Sumber : Google |
Saya
teringat akan soalan yang dikemukakan oleh Dr. Shamsuddin Othman (alumni Minggu
Penulis Remaja) kepada seniman Khalid Salleh dalam forum Puisi Untuk Semua
(boleh ditonton di laman Youtube) yang diadakan di Istana Budaya tidak lama
dahulu. Soalan itu berbunyi begini :
“Bagaimana
kita nak meletakkan puisi ini boleh diterima oleh masyarakat khususnya dalam
sistem pendidikan kitalah hari ini? Lebih kurang macam tu la. Sebab hari ini bila
dikatakan puisi itu, puisi ini tidak boleh membawa kepada kemajuan, puisi ini
dikatakan mundur, puisi dikatakan macam macamlah. Yang buruk-buruk yang jahat
itu adalah puisi. Sehinggakan puisi hendak dimansuhkan dalam sistem pendidikan
negara. Macam tu la lebih kurang. Silakan.”
Kemudian,
saya ada terbaca sebuah artikel yang ditulis oleh Wan Nor Azriq (juga alumni
Minggu Penulis Remaja) dalam akhbar Berita Harian yang bertajuk ‘Hebat
Sangatkah Menjadi Sasterawan Negara?’ Antara lain beliau menulis :
“Seterusnya
kita harus melihat kepada kehilangan mitos ‘Sasterawan Negara’ itu sendiri.
Buku-buku mereka tidak lagi dibincangkan atau menjadi buah mulut perbualan.
Lupakan forum atau majlis sastera (siapa pun yang masih pergi ke acara sebegini?).
Lihat buku-buku yang dibaca di dalam bas atau LRT, baca komen-komen khalayak
sastera di ruang media sosial. Kita lebih kerap mendengar nama Fazleena
Hishamuddin, Nadia Khan, Ridhwan Saidi, Sufian Abas, dan Nami Cob Nobbler,
berbanding nama Keris Mas, Arena Wati, S. Othman Kelantan, Kemala, dan Baha Zain.”
Berdasarkan
pernyataan daripada dua tokoh ini, jelas memperlihatkan kesedaran mereka
tentang betapa hambarnya sambutan masyarakat (terutama golongan muda) terhadap
dunia kesusasteraan tanah air pada masa kini. Jika mendapat sambutan hangat pun
hanyalah sekadar sastera popular dan sastera indie. Sastera arus perdana atau
sastera serius terus tidak mahu diambil peduli.
Mengapa
perkara sebegitu boleh terjadi? Apa yang menyebabkan perkara sebegitu boleh
terjadi? Siapakah yang hendak kita persalahkan dalam hal ini?
Untuk
menyalahkan kerajaan kerana tidak cuba mengangkat dunia kesusasteraan kita pun
tidak boleh juga. Kerajaan saya kira telah melakukan apa sahaja yang terbaik
untuk mengangkat martabat sastera kita ke arah yang lebih tinggi di dalam negara
(walaupun masih belum mencukupi). Buktinya, kerajaan bukan sahaja sudah
memperkenalkan pengajaran Komponen Sastera (KOMSAS) di peringkat sekolah malah
turut memperkenalkan Anugerah Sasterawan Negara untuk diberikan kepada
sasterawan arus perdana. Namun begitu, mengapa sastera (terutama sastera arus
perdana) kita masih tidak diminati oleh anggota masyarakat secara
keseluruhannya?
Wujud
pertanyaan, adakah kita sebagai penulis dan peminat sastera tidak bersalah
dalam hal ini? Adakah kita sebagai penulis dan peminat sastera juga
menyumbangkan kepada permasalahan ini? Tepuk dada dan tanyalah kepada diri
sendiri.
Masyarakat
sering menganggap bahawa sastera arus perdana adalah sesuatu yang membosankan.
Sastera arus perdana juga dianggap tidak berani, tidak terbuka, beku, sempit,
biasa-biasa, eksklusif, dan kurang menghiburkan. Oleh sebab itulah mengapa
masyarakat terutama golongan muda lebih suka memilih sastera popular atau
sastera indie. Lalu sastera arus perdana terus ketinggalan lagi.
Oleh
kerana ramainya anggota masyarakat lebih suka memilih sastera popular dan
sastera indie, maka peminat sastera arus perdana semakin mengecil hari demi
hari. Jumlah peminat sastera arus perdana tidaklah besar mana. Mereka inilah
yang terus menulis dan berkarya meskipun dalam Facebook cuma.
Ironinya,
bukan semua peminat sastera arus perdana ini berbakat besar. Bukan semua
peminat sastera arus perdana ini berpeluang menyiarkan karya mereka (seperti
sajak misalnya) dalam majalah atau akhbar. Maka, mereka menggunakan Facebook
atau blog untuk menyiarkan karya-karya mereka. Itu semua dilakukan bukan kerana
minat semata-mata, malah kerana mahu melihat sastera arus perdana terus wujud
sampai bila-bila. Mereka melakukan itu semua kerana mereka amat sayangkan sastera
arus perdana.
