Khamis, 3 Julai 2014

CERPEN : SANG DIKTATOR



p/s : Berbangga saya jika anda dapat memberikan komen terhadap cerpen ini sama ada bagus atau tidak. Di situ saya boleh buat penilaian untuk meningkatkan mutu penulisan saya pada masa akan datang. Selamat membaca...


Diktator
Gambar Hiasan



        Kedinginan yang muncul dari pendingin hawa yang terpasang kuat di pejabatnya itu tidak mampu untuk mendinginkan dirinya yang dilanda masalah itu. Suhu di dalam bilik itu sudah tinggi tetapi kepanasan masih lagi menyelubungi dirinya. Peluhnya masih membentuk  manik manik di dahinya. Dia melonggarkan ikatan tali lehernya untuk memberi ruang bagi memudahkannya bernafas.
         Dia sendiri tidak tahu apakah benar berita yang baru diterimanya pagi tadi? Apakah benar yang dia akan dipecat dari jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri? Jika benar apakah sebab musabab yang menyebabkan dirinya dipecat dari jawatan itu? Dia teringat akan perbualannya bersama Ah Chong, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri di lobi Pejabat Perdana Menteri itu.

        “You tak ada dengar apa apa khabar ke semalam?” Soal Ah Chong ketika dia bertemu dengan Borhan yang baru keluar dari keretanya untuk menuju ke pejabat.
         “Tidak. Khabar apa Ah Chong?” Soalnya bingung.
         “Betul you  tidak tahu? Masakan you tak tahu. You Timbalan Perdana Menteri tau. Takkan you tak tahu.” Kelihatan Ah Chong agak ragu ragu dengan jawapan yang dia berikan.
       “Saya tak tahu la Ah Chong. Saya Timbalan Perdana Menteri bukan Tuhan. Apa la you ni Ah Chong.” Ujar Borhan sambil berseloroh.
         “Saya mahu cakap pun tak sampai hati la…” Ah Chong kelihatan serba salah untuk memberitahu.
         “Cakap saja la Ah Chong. You sudah tanya sama saya lepas tu you tak nak cakap pula.”  Borhan sudah mula tidak senang hati dengan kata kata Ah Chong.
       “Semua Menteri kabinet sudah tahu tau yang hari ni you akan dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri.” Jawab Ah Chong dalam keadaan serba salah.
         Kata kata yang keluar dari mulut Ah Chong itu membuatkan dirinya tersentak. Dia benar benar terkejut dan betul betul tidak faham. Pelbagai persoalan mula berpusu pusu masuk ke dalam kotak fikirannya. Mengapa aku dipecat? Mengapa aku tidak tahu akan perkara ini? Apa salah aku sehingga aku dipecat? Semua persoalan itu bermain main di mindanya.
        “Nanti dulu. Saya betul betul tak faham. Kenapa saya dipecat? Apa yang saya sudah buat?” Soalnya.
         “Itu kamu kena tanya dengan Perdana Menteri. Saya tak tahu.” Jawab Ah Chong. 
         Tok! Tok! Terpancung lamunannya sebentar tadi apabila mendengar ketukan pintu dari luar biliknya.
        “Masuk!” Kata Borhan dengan lantang. Kelihatan seorang perempuan muda masuk ke dalam bilik itu.
         “Datuk, Datuk Seri Mohar suruh datang ke biliknya sekarang.” Ujar Suzy yang merupakan pembantu peribadi kepada Borhan.
         “Baiklah. Nanti saya akan ke biliknya. Ada apa apa lagi?” Soal Borhan.
         “Tak ada Datuk.” Suzy menjawab.  
         “Awak boleh keluar sekarang.” Dia memberi arahan.
        Suzy sekadar mengangguk dan lantas meninggalkan bilik itu untuk melakukan tugasnya. Dia tahu majikannya itu sekarang berada dalam masalah. Datuk Borhan seorang boss yang baik dan dia senang bekerja dengan Datuk Borhan. Mungkin kerana dia ditimpa masalah menyebabkan sikapnya agak berlainan pada hari itu. Biasanya Datuk Borhan agak mesra dengan dirinya.
