Khamis, 13 Mac 2014

PERANG DEMOKRASI DI KAJANG

     Selain daripada misi mencari dan menyelamat pesawat MAS – MH 370 yang sudah masuk hari keenam dan masih menemui jalan buntu, tumpuan rakyat Malaysia kini tertumpu kepada pilihanraya kecil DUN Kajang yang akan berlangsung 23 Mac ini. Pertandingan yang menemukan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Ketua Wanita MCA iaitu Datin Paduka Chew Mei Fun.

      Kalau diikutkan, Datuk Seri Anwar Ibrahimlah yang akan bertanding di situ. Ini kerana – menurut beliau, beliau mahu memastikan keamanan dalam kerajaan negeri Selangor yang ditadbir oleh PKR itu. Ada desas desus mengatakan beliau mahu menjadi Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim. Sama ada perkara itu betul atau tidak, sukar untuk dipastikan.
  
     Perkara ini terjadi oleh kerana berlaku permusuhan antara Tan Sri Khalid Ibrahim dan Azmin Ali. Saya tidak mahu menyorot dengan lebih mendalam berkenaan dengan perkara kerana saya yakin anda telah mendapat maklumat yang tepat lagi banyak berkenaan dengan perkara itu di media massa atau media elektronik.

     Namun, cita cita Ketua Pembangkang itu tidak kesampaian kerana Mahkamah Rayuan telah menghukum lima tahun penjara kepada beliau kerana meliwat bekas pembantu peribadinya iaitu Saiful Bukhari Azlan. Walaupun ada pihak yang mempertikai keputusan mahkamah itu namun sebagai seorang rakyat Malaysia kita perlu menghormati keputusan mahkamah dan sistem kehakiman di negara kita.

     Pokok pangkalnya sekarang adalah siapakah yang akan menang di DUN Kajang ini? Adakah Datin Seri Wan Azizah mampu untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi oleh PKR itu pada pilihanraya umum yang lalu? Mampukah Datin Paduka Chew Mei Fun memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) di kawasan yang majoriti penduduknya adalah Cina?

     Agak sukar sebenarnya untuk meramal siapakah yang mampu menang di DUN tersebut. Masing masing mempunyai kelemahan dan kekurangan. Sebagai seorang mahasiswa dan penulis, saya mengambil sikap non partisan di dalam situasi ini di mana tidak menyatakan sokongan kepada BN atau PR. Di dalam penulisan saya, saya akan cuba untuk berlaku adil kepada semua pihak.

     Datin Seri Wan Azizah mungkin boleh mempertahankan kerusi tersebut kerana kawasan itu adalah milik PKR. Tambahan pula, pengundi pengundi di situ terdiri daripada kaum Cina. Sudah pasti mereka akan memberi undi kepada Wan Azizah kerana beliau kini sedang menjalinkan kerjasama dengan DAP – sebuah parti politik yang memperjuangkan kaum Cina secara keseluruhannya walaupun dinafikan oleh pemimpin parti itu.

     Memberi undi kepada Wan Azizah bermaksud memberi undi kepada DAP. Jadi, peluang untuk Wan Azizah menang itu memang besar. Walaubagaimanapun, kemenangan itu bukanlah mudah seperti mudahnya makan nasi. BN sudah pasti akan memberi tentangan sengit melalui calonnya iaitu Mei Fun itu. Sudah pasti semua jentera kerajaan dan media akan digerakkan untuk memastikan kemenangan BN di kawasan itu.

     Sudah pasti isu suaminya yang dituduh sebagai meliwat bekas pembantu peribadinya dan sifat homoseksnya menjadi modal kempen untuk BN. Begitu juga dengan sikap Anwar yang menyatakan keputusan mahkamah rayuan itu tidak adil dan sebagainya kerana tidak berpihak kepada beliau. Itu tidak termasuk dengan kepincangan yang berlaku dalam kerajaan negeri Selangor pimpinan Khalid Ibrahim dan di dalam PKR sendiri.

     Isu air dan pelbagai isu isu yang gagal ditangani oleh kerajaan negeri Selangor sudah pasti menjadi bahan kepada BN untuk menjatuhkan pihak lawan. Itu adalah perkara biasa dalam politik demokrasi yang sememangnya menggunakan dasar matlamat menghalalkan cara. Tidak ketinggalan isu wakil rakyat Kajang iaitu Lee Chin Cheh yang sebelum ini sanggup meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding di situ akan menjadi bahan kempen paling bagus untuk mengecapi kemenangan.

     BN juga tidak mendapat laluan mudah untuk menang di kawasan tersebut. Pelbagai isu nasional seperti kenaikan harga barang, kenaikan harga minyak dan seribu satu masalah yang gagal ditangani oleh Datuk Seri Najib Tun Razak akan dimanipulasikan oleh pihak pembangkang untuk meraih undi di kawasan tersebut. Sudah pasti juga Anwar akan menggunakan keputusan Mahkamah Rayuan ke atas dirinya itu digunakan sebagai modal kempen paling ‘mujarab’ untuk meraih undi daripada penduduk Kajang.

     Penduduk Kajang yang bersimpati kerana termakan dengan kata kata Anwar itu akan menyokong Wan Azizah seterusnya menolak Mei Fun. Ini adalah pendapat peribadi berdasarkan pengamatan dan pemerhatian saya sepanjang ‘wayang politik’ ini berlangsung.

     Kendatipun, rasa hati saya yakin Wan Azizah mampu menang di dalam pilihanraya kecil DUN Kajang atas beberapa faktor yang telah saya sebutkan di atas tadi. Apa pun, kita tunggu sahajalah keputusan yang akan diumumkan oleh SPR pada 23 Mac nanti. Apa yang saya tulis ini adalah pandangan peribadi sahaja. Sama ada anda bersetuju ataupun tidak, itu tidak menjadi soal. Semua orang ada pendapat masing masing dan kita berhak memberi pendapat. Wallahualam.


0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.