Sumber : Google |
Seorang
penceramah yang datang berceramah di universiti saya telah menuturkan ayat
begini :
“Eleh,
korang nak sebut ‘tetikus’ pun malu. Lebih suka sebut ‘mouse’ ada hati nak
memartabatkan bahasa Melayu!”
Sebaik
sahaja mendengar kata-katanya, serta-merta saya terfikir tentang soal bahasa. Pembicaraannya
mengenai bahasa Melayu itu sudah pastilah ditujukan kepada pejuang bahasa.
Baginya, memansuhkan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam
Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah sesuatu yang sia-sia. Dia lebih suka jika
kedua-dua mata pelajaran itu diajar dalam bahasa Inggeris sebenarnya.
Sudah
pastilah dia mempunyai hujah yang tersendiri berkenaan soal itu. Saya sendiri
sebagai pendengar menghormati hujahnya walaupun saya tidak bersetuju.
Isu
tentang PPSMI sebenarnya sudah lama berlalu. Entah mengapa penceramah itu masih
bercakap berkenaan soal itu. Mungkin kerana intipati ceramahnya mempunyai kaitan
dengan politik negara. Amat kebetulan dasar itu dahulunya ditentang oleh
seorang Sasterawan Negara yang sekarang menjadi penyokong parti pembangkang pula.
Maka, hendak tidak hendak isu PPSMI itu turut terheret sama.
Saya
tidak bercadang untuk mengulas panjang berkenaan isu PPSMI itu. Isu itu sudah
lama berlalu dan kita biarkan isu itu terus berlalu. Hendak mengulas panjang
pun sudah tiada guna. Dasar itu sudah dimansuhkan sejak beberapa lama.
Sama
ada penyokong atau penentang dasar itu masing-masing mempunyai hujah
tersendiri. Segala hujah yang dikemukakan oleh kedua-dua belah pihak wajarlah
dihormati. Itu pun jika susah hendak dipersetujui.
Walau
bagaimanapun, perkataan ‘malu’ yang diucapkan oleh penceramah itu amat menarik
sekali. Maksud bicara itu tidaklah sukar untuk difahami. Dia cuba mengatakan bahawa
orang Melayu lebih selesa berbahasa Inggeris dalam kehidupan seharian.
Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu hanyalah sekadar menjadi sebutan.
Orang
Melayu yang ‘malu’ dengan bahasa Melayu memang ramai sebenarnya. Maka saya
tidak terkejut atas apa yang diucapkan olehnya.
Pejuang
bahasa secara prinsipnya adalah senada. Mereka tidak mahu melihat bahasa Melayu
yakni bahasa kebangsaan menjadi bahasa kelas dua. Tidak ada seorang pun pejuang
bahasa setahu saya (ulang : setahu saya) yang membenci bahasa Inggeris. Bahkan
ramai di antara mereka yang fasih berbahasa Inggeris.
Oleh
kerana kita telah lama dijajah oleh Inggeris, dan pemimpin kita pun
kebanyakkannya berpendidikan Inggeris, maka bahasa yang dijulang tentulah
bahasa Inggeris. Bahasa Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan negara itu
hanya sekadar wujud sahaja. Untuk memperkasakan bahasa itu tidak diketahui
hendak dilakukan bila.
Sudah
berkali-kali disebutkan bahawa bahasa Inggeris itu mempunyai nilai ekonomi.
Maksudnya, jika siswazah ingin memohon kerja, bahasa Inggeris itu wajiblah
dikuasai. Sekiranya bahasa Melayu turut mempunyai nilai ekonomi, maka isu
‘malu’ untuk berbahasa Melayu pasti tidak akan wujud sama sekali.
Sekian
lama bahasa Inggeris dijulang tinggi di dalam negara. Baik oleh penjajah
mahupun oleh pemimpin negara. Usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai
bahasa yang digunakan dalam pasaran kerja langsung tiada. Dalam dunia
pendidikan (terutama di universiti) dan keilmuan pun belum cukup sebenarnya. Banyak
nama tempat dalam negara pun dalam bahasa Inggeris juga. Lalu, bahasa Inggeris terus menjadi bahasa
kelas pertama.
