Isnin, 21 April 2014

HITAM DAN PUTIH KARPAL SINGH



       Sejujurnya saya sendiri berasa terkejut dengan pemergian mendiang Karpal Singh – ahli parlimen Bukit Gelugor dan bekas Pengerusi DAP Kebangsaan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya baru baru ini. Pemergian mendiang sebagai seorang ahli politik dan peguam yang handal merupakan salah satu kehilangan yang besar buat sejarah politik tanah air. Sesungguhnya mendiang akan dikenang sebagai seorang ahli politik pembangkang yang paling kontroversi di Malaysia selepas Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Nik Aziz Nik Mat dan Abdul Hadi Awang.

      Semua orang tahu tentang Karpal Singh. Dia terkenal sebagai seorang peguam jenayah antara yang paling handal di Malaysia. Dia digeruni kerana kepetahannya berhujah dalam mahkamah. Bukan mudah untuk menewaskan beliau dalam sesuatu kes yang dibicarakan di mahkamah tidak kira kes itu kes berat atau kes yang ringan. Khidmatnya sebagai peguam memang ditagih oleh kebanyakkan orang. Boleh dikatakan 90%  peluang untuk menang itu ada dalam sesuatu kes yang diwakili oleh beliau.

      Kehadiran beliau di dalam Dewan Rakyat juga memang menjadi tumpuan. Beberapa kali beliau telah mencetuskan kontroversi di Parlimen sehingga digantung acapkali. Ketegasan beliau terutama dalam Hukum Hudud yang ingin dilaksanakan oleh PAS memang sukar untuk dikompromi. Beliau dengan jelas dan nyata menolak Hukum Hudud yang ingin diwujudkan oleh rakan seangkatannya dalam Pakatan Rakyat iaitu PAS.

       Terus terang saya katakan, saya sememangnya tidak bersetuju dengan banyak pendapat dan pandangan beliau terutama soal Islam, Melayu dan Raja Raja Melayu. Pendapat beliau yang sememangnya sengaja untuk mencetuskan kemarahan dan ‘mencari gaduh’ dengan orang Melayu begitu menyakitkan hati saya. Sebagai contoh, jika Pakatan Rakyat menang dalam Pilihan Raya Umum ke 13, beliau berazam untuk menggantikan ketuanan Melayu dengan Ketuanan Rakyat seolah olah Ketuanan Melayu itu satu malapetakan dan bala bencana kepada negara ini.

     Saya tidak nampak apa buruknya Ketuanan Melayu itu di mata beliau sehingga beliau begitu benci benar dengan Ketuanan Melayu itu. Kenyataan kenyataan beliau yang kontroversi itu kadang kala bisa mengundang pergaduhan dan persengketaan kaum. Beliau seolah olah terlupa dengan Peristiwa 13 Mei 1969 yang telah mengorbankan banyak nyawa. Saya sendiri tidak faham mengapa beliau begitu anti Melayu, anti Islam dan anti Raja Raja Melayu.

      Walaubagaimanapun, ada orang mengatakan bahawa beliau merupakah seorang yang berpegang teguh kepada prinsip. Benarkah begitu? Ya, beliau akan terus berpegang kepada prinsip beliau jika perkara itu berkaitan dengan Islam, Melayu dan Raja Raja Melayu. Tetapi beliau mudah untuk menggadai prinsip beliau jika perkara itu bersangkut paut dengan politik dan kedudukan beliau.

       Sebagai contoh, sebelum Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, beliau dengan lantang berkata di Parlimen bahawa beliau mempunyai bukti yang kukuh yang mengatakan Anwar Ibrahim adalah seorang homoseksual. Tidak ada angin dan rebut, kini beliau pula yang menjadi peguam bela Anwar dalam kes liwat terhadap Saiful Bukhari Azlan. Adakah ini yang dikatakan sebagai seorang yang berpegang kepada prinsip?

       Saya yakin ramai orang tidak bersetuju dengan pendapat yang saya kemukakan ini. Hanya orang yang taksub dan buta hati sahaja yang mengatakan bahawa Karpal Singh ini seorang yang berpegang kepada prinsip. Terpulanglah pada pendapat masing masing. Ingatlah! Pandanglah sesuatu perkara itu dengan kebenaran bukan dengan ketaksuban yang maha dahsyat terhadap mana mana pemimpin sama ada pemimpin itu ulama’ atau peguam terkenal.

      Saya adalah seorang penulis bebas dan terikat dengan mana mana ideologi parti politik. Saya menggunakan pena saya untuk berjuang demi agama, bangsa dan tanah air. Saya bukan agen UMNO untuk menggunakan pena saya untuk menaikkan parti itu. Kalau UMNO salah pun saya akan tegur.

      Akhirulkalam, takziah saya ucapkan kepada keluarga mendiang Karpal Singh. Sesungguhnya sukar untuk mencari pengganti Karpal Singh dalam bidang perundangan. Anak beliau – Gobind Singh Deo pun tidaklah sehandal beliau. Sesungguhnya nama Karpal Singh akan terpahat sebagai tokoh politik pembangkang dan peguam terhandal di dalam lipatan sejarah politik negara.


      Apa yang paling penting adalah adakah Hukum Hudud akan terlaksana di Malaysia selepas ketiadaan beliau? Bagaimanakah nasib Pakatan Rakyat apabila seorang tokoh pemimpinnya sudah dijemput Tuhan? Apakah nasib Barisan Nasional pimpinan Najib dan Muhyiddin selepas ketiadaan beliau. Sama sama kita saksikan.











0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.