Ahad, 12 Januari 2014

CERPEN : TANAH HILANG KAMPUNG TERGADAI

Mesyuarat antara Ahli JKKK Kampung Talam dan Menteri Pembandaran bersama dengan penduduk kampung yang tadinya agak tenang bertukar menjadi kecoh secara tiba tiba.  Ini kerana penduduk kampung tidak berpuas hati dengan kerajaan untuk mengambil alih tanah mereka dengan harga yang murah padahal tanah itu terletak di tengah tengah Bandar Kota Lama. Tanah yang berharga tiga juta di dalam pasaran hanya dibayar sebanyak 1.5 juta sahaja.

Kerajaan tidak mahu menukar status tanah itu dari tanah pertanian kepada tanah komersial. Aneh bin ajaib apabila tanah yang berada di tengah tengah bandar hanya berstatus tanah pertanian! Oleh sebab itulah kebanyakkan penduduk tidak berpuas hati dengan kerajaan. Kampung itu sudah mula wujud selama 150 tahun yang lampau. Mereka sudah tinggal di kampung itu sudah tiga atau empat generasi.


Tidak ada angin dan tidak ada rebut tiba tiba sahaja kerajaan mahu mengambil tanah di kampung itu untuk tujuan pembangunan. Penduduk kampung terutama Pak Hamid meluahkan rasa tidak berpuas hatinya kerana itu sahaja perkampungan Melayu di tengah tengah bandaraya itu. Tambahan pula, dia sudah lama tinggal di kampung itu sejak arwah moyangnya lagi.

Banyak kenangan pahit manis yang tinggal bersamanya di kampung tersebut. Justeru itu, mereka terpaksa menentang keputusan kerajaan pusat yang mereka sifatkan sebagai tidak adil itu. Kerajaan mahu mengambil tanah di kampung itu dengan sesuka hati mereka namun mereka tidak pula mahu mengambil tanah kampung setinggan yang diduduki oleh kaum Cina dan India yang tidak jauh dari kampung itu.

Dia menyifatkan kerajaan yang memerintah sekarang adalah pilih kasih. “Saya nak tanya, kenapa Datuk tak ambil tanah setinggan Cina kat kampung sebelah? Kenapa mesti ambil tanah kami?” Soal Pak Hamid. Datuk Noh yang bertugas sebagai Menteri Pembandaran hanya bungkam dan diam seribu bahasa. Dia tidak mampu untuk menjawab asakan soalan daripada penduduk Kampung Talam itu.

Akhirnya dia disorak sorak dan diejek ejek oleh penduduk kampung. Jatuh sudah air mukanya pada waktu itu. Seorang menteri dan ahli politik senior telah diremeh remehkan oleh orang orang kampung.

“Bertenang semua. Kita datang sini nak berbincang. Bukannya nak bergaduh.” Haji Ismail yang merupakan pengerusi AJKKK Kampung Talam cuba mententeramkan suasana yang sudah seperti pasar itu.

Namun kata kata Haji Ismail itu langsung tidak didengari oleh penduduk kampung malahan mereka semakin galak untuk mengeji dan mencaci ahli politik itu termasuk Haji Ismail sendiri.

“Kami tak nak pemimpin macam ni ada dalam kampung ni. Kami undi anda untuk bantu kami bukannya menjahanamkan kami. Pemimpin Melayu sepatutnya tolong orang Melayu. Tapi ini tak. Bangsa lain bukan main sayang lagi tapi bangsa sendiri dibuli bulinya sesuka hati.” Kata Pak Hamid. Kata kata Pak Hamid itu mendapat tepukan dari penduduk kampung.

“Saya nak tolong tuan tuan. Tuan tuan semua janganlah salah faham. Saya datang ni nak terangkan tentang apa yang kerajaan cuba nak buat.” Ujar Datuk Noh dan ternyata perkataan itu tidak mendapat tindak balas yang baik daripada penduduk kampung.

Mereka masih lagi mencemuh Datuk Noh. Datuk Noh sendiri berasa gerun dengan keadaan yang sudah tidak dapat dikawal itu. Nasib baik ada beberapa anggota polis yang berkawal di belakang dewan orang ramai itu. Jika tidak, sudah pasti dua tiga buah kerusi sudah melayang ke arah dirinya. Dia sudah lama menjadi ahli politik. Inilah kali pertama dia berhadapan dengan situasi itu.