         Datuk Borhan masih memandang ke luar tingkap pejabatnya yang besar itu. Kelihatan Menara Tertinggi Di Dunia dan Bandaraya K. Dia kagum melihat keindahan ibu negara M itu yang telah diusahakan oleh Datuk Seri Mohar Mahadi selama hampir dua puluh tahun lamanya. Dia akui bahawa Datuk Seri Mohar merupakan seorang Perdana Menteri yang hebat dan berpandangan jauh.
          Dia berbeza dari mana mana Perdana Menteri sebelum ini. Dia mempunyai visi dan misi yang tidak pernah terfikir oleh mana mana individu dalam negara M itu. Walaubagaimanapun, disebalik kemewahan, kemajuan dan pemodenan yang telah dinikmati di negara ini terdapat banyak kesan kesan buruk yang melanda. Tindakan tindakan politik Datuk Seri Mohar dalam politik telah mengundang pelbagai polemik sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri selama tujuh belas tahun itu.
        Tindakan tindakan yang beliau lakukan semata mata hanya untuk menjaga kedudukannya sebagai Perdana Menteri telah menyebabkan ramai orang menjadi mangsa. Ramai orang ‘mati’ di bawah kekuasaanya itu.  Beliau menggunakan segala jentera kerajaan yang ada seperti polis dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menghalang kepada sesiapa yang cuba mengganggu gugat takhta kekuasaanya.
         Siapa yang tidak kenal akan Datuk Seri Mohar. Dia dikenali bukan sahaja di Negara M tetapi juga di seluruh dunia. Dia dianggap sebagai wira dunia ketiga. Dia begitu berani menentang Amerika dan Israel. Oleh itu, secara tidak langsung dia telah banyak mengumpul musuh musuhnya di luar sana.
       Bukan sahaja di luar negara dia mempunyai musuh, di dalam Negara M pun dia turut mempunyai ramai musuh. Selain dari pemimpin pemimpin parti pembangkang dan aktivitis politik yang cuba mengganggu keutuhan singgahsana kuasanya, di dalam partinya sendiri iaitu Parti U juga dia turut mempunyai ramai seteru.
        Tidak hairanlah dia mempunyai dua orang Timbalan Perdana Menteri sebelum ini. Kedua duanya tersingkir kerana cuba menghalang cita citanya dan cuba mengganggu gugat takhta kekuasaanya. Dan sekarang dirinya pula yang akan menjadi TPM seterusnya yang akan tersingkir dari jawatan itu.
       Dia tahu mengapa Datuk Seri Mohar Mahadi mahu menyingkirkannya. Datuk Seri Mohar tidak bersetuju dengan langkah pengurusan ekonominya yang cuba mengelak dari dipegang oleh kuasa kapitalis. Datuk Seri Mohar juga tidak bersetuju dengan pengurusan ekonominya yang terlalu mengutamakan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana. Bagi Datuk Seri Mohar, apa yang Negara M perlukan adalah menumpukan kepada bidang perindustrian tanpa memikirkan nasib rakyat yang susah di luar sana. Datuk Seri Mohar tidak peduli apa yang akan berlaku asalkan Negara M menjadi negara perindustrian setaraf dengan Jepun dan Korea Selatan.  
        Dia juga tahu Datuk Seri Mohar Mahadi marah dengannya kerana dia bercadang untuk bertanding merebut jawatan sebagai Presiden bagi Parti U yang telah disandang oleh Datuk Seri Mohar sejak sekian lama. Memandangkan Datuk Seri Mohar terkenal dengan sikap sang diktatornya, maka dia cuba mencantas peluang untuk dirinya naik bagi merebut jawatan itu. Maka, Datuk Seri Mohar menggunakan taktik memecat dirinya sebagai TPM dan Timbalan Presiden Parti U.
