Semua orang tahu hubungan antara UMNO dengan PPBM-PAS tidaklah mesra pada masa sekarang. Meskipun mereka berada di bawah satu kumpulan yang sama iaitu Perikatan Nasional (PN), namun hubungan mereka dingin meskipun tidak tegang.
Mereka bersatu kerana dua perkara. Pertama, kerana ingin memelihara kerajaan yang mereka pegang ini agar tidak jatuh dan kedua, kerana berkongsi agama, bangsa dan bahasa yang sama (secara majoritinya).
Mereka baru sahaja menjadi kerajaan namun hubungan mereka menjadi keruh. Hubungan mereka keruh kerana masing-masing mempunyai ego.
UMNO ego kerana mereka merasakan bahawa mereka adalah 'abang besar' dalam perikatan itu. Hal ini terjadi kerana mereka biasa menjadi ketua semasa mereka mengetuai Barisan Nasional dahulu. Tambahan pula, mereka mempunyai jumlah kerusi terbanyak di Parlimen.
PPBM ego kerana mereka merasakan bahawa mereka ketua dalam perikatan itu memandangkan pemegang jawatan Perdana Menteri itu datang dari parti mereka. Oleh kerana jumlah kerusi Parlimen mereka kecil, mereka berusaha untuk merampas kerusi milik UMNO dalam pilihan raya akan datang. Bukan itu sahaja, mereka juga cuba merampas ahli-ahli UMNO di peringkat cawangan dan bahagian.
Memandangkan kedua-dua parti itu mempunyai sikap ego, sepatutnya PAS perlu memainkan peranan penting sebagai jambatan penghubung hubungan baik antara UMNO dan PPBM. Namun PAS tidak bertindak seperti itu. PAS dilihat cenderung menyebelahi PPBM dalam banyak perkara.
Kerana sikap ketiga-tiga parti itu begitu, maka hubungan UMNO dan PPBM bukan sahaja dingin malah bertambah keruh. Terdengar desas-desus yang mengatakan bahawa UMNO mahu keluar daripada perikatan itu. Desas-desus itu menjadi bertambah betul apabila terdapat beberapa ahli parlimen UMNO yang tidak lagi menyokong kerajaan PN.
Ini adalah suatu perkara yang tidak sihat. PN yang dilihat rapuh itu bertambah rapuh. Kerajaan PN yang diketuai oleh Muhyiddin Yassin mungkin boleh tumbang pada bila-bila masa.
Kerajaan PN dilihat tidak tumbang kerana perlaksanaan darurat. Tanpa darurat, barangkali kerajaan PN ini telah lama jatuh.
Tidak diketahui apa akan berlaku pada PRU 15 akan datang. Adakah UMNO-BN akan kekal lagi bersama PN atau bergabung pula dengan parti-parti pembangkang lain seperti PKR-Amanah-DAP?
Menjadi tanda tanya juga, adakah UMNO akan bertanding menentang PPBM-PAS di beberapa kerusi parlimen? Dan jika mereka bertanding sesama sendiri, siapa yang akan menang?
Adakah UMNO-BN berupaya untuk menjadi kerajaan semula selepas PRU-15 nanti? Atau adakah Pakatan Harapan masih berupaya merampas kembali kerajaan Persekutuan atau adakah PPBM-PAS akan terus kekal menjadi kerajaan seperti hari ini?
Sesungguhnya politik ialah cabang seni serba mungkin dan tidak wujud ukuran yang jelas untuk membuat apa-apa ketetapan.
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.