Cuaca panas yang membakar diri Yaya
itu telah membuatkan tubuhnya menjadi lemah dan tidak bermaya. Entah mengapa
sejak turun dari teksi pagi tadi tubuhnya seperti mahu demam. Kepalanya tiba
tiba sakit. Mungkin kerana cuaca panas yang melanda bumi Malaysia pada waktu ini telah
menyebabkan kepalanya diserang sakit. Selepas tamat kuliah Undang Undang
Perniagaan bersama Puan Ida tadi dia lantas menuju ke perpustakaan kolej.
Niatnya mahu membuat nota Bahasa Arab dan
kalau boleh mahu melelapkan mata seminit dua dalam perpustakaan yang dihiasi
dengan pendingin hawa yang sungguh sejuk itu. Harapannya hancur dan luluh
apabila melihat nota di pintu perpustakaan itu yang mengatakan bahawa
perpustakaan terpaksa ditutup buat sementara waktu kerana bekalan elektrik
terputus.
Dia berasa pelik bin aneh apabila sejak
tiga hari lalu bekalan elektrik di kolejnya selalu terputus. Apa sebab
musababnya? Dia tidak tahu. “Mungkin pihak pengurusan kolej tidak membayar bil
elektrik kepada TNB agaknya.” Itulah ayat yang terdetik di fikiran Yaya namun
segera ditepisnya secepat mungkin. Mana mungkin sebuah kolej swasta seperti ini
tidak mampu untuk membayar bil elektrik.
Memandangkan perpustakaan tidak dibuka,
dia mengambil keputusan untuk duduk di sebuah meja yang boleh memuatkan seramai
empat orang di luar perpustakaan itu. Badannya sungguh tidak bermaya pada waktu
itu. Dia seperti mahu pengsan sahaja di depan pintu perpustakaan itu. Kalau
diikutkan hatinya, mahu sahaja dia pulang ke rumah. Kuliah Bahasa Arab akan
bermula pada pukul dua petang dan sekarang baru pukul 10.30 pagi. Ini bermakna
masih ada tiga jam setengah lagi sebelum kuliah Bahasa Arab yang diajar oleh
Ustaz Faiz itu akan bermula.
Namun, jika dia pulang sudah pasti akan
menelan belanja yang besar. Tambang perjalanan dengan menaiki teksi dari kolej
ke rumahnya adalah RM10. Jika dia pulang bermakna dia perlu mengorbankan RM10
yang akan dia gunakan untuk pulang setelah kuliah Bahasa Arab itu petang nanti.
Apabila dibuat campur tolak darab dan bahagi dia mengambil keputusan untuk
terus duduk di kolej sehingga tamat kuliah Bahasa Arab.
Biarlah orang kata tindakan yang
diambilnya itu adalah tindakan yang bodoh. Dia tidak kisah semua itu. Duitnya
bukan banyak sangat. Dia hanya mengharapkan duit pinjaman PTPTN sahaja. Untung
sahaja dia tinggal bersama ibu bapanya dan ini bermakna dia tidak perlu kisah
untuk membayar sewa rumah dan duit makan.
Yaya lantas mengeluarkan buku teks Bahasa
Arab dan sehelai kertas kajang. Kemudian dia menyalin nota yang ada di dalam
buku teks itu pada kertas kajang itu. Dia cuba meringkaskan nota tersebut untuk
memudahkan dia memahami nota nota itu. Tujuan nota itu adalah untuk meniru dalam
ujian Bahasa Arab nanti. Dia berasa malas mahu menghafal dan mengulangkaji nota
nota Arab itu.
Sudah tujuh minggu berturut turut dia
menghadapi ujian dan kuiz yang diberi oleh pensyarahnya dan selama tujuh minggu
itulah dia perlu menghafal dan mengulangkaji pelajaran tanpa henti. Sudah sakit
kepalanya dengan pelbagai nota. Sudah sesak otaknya dengan pelbagai fakta. Oleh
sebab itulah, dalam ujian Bahasa Arab ini biarlah dia meniru sahaja.
