujangga, jika mahu melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah pada pemuda dan pemudi mereka. Jika baik pemuda dan pemudi mereka, maka baiklah negara itu pada masa akan datang namun jika rosak pemuda dan pemudi mereka, maka rosaklah masa depan negara itu.

       Jika beginilah pemuda dan pemudi yang ada dalam rancangan The Band itu, apakah masa depan negara kita akan baik? Adakah Islam dan Melayu akan baik? Tepuk dada dan tanya iman. Saya nasihatkan kepada Astro agar kurangkan program program nyanyian dan lebihkan program program keagamaan dan bersifat pendidikan. Alangkah bagusnya jika program program di Astro itu ditukar kepada program program pendidikan yang boleh menajamkan pemikiran dan minda.

       Alangkah bagusnya jika Astro membuat program program yang banyak memaparkan tentang sejarah negara kita yang semakin lama semakin dilupakan oleh muda mudi kita. Paling tidak pun, buat program yang boleh memberi penerangan tentang hukum Hudud dan Qisas sementelahan masih ramai lagi umat Islam yang tidak memahami tentang hukum Allah itu secara semaksimum mungkin.

       Program Fear Factor itu pun sepatutnya tidak boleh dibuat dan disertai oleh rakyat Malaysia. Bukankah perkara itu menjijikan dan membahayakan keselamatan? Mengapa masih di buat lagi? Bukankah Islam sudah menerangkan bahawa tidak boleh melakukan perkara yang boleh mengancam nyawa dan memakan benda benda yang kotor? Inilah akibatnya jika kita berhibur tanpa berpandukan kepada ajaran Islam yang sebenar.  

         Saya berharap para ulama’ dan JAKIM mengambil tindakan yang wajar bagi menghalang rancangan rancangan sebegini dari terus ditayangkan. Tahukah anda bahawa rancangan Fear Factor itu adalah satu kaedah orang Yahudi mahu menghina orang Anglo Saxon dan orang kulit hitam Amerika Syarikat supaya melakukan apa sahaja untuk mendapatkan wang? Dan kini umat Islam pula telah terikut ikut dengan pemikiran songsang orang Amerika dan terperangkap dalam permainan licik orang Yahudi!

       Nasihat saya, lebihkanlah program program yang boleh memberi ilmu dan manfaat kepada masyarakat dan bukannya yang terus melalaikan masyarakat. Hiburan itu tidak salah tetapi cara kita mengendalikan hiburan itu yang salah.

Abby Abadi : Cukup cukuplah…

       Dulu saya agak bersimpati juga dengan pelakon dan penyanyi ini selepas dia bercerai dengan bekas suaminya, Norman Hakim. Namun, setelah dia berada di pentas politik, entah mengapa perasaan simpati terhadap dirinya hilang begitu sahaja. saya bukan membenci Abby kerana dia menyertai PAS tetapi saya tidak suka dengan sikapnya yang seolah olah lebih ulama’ dari ulama’.

       Kenyataan kenyataan yang dibuatnya terhadap dunia hiburan ini seolah olah dia sudah lama belajar agama dan tahu serba serbi tentang Islam padahal baru beberapa hari memakai tudung dan menyertai PAS. Dia menghina artis artis lain seolah olah dia tidak berdosa pula. Tidak salah untuk kita menegur tetapi perlu mengikut kaedah yang betul. Saya juga tidak kata salah menyertai PAS tetapi janganlah nak menghina artis artis lain di atas pentas pentas PAS.

      Penyanyi Aisyah yang pernah bertanding di dalam PRU13 menentang Tan Sri Isa Samad di kerusi Parlimen Jempol juga menyertai PAS namun tidak pula dia menghina mana mana artis. Tetapi fiil Abby ini agak aneh sedikit. Dengan menyertai PAS seolah olah dia sudah bersih dari noda dan dosa. Belajar agama baru sehari dua sudah mahu menghukum orang begitu dan begini.

      Sekarang pula berlaku perceraian dengan suami barunya, Muhammad Nor Farhan bin Che Bakar pada 9 Mei lalu. Penceraian itu berlaku kerana Farhan sudah tidak tahan lagi tinggal sebumbung dengan dengan Abby kerana Abby selalu mencederakan dan memaki hamun dirinya. Saya tidak tahulah isteri jenis apa Abby ini sehingga sanggup mencederakan suami sendiri.

       Seorang kawan perempuan saya pernah berkata, alangkah tampannya suami si Abby ini untuk dicederakan. Suami sepatutnya disayangi, dibelai dan dikasihi bukannya dicederakan! Kalau marah sekalipun jangan sampai mencederakan suami sehingga berdarah darah, bawalah berbincang untuk menyelesaikan masalah.

       Nasihat saya kepada Abby, bawa bawalah bertaubat dan cukup cukuplah mencetuskan kontroversi. Sudah banyak kejelikan yang dilakukan oleh Abby ini. Tidak salah untuk masuk politik tetapi pastikan niat kita betul. Jika kita masuk politik semata mata untuk mendapatkan publisiti, lebih baik jangan masuk. Teruskan sahaja menjadi anak seni yang berteraskan Islam. Semoga Allah memberkati hidup Abby dan anak anak.


    

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.