Ustazah Syarifah – satu nama yang cukup
terkemuka di sekolah saya. Mengapa? Ada
tiga sebab yang saya boleh berikan di sini. Pertama kerana dia seorang guru
yang garang. Kedua dia seorang guru disiplin dan ketiga dia pandai bertutur
dalam Bahasa Arab kerana ijazahnya adalah dalam Bahasa dan Kesusasteraan Arab.
Namun, pada hemat saya sebab utama dia menjadi terkenal adalah kerana dia seorang guru disiplin.
Tubuh Ustazah Syarifah kecil sahaja namun
suaranya tidak sepadan dengan tubuhnya. Tubuh yang kecil itu mengandungi suara
bagai halilintar membelah bumi terutama apabila dia marah. Ramai murid terutama
yang nakal dan bermasalah memang anti dengan dirinya. Dia memang ditakuti oleh
ramai pelajar.
Minat saya bertambah kepada beliau apabila mendengar dia berucap dalam Bahasa Arab ketika sambutan Hari Guru sewaktu saya di tingkatan satu dahulu. Belum pernah lagi seumur hidup saya, saya mendengar orang Melayu boleh bertutur dalam Bahasa Arab sefasih dan selancar dirinya. Itulah kali pertama. Sejak itu, saya menanam azam untuk berguru dengan dirinya.
Saya ada mendengar dari anak anak muridnya yang mengatakan ustazah ini garang dan tegas. Dia juga selalu menampar pipi pelajar pelajar yang nakal. Sudah ramai pelajar yang menjadi mangsany. Namun, saya buang tanggapan negatif itu jauh jauh. Pada saya seorang guru mesti tegas jika tidak mahu anak muridnya memijak kepala. Walaupun ada orang mengatakan perkara yang tidak baik tentang dirinya, saya ambil tidak peduli sahaja.
Ketika saya dalam tingkatan tiga, cita cita saya untuk berguru dengan dirinya menjadi kenyataan. Dia mengajar saya dalam subjek Pendidikan Islam. Sewaktu sesi pengenalan, saya ada bertanya kepadanya tentang satu perkara.
“Ustazah
keturunan Rasulullah ke?” Soal saya.
“Ya. Saya berasal dari keturunan sebelah
Saidina Hussein – cucu Rasulullah hasil daripada perkahwinan antara Saidina Ali
dan Saidatina Fatimah.” Jawabnya dengan merendah diri.
Sejak itu perasaan kagum saya kepada
dirinya semakin membuak buak. Saya begitu bersemangat untuk menghadiri
kelasnya. Setiap kali kelasnya, saya akan merungut jika dia masuk lambat. Saya
senantiasa menunggu dirinya untuk mengajar saya. Namun, semua itu berubah
apabila berlaku satu peristiwa yang membuatkan perasaan kagum itu bertukar menjadi
benci.
Saya sebenarnya seorang pengawas sekolah
sejak dari tingkatan satu lagi. Satu hari, dua orang murid yang agak nakal
kelas saya datang berjumpa saya ketika saya mahu masuk ke kelas Pendidikan
Islam. Nama mereka adalah Hafiz dan Sabri.
“Hazmi, beritahu Ustazah Syarifah yang aku
dan Sabri tak masuk kelas dia hari ni.” Ujar Hafiz kepada saya.
“Kenapa pula?” Soal saya bingung.
“Kau cakap je macam tu. Tak payah nak
banyak soal.” Jawab Sabri. Kemudian mereka berlalu pergi.
Apabila mendengar mereka berkata seperti itu, saya tidak dapat berbuat
apa apa. Saya hanya mendiamkan diri dan terus masuk ke surau. Biasanya Ustazah
Syarifah akan mengajar di surau. Hanya sekali sahaja dia mengajar di dalam
kelas. Menurutnya, dia malas untuk memanjat tangga Blok E itu untuk ke kelas
kami. Jadi setiap kali kelasnya tiba, kami semua akan turun ke surau beramai
ramai.
Selepas memberi salam, Ustazah Syarifah
lantas membuka buku teks Pendidikan Islam itu untuk mula mengajar. Kemudian
matanya meliar memandang ke arah kami.
“Mana Hafiz dan Sabri?” Soal Ustazah
Syarifah dengan lantang.
“Dia ponteng kelas ustazah.” Saya menjawab
bagi mewakili rakan rakan sekelas yang lain.
“Macam mana awak tahu?” Soalnya lagi
tetapi kali ini menjurus kepada saya.
“Sebab mereka beritahu pada saya tadi yang
mereka mahu ponteng kelas ustazah.” Jawab saya.
“Kenapa
awak ni BODOH sangat? Awak tu pengawas. Sepatutnya awak larang mereka dari
ponteng kelas saya, ini tidak! Awak lagi menggalakkan mereka dari ponteng kelas
saya. tak gunalah awak jadi pengawas. Lebih baik awak berhenti saja.” Ujarnya dengan marah kepada
saya.
Saya sendiri berasa terkejut kerana saya
dimarahi secara tiba tiba olehnya. Lebih mengejutkan apabila dia mengeluarkan
perkataan ‘bodoh’ kepada saya. Apa salah saya, saya sendiri tidak tahu. Saya hanya
menyampaikan sahaja yang mereka berdua itu ponteng kelas dan kemudian saya pula
kena marah. Adakah menyampai berita bahawa mereka berdua ponteng kelas itu
merupakan satu kesalahan?
Saya sangat malu apabila dimarahi di
hadapan kawan kawan. Tambah malu apabila terkena serangan perkataan ‘bodoh’
itu. Jelas maruah saya seperti dipijak pijak oleh Ustazah Syarifah.
Kemudian Ustazah Syarifah lantas keluar
dari kelas itu dan pergi mencari Hafiz dan Sabri. Nasibnya baik kerana bertemu
dengan dua orang budak nakal itu. Sepanjang sesi pembelajaran dan pengajaran di
kelas itu, dia terus menyindir dan memerli saya.
Jelas rasa hormat dan kagum saya kepada
ustazah berketurunan Rasulullah itu sudah hilang dalam sanubari. Sayangnya
apabila orang yang berketurunan Rasulullah namun tidak mewarisi sifat dan
keperibadian Rasulullah. Sejak itu, perasaan kagum dan sayang sudah bertukar
benci kepada dirinya. Saya langsung tidak mahu bercakap lagi dengan dirinya. Saya
hanya bercakap apabila perlu sahaja. Itulah guruku. Ustazah Syarifah!
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.