Dia tahu perbuatan yang dilakukannya itu
tidak baik dan tidak berkat. Dia tahu itu. Namun, akibat mahu lulus dalam ujian
tersebut, dia terpaksa buat buat tidak tahu akan perkara itu. Dia tidak mahu
mengambil mata pelajaran yang sama pada semester depan sekiranya dia gagal.
Oleh itu, biarlah dia membujur lalu melintang patah dalam hal ini asalkan dia
tidak mengulang lagi pada semester depan walaupun tindakan yang diambilnya itu
begitu tinggi risikonya.
Sekiranya tertangkap sudah pasti dia akan
gagal dalam ujian itu. Itu tidak mengapa lagi. Paling bahaya jika dia dikenakan
tindakan disiplin oleh pihak kolej. Sudah pasti dia malu. Ibu bapanya tambah
malu. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia begitu berani untuk meniru dalam
peperiksaan sejak dia menjejak kaki ke kolej ini. Ketika di sekolah menengah
dahulu dia langsung tidak berani untuk meniru.
Namun, sejak masuk ke kolej ini dia menjadi
sebegitu berani. Ini mungkin kerana tekanan suasana yang menjadikannya begitu.
Mungkin juga kerana pengaruh rakan rakannya yang juga suka meniru sewaktu
peperiksaan. Benarlah kata orang, jika kita berkawan dengan tukang besi,
kotoran besi itu akan melekat pada baju kita. Sekiranya kita berkawan dengan
penjual minyak wangi, sudah pasti wangian itu akan melekat pada baju kita.
Walaubagaimanapun, tekad dan azamnya sudah
kuat. Dia sesekali tidak akan membaca nota nota arab itu. Dia akan meniru
walaupun perkara itu berdosa. Dia yakin dia akan selamat. Mengapa? Kerana Ustaz
Faiz itu baik orangnya. Pensyarah baru itu sudah pasti akan melepaskan dirinya.
Dia tahu Ustaz Faiz itu baik orangnya. Dia akan menggunakan kebaikan Ustaz Faiz
itu untuk kepentingan dirinya.
Benarkah dia seorang oportunis dengan
melakukan sedemikian? Ya, dia memang seorang oportunis. Mengambil kesempatan di
atas kelemahan atau kebaikan orang lain demi kepentingan diri sendiri.
Dia terus menyalin nota nota Arab itu
tanpa sekelumit rasa bersalah atau berdosa. Perasaan berdosa dan bersalah sudah
mati dalam hatinya pada waktu itu. Setelah habis menyalin nota, dia mengambil
keputusan untuk tidur sekejap bagi meredakan sakit kepalanya yang berdenyut
denyut itu. Mahu sahaja dia mencabut kepalanya dan melontarnya sejauh mungkin.
Seandainya perkara itu bisa dilakukan,
sudah pasti dia lakukan. Setelah menyimpan buku teks Bahasa Arab dan kertas
kajangnya, dia lantas merebahkan kepalanya di atas meja untuk merehatkan mata
dan kepalanya yang seperti mahu tercabut itu. Dia cuba melelapkan mata. Ya, dia boleh
tidur tetapi tidur tidur ayam sahaja.
Dia
sukar untuk belayar ke alam mimpi apabila mendengar dua orang pelajar perempuan
yang duduk tidak jauh dari mejanya ketawa dan mengilai dengan kuat. “Tak guna
betul budak ni. Gelak la perlahan lahan. Awak tu perempuan. Buat la cara
perempuan.” Seranahnya di dalam hati. Tidurnya juga terganggu apabila beberapa
orang pelajar lelaki yang sedang bercakap dengan kuat seperti petir.
Hatinya tambah terbakar apabila beberapa
orang pekerja Indonesia
di kolej itu yang bertugas sebagai tukang sapu saling bergurau senda antara
satu sama lain sehingga mengeluarkan bunyi bising. Tidak putus putus sumpah
campur seranah yang terbit dari mulutnya.
