“Ada surat untuk kau kat atas
meja depan tu Suraya.” Ujar Kalsom dari
arah dapur apabila melihat Suraya turun dari tingkat atas rumah teres dua
tingkat itu. Suraya sebenarnya baru pulang dari penggambaran drama terbarunya
di sebuah stesen televisyen tempatan. Tubuhnya berasa sungguh letih. Maklum
sahajalah, dia perlu berkampung di Terengganu selama tiga hari untuk
penggambaran drama itu.
Apabila pulang sahaja ke rumah, dia terus
masuk ke biliknya. Dia hanya bersalam dengan ibunya sahaja kemudian dia terus
ke bilik untuk melelapkan mata. Pada pukul lapan malam itu barulah dia turun.
Itu pun untuk mengisi perutnya yang sudah menyanyikan lagu keroncong berentak
kelaparan.
“Surat?
Surat apa?”
Soal Suraya.
“Mana la mak tahu. Kau bacalah dulu surat tu. Nanti kalau mak
baca surat kau,
kau marah.” Jawab Kalsom.
Suraya lantas mencapai surat yang terletak di atas meja di ruang
tamu itu. Dia jarang menerima surat.
Kalau ada pun surat
dari bank atau insurans dirinya. Dia membuka sampul yang berwarna putih itu dan
mengeluarkan sehelai kertas yang juga berwarna putih. Dia membaca dan memahami
isi kandungan surat
itu dan tiba tiba dia bersorak kegembiraan.
Kalsom yang memasak di dapur terkejut
apabila mendengar jeritan Suraya dari ruang tamu itu. Boleh gugur jantungnya
akibat terlalu terkejut. Nasib baik dia tidak ada sakit jantung jika tidak
sudah tentu dia sekarang berada di dalam liang lahad.
“Apa yang terjerit jerit tu Suraya?” Soal
Kalsom bingung. Dia melihat Suraya berlari lari ke arahnya.
“Mak, saya dapat tawaran untuk menyertai
rancangan Fear Factor Selebriti Malaysia.”
Jawab Suraya dengan kegembiraan. Terpancar jelas riak kegembiraan di wajah
bujur sirehnya.
“Kau ni buat mak terkejut saja. Mak ingat
apa tadi. Rancangan apa? Fear Factor?” Soal Kalsom ingin tahu.
“Ya. Rancangan Fear Factor Selebriti Malaysia.
Rancangan ini akan dimasuki oleh ramai selebriti yang terkenal kat Malaysia ni dan
salah seorangnya adalah saya.” Jawab Suraya.
“Kenapa kamu masuk rancangan yang
merbahaya macam tu? Tak ada rancangan lain ke yang kamu nak masuk?”
“Apa salahnya mak. Rancangan ni bagus tau.
Mancabar minda dan keberanian kita.”
“Memanglah… tapi kamu tahu tak apa agenda
Yahudi disebalik rancangan ni?” Soal Kalsom dan Suraya hanya menggeleng
gelengkan kepalanya tanda tidak tahu.
“Orang Yahudi buat rancangan ni sebab nak
hina orang Anglo Saxon Amerika dan orang kulit hitam Amerika supaya buat apa
sahaja untuk mendapatkan duit. Dan sekarang kamu pula yang sudah terjebak
dengan permainan Yahudi laknatullah itu.”
“Ala…
mak. Saya bukan ikut orang Yahudi pun. Saya hanya masuk rancangan tu saja. Mak
janganlah fikir yang bukan bukan.
“Mak bukan apa. Mak cuma nak beri
peringatan saja.” Ujar Kalsom.
“Lagipun rancangan tu kan bahaya. Kalau jadi apa apa pada kamu
siapa yang susah?” Kalsom menyambung.
“Tak ada apa apalah mak. Mak kenalah fikir
positif. Mak janganlah fikir bukan bukan. Mak doalah supaya saya selamat kat sana dan menang dalam
pertandingan tu.” Kata Suraya.
“Ada
saja jawapan budak ni. Bila kamu nak pergi? Kat mana rancangan tu dibuat?” Soal
Kalsom lagi.
“Kat Afrika Selatan. Minggu depan saya
pergi. Mak bagi kan
saya pergi?” Soal Suraya sambil merengek rengek manja. Dia melentokkan
kepalanya di bahu Kalsom.
“Kalau ikutkan memang mak tak nak kamu
pergi sebab bahaya. Tapi kamu kena janji dengan mak yang kamu akan jaga diri
kamu kat sana.”
“Baiklah. Saya janji. Terima kasih mak.”
Suraya mencium ibunya beberapa kali sambil melompat kegirangan.
“Sudah! Sudah! Perangai macam budak budak.
Umur dah 29 tahun tapi perangai macam budak 19 tahun. Pergi senduk nasi tu.
Kejap lagi kita makan sama.” Arah Kalsom.
“Baik mak.” Balas Suraya. Dia mengambil
sebuah bekas yang besar untuk diletakkan nasi di dalamnya. Hatinya benar benar
gembira. Dia berazam untuk menang dalam pertandingan itu.
Pada minggu depannya, Suraya berangkat ke
Afrika Selatan untuk membuat penggambaran Fear Factor itu. Hatinya sangat
gembira apabila melihat pemandangan yang cantik di negara yang pernah ditadbir
oleh mendiang Nelson Mandela – penentang dasar Apartied itu. Namun begitu, dia
sedar bahawa kedatangannya di negara itu bukanlah untuk suka suka sahaja. Ada misi penting yang
menantinya di situ. Misi untuk mendapatkan wang sebanyak RM 1000 000.