Dia sudah memegang beberapa buah kementerian sebelum ini. Kementerian Pembandaran adalah kementerian yang dia rasakan paling mencabar sekali. Mana tidaknya, Perdana Menteri telah menyuruhnya supaya mengambil tanah Kampung Talam itu untuk tujuan pembangunan. Nilai tanah itu amat bernilai tinggi. Jika dia berjaya mendapatkan tanah itu, sudah pasti ada keuntungan yang dia bakal terima.

Oleh itu, dia sedaya upaya untuk mempengaruhi penduduk kampung supaya menjual tanah mereka dengan harga yang murah. Ramai jutawan dan hartawan Cina yang mahukan tanah itu. Apabila kerajaan mendapat tanah itu, mereka akan beri kepada pemaju pemaju Cina supaya membangunkan tanah itu. Di tanah itu, mereka boleh membina hotel, taman perumahan, kompleks membeli belah dan sebagainya.

Itu merupakan satu pelaburan yang sangat menguntungkan. Namun, untuk memperoleh tanah itu bukan semudah memetik jari. Penduduk Kampung Talam begitu berkeras untuk tidak mahu menjual tanah mereka. Jadi, pelbagai cabaran dan halangan yang perlu ditempohi oleh Datuk Noh untuk menjayakan semua perkara itu.

“Jangan nak berlakon baik kat sini la Datuk. Datuk ingat kami tak tahu siapa Datuk ini. Datuk adalah perasuah dan perompak wang rakyat paling dahsyat dalam negara ini.” Pak Hamid meningkah. Sekali lagi dia mendapat sokongan yang padu daripada penduduk kampung.

“Sudahlah tu. Jomlah kita balik. Jangan dilayan orang macam ni.” Kata Hussein yang merupakan salah seorang penduduk kampung. Akhirnya semua penduduk kampung mula meninggalkan dewan orang ramai itu untuk pulang ke rumah masing masing. Datuk Noh dan Haji Ismail beserta dengan ahli jawatankuasa yang lain sekadar memandang sahaja.

“Maafkan mereka Datuk. Mereka memang macam tu.” Haji Ismail meminta maaf kepada Datuk Noh bagi mewakili orang kampung.

Susah saya macam ni tuan haji. Tuan haji, tuan haji memang kena bantu saya. Tuan haji kena bantu saya untuk dapatkan tanah ini juga walau macam mana pun. Kalau tuan haji berjaya, saya akan berikan peratus keuntungan kepada tuan haji bila projek itu berjaya.” Kata Datuk Noh.

Bersinar sinar mata Haji Ismail mendengar tawaran Datuk Noh itu. Senyumannya bukan main lebar lagi dan kalau boleh mahu sampai ke telinga. “Baiklah Datuk. Itu Datuk jangan risau. Saya akan cuba bantu Datuk untuk dapatkan tanah ini.” Ujar Haji Ismail.

“Terima kasih tuan haji.” Kata Datuk Noh dan mula mahu meninggalkan dewan itu. Haji Ismail dan beberapa orang AJK lain mula mengiringi Datuk Noh ke keretanya. Apabila Datuk Noh mula meninggalkan mereka, barulah Haji Ismail dan kebanyakkan AJK mula meninggalkan dewan orang ramai itu.  Haji Ismail berazam untuk membantu Datuk Noh walaupun dia terpaksa menjual tanah warisan arwah ayahnya.

Itulah dia orang Melayu. Mudah tergoda apabila ditawarkan dengan wang ringgit, pangkat dan harta. Gelap mata mereka apabila melihat janji janji manis seperti itu walaupun terpaksa menggadai maruah bangsa, agama dan negara. Mereka tidak kisah akan semua itu. Apa yang penting mereka bias mendapat keuntungan duniawi yang bersifat sementara itu. Agama Islam tidak penting. Orang Melayu tidak penting. Negara Malaysia tidak penting. Apa yang penting adalah wang ringgit sahaja.

………………………………………………………………………………………

Hampir setiap pagi Pak Hamid dan kebanyakkan penduduk kampung terutama orang lelaki akan bersarapan di Warung Mak Bedah. Warung Mak Bedah yang menyediakan pelbagai juadah sarapan pagi seperti nasi lemak, nasi goreng, mee goreng, mihun goreng, lontong dan sebagainya itu sudah seperti ‘bilik mesyuarat’ untuk penduduk kampung berbincang tentang masalah yang melanda kampung mereka.

Isu kedatangan Datuk Noh semalam bagi berbincang tentang pengambil alihan kampung itu begitu kencang kedengaran menghiasi suasana pada pagi itu. Rata rata tidak berpuas hati dengan rancangan kerajaan pusat itu. Diantaranya adalah Pak Hamid.

