Sumber : Google |
Kumpulan The 4aith yang dianggotai
oleh empat orang anak muda iaitu Amir, Aniq, Firdaus, dan Fahimi telah
mengeluarkan lagu terbaru mereka yang bertajuk Dengarilah baru-baru ini. Lagu
terbaru itu adalah hasil adaptasi daripada Lagu Despacito yang dinyanyikan oleh
Luis Fonsi dan Daddy Yankee. Lagu Despacito itu dikatakan mempunyai maksud yang
tidak baik. Maka Tarbiah Sentap Record melalui The 4aith telah mengadaptasi
lagu yang mempunyai maksud yang tidak baik itu (Despacito) kepada lagu yang
membawa maksud yang lebih baik (Dengarilah).
Lagu Dengarilah itu adalah lagu yang
membawa tema keislaman. Ia adalah berkenaan sikap dan keadaan yang berlaku
kepada umat di akhir zaman. Tetapi pengisian utama lagu itu adalah berkenaan
dakwah. Ia sesuai didengari oleh orang yang sedang bergiat cergas di jalan
dakwah atau orang yang bakal menjadi pendakwah. Lirik yang ‘menyentap’ tentang
dakwah itu tertulis begini : Dengarilah / Perjuangan dakwah ini bukan mudah / Namun
bukan alasan berpaling tadah / Walaupun kau ditentang kau harus tabah.
Orang yang tidak bergelar pendakwah
pun sesuai untuk mendengar lagu ini sebenarnya. Lagu ini adalah sebagai ingatan
mesra kepada kita semua. Antara lirik yang memberi peringatan kepada kita (yang
bukan bergelar pendakwah) itu berbunyi begini : Dengarilah / Jangan terpesona
dengan putus asa / Dan terpengaruh
fartamorgana dosa / Segeralah kau pinta pada yang Esa.
Apa yang bagus tentang lagu ini bukan
sahaja kerana penulisan liriknya yang menarik, tetapi melodi yang digunakan
juga amat baik. Mungkin kerana melodinya itu diadaptasi dari melodi lagu
Despacito yang sudah pun sedia popular, maka lagu ini sememangnya mudah
diterima untuk menjadi halwa telinga. Maka para pendengar yang mendengar pun sedikit
sebanyak boleh terpesona.
Lagu-lagu yang dinyanyikan oleh The
4aith tidak pernah saya dengar sebelum ini sebenarnya. Nama The 4aith itu
sendiri pun saya tidak berapa biasa mendengarnya. Tetapi sebaik sahaja
mendengar lagu Dengarilah ini buat kali pertama, lagu itu telah membuatkan saya
terpesona. Dan saya lihat sambutan masyarakat terhadap lagu ini pun agak baik
juga. Barangkali inilah batu loncatan untuk The 4aith menjadi lebih popular.
Bukan mudah sebenarnya untuk lagu-lagu
berunsur dakwah dan keislaman ini diterima oleh masyarakat kita secara keseluruhannya.
Jika lagu-lagu berunsur dakwah dan keislaman itu tidak kena dengan selera
mereka, pastilah lagu itu sukar untuk diterima. Hal ini kerana, masyarakat kita
lebih suka mendengar lagu-lagu yang berunsur cinta.
Sebab itulah ramai penyanyi muda
seperti Aiman Tino, Sufian Suhami, Haqiem Rusli, Ismail Izzani dan sebagainya
lebih suka menyanyikan lagu-lagu yang berunsur cinta. Lagu-lagu yang berunsur
cinta sebenarnya lebih mudah diterima oleh masyarakat kita. Penyanyi-penyanyi
yang menyanyikan lagu yang berunsur cinta itu pun lebih mudah popular.
Seandainya lagu yang bukan berunsur cinta seperti lagu The 4aith itu boleh
diterima, maka ia adalah sesuatu yang agak luar biasa.
Bagi memudahkan sesebuah lagu itu
diterima dan popular, dua perkara perlu diambil cakna (oleh penggubah lagu dan
penulis lirik) iaitu lirik dan melodi. Masyarakat kita sangat suka dengan
melodi yang sedap didengari dan lirik yang mudah diingati dan sesuai pula
dengan melodi. Lirik yang baik juga berupaya untuk menjentik emosi dan hati
(pendengar). Jika melodi dan lirik boleh diadun dengan sempurna, pastilah lagu
itu menjadi siulan muda-mudi sepanjang masa.
Industri muzik kita hanya berjaya
melahirkan penyanyi-penyanyi lagu cinta tetapi tidak penyanyi-penyanyi lagu
yang membawa tema kemanusiaan, kemasyarakatan, keislaman, keilmuan, dan
keamanan (dengan sebanyaknya). Sebab itulah masyarakat kita semakin menuju
kehancuran, keganasan, peperangan, pembunuhan, kematian, dan pembulian. Ini kerana,
seni yang membelai jiwa masyarakat kita langsung tiada rasa kemanusiaan,
kemasyarakatan, keilmuan, keislaman, dan keamanan. Yang ada hanyalah cinta yang
penuh fantasi, imaginasi, kesedihan, dan khayalan.
Sebagai seorang peminat seni,
lagu-lagu yang sedap didengar dan membawa tema-tema yang berbeza daripada
tema-tema cinta biasa seringkali saya ternanti-nanti. Saya ternanti-nanti
lagu-lagu yang mempunyai pengisian jiwa atau peringatan mesra seperti lagu
Permaidani (Aris Ariwatan), Teman Sejati (Brothers), Cinta Dulu Cinta Sekarang
(S.M. Salim), Sumayyah (Hijjaz), Aku Tanpa Cintamu (Mirwana dan Jay Jay), Nur
Kasih (In Team), Bukan Kerna Nama (Ramli Sarip), Meniti Titian Usang (Search),
Seloka Cinta Remaja (Seha), Warisan (Sudirman), Syurga Di Telapak Kaki Ibu
(Aishah), Wajah (Jaclyn Victor) dan sebagainya.
Lagu Dengarilah yang dinyanyikan oleh
The 4aith adalah satu usaha yang baik dan
mulia. Ia mulia kerana lagu itu berupaya untuk memberi pengisian jiwa
dan peringatan mesra kepada masyarakat kita yang selama ini dilambakkan dengan
lagu-lagu cinta. Di saat semua penyanyi-penyanyi muda berlumba-lumba
menyanyikan lagu bertema cinta seperti Khai Bahar, Tajul, dan Irfan Harris
misalnya, The 4aith hadir di tengah-tengah kemelut itu dengan membawa lagu-lagu
yang berunsur agama. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada The 4aith
daripada saya.
Sewajarnya lagu seperti lagu
Dengarilah itu perlu diperbanyakkan lagi. Ia sangat sesuai untuk muda-mudi pada
zaman ini. Selain mereka asyik dengan lagu-lagu cinta, lagu-lagu yang berunsur
dakwah dan agama pun mereka perlu dengar juga. Barulah jiwa mereka boleh hidup
dengan Islam yang mulia. Moga-moga ada yang boleh berubah apabila mendengar
lagu-lagu sebegitu hendaknya.
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.