Jumaat, 5 Jun 2020

BUKU DI RUANG TAMU

Hobi saya adalah membaca. Saya ada banyak buku. Tetapi buku-buku saya tidaklah sampai boleh membina sebuah perpustakaan mini. Cukuplah saya katakan bahawa buku-buku saya telah memenuhi sebuah almari sederhana besar di bilik saya. Itupun ada buku buku yang saya beli tidak saya letakkan di dalam almari tersebut kerana sudah ketiadaan ruang.

Barangkali ada orang suka meletakkan buku-buku kepunyaan mereka di ruang tamu rumah. Tetapi saya bukan begitu. Saya bukanlah seorang yang terlalu kemas. Dikhuatiri, jika buku-buku saya diletakkan di ruang tamu, keadaan ruang tamu akan menjadi berselerak. Apabila tetamu datang, keadaan itu akan mengundang rasa malu.

Tambahan pula, keluarga saya bukanlah keluarga berada yang boleh mengupah pereka hiasan dalaman yang boleh menjadikan buku dan rak buku sebagai salah satu hiasan di ruang tamu. Bagi menjadi buku dan rak buku kelihatan cantik, elok dan teratur di ruang tamu, kemahiran hiasan dalaman amat diperlukan.

Mungkin orang yang suka meletakkan buku di ruang tamu berasa selesa membaca di tempat tersebut. Tetapi saya tidak. Saya lebih suka membaca di bilik tidur saya. Saya suka membaca sambil duduk atau meniarap di atas katil.

Membaca di ruang tamu jarang saya lakukan. Hal ini kerana, suara peti televisyen mengganggu tumpuan saya untuk membaca. Tambahan pula, ruang tamu biasanya tempat pertemuan untuk ahli keluarga. Jika ahli keluarga berkumpul, amatlah janggal jika saya membaca. Lebih molek bercakap, berbual, berbincang dan bermesra dengan ahli keluarga di ruang tamu daripada melakukan aktiviti membaca.

Saya jarang bercakap darihal buku di ruang tamu. Jika ada pun dengan ayah saya. Jika tetamu datang ke rumah saya, kami biasanya tidak bercakap soal buku kerana setahu saya, hanya saya dalam keluarga besar sebelah ayah atau ibu saya yang suka membaca. Maka, topik buku biasanya tidak akan menjadi pilihan untuk keluarga saya dan tetamu berbincang.

Bagi saya, daripada membaca buku di ruang tamu, adalah lebih seronok menonton televisyen. Dalam televisyen sendiri terdapat pelbagai ilmu yang boleh kita dapatkan. Pada zaman sekarang, mendapatkan ilmu tidak terhad di dalam buku sahaja.

Saya jarang melihat orang meletakkan buku di ruang tamu rumah mereka. Jika ada pun, sepanjang hidup saya, hanya seorang yang saya temui iaitu imam di masjid kediaman saya. Itupun diletakkan buku buku agama. Barangkali kerana rumahnya kecil, maka diletakkan buku di ruang tamu.

Saya tidak mahu menghakimi orang yang tidak meletakkan buku di ruang tamu sebagai tidak membaca kerana saya sendiri tidak meletakkan buku di ruang tamu. Pada hemat saya, kebanyakan orang lebih suka meletakkan buku di dalam bilik.

Jika ada orang yang selesa meletakkan buku di ruang tamu, itu menandakan orang tersebut suka membaca di ruang tamu. Mungkin dia mempunyai kemahiran dalam hiasan dalam sehingga membolehkah dirinya mampu menjadikan buku dan rak buku terletak elok, cantik dan kemas di ruang tamu.

Sama ada meletakkan buku di ruang tamu atau tidak bukanlah tiket untuk kita menghakimi orang sebagai tidak membaca. Mungkin ada orang pada masa kini tidak mempunyai sebarang buku pun di rumahnya kerana dia lebih suka membaca buku secara dalam talian (online) atau membaca e-buku (e-book).

Menghakimi seseorang secara simplistik sebegitu sesungguhnya amat tidak molek. 

1 ulasan:

  1. SELAMAT HARI RAYA!!! Best entry ini :) done follow, follow me back.. thanks
    http://acuyuhan.blogspot.com/

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.