Setelah semua gangguan itu pergi barulah
dia cuba
melelapkan mata namun tetap tidak boleh. Ini kerana cuaca panas terik itu
membuatkan dirinya tidak selesa dan tidurnya terganggu. Dia hanya tidur tidur
ayam sahaja. Tepat pukul 1.30 petang, Yaya bergerak masuk ke kelas. dia melihat
sahabatnya – Siti, Semah, Nadia dan Farah sudah ada di dalam kelas itu.
“Korang dah ulangkaji Arab?” Soal Yaya
kepada semua sahabatnya.
“Ulangkaji apanya? Aku tiru je nanti.”
Jawab Siti selamba. Mereka tertawa mendengar kata kata Siti.
Tepat pukul dua petang, semua rakan
sekuliahnya sudah masuk ke kelas itu. Kemudian Ustaz Faiz turut masuk.
“Assalamualaikum.” Ucap Ustaz Faiz kepada
semua pelajarnya di dalam kelas itu.
“Waalaikumussalam.” Jawab mereka serentak.
“Kaifa halukum?” Soal Ustaz Faiz
dalam Bahasa Arab yang bermaksud kamu semua apa khabar.
“Alhamdulillah, ana bikhair.” Jawab
semua pelajar di dalam kelas itu yang bermaksud ‘Alhamdulillah, saya sihat.’
“Baiklah, seperti yang kamu semua ketahui
bahawa pada hari ini akan diadakan ujian bertulis Bahasa Arab. Simpan semua
buku dan nota kamu sekarang. Saya akan edarkan kertas ujian.” Ujar Ustaz Faiz.
Semua pelajar di kelas itu menyimpan buku
teks Bahasa Arab di dalam beg mereka namun mereka tidak pula menyimpan nota
nota tersebut. Pelbagai cara mereka gunakan untuk menyembunyikan nota nota
mereka termasuklah Yaya. Dia menymbunyikan notanya di bawah peha. Ustaz Faiz
pula mengedarkan kertas ujian Bahasa Arab itu kepada setiap pelajar yang berada
di dalam kelas itu.
“Okey, kamu semua boleh mula sekarang.”
Kata Ustaz Faiz. Semua palajar di kelas itu mula menulis sesuatu di ruangan
jawapan yang disediakan. Apabila tidak disedari oleh Ustaz Faiz, ada diantara
mereka (termasuk Yaya) melihat nota mereka. Apabila Ustaz Faiz pergi kepada
mereka, mereka akan berpura pura menjawab soalan itu dengan bersungguh sungguh.
Begitu juga dengan Yaya. Apabila Ustaz
Faiz singgah di mejanya dia akan berpura pura menjawab soalan soalan di dalam
kertas itu dengan bersungguh sungguh tanpa melihat nota yang berada di bawah
kakinya. Apabila Ustaz Faiz pergi sahaja, dia mula melihat semula notanya.
Ustaz Faiz yang berada di hadapan itu
sedang duduk di atas sebuah kerusi sambil membelek belek sebuah buku. Yaya
terus dengan tabiat buruknya dengan meniru dalam peperiksaan. Tanpa dia sedari,
Ustaz Faiz yang sedang duduk di hadapannya itu sedang memerhatikan tingkah
lakunya. Siti yang duduk disebelahnya menyiku dirinya.
“Ustaz Faiz nampaklah apa yang kau buat.
Sorok soroklah sikit.” Siti memarahi dirinya namun dalam nada suaranya yang
agak perlahan.
“Dah siap semua?” Soal Ustaz Faiz kepada
semua pelajar yang berada di dalam kelas itu.
“Belum…” jawab mereka serentak.
“Yaya, kamu dah siap?” Soal Ustaz Faiz
lembut.
“Belum. Susahlah Ustaz.” Jawab Yaya berpura
pura.
