Sumber : Google |
Populasi umat Islam di seluruh dunia
memang ramai sekali. Ia umpama buih buih di lautan seperti mana yang telah
disabdakan dalam hadis Nabi (Muhammad). Namun, di dalam populasi yang ramai
itu, umat Islam terus diancam dan diburu. Ia tidak bebas untuk mengamalkan
ajaran agamanya seperti mana zaman Nabi dan zaman Khulafak Al-Rasyidin
memerintah Madinah dahulu. Umat Islam di seluruh dunia sekarang ini umpama
menggenggam bara api selalu!
Kita lihat sahaja penindasan terhadap
umat Islam yang berlaku di seluruh dunia. Perempuan Islam yang tinggal di
negara bukan Islam bukan sahaja dilarang untuk berpurdah, malah dilarang untuk
bertudung juga. Umat Islam Rohingya pula terus diancam dan dibunuh di Myanmar
sana.
Tidak cukup dengan itu, hak rakyat
Palestin untuk mempunyai sebuah negara yang berdaulat dinafikan selalu.
Negara-negara Islam seperti Syria, Iraq, Mesir, Afghanistan, dan lain lain
terus dihujani dengan kematian dan peluru berpandu. Ramai juga umat Islam yang
diancam dengan kebuluran selama berminggu-minggu. Penduduk Islam yang tinggal
di negara majoriti bukan Islam kadang kala tidak dibenarkan untuk menjalankan
kegiatan ibadah mereka. Masjid dan surau kadang kala dibakar dan diruntuhkan
tanpa mendapat pembelaan daripada sesiapa.
Itu hanyalah secebis kisah penindasan
yang berlaku terhadap umat Islam di seluruh dunia. Boleh dikata umat Islam di
seluruh dunia mengalami pelbagai masalah. Umat Islam di seluruh dunia sekarang
ini berada dalam keadaan yang amat payah. Di Malaysia pun umat Islamnya
tidaklah dapat menjalankan semua ajaran agamanya dengan mudah. Buktinya, untuk
membentangkan RUU355 di Parlimen pun begitu susah!
Seperti yang saya acapkali sebut
dalam tulisan tulisan saya sebelum ini, penduduk bukan Islam yang tinggal di
negara Islam, hak dan kedudukan mereka sentiasa terpelihara. Tetapi bagi
penduduk Islam yang tinggal di negara bukan Islam, hak dan kedudukan mereka
dinafikan sentiasa.
Apa yang telah berlaku kepada umat
Islam ini sebenarnya? Mengapa nasib umat Islam di seluruh dunia boleh jadi
sebegitu rupa? Siapakah yang bersalah dalam hal ini sebenarnya?
Tiada jawapan yang khusus untuk
menjawab persoalan itu semua. Apa yang boleh dikata, umat Islam jadi begitu
mungkin kerana mereka jauh daripada Allah dan agama. Mereka sentiasa lupa pada
Allah dan lupa pada agama. Mereka terleka dengan nikmat dunia yang dusta
belaka. Mereka terpedaya dengan kemodenan dan pemikiran daripada Barat yang
penuh dengan tipu daya. Mereka terlalu taksub dengan hiburan yang entah apa
apa.
Orang di tempat lain sibuk mengejar
dan menimba ilmu, umat Islam terus terleka dengan hiburan dan politik yang
melulu. Orang di tempat lain terus maju dalam pelbagai bidang seperti sains,
teknologi, kejuruteraan, pensenjataan, dan sebagainya, umat Islam hanya tahu
beli dan guna sahaja. Orang lain terus maju dengan ilmu, tetapi umat Islam
terus mundur kerana tidak mahu menuntut ilmu. Bagaimana kita tidak ditindas
oleh orang lain jika sikap kita terus begitu?
Dalam bercakap tentang hal ini, saya tertarik
dengan sajak ‘Melayu’ yang ditulis oleh Sasterawan Negara, Allahyarham Usman
Awang. Saya kira sajak itu masih relevan untuk bercakap tentang masalah umat
Islam (terutama orang Melayu) pada masa sekarang. Fragmen sajak itu berbunyi
begini : Meski telah memiliki telaga /
Tangan masih memegang tali / Sedang orang mencapai timba / Berbuahlah pisang
tiga kali / Melayu itu masih bermimpi / Walaupun sudah mengenal universiti /
Masih berdagang di rumah sendiri.
Sedang orang lain sibuk bercakap
untuk berjaya dalam ekonomi dan perniagaan, umat Islam pula terus diancam
dengan masalah perpaduan. Umat Islam terus berpecah kerana perbezaan negara,
mazhab, parti politik, dan aliran pemikiran. Sedangkan semua umat Islam tahu
bahawa bersatu padu itu amat penting dalam kehidupan. Oleh sebab perpaduanlah
umat Islam boleh mempunyai kekuatan dan sukar untuk ditumbangkan. Tetapi
sayangnya ramai umat Islam lebih suka memilih untuk terus berpecah tanpa
kesudahan.
Jika beginilah sikap umat Islam
sedunia (termasuklah umat Islam di Malaysia), kita akan ditindas sampai bila
bila. Kita bukan akan ditindas sahaja, malah tidak dapat membela umat Islam
lain yang ditindas di sini sana.
Masalah umat Islam ini berpunca
daripada tiga perkara : jauh daripada agama, kurang ilmu, dan tidak mahu
bersatu padu. Jika ketiga-tiga perkara ini dapat di atasi dengan segera,
pastilah selamat dan aman damai umat Islam di seluruh dunia. Selagi umat Islam
tidak menyelesaikan masalah masalah di atas, selagi itulah umat Islam akan
terus ditindas!
Artikel yg sangat menarik. Umat Islam perlu lebih berfikiran terbuka, tidak konservatif, tanamkan sifat sentiasa ingin mencari ilmu, sabar, tabah, berfikiran positif dan bersifat adil. Semoga semua sentiasa dalam keadaan baik dan sejahtera. InsyaAllah. Aamin. :)
BalasPadam