Orang
Melayu pun sering dimomokkan bahawa jika tidak pandai bahasa Inggeris sudah pasti
tidak akan dapat kerja. Orang yang tidak pandai berbahasa Inggeris akan susah
untuk berjaya. Orang yang tidak pandai bahasa Inggeris bukanlah orang yang
bijaksana. Maka, orang Melayu pun ramai yang ketakutan. Lalu mereka pun
menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa yang wajib dikuasai dalam
kehidupan.
Oleh
kerana seputar kehidupan orang Melayu itu ‘dibungkus’ dengan bahasa Inggeris,
maka mereka lebih suka dengan bahasa Inggeris. Oleh yang demikian, orang Melayu
bukan sahaja ‘malu’ dengan bahasa Melayu, malah lidah mereka pun sukar untuk
lekang daripada bahasa Inggeris itu.
Oleh
sebab itulah hampir kesemua orang Melayu suka menyebut perkataan-perkataan
bahasa Inggeris dalam percakapan seharian mereka (bahasa rojak).
Perkataan-perkataan seperti ‘so’, ‘actually’, ‘mouse’, ‘laptop’, ‘toilet’,
‘charger’, ‘sorry’ dan sebagainya memang susah untuk dihakis daripada lidah
mereka. Mereka amat janggal untuk menukar perkataan-perkataan dalam bahasa
Inggeris itu sebagai ‘jadi’ , ‘sebenarnya’ , ‘tetikus’ , ‘komputer
riba’,‘tandas’,‘pengecas’, dan‘maaf’ tentunya. Ini semua gara-gara bahasa
Inggeris begitu kuat mencengkam diri mereka.
Apabila
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memperkenalkan perkataan ‘tunafoto’, ‘tera air’
, ‘tapak panas’ , ‘tanda pagar’ , ‘iklan acah’ dan sebagainya untuk
menggantikan perkataan-perkataan dalam bahasa Inggeris, usaha DBP itu telah dipandang
sinis. Mereka sinis kerana bahasa Melayu tidak begitu sebati dalam diri mereka.
Jika bahasa Melayu itu memang sudah sebati dalam diri, pastilah usaha DBP itu
akan dihargai.
Apa
yang sekian ramai pejuang bahasa risaukan ialah kemunduran bahasa Melayu.
Melihat bahasa Melayu hilang di Tanah Melayu (Malaysia) adalah sesuatu yang
mereka tidak mahu. Oleh sebab itulah mereka berusaha untuk memartabatkan bahasa
Melayu. Ini dilakukan setelah melihat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
menjadi bahasa kelas dua selalu.
Namun,
seperti biasa perjuangan mereka pastilah mengundangkan penghinaan. Dalam sajak
Perjuangan Tanpa Musim yang saya cipta, saya ada menyatakan hal ini sebenarnya.
Fragmen sajak itu berbunyi begini :
“Sudah
pasti kita akan terus dihina / Hanya kerana ingin menjulangkan bahasa / Tetapi
tekad kita sebagai pejuang / Janganlah pernah sesekali kita buang.”
Rasa
‘malu’ yang terbit dalam diri orang Melayu terhadap bahasa Melayu adalah
sesuatu yang sangat bahaya. Jika tidak ‘dirawat’ segera, bahasa Melayu akan
terus terancam sampai bila-bila. Saya masih tertanya-tanya, bila agaknya kita
dapat selesaikan isu bahasa Melayu secara keseluruhannya?
goos sharing.. kdg bnda ni nmpk simple.. tp mmg biasa kita buat kan.. hari2..
BalasPadamWell said..
BalasPadamSebenarnya masalah dia adalah orang melayu itu sendiri
BalasPadam