Sabtu, 27 Mei 2017

PERKARA YANG PERLU DILAKUKAN DALAM BULAN RAMADHAN



Image result for bulan ramadhan
Sumber : Google

Syukur Alhamdulillah kepada Allah kerana mempertemukan kita dengan bulan Ramadhan sekali lagi. Wajar kita bersyukur kerana kita bertemu dengan satu bulan yang rahmatnya begitu banyak sekali. Tidak ramai orang yang berpeluang untuk bertemu dengan bulan Ramadhan yang mulia. Siapa yang berpeluang itu hendaklah bersyukur dengan sebanyak-banyaknya.

Memandangkan kita sudah pun berada dalam bulan yang mulia, apakah yang perlu kita lakukan untuk kita mengisinya? Pastilah kita mengisi bulan yang mulia ini dengan ibadah-ibadah yang boleh mendatangkan pahala. Wajar kita berlumba-lumba untuk mendapatkan pahala dengan sebanyak-banyaknya. Maka, lakukanlah banyak ibadah dan kebaikkan supaya bulan yang mulia ini tidak berlalu dengan sia-sia. 

Apabila menyebut tentang bulan Ramadhan, pastilah tidak dapat dipisahkan dengan ibadah puasa. Ibadah puasa itu seperti juga ibadah-ibadah yang lain (seperti solat fardhu misalnya) sudah menjadi kewajipan dalam agama. Tunaikanlah ibadah puasa itu dengan bersungguh-sungguh supaya kita boleh mendapat banyak manfaat daripadanya.  

Selain daripada berpuasa, ibadah lain seperti solat sunat terawih, membaca Al-Quran, bersedekah, qiamulail dan sebagainya kita boleh lakukan juga. Janganlah kita sia-siakan bulan Ramadhan ini dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah hendaknya. Jika kita banyak melakukan perkara yang sia-sia, pastilah keberkatan dan kebaikkan dalam bulan Ramadhan ini kita tidak akan dapat dengan sebanyaknya.

Dalam meniti hari-hari dalam bulan Ramadhan, pastilah ada banyak perkara yang boleh kita lakukan. Perkara-perkara yang hendak kita lakukan ini adalah untuk memastikan Ramadhan kali ini kita akan mendapat banyak kebaikkan. Ini bagi memastikan Ramadhan kali ini tidak dipersiakan. 

Antara perkara yang boleh kita lakukan dalam bulan Ramadhan ini adalah mendidik hati. Kita perlu mendidik hati supaya menunaikan segala ibadah yang dituntut itu dengan penuh rasa ikhlas di dalam hati. Jika hati tidak ikhlas melakukannya, pastilah kita akan menjalani segala ibadah itu (seperti ibadah puasa misalnya) dalam keadaan yang terpaksa. Kita akan mudah mengeluh kerana tidak dapat makan dan minum pada siang hari. Dan kita juga akan mudah merungut kerana berasa lapar dan dahaga dengan begitu banyak sekali. 

Selain mendidik hati, kita juga perlu sentiasa menjaga jasmani. Pastikan tubuh badan kita sihat sentiasa. Jika kita sakit, pastilah kita tidak dapat melakukan banyak ibadah sama ada wajib ataupun sunat dengan sempurna. Dalam kesungguhan kita berpuasa, kesihatan juga kita perlu jaga. Jangan kerana makan terlalu banyak semasa berbuka puasa (iftar), kita menjadi sakit secara tiba-tiba! 

Dalam menjalani ibadah puasa itu, belajar juga kita perlu. Dalam menunaikan ibadah puasa ini kita perlu ada ilmu. Jika segala ibadah itu ditunaikan tanpa ilmu, dikhuatiri kita akan menunaikan ibadah itu secara merapu dan terburu-buru. Perlu kita tahu apakah perkara yang membatalkan puasa, apakah rukun puasa, niat untuk berpuasa dan sebagainya. Untuk mengetahuinya, perlu kita belajar daripada orang yang mahir ilmu agama. Jika tidak belajar, banyakkan bertanya kepada orang yang mempunyai pengetahuan tentangnya.  

Bagi sesiapa yang berkemampuan, perbanyakkanlah bersedekah kepada golongan yang kurang berkemampuan. Bersedekah dalam bulan Ramadhan pastilah akan mendatangkan berjuta-juta kebaikkan. Jika bersedekah pada bulan selain bulan Ramadhan pun boleh mendatangkan banyak ganjaran, bersedekah di bulan Ramadhan pasti akan mendatangkan lebih banyak ganjaran. Oleh yang demikian, banyakkan bersedekah dalam bulan Ramadhan. Sifat bakhil sebenarnya lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikkan. 

Kita sudah pun berada dalam bulan Ramadhan yang mulia. Jangan sesekali biarkan Ramadhan kali ini berlalu dengan sia-sia. Ada banyak ibadah sama ada wajib ataupun sunat yang boleh kita lakukan untuk mendapatkan pahala. Sesiapa yang biarkan bulan ini berlalu begitu sahaja, orang itu telah rugi dengan banyaknya.


1 ulasan:

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.