       Itulah Datuk Seri Mohar. Dia akan menggunakan apa sahaja cara asalkan cita citanya tercapai. Terserlah sikap sang diktatornya.
         Apa yang Datuk Seri Mohar tidak pernah buat? Semua perkara dia buat semata mata untuk mempertahankan kekuasaanya. Dia sanggup buat apa sahaja malah menghina Rasulullah dan Islam sendiri. Dia pernah mengeluarkan kenyataan yang menghina orang yang berjanggut semata mata kerana dia benci akan Parti P yang berideologi Islam itu memandangkan ramai pemimpin parti itu mempunyai janggut. Bukankah janggut sunnah Rasulullah? Mengapa perlu dihina?
        Itu tidak masuk lagi apa yang Datuk Seri Mohar lakukan kepada kerajaan negeri K yang ditadbir oleh Parti P. Dia bukan sahaja mengenakan sekatan ekonomi kepada negeri K malah juga melarang kerajaan negeri K yang ditadbir oleh Parti P itu untuk melaksanakan hukum hudud dan qisas. Dia bukan sahaja menentang malah menghina pula dengan mengatakan bahawa hukum hudud tidak ada dalam Al Quran sebaliknya hanyalah ciptaan ahli feqah! Semua orang terkejut dengan kenyataan yang keluar dari mulut seorang yang beragama Islam seperti Datuk Seri Mohar ini.
        Ramai dalam kalangan rakyat Negara M yang tidak berpuas hati dengan sikap Datuk Seri Mohar yang mengamalkan kronisme dan nepotisme dalam pentadbirannya. Sewaktu dia menjadi Perdana Menteri, anak anaknya juga tiba tiba sahaja menjadi jutawan. Dia juga lebih banyak mengutamakan kawan kawan dan ahli keluarganya dalam pemberian tender tender kerajaan.
         Ramai lagi rakyat Negara M yang lebih layak untuk menerima semua tender tender itu namun diketepikan oleh Datuk Seri Mohar. Dia mahu semua kawan kawan dan ahli keluarganya kaya raya. Terserlah sikap sang diktatornya itu. Apa yang menyedihkan, ada kalanya projek projek tertentu yang diusahakan oleh kawan kawan dan ahli keluarganya yang menemui kegagalan.
            Sebagai contoh dalam kes pembinaan Maju Jaya Mall itu yang menelan belanja sebanyak 25 bilion terbengkalai begitu sahaja. Begitu juga dengan pembinaan stadium Teratak Kasih yang menelan belanja sebanyak 70 bilion boleh runtuh secara tiba tiba. Namun begitu, semua pemaju itu tidak dikenakan tindakan undang undang sementelahan mereka adalah ahli keluarga dan kawan kawan Perdana Menteri.   
        Satu keluhan dihempaskan oleh Datuk Borhan apabila mengenangkan tingkah laku bossnya yang gila kuasa dan mengamalkan sikap seperti diktator itu. Seorang diktator yang bertopengkan demokrasi. Dia masih lagi berdiri di hadapan tingkap pejabatnya yang besar itu. Tiba tiba matanya tertancap pada sekumpulan warga Bangladesh yang lalu lalang di sekitar Bandaraya K itu.
        Sejak dasar pemodenan yang dijalankan oleh Datuk Seri Mohar, begitu ramai pendatang asing yang membanjiri Negara M.  Bukan sahaja warga Bangladesh, malah warga Indonesia, Filipina, Thailand. Myanmar, Vietnam, Pakistan dan ramai lagi sudah menjadi sebahagian daripada hidup rakyat Negara M. Ya, dari satu segi khidmat mereka diperlukan bagi membantu membangunkan negara ini memandangkan mereka sahaja yang sanggup bekerja sebagai ‘kuli batak’ di negara ini namun dari satu segi yang lain kehadiran mereka mengundang pelbagai masalah.