Kendatipun dia sedar bahawa untuk
mendapatkan wang itu bukanlah satu perkara yang mudah. Pelbagai cabaran, onak
dan duri yang perlu dilaluinya untuk mendapatkan wang sebanyak itu. Ujian yang
bakal dilaluinya itu bukanlah seperti ujian yang diadakan di sekolah dan
universiti. Ujian yang dilaluinya ini lebih sukar daripada ujian dalam UPSR,
PMR, SPM malah STPM!
Ujian yang akan ditempuhinya ini menguji
keberanian, kecekalan dan kecekapan. Setiap kesilapan akan membawa kepada
kekalahan atau mungkin membawa kepada kecelakaan. Dia tidak mahu perkara itu
berlaku. Jadi, dia perlu berhati hati untuk melakukan semua ujian itu. Bagi
memasuki rancangan seperti ini, dia perlu mempunyai semangat yang kuat untuk
melepasi semua cabaran itu. Jika tidak, dia hanya akan menempah kekalahan atau
lahad sendiri.
Konsep rancangan Fear Factor itu adalah
setiap peserta akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang dianggotai oleh
dua orang setiap kumpulan. Jika sesebuah kumpulan itu gagal dalam mana mana
cabaran, kumpulan itu akan disingkirkan dari rancangan itu. Jika kumpulan itu
berjaya melepasi cabaran itu, wang RM 10 000 akan menanti mereka sebagai
hadiah.
Suraya telah dipasangkan dengan seorang
pelakon lelaki kacak bernama Rahimi Rahmat. Rahimi Rahmat yang sememangnya
seorang yang tinggi dan bertubuh sasa dijangka akan memberi kelebihan kepada
kumpulan mereka. Suraya senang kerana dapat berpasangan dengan pelakon lelaki
yang agak popular di Malaysia itu.
Ujian pertama yang perlu dilalui oleh
Suraya dalam rancangan itu adalah ujian membuka kunci dalam timbunan lipas dan
ulat sampah. Ujian itu juga sudah cukup sukar untuk Suraya kerana dia amat
takut bercampur geli dengan serangga serangga seperti itu. Berkali kali dia
muntah dan menangis ketika menghadapi ujian itu namun dengan takdir Allah dia
berjaya mengharungi cabaran itu dengan baik dan seperti diduga wang RM 10 000
itu berjaya didapatnya bersama Rahimi Rahmat.
Ujian kedua pula, Suraya perlu memanjat
bangunan yang tinggi untuk mendapatkan sebanyak mungkin bendera yang disangkut
pada bangunan yang setinggi enam belas tingkat itu. Rahimi pula bertindak
sebagai pemberi arahan dan pemandu arah kepada Suraya untuk mencari dan mendapatkan
bendera yang disangkut pada bangunan itu.
“Ke kiri sikit Suraya. Bendera tu kat
sebelah kiri awak sahaja.” Ujar Rahimi memberi arahan kepada Suraya. Suraya
yang sememangnya takut pada ketinggian itu cuba untuk ke kiri untuk
mendapatkan bendera itu. Dia terpaksa berjalan di atas pelebas yang sempit
untuk menuju ke arah bendera itu. Dia
berjalan dengan perlahan lahan dan berhati hati. Untung sahaja ada tali
keselamatan yang disangkut di belakangnya.
Tali keselamatan itu adalah untuk memastikan
peserta akan tergantung dan tidak akan terjatuh ke bawah seandainya terjadi apa
apa kepada peserta. Namun, ketika mahu mendapatkan bendera itu, kaki Suraya
telah tergelincir dan dia terjatuh ke bawah. Dia menjerit ketakutan. Sangkanya
dia hanya tergantung di atas bangunan itu namun rupa rupanya tidak. Tali itu
terputus dengan sendirinya dan dia telah terjatuh di tingkat tiga bangunan itu.
Suraya telah mengalami kecederaan yang
parah. Tulang belakangnya patah. Apabila dibawa ke hospital, doktor mengesahkan
bahawa dia telah lumpuh separuh badan. Apabila mendengar berita itu, dia lantas
menangis tidak berlagu namun sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak
berguna. Nasi bukan sahaja sudah menjadi bubur namun sudah menjadi nasi basi.
“Mak… saya dah lumpuh mak. Saya dah tak
boleh berjalan lagi. Macam mana saya nak berlakon macam ni mak... Tolonglah
mak...” Suraya menatap pilu apabila ibunya, Kalsom datang melawatnya sebaik
sahaja mendapat berita daripada pihak penerbit rancangan yang menempah maut
itu.
“Itulah, kan mak dah kata jangan masuk rancangan ni
tapi kau degil. Kau nak juga. Sekarang kau tengoklah apa akibatnya.” Kata
Kalsom yang turut menangis mengenang nasib anak tunggalnya.
Kalsom yang sememangnya tidak berpuas hati
telah mengambil tindakan undang undang ke atas penerbit rancangan itu. Setelah
siasatan dibuat, ternyata tali keselamatan yang digunakan pada waktu itu telah
melebihi tempoh yang ditetapkan dan telah reput. Itulah sebab musabab mengapa
tali itu terputus apabila Suraya jatuh. Namun, dia tidak mampu berbuat apa apa
kerana Suraya telah menandatangi kontrak dengan penerbit itu iaitu sekiranya
terjadi apa apa kepada peserta, peserta tidak boleh mengambil tindakan undang
undang kepada penerbit rancangan itu.
Namun, peserta telah dilindungi dengan
insurans sebanyak RM 1000 000. Pihak insurans telah membayar wang itu kepada
Suraya namun apalah gunanya duit yang banyak jika nikmat berjalan itu sudah
ditarik dari dirinya dan Suraya pula benar benar menyesal kerana tidak
mendengar nasihat ibunya.
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.