Isnin, 23 Mac 2020

MEMBACA SEPANJANG TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN



Apabila kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19, serta meminta orang ramai supaya duduk di rumah dan tidak ke mana-mana, pastilah sebilangan daripada kita akan berasa bosan. Maklum sahajalah, jarang sekali kita diberi cuti dalam tempoh masa yang lama. Jika kita mengambil cuti (bagi orang yang bekerja), pastilah ada urusan yang hendak kita selesaikan. Dan apabila kita cuti, pastilah kita akan bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Jarang kita cuti duduk di rumah sahaja.  


Saya samalah seperti anda semua turut sama duduk di rumah dan tidak ke mana-mana. Bagi menghilangkan rasa bosan yang datang bertandang, selain daripada bermain telefon pintar dan mengemaskini blog yang sudah tebal sawangnya, saya menghabiskan hari-hari cuti saya ini dengan membaca.


Membaca adalah suatu aktiviti yang saya gemari. Namun, sebaik sahaja melangkah ke alam pekerjaan, aktiviti ini sedikit demi sedikit saya mula tinggalkan. Mungkin kerana terlalu sibuk dengan urusan kerja, maka saya semakin kurang membaca. Maklum sahajalah, menyelesaikan urusan kerja saban hari itu amat memenatkan. Apabila pulang ke rumah, yang kita tahu hanyalah untuk tidur sahaja. Tiada masa untuk menelaah buku dan membaca.


Tidak seperti tahun-tahun saya bergelar mahasiswa (2012 – 2018), aktiviti pembacaan sangat rancak ketika itu. Dalam sebulan saya boleh menghabiskan kira-kira dua buah buku. Apabila saya membaca, banyak maklumat terbaru yang saya terima. Pengetahuan saya akan sentiasa lebih daripada kawan-kawan yang sekuliah dengan saya. Apabila pensyarah bertanya tentang sesuatu isu atau topik, mudah sahaja saya mengupas isu atau topik tersebut kerana saya mempunyai sedikit pengetahuan mengenainya.


Walau bagaimanapun, alam bergelar mahasiswa tidaklah sama dengan alam bergelar seorang pekerja. Alam bergelar mahasiswa lebih lapang masanya berbanding alam bergelar seorang pekerja. Tambahan pula, dunia seorang mahasiswa begitu tebal dengan perjuangan dan idealisme. Maka, membaca untuk menambah pengetahuan itu bukanlah asing dalam diri seorang mahasiswa.


Mungkin ada hikmah disebalik perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan sehingga 31 March ini. Bagi orang seperti saya yang renggang daripada aktiviti membaca, bolehlah kembali semua menjalinkan hubungan dengan aktiviti membaca.


Sebelum-sebelum ini saya ada membeli beberapa buah buku. Namun, buku-buku tersebut saya sekadar beli sahaja kemudian saya simpan di rak buku di rumah saya. Jika saya baca pun hanya sedikit sahaja kemudian saya simpan semula di rak. Entahlah, saya sendiri tidak tahu mengapa, sejak saya bukan lagi bergelar mahasiswa, aktiviti membaca bagi saya adalah suatu aktiviti yang amat membosankan!


Oleh itu, sempena perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan ini, maka saya akan kembali semula ke ranah pembacaan. Mana-mana buku yang saya beli tetapi saya tidak sempat baca, akan saya habiskan sepanjang tempoh ini.


Buku-buku yang hendak saya habiskan itu ialah : (1) Dari Menara KL – Abd Jalil Ali (2) Entiti – Syafiq Aizat (3) Kopi O Tanpa Gula – Abd Jalil Ali (4) Agama dan Hagemoni Negara – Benz Ali (5) Jangan Selewengkan Sejarah Melayu – Helmi Effendi.    


Itulah senarai buku yang hendak saya tamatkan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan ini. Moga-moga tuhan memberi saya kekuatan untuk saya menghabiskannya.


Bagi anda di luar sana pula, sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan ini, moleklah anda melakukan aktiviti yang berfaedah seperti membaca misalnya. Janganlah habiskan cuti anda ini dengan aktiviti tidur sahaja. Jika tidak mahu membaca, carilah aktiviti berfaedah lain yang boleh anda lakukan. Semoga anda sentiasa sihat dan selamat di luar sana.





1 ulasan:

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.