       Bukan sahaja jenayah meningkat malah kadar kemasukan mereka secara haram terus bertambah dari tahun ke tahun seolah olah tiada penguatkuasaan yang dijalankan oleh pihak pihak yang bertanggungjawab seperti Imegresen contohnya. Apa yang mereka lakukan untuk membasmi masalah ini? Datuk Seri Mohar selaku Perdana Menteri dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri pun hanya sekadar membutakan mata dan memekakkan telinga. Tiada tindakan undang undang yang dilakukan untuk menangani masalah yang semakin meruncing itu.
        Jumlah warga asing ke dalam negara ini semakin lama semakin bertambah malah sudah mencecah jutaan orang! Tetapi masih tiada tindakan yang diambil. Masalah yang berlaku masih lagi ditakuk yang lama.
        Datuk Borhan masih lagi berdiri memandang ke luar tingkap bangunan Pejabat Perdana Menteri itu. Pandangan yang dihalakan kepada ibu negara M itu seolah olah membicarakan sesuatu kepada dirinya yang selama ini dia tidak sedar. Matanya beralih pula kepada Bangunan Bank B.
       Sepuluh tahun dulu Bank B yang merupakan sebuah bank yang bertaraf gergasi di negara M namun tidak ada angin mahupun ribut tiba tiba sahaja Bank B boleh muflis. Bank C yang mempunyai nilai asset yang lebih kecil berbanding Bank B tiba tiba sahaja mampu untuk membeli pegangan saham dalam Bank B. Itulah yang menjadi tanda tanya rakyat negara M sehingga kini. Bagaimana sebuah bank gergasi yang mempunyai nilai asset yang besar boleh muflis dalam sekelip mata? Bagaimana bank yang lebih kecil mampu menguasai bank yang lebih besar?
       Semua persoalan ini begitu menguasai pemikiran rakyat negara M. Bank B boleh menjadi muflis kerana begitu ramai orang yang membuat pinjaman (terutama ahli politik dan kerabat diraja) tetapi tidak mahu membayarnya semula. Apabila Bank B mahu mendakwa ahli ahli politik itu  melalui  mahkamah, Datuk Seri Mohar lantas menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif atau Pengerusi Bank B supaya menghapuskan semua hutang hutang lapuk ahli ahli politik itu yang terdiri dari kawan kawannya.
       Datuk Borhan tahu akan hal ini sementelahan dia adalah Menteri Kewangan. Segala tindak tanduk orang orang politik itu diketahui olehnya dan dia cuba untuk mengambil tindakan namun gagal apabila Datuk Seri Mohar cuba menghalang. Dia begitu marah apabila khazanah negara ini dirompak sewenang wenangnya oleh juak juak dan penasihat penasihat Datuk Seri Mohar. Mungkin sebab itulah dia cuba ‘ditendang’ oleh Datuk Seri Mohar dari kerajaan dan parti.  
         Bukan itu sahaja, skandal Syarikat P Keluli yang merupakan syarikat pembuat keluli terbesar di Asia juga muflis apabila dipegang oleh kroni  Datuk Seri Mohar. Tan Sri Ng yang merupakan seorang usahawan yang berjaya dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Syarikat P Keluli. Syarikat yang mencatat keuntungan berbilion billion setahun tiba tiba diserang kemuflisan. Ini semua berlaku apabila begitu banyak campurtangan politik di dalam syarikat itu sehingga segala asset dan keuntungan bisa lesap begitu sahaja.
       Datuk Borhan cuba mendakwa Tan Sri Ng di mahkamah kerana kegagalan tauke Cina itu menguruskan Syarikat P Keluli dengan baik namun dihalang oleh Datuk Seri Mohar. Datuk Seri Mohar mengarahkan hakim supaya membatalkan kes tersebut dan membebaskan Tan Sri Ng kerana Tan Sri Ng adalah kroni dan rakan karib kepada Datuk Seri Mohar.
      Tok! Tok! Sekali lagi lamunannya terpancung apabila terdengar ketukan di pintu biliknya.
       “Masuk!” Katanya dengan suara yang nyaring. Kelihatan sahabat baiknya, Datuk Supitah Baharom yang juga Ketua Menteri Negeri S masuk ke dalam bilik itu.
       “Datuk Supitah, you apa khabar? Sudah lama I tak jumpa you. You sihat?” Soal Datuk Borhan sekadar berbasa basi. Dia gembira melihat kehadiran Datuk Supitah itu. Datuk Supitah adalah sahabat baiknya. Sama sama berjuang dalam politik ketika dalam barisan kepimpinan sayap Pemuda Parti U lagi.
         “I sihat. You apa macam? Borhan, apa dah jadi ni? Kenapa tiba tiba Datuk Seri Mohar nak pecat you?” Soal Datuk Supitah. Dia sedih jika sahabat baiknya itu ‘hilang’ dalam kerajaan dan parti. Datuk Borhan adalah ‘lubuk emasnya’. Jika Datuk Borhan sudah tidak lagi menjadi TPM, peluangnya untuk berkuasa di Negeri S juga akan turut terjejas. Sudah pasti jawatan Ketua Menteri itu akan diambil oleh orang lain.
       “Ini semua sebab Datuk Seri Mohar tak nak I cabar jawatan Presiden dalam pemilihan parti hujung tahun ini. Sebab dia tahu I boleh menang. Sebab itu awal awal lagi dia mahu cantas I.” Jawab Datuk Borhan tenang.
         “You janganlah cabar dia. Biar dia bagi you jawatan tu secara sukarela. Kenapa you mesti nak guna kekerasan untuk dapatkan jawatan Presiden parti tu?”
       “You nak tunggu sampai bila lagi? Berapa banyak wang negara ini nak ‘disapu’ oleh Datuk Seri Mohar? Sampai bila kita nak tengok dia asyik memberi kekayaan kepada kawan kawan dan ahli keluarga dia saja?”
       “I bukan tak bagi you bertanding tapi you mesti ingat, orang tua tu licik dan bijak. Dia boleh bunuh karier politik you. You anak didik dia dalam politik takkan you tak tahu perangai dia yang tak suka orang lawan dia.”
        “You kena ingat Datuk Supitah, sepandai pandai tupai melompat akhinya jatuh ke tanah juga. Sampai bila dia nak menipu rakyat? Sebab tu you kena sokong I. You kena pengaruhi perwakilan di negeri you supaya sokong I dalam pemilihan tu nanti. Kalau semua perwakilan dari negeri you sokong I, I yakin I boleh menang.”
         “I tak beranilah Datuk Borhan. Semua perwakilan di negeri S sudah sokong Datuk Seri Mohar. Kalau dia tahu apa yang kita rancang ni, mati kita. Silap silap I boleh hilang jawatan I.”
       “Mana yang lebih penting Datuk Supitah? Jawatan you atau sahabat yang perlukan you sekarang ni?” Soal Datuk Borhan.
       “You memang sahabat I tapi I kena juga jaga periuk nasi I. Anak anak dan isteri I nak juga makan dan minum.” Jawab Datuk Supitah.
         Tersentak Datuk Borhan mendengar kata kata Datuk Supitah itu. Dia tidak menyangka bahawa sahabatnya itu lebih mementingkan jawatan dari persahabatan yang terjalin sejak sekian lama. Datuk Supitah memang kawan yang tidak boleh dipercayai!
         “I betul betul minta maaf Datuk Borhan. I tak boleh tolong you kali ni. You  pun sudah mahu jatuh. Kalau I sama sama dengan you, silap silap I pun boleh jatuh sama. I tak nak hilang jawatan I sebagai KM di negeri S.”
        “You dah lupa ke apa yang Datuk Seri Mohar dan buat pada negeri you? You tak ingat berapa ramai pendatang pendatang Filipina yang diberi taraf warganegara semasa Datuk Seri Mohar nak rampas negeri S dari Tan Sri Ketinggian dahulu? You dah lupa?” Soal Datuk Borhan dengan suara yang keras.
         “ I memang tak boleh lupa tapi apa yang boleh kita buat untuk jatuhkan Datuk Seri Mohar? Kita tak ada bukti yang kukuh untuk sabitkan dia dalam kesalahan tu. Lagipun itu hanya khabar khabar angin yang dibawa oleh parti pembangkang.”
         “You memang bacul dan pengecut! You boleh keluar sekarang dari bilik I. You memang tak boleh dipercayai. Berambus!” Jerit Datuk Borhan.
       “Borhan… banyak banyak bersabar. Jangan ikut emosi nanti merana diri.” Datuk Supitah cuba menasihati.
       “Aku cakap keluar! Berambus kau dari sini! Berambus!” jerit Datuk Borhan lagi. Datuk Supitah hanya mengangkat bahunya dan terus beredar dari bilik itu. Datuk Borhan menghempaskan badannya di kerusi empuknya itu. Kepalanya pusing sekarang. Masalah datang bertimpa timpa. Segala rancangannya musnah dalam sekelip mata.
         Benarlah kata pujangga. Sahabat dalam politik adalah sahabat ilusi. Sahabat yang hanya datang di waktu senang dan akan tinggalkan kita di waktu kita ditimpa kesusahan. Dia tahu ini semua permainan siapa. Ini semua adalah permainan Datuk Seri Mohar. Ya, sang diktator itu. Sang diktator yang kejam dan zalim. Sang diktator yang tidak ada hati perut. Tiba tiba pintunya diketuk lagi.
        “Nak apa lagi?” Dia menjerit kemarahan dan kemudian muncul Suzy di muka pintu.
         “Maaf Datuk saya ganggu tapi Datuk Seri Mohar nak jumpa Datuk sekarang. Dah lama dia tunggu tu.” Ujar Suzy.
       “Baiklah.” Balas Datuk Borhan dan mula meninggalkan biliknya. Dia bergerak ke tingkat empat yang terletaknya pejabat Perdana Menteri dengan menaiki lif. Sampai sahaja di bilik yang berpintu kayu mahal dan mewah itu, dia terus mengetuk pintu itu.
       “Masuk!” terdengar satu suara dari dalam bilik itu. Datuk Borhan lantas memulas tombol pintu itu dan kelihatan Datuk Seri Mohar berada di meja kerjanya. Dia lantas menuju kepada ‘mahaguru politiknya’ itu.
       “Ha…. Sampai pun. Dah lama saya tunggu awak. Sila duduk.” Datuk Seri Mohar mempelawa Datuk Borhan duduk di kerusi yang terletak di hadapan mejanya itu. Segarit senyuman terukir di bibirnya. Sukar untuk Datuk Borhan menafsirkan makna senyuman itu sama ada sinis, sindir atau ikhlas?
        Datuk Borhan menarik kerusi di hadapan meja kerja Datuk Seri Mohar itu. “Ada apa Datuk nak jumpa saya?”
         Mendengar sahaja soalan itu, Datuk Seri Mohar lantas meletakkan sampul surat di hadapan Datuk Borhan. “Surat apa ini?” Soalnya.
         “Bukalah.” Kata Datuk Seri Mohar tenang. Datuk Borhan membuka sampul surat itu. Dia mengeluarkan sekeping surat dari sampul itu dan lantas membacanya. Seperti yang telah dia duga, itu adalah surat pemecatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta semua jawatannya dalam kerajaan.
        “Tapi kenapa Datuk pecat saya? Apa saya dah buat?” Soal Datuk Borhan tidak berpuas hati.
       “Datuk Borhan, awak tak nampakkah yang rakyat dah mula hilang kepercayaan kepada awak. Bukan rakyat sahaja, malah semua ahli parti pun dah hilang kepercayaan kepada awak.” Ujar Datuk Seri Mohar.
          “Kenapa tiba tiba isu kepercayaan ini dibangkitkan? Datuk pernah terfikir tak rakyat jelata juga sudah  tidak mahu lagi Datuk jadi Perdana Menteri. Berapa lama lagi Datuk nak duduk di kerusi tu? Sampai mati?” Datuk Borhan membidas.
         Datuk Seri Mohar hanya tersenyum sinis mendengar kata kata Datuk Borhan. Hati Datuk Borhan sudah meletup melihat senyuman kejahatan yang terukir cantik di bibir lelaki yang berusia dalam lingkungan 70an itu.
         “Awak dah lupa, berapa banyak tuduhan yang awak dapat. Tuduhan sebagai homoseks, suka tidur dengan isteri orang, rasuah, pecah amanah, bersetongkol dengan Amerika dan Israel untuk menjahanamkan Negara M. Awak dah lupa semua itu? Atau… awak pura pura lupa?” Tekan Datuk Seri Mohar.
         “Awak sendiri tahu itu semua firnah?”
         “Fitnah atau bukan bukan soalnya. Yang penting persepsi rakyat terhadap awak sudah berubah. Kalau awak kata itu fitnah, kenapa awak berhampiran dengan fitnah. Bukankah Islam suruh kita menjauhi fitnah. Saya rasa awak lebih tahu sebab awak pemimpin bekas Presiden Persatuan Belia Islam Negara M.”
        Datuk Borhan merenung Datuk Seri Mohar dengan renungan yang tajam. Kalau diikutkan nafsu amarahnya, sudah lama dia bunuh ‘orang tua kutuk’ yang ada dihadapannya itu.  
         “Saya tahu Datuk. Saya tahu… semua ini rancangan awak untuk menjatuhkan saya. Semua ini satu konspirasi untuk merosakkan kerjaya politik saya. Awak jangan ingat saya tak tahu Datuk Mohar. Awak memang licik Datuk Mohar.” Ujar Datuk Borhan dengan kegeraman.    
         “Awak jangan nak tuduh sebarangan Datuk Borhan. Awak yang sengaja cari masalah dan sekarang awak nak salahkan saya pula? Lebih baik awak balik Datuk Borhan. Tempat ini bukan untuk awak lagi. Semalam saya dah bermesyuarat dengan semua ahli Majlis Parti U. Kami sebulat suara memecat awak sebagai Timbalan Presiden Parti U.
          Tersentak Datuk Borhan apabila mendengar kata kata Datuk Seri Mohar. Dia tidak menyangka Datuk Seri Mohar telah bertindak lebih awal dari apa yang dia jangkakan.
        “Kenapa pihak majlis buat keputusan tanpa kehadiran saya? Saya Timbalan Presiden Parti U. Saya patut hadir untuk membela diri saya. Kenapa saya tak dipanggil untuk membela diri?” Soal Datuk Borhan yang masih dalam keadaan terkejut.
        “Parti U parti yang bersih Datuk Borhan. Takkan kami nak ambil orang yang sudah ‘kotor’ macam awak untuk masuk dalam parti kami. Kami tidak mahu orang yang imejnya tercemar berada dalam parti kami. Sebab itu saya panggil semua ahli majlis Parti U supaya berbincang tentang masalah awak dan kami mengambil keputusan untuk pecat awak serta merta.” Jawab Datuk Seri Mohar.
        Tiada kata yang keluar dari mulut Datuk Borhan. Dia tahu bahawa parti ingin memecatnya sebagai Timbalan Presiden tetapi pada fikirannya sudah tentu dia akan dipanggil untuk membela diri namun lain pula yang berlaku. Ahli majlis Parti U bersidang tanpa kehadirannya. Dia tahu ini semua adalah rancangan jahat dan licik Datuk Seri Mohar. Lelaki ini memang sang diktator!
       Tiada apa yang dapat dilakukan oleh Datuk Borhan pada waktu itu. Fikirannya benar benar kusut. Dia tidak mampu melakukan apa apa untuk membela dirinya. Dirinya kini bukan sahaja sudah jatuh malah ditimpa tangga pula. Dia benar benar sudah hilang semuanya.
        “Sudahlah Datuk Borhan. Bersaralah dari politik. Semakin lama awak dalam politik semakin bertambah musuh musuh awak. Tapi awak jangan risau. Saya dah aturkan satu rancangan untuk awak. Kalau awak nak saya boleh hantar awak jadi Duta ke Amerika Syarikat. Bukankah awak baik dengan ramai pemimpin negara Uncle Sam tu? Kalau awak nak lagi sebulan datang jumpa saya. Saya aturkan segala galanya untuk awak asalkan awak tak ganggu kedudukan saya sebagai PM di negara ini. Itu sahaja.” Ujar Datuk Seri Mohar.
       Datuk Borhan memandang dengan tajam ke arah Datuk Seri Mohar. Lama dia memikirkan tentang tawaran itu. Adakah aku patut ambil tawaran itu? Bisik hati kecilnya.
        “Awak jangan ingat awak boleh beli maruah saya dengan pangkat dan wang ringgit Datuk Mohar. Saya sesekali takkan gadaikan prinsip saya. Saya takkan berdiam diri. Saya akan lawan awak. Saya akan jatuhkan awak. Awak ingat tu Datuk Mohar!” Kata Datuk Borhan dengan keras.
        “Hahaha… Jangan cakap pasal harga diri dengan saya. Harga diri awak tu saya boleh dapat dekat pasar malam saja tau. Saya boleh beli sepuluh dengan harga satu ringgit je maruah awak. Hahaha…” Nyaring sungguh ketawa Datuk Seri Mohar. Terserlah sifat kesyaitanan yang bersarang dalam dirinya sejak sekian lama.
        “Ketawalah sepuasnya Datuk Mohar selagi awak boleh ketawa. Lepas ni nak senyum pun awak belum tentu boleh.” Ujar Datuk Borhan lalu bangun dari kerusi itu dan mula mengatur langkah untuk meninggalkan bilik Datuk Seri Mohar itu.
         “Dartuk Borhan, apa yang awak nak buat?” Soal Datuk Seri Mohar.
         “Saya akan gulingkan kerajaan awak melalui jalan raya.” Jawab Datuk Borhan dan lantas pergi. Dia terus berjalan tetapi tidak menuju ke pejabatnya sebaliknya dia menuju ke luar bangunan Pejabat Perdana Menteri. Dia melihat ramai orang yang berkumpul di hadapan pejabatnya itu. Mereka dikawal oleh pihak polis agar mereka tidak boleh merempuh masuk ke bangunan pentadbiran kerajaan itu.
          Apabila mereka lihat sahaja dirinya, mereka lantas melaungkan namanya dengan lantang dan penuh semangat. Hidup Datuk Borhan! Hidup Datuk Borhan! Hidup Datuk Borhan!
       Dia tersenyum dalam keadaan terharu apabila melihat begitu ramai rakyat jelata yang menyokong dirinya. Mereka yang datang ini adalah mereka yang telah mendengar berita tentang pemecatannya lantas tidak mahu mempercayainya. Mereka yakin ada konspirasi untuk menjatuhkan Datuk Borhan yang mereka kenali sebagai seorang pemimpin Melayu yang berjiwa Islam.
        Mereka akan bersama Datuk Borhan dalam memperjuangkan nasib pemimpin yang mereka kagumi dan mereka sayangi itu. Mereka tega sehidup semati bersama Datuk Borhan. Mereka akan bersatu untuk menentang Datuk Seri Mohar – sang diktator itu.
         Datuk Borhan sudah menanam azam. Dia akan bela nasib rakyat yang tertindas seperti mana yang telah dia lakukan semasa berada dalam kerajaan dahulu.  Dia akan berjuang seperti mana ketika dia menjadi Presiden Persatuan Belia Islam dahulu. Berjuang melalui jalan raya…


2 ulasan:

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.