Ahad, 1 Oktober 2017

TEORI SEPI TINGGI DALAM ISU ARAK DAN DOBI

Image result for arak
Sumber : Google

Dalam Teori Sepi Tinggi, jauh di belakang setiap konflik adalah rasa sepi. Konflik yang diwujudkan adalah untuk menentang rasa sepi.

Ramai manusia tidak tahan diseksa dengan rasa sepi. Menghilangkan rasa sepi adalah sesuatu yang sentiasa dicari. Salah satu cara untuk menghilangkan rasa sepi adalah dengan menimbulkan keriuhan. Keriuhan akan timbul apabila konflik dicetuskan.

Teori Sepi Tinggi ini saya fikir molek diaplikasikan dalam isu pesta arak dan kedai dobi yang tercetus baru-baru ini. Saya yakin di belakang kedua-dua isu ini adalah kerana timbulnya rasa sepi.

Setiap orang, bangsa, dan agama ada sensitivitinya. Segala sensitiviti itu wajiblah dihormati dengan sebaiknya. Saya yakin hampir seluruh rakyat Malaysia tahu bahawa arak adalah sesuatu yang sangat sensitif bagi ramai orang Islam. Justeru, pesta arak itu tidak perlulah dibuat secara besar-besaran.

Begitu banyak premis menjual arak ada di negara kita. Orang bukan Islam yang mahu meneguk arak tidak pernah dihalang untuk melakukannya. Orang Islam di Malaysia amat memahami hal itu dan mereka menghormatinya. Jadi, tidak perlulah dipukul canang darihal pesta arak itu di mana-mana.

Tetapi oleh kerana terlalu ramai orang berada dalam kesepian, maka pesta arak itu sengaja dibuat secara besar-besaran. Ini kerana mereka tahu pesta arak itu pasti akan mendapat bantahan. Apabila ada bantahan, pastilah konflik akan timbul lalu akan mencetuskan pergaduhan dan keriuhan (terutama dalam media sosial). Maka,  kesepian yang menyelubungi mereka tadi dapat dihilangkan.

Mencabar sensitiviti umat Islam di negara ini bukanlah sesuatu perkara yang baru. Hal-hal yang lebih kurang sama sebegini memang sudah acapkali berlaku. Sesetengah pihak di negara kita memang suka mencabar sensitiviti. Ini semua bagi menghilangkan rasa sepi. 
  
Modus operandi yang sama juga berlaku terhadap isu kedai dobi. Perniagaan dan organisasi yang hanya menerima sesuatu kaum atau agama sahaja bukanlah sesuatu yang baru di negara ini. Tetapi oleh kerana isu kedai dobi itu orang Islam yang lakukan, maka reaksi yang dilempar sengaja dilebihkan.

Syarikat yang hanya menerima kaum tertentu sahaja sebagai pekerja tidak pernah mendapat kecaman. Hal sebegitu pun tidak diperbesarkan. Tetapi apabila sebuah kedai dobi yang hanya menerima orang Islam sahaja sebagai pelanggan, entah mengapa begitu banyak menerima kecaman. 

Orang yang membesarkan isu kedai dobi itu berada dalam kesepian. Oleh kerana sudah tidak ada lagi isu yang hendak ditimbulkan, maka isu kedai dobi untuk pelanggan Islam itu menjadi perhatian. Apabila isu itu diperbesarkan, maka konflik pun diwujudkan. Konflik itulah yang akan menentang kesepian.

Menghadap laman sosial dua puluh empat jam juga adalah salah satu cara untuk menentang kesepian. Pengguna laman sosial yang sepi akan sengaja mencari isu untuk disensasikan. Apabila isu arak dan dobi itu terjadi (sama ada mereka yang mentularkannya atau ditularkan oleh pengguna lain), maka sebilangan pengguna laman sosial yang sepi akan membuat serangan provokasi. Mereka akan berkongsi (share), membuat ulasan (comment), menulis status (di Facebook), dan berkelahi dengan pengguna laman sosial lain untuk menentang rasa sepi.  

Bagi tokoh-tokoh politik tertentu (misalnya) yang merasakan diri dan perjuangan mereka sudah mula dipandang sepi, mereka pasti bertindak supaya diri dan perjuangan mereka boleh terus dilihat lagi. Sama ada mereka yang mencetuskan konflik atau mereka yang mengeluarkan kenyataan kontroversi sebagai maklum balas terhadap isu yang terjadi, itu adalah salah satu cara supaya diri mereka boleh terus meraih populariti. Semuanya dilakukan untuk mendapat banyak undi dalam pilihan raya yang akan dijalankan nanti.

Berdasarkan Teori Sepi Tinggi, kesepian adalah sesuatu yang amat bahaya sama sekali. Konflik dan pertelingkahan mampu diwujudkan akibat timbulnya rasa sepi. Apa yang penting sensitiviti kaum dan agama orang lain hendaklah dihormati. Barulah hidup bermasyarakat kita berada dalam keadaan tenteram dan harmoni.

1 ulasan:

  1. Rakyat Malaysia ini memang sentiasa sahaja sepi. Sebab itulah timbul banyak konflik di kalangan kita.

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.