“Aku betul betul tak faham dengan kerajaan ini. Semua benda dia nak musnahkan. Ada penjara lama dia robohkan sebab nak buat pembangunan. Kat luar negara sana tu penjara orang buat hotel untuk jadikan produk pelancongan tapi negara kita, mesti nak roboh sebab nak buat projek berjuta juta. Sekarang kampung kita pun nak dirobohkannya untuk tujuan yang sama. Apa salahnya kampung ini kita jadikan sebagai kampung warisan. Kerajaan boleh bagi peruntukan untuk cantikkan kampung kita untuk tujuan pelancongan. Ini tidak, nak dihapuskannya sebab nak buat projek.” Pak Hamid melahirkan rasa tidak puas hatinya.

“Apa salahnya Pak Hamid. Kita boleh dapat berjuta juta apabila tanah kita ni dijual. Sampai bila kita nak duduk kat kampung ni. Cuba bayangkan, takkan kat tengah tengah Bandar Kota Lama ni ada sebuah kampung Melayu yang buruk. Bukan ke itu boleh mencacatkan pandangan pelancong.” Kata Haji Ismail.

“Kau cakap baik baik sikit Mail! Buruk buruk kampung ni pun, kau lahir kat sini juga. Kau besar kat sini juga. Mentang mentang kau dah kaya, dah pergi haji, nak tunjuk lagak kat sini pula. Ingat! Kami undi kau jadi pengerusi untuk tolong kami, bukan jadi balaci kerajaan.” Pak Hamid meningkah.

“Itulah kau Hamid. Kau ni memang jenis manusia kuno. Manusia yang tak boleh terima kemajuan. Kampung kita ni kampung lama. Benda benda lama mesti dibuang. Kita kena ganti dengan benda benda baru. Barulah pemikiran kita berkembang.” Ujar Haji Ismail.

“Oh, macam tu pula. Habis kau yang dah lama hidup ni pun kena buang juga la?” Soalan yang panas dan tajam mula menuju kepada Haji Ismail hingga menyebabkan lelaki berusia lewat 50an itu terdiam membisu.

“Aku tak peduli. Aku takkan jual tanah arwah ayah aku tu. Kalau kau nak jual tanah kau, kau jual. Jangan nak jadi balaci kerajaan sangat.” Kata Pak Hamid tegas dan disambut dengan kebisuan oleh Haji Ismail.

Mati sudah hujah hujahnya untuk ‘bertempur’ dengan Pak Hamid. Pak Hamid bukan calang calang orang. Walaupun hanya bersekolah setakat tingkatan tiga sahaja, namun lelaki ini banyak membaca dan mampu berhujah dengan baik. Pak Hamid sepatutnya menjadi seorang peguam dan bukannya seorang pengawal keselamatan.

“Pak Hamid! Pak Hamid!” Hussein berlari lari ke arah Pak Hamid yang duduk di salah sebuah meja di warung tersebut. Jelas kelihatan ada sesuatu perkara yang buruk telah berlaku sehingga lelaki berusia dalam lingkuan 20an itu berlari lari seolah oleh dikejar oleh seekor anjing.

“Kenapa dengan kau ni Hussein?” Soal Pak Hamid kebingungan. Rasa pelik dan aneh mula menyerang sanubari lelaki yang hampir sebaya dengan Haji Ismail itu. Haji Ismail dan kebanyakkan penduduk kampung yang berada di warung itu turut bingung dengan kehadiran Hussein secara  tiba tiba dan tergesa gesa itu.

“Datuk Noh dah buat pengumuman di media. Dia kata semua penduduk Kampung Talam dah bersetuju nak serahkan tanah mereka kepada kerajaan. Tak lama lagi pembersihan kampung kita ni akan di buat.” Jawab Hussein setelah menegur segelas  air kosong yang diberi oleh Mak Bedah tadi.

“Apa?” Mencerlang mata Pak Hamid dan kebanyakkan penduduk kampung apabila mendengat perkhabaran dari Hussein itu. Kebanyakkan mereka agak terkejut dengan perkhabaran yang agak drastik dan tiba tiba itu.

“Mana kau dapat berita ni?” Haji Ismail bertanya.

“Ini!” Hussein meletakkan sebuah surat khabar di atas meja makan itu. Pak Hamid lantas mengambil surat khabar itu dan mencari berita tersebut. Dia membaca dan memahami berita yang berkaitan dengan kampungnya itu.

“Ini sudah melampau! Datuk Noh memang dah melampau!” Keras benar suara Pak Hamid menahan kemarahan. Dia tidak menyangka Datuk Noh sanggup menipu untuk mendapatkan tanah itu.