“Iyalah tu.” Jawab Ustaz Faiz kurang
percaya.
Yaya sudah mula tidak sedap hati. Perasaan
bersalahnya semakin menyerang sanubari. Perasaan itu juga semakin menebal dalam
diri. Perasaan itu terus membedal hatinya sehingga ujian itu tamat. Sepanjang perjalanan
ke rumahnya, perasaan bersalah itu terus menghantui dirinya. Dia tidak tahu
mengapa. Barangkali inilah kali pertama dia ditangkap meniru oleh pensyarahnya.
Dia terkenal
sebagai seorang pelajar yang baik, bijak dan rajin. Malunya apabila dirinya itu
telah meniru dalam peperiksaan dan telah tertangkap pula. Malunya bukan
kepalang. Dia tidak tahu bagaimana dia harus menyorokkan mukanya
Sepanjang malam itu dia tidak dapat tidur
kerana memikirkan perasaan bersalahnya terhadap Ustaz Faiz. Ustaz Faiz baik
orangnya. Tidak garang dan yang paling penting mudah bertolak ansur. Tidak sepatutnya
dia menggunakan kebaikan yang ada pada Ustaz Faiz itu untuk membuat perkara
yang bukan bukan. Dia benar benar kesal atas apa yang berlaku.
Tiba tiba satu ilham muncul di kotak
fikirannya. Ya, dia akan memohon kemaafan daripada Ustaz Faiz. Itulah cara
terbaik bagi menghilangkan perasaan bersalah yang menghantui dirinya itu. Esok pagi
dia akan ke kolej untuk berjumpa dengan Ustaz Faiz untuk meminta maaf atas
kesilapan dan kesalahan yang telah dia lakukan.
Keeseokkannya, dia memanjat tangga blok
pensyarah itu untuk berjumpa dengan Ustaz Faiz. Tidak putus putus doanya
dipanjatkan ke hadrat Allah Azza Wajalla agar Ustaz Faiz menerima permohonan
maaf darinya. Sampai sahaja di hadapan pintu bilik Ustaz Faiz perasaan berdebar
debar dan berbelah bahagi silih berganti menghujani tangkai hatinya.
Dia sudah mula berbelah bahagi sama ada
mahu meminta maaf atau tidak. Jika dia meminta maaf, rasa malu pula yang
membedal kalbunya. Dia sudah mula keliru. Tiba tiba pintu bilik itu terbuka dan
muncul Ustaz Faiz di muka pintu itu.
“Haa, Yayaa. Ada apa datang ni?” Soal Ustaz Faiz
kebingungan. Dia menjadi hairan mengapa Yaya datang ke biliknya pada awal pagi
begini.
“Ustaz, ustaz sibuk tak sekarang ni?” Soal
Yaya meminta kepastian.
“Tidak. Kenapa?” Ustaz Faiz bertanya lagi.
“Ada
perkara yang saya nak cakap dengan Ustaz.” Jawab Yaya.
“Kalau macam tu masuklah.” Ustaz Faiz
mempelawa.
Yaya lantas masuk ke dalam bilik itu. Dia duduk
secara berhadapan dengan Ustaz yang berada dalam lingkungan 30an itu. Yaya
lantas menceritakan apa yang telah berlaku semalam dan memohon seribu kemaafan
dan ustaz yang baik itu.
“Yaya, saya sebenarnya tak marah awak tapi
awak mesti ingat bahawa meniru dalam peperiksaan adalah satu perkara yang salah
dari segi undang undang kolej. Tambahan pula apabila kita meniru keberkatan
ilmu itu akan hilang. Saya boleh maafkan awak asalkan awak boleh berjanji yang
awak takkan ulangi kesilapan ini lagi.” Ujar Ustaz Faiz.
“Baiklah. Saya takkan ulangi perbuatan ini
lagi.” Jawab Yaya sambil tersenyum dan berazam untuk tidak meniru lagi.
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.