Namun
begitu, kehadiran pengkarya-pengkarya Facebook ini tidaklah mudah diterima.
Mereka yang merupakan pejuang-pejuang sastera kerdil ini terus diperlekehkan
oleh penulis dan sasterawan arus perdana. Mereka terus diperkecilkan oleh
penulis dan sasterawan yang telah banyak menulis novel atau telah banyak
menyiarkan karya-karya mereka di dada-dada akhbar atau di majalah-majalah
terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Penulis
dan sasterawan arus perdana sering menghina karya penulis-penulis kerdil di
Facebook itu sebagai syok sendiri, tidak arus perdana, prosaik, picisan, kering
idea, karya mee segera dan sebagainya. Ironinya, mereka sekadar pandai
melontarkan komentar, kritikan, dan kata-kata. Namun, untuk memperbaiki karya
yang mereka cemuh itu tidak mahu dibuat pula (seperti yang dilakukan oleh Puan
Zaharahanum Kamarudin – Penolong Editor Majalah Tunas Cipta)!
Jika
benarlah karya (puisi misalnya) penulis-penulis di Facebook itu tidak bermutu,
maka menjadi tanggungjawab penulis yang telah terkemuka menjadikan karya itu
sebuah karya yang bermutu. Bukannya hanya pandai memperlekehkan secara melulu.
Penulis-penulis
kerdil di Facebook yang karya mereka dianggap sebagai karya syok sendiri, tidak
arus perdana, prosaik, picisan, kering idea, dan karya mee segeralah yang akan
terus menghidupkan sastera arus perdana. Oleh kerana minat mereka yang
mendalam, maka sastera arus perdana pasti tidak akan tenggelam.
Mereka
inilah sebenarnya yang membaca novel-novel atau buku-buku penulis sastera arus
perdana. Mereka ini jugalah yang membeli majalah-majalah sastera terbitan Dewan
Bahasa dan Pustaka. Kehadiran mereka amat penting sebenarnya. Mereka ialah
penulis yang ingin berkarya seperti mana penulis-penulis sastera arus perdana.
Namun sayangnya, kehadiran mereka seolah-oleh tidak dihargai oleh penulis
sastera arus perdana.
Semua
penggiat sastera dan sasterawan perlu sedar bahawa sastera arus perdana semakin
terkebelakang dan tenggalam berbanding sastera popular dan sastera indie.
Sastera indie yang merosakkan bahasa, memaparkan bahasa vulgar, dan mempamerkan
aksi-aksi lucah terus digemari oleh anak-anak muda di negara ini. Begitu juga
dengan sastera popular yang terus memaparkan cerita cinta khayalan serbi-serbi.
Tidak percaya? Cuba perhatikan novel apa yang paling laris di kedai-kedai buku
dalam negara kita? Novel-novel indie (termasuk novel-novel cinta) atau
novel-novel sastera arus perdana?
Kehadiran
penulis sastera arus perdana yang telah terkemuka tetapi gemar memperlecehkan
karya penulis-penulis kerdil di Facebook ini sedikit sebanyak menjauhkan mereka
(penulis-penulis di Facebook) daripada meminati dunia kesusasteraan. Maka,
sastera arus perdana yang mereka minati selama ini semakin mereka hindarkan.
Lalu, bilangan peminat sastera arus perdana semakin berkurangan.
Penulis
sastera arus perdana tidak boleh menjadikan sastera sebagai eksklusif sifatnya.
Mereka tidak boleh sesekali menjadikan sastera sebagai milik mereka dan milik
rakan-rakan mereka yang pernah menerbitkan karya dalam majalah atau akhbar
seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian misalnya. Mereka sebagai penulis
sastera arus perdana perlu meraikan semua penulis sama ada mereka sekadar
menulis di Facebook cuma. Hal ini kerana, penulis-penulis di Facebook ini juga
adalah sama seperti mereka – penggerak sastera arus perdana.
Seandainya
benar karya-karya yang tertulis di Facebook itu tidak bermutu, maka menjadi
tanggungjawab penulis arus perdana menjadikannya supaya lebih bermutu. Ini
perlu dilakukan supaya sastera arus perdana terus berkekalan. Lalu,
kegemilangan sastera arus perdana seperti mana dahulu boleh semula ditabalkan.
Ingatlah,
sastera ini bukan milik siapa-siapa. Sastera ialah milik semua orang tanpa
mengenal budaya, agama, negara, dan bangsa. Jika kita mahu menggemilangkan
semula sastera arus perdana, maka kita perlu pastikan lebih banyak orang
berkarya mengikut acuan sastera arus perdana. Jika karya penulis-penulis di
Facebook itu tidak bermutu, kita jadikan karya itu bermutu dengan memberikan mereka
ilmu. Memperlekehkan karya mereka adalah suatu tindakan yang terburu-buru.
asalam alamak takut nampak darah..
BalasPadamdone follow first ya
BalasPadam