Isnin, 13 Mac 2017

BICARA SEORANG SENIMAN

Sumber : Google
 
Aku yang bergelar seorang seniman,
Hanya mampu berlakon di pentas teater yang kurang tontonan,
Engkau yang bergelar seorang rakyat,
Sedang dibelit kedaifan yang amat ketat,
Hanya mampu tinggal di rumah pangsa kecil-kecilan,
Hina dan hutang sentiasa ajak berkawan.
                                                   
Aku yang bergelar seorang seniman,
Hanya mampu menulis beberapa naskhah skrip perfileman,
Engkau yang bergelar seorang rakyat,
Sedang berjalan di lorong kemiskinan yang amat dahsyat,
Pedih kelaparan sering sahaja mencekik diri,
Nasi dan sawi menjadi santapan sehari sekali.

Aku yang bergelar seorang seniman,
Hanya mampu membaca beberapa buah puisi,
Engkau yang bergelar seorang rakyat,
Sedang bertarung mencari sesuap nasi,
Di dalam saku hanya ada rama-rama,
Lalu terdampar tidur di kaki lima.  

Aku yang bergelar seorang seniman,
Hanya mampu menghibur dan memberi peringatan,
Seandainya aku mempunyai kesaktian,
Akan ku tukarkan seniku menjadi makanan,
Lalu ku timbunkannya setinggi Gunung Tahan,
Dan ku suapkan ke mulutmu secara perlahan-lahan,
Supaya engkau tidak perlu lagi menanggung kelaparan,
Atau mengemis di kedai-kedai makan. 



0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.