“Ini tak boleh jadi Pak Hamid. Kita kena bertindak. Kita tak boleh biarkan orang pijak kepala kita.” Ujar Hussein bersemangat.

“Betul cakap kau tu Hussein. Aku rasa kita kena buat bantahan. Kita kena pasang poster dan banner kat rumah kita untuk bantah penipuan ni. Biar semua orang tahu bahawa Datuk Noh tu penipu besar!” Kata Pak Hamid.

“Kalau macam tu mari kita pergi tempah banner sekarang.” Hussein berkata.

“Mari.” Pak Hamid mula bergerak untuk meninggalkan kampung itu dan diikuti oleh orang kampung namun ditegah oleh Haji Ismail.

“Nanti dulu. Jangan bertindak terburu buru. Nanti nama kampung kita akan busuk.” Ujar Haji Ismail.

“Kalau kau tak suka kau diam!” Pak Hamid memberi amaran dan lantas beredar dari situ. 

…………………………………………………………………………………………

Semua penduduk Kampung Talam mula mengadakan bantahan dengan cara menampal poster atau banner di hadapan rumah mereka bagi membantah tentang pengambilalihan tanah mereka secara paksa oleh pihak kerajaan. Kampung Talam merupakan sebuah kampung yang terkenal di Bandar Kota Lama. Ini kerana Kampung Talam merupakan syurga makanan.

Selain daripada diduduki oleh majoriti orang Melayu, kampung ini juga mempunyai banyak kedai kedai dan restoran yang menyediakan pelbagai jenis juadah tempatan dan antarabangsa, timur dan barat. Pendek kata, Kampung Talam merupakan syurga makanan bagi warga Bandar Kota Lama. Setiap hari terutama hujung minggu Kampung Talam pasti akan dipenuhi oleh orang ramai.

Mereka akan datang sama ada bersama keluarga atau bersama kawan kawan ke kampung itu semata mata untuk menikmati pelbagai jenis makanan yang diusahakan oleh penduduk kampung itu sendiri. Berniaga adalah sumber pendapatan utama penduduk Kampung Talam. Tidak hairanlah mengapa penduduk kampung itu boleh dikatakan berada dan tidak hairanlah kerajaan mahu mengambil tanah itu untuk tujuan pembangunan dan kemajuan.

Apabila kampung itu dikunjungi oleh orang ramai, maka sudah pasti mereka akan melihat banner atau kain rentang yang tergantung di hadapan rumah penduduk kampung itu. Tahulah mereka bahawa kerajaan dan Datuk Noh yang merupakan Menteri Pembandaran adalah seorang penipu. Sanggup berbohong kepada rakyat semata mata untuk mendapatkan tanah.

Perkara ini telah diambil kesempatan oleh pihak parti pembangkang untuk memanipulasikan isu ini semata mata untuk menarik sokongan pengundi bagi meraih undi pada pilihanraya umum yang akan datang.

“Baru padan dengan muka kerajaan. Biar mereka rasa bahawa mereka tak boleh nak memperlekehkan kita sesuka hati mereka.” Kata Pak Hamid kepada Hussein ketika mereka dalam perjalanan pulang dari surau. Dia berasa puas kerana rancangan meletakkan kain rentang di hadapan rumah sebagai bantahan itu mendapat reaksi yang pelbagai dari pihak kerajaan dan parti pembangkang. Isu penipuan Datuk Noh dan pihak kerajaan menjadi panas secara tiba tiba.

“Betul cakap Pak Hamid tu. Nampaknya rancangan Pak Hamid ternyata berkesan.” Hussein memuji lelaki itu. Pak Hamid sekadar tersenyum apabila mendengar pujian daripada Hussein itu.

…………………………………………………………………………………………

Datuk Mokhtar memandang ke luar tingkap pejabatnya. Dahinya berkerut kerut kerana memikirkan sesuatu. Dia perlu mengambil tindakan dengan segera supaya isu Kampung Talam itu boleh selesai. Jika silap peraturan kebarangkalian untuk mereka kalah dalam pilihanraya umum di kawasan Kampung Talam itu amat tinggi. Parti pembangkang mula memanipulasikan isu ini demi kepentingan politik mereka.

Dia benar benar kesal dengan Datuk Noh kerana menipu. Dia fikirkan Datuk Noh memang telah berjaya memujuk penduduk kampung itu menjual tanah mereka dan ternyata Datuk Noh berpura pura. Dia tidak tahu mengapa Datuk Noh boleh mengambil tindakan sebodoh itu. Tiba tiba pintu biliknya berbunyi.

“Masuk!” Datuk Mokhtar memberi amaran.

Dia melihat Datuk Noh masuk ke dalam biliknya dengan perasaan penuh tanda tanya. “Ada apa Datuk panggil saya?” Soal Datuk Noh kebingungan.

Dia tahu jika Datuk Mokhtar selaku Perdana Menteri memanggilnya ke pejabat bermakna ada perkara penting yang hendak dibincangkannya. “Duduk dulu.” Datuk Mokhtar mempelawa. Datuk Noh lantas duduk di atas kerusi empuk yang terletak di hadapan meja kerja Datuk Mokhtar itu.

“Saya nak Datuk jujur dengan saya, kenapa Datuk sanggup tipu saya dengan mengatakan bahawa penduduk Kampung Talam bersetuju untuk menjual tanah mereka tetapi sebenarnya tidak begitu?” Soal Datuk Mokhtar.

Datuk Noh akan tersentak dengan soalan daripada Perdana Menteri itu. Tembelangnya sudah pecah. Sekarang dia perlu berhadapan dengan realiti sama ada dia suka ataupun tidak.

“Saya minta maaf Datuk. Selama ni saya boleh buat apa saja kerja yang Datuk arahkan tapi kali ni tak boleh. Saya dah cuba sedaya upaya saya tapi gagal juga. Saya takut Datuk tak pilih saya lagi sebagai menteri kabinet pada masa akan datang.” Jawan Datuk Noh dengan penuh rasa menyesal.

Datuk Mokhtar tersenyum sinis mendengar kata kata Datuk Noh itu. “Datuk Noh, kalau ya pun janganlah sampai menipu. Sekarang imej parti kita dah tercalar. Semua orang dah tahu. Apa kita nak buat sekarang ni?” Datuk Mokhtar bertanya lagi.

“Itu Datuk tak perlu risau. Saya akan meminta maaf kepada penduduk kampung itu.” Jawab Datuk Noh.

“Itulah yang semolek moleknya. Lepas tu saya nak awak letak jawatan. Imej awak dah tercalar. Awak kena tinggalkan dunia politik.” Datuk Mokhtar memutuskan.

“Apa? Janganlah macam tu Datuk. Janganlah buang saya dari kabinet Datuk. Tolonglah.” Datuk Noh merayu.

“Saya tak boleh buat apa apa lagi Datuk Noh. Awak cuai dalam menjalankan tugas awak sampai mencemarkan imej saya dan imej parti. Saya nak awak letak jawatan. Saya akan hantar awak sebagai Duta Malaysia ke Sepanyol.” Kata Datuk Mokhtar.

“Habis, macam mana dengan kerjaya politik saya?” Soal Datuk Noh.

“Buat masa ni awak kena perlahankan dulu kerjaya politik awak. Bila keadaan dah tenang, baru awak kembali semula.” Jawab Datuk Mokhtar.

“Baiklah.” Kata Datuk Noh lemah. Dia terpaksa bersetuju dengan saranan Datuk Mokhtar walaupun hatinya berasa berat untuk terima.

“Saya keluar dulu Datuk.” Kata Datuk Noh dan terus keluar setelah mendapat keizinan daripada  Datuk Mokhtar. Datuk Noh amat menghormati Datuk Mokhtar sebagai Perdana Menteri dan ketuanya. Dia tidak berani untuk membantah keputusan yang telah dibuat oleh Perdana Menteri itu. 

…………………………………………………………………………………………

Perduduk Kampung Talam begitu gembira sekali kerana Datuk Noh telah memohon maaf secara terbuka kepada mereka di dalam satu siaran televisyen. Dia juga akan meletakkan jawatan demi kepentingan parti yang kian tercalar sejak akhir akhir ini. Apa yang lebih menggembirakan rancangan kerajaan untuk mengambilalih kampung itu akan ditangguhkan buat sementara waktu.

Ini diputuskan apabila mendapat tindak balas yang negatif daripada penduduk Kampung Talam. Sesungguhnya penduduk Kampung Talam akan berusaha untuk mempertahankan tanah mereka walau apa pun yang berlaku. Mereka tidak akan sesekali membenarkan sesiapa pun untuk mengambil kampung mereka walaupun seinci.

Kampung Talam adalah sebuah perkampungan Melayu di tengah tengah Bandar Kota Lama. Ia merupakan sebuah kampung yang sudah lama wujud iaitu sekita 150 tahun yang lalu. Mereka berharap agar generasi seterusnya dapat mempertahankan kampung itu dari sebarang cubