Rabu, 1 April 2020

HARGAI ORANG DI SEKELILING KITA


Kehidupan manusia di dunia ini tidak lama. Bila-bila masa sahaja kita boleh pergi dijemput oleh Ilahi. Maka, sebagai manusia, perbanyakkanlah amalan kita supaya kita boleh selamat di akhirat sana. Jika berkemampuan, taburlah bakti dan budi kepada keluarga dan masyarakat. Selain itu, hargailah orang yang berada di sekeliling kita.


Orang yang berada di sekeliling kita seperti keluarga, jiran dan kawan hendaklah kita hargai. Mereka ialah orang-orang yang mewarnai hari-hari dalam kehidupan kita. Tanpa mereka, pastilah kita akan berasa bosan. Tanpa mereka juga, pastilah tiada siapa yang dapat menolong kita ketika kita berada dalam kesusahan.


Maksud menghargai yang saya nyatakan di sini ialah sentiasa bercampur dan bergaul mesra dengan mereka. Selain itu, binalah hubungan yang baik dengan mereka. Usah menimbulkan perkara-perkara yang boleh menyebabkan hubungan kita dengan mereka menjadi keruh.


Bagi kita yang masih mempunyai ibu bapa, seringlah menziarahi ibu bapa seandainya kita tinggal berjauhan dengan mereka. Bagi yang tinggal bersama ibu bapa, janganlah asyik terperap sahaja di dalam bilik dan bermain telefon pintar. Kerap-keraplah ke ruang tamu untuk berbual mesra bersama ibu bapa sambil menonton televisyen.


Bagi orang yang mempunyai adik beradik, binalah hubungan yang baik dengan mereka. Janganlah bersengketa hanya disebabkan oleh hal yang remeh temeh seperti merebut harta pusaka misalnya. Ramai adik beradik di dunia ini yang bermasam muka gara-gara tidak berpuas hati dengan pembahagian harta pusaka yang dibuat oleh ibu bapa.


Apabila tiba hari raya, rajin-rajinkan diri untuk pergi menziarahi mereka. Jika ada rezeki lebih, berilah sedikit kepada mereka. Apabila mereka berada dalam kesusahan, jika berkemampuan, hulurkan bantuan kepada mereka. Jika terdapat adik beradik kita yang menyambut hari lahir, meskipun tidak pergi menyambutnya bersama-sama, sekurang-kurangnya berilah sedikit ucapan meskipun hanya dalam aplikasi WhatsApp.


Bukan mudah kita hendak bertemu dengan jiran yang baik menghuni kiri dan kanan rumah kita. Jika bertemu yang baik itu, hargailah dengan sepenuh hati. Sama seperti adik beradik tadi, jika ada rezeki lebih, berilah sedikit kepada mereka. Jika mereka dalam kesusahan, hulurkan bantuan kepada mereka.


Paling penting dalam hidup berjiran ini ialah saling menghormati antara satu sama lain. Hak-hak jiran hendaklah sentiasa dijaga oleh sesiapa sahaja. Jika kita saling menghormati dan saling menjaga hak, pastilah hidup kita dan akan berada dalam keadaan aman dan harmoni.


Perkara yang tidak disukai oleh jiran seperti membuat bising pada waktu malam, membuang sampah di halaman rumah jiran, memakir kereta di hadapan rumah jiran dan sebagainya janganlah kita lakukan. Jika kita terlanjur melakukannya, segeralah memohon maaf. Jangan sesekali menunjukkan ego kita pada jiran.    


Dalam dunia ini tidak ramai orang yang mempunyai sahabat. Ramai orang mempunyai kawan tetapi tidak ramai yang mempunyai sahabat. Jika kita tergolong dalam kalangan yang mempunyai sahabat, maka bersyukur dan hargailah sahabat kita. Jangan melakukan perkara-perkara yang boleh mengeruhkan persahabatan.


Seandainya kita tidak mempunyai sahabat sebaliknya hanya mempunyai kawan, maka hargailah kawan kita. Kawan pun antara orang yang boleh membantu kita ketika kita berada dalam kesusahan. Fungsi kawan meskipun tidak sepenuhnya berupaya menjadi sahabat, tetapi separuh fungsi sahabat itu akan ada pada kawan. 


Seperti yang telah saya nyatakan di awal artikel ini, manusia itu hidupnya tidak lama. Maka atas sebab itulah saya meminta kita semua ini untuk menghargai ibu bapa, adik beradik, jiran dan sahabat kita. Bila-bila masa sahaja mereka semua itu boleh pergi dijemput oleh Ilahi. Jika mereka dijemput Ilahi di saat kita tidak menghargai atau tidak banyak meluangkan masa bersama mereka, pastilah kita yang akan rugi dan menyesal.


Manusia ini kebanyakannya selalu tidak mempedulikan sesuatu yang berada di depan mata tetapi mula berasa rindu apabila sesuatu itu sudah pun tiada. Maka, nasihat saya, janganlah jadi manusia sebegitu. Hargai dan sayangilah orang yang berada di sekeliling kita. Apabila mereka sudah tiada nanti, maka kita tidaklah berasa terlalu rugi.  


1 ulasan:

  1. hai jemput dengar lagu saya

    https://nasuha-itsmyessay.blogspot.com/2020/04/lagu-kedua-cuya-ada-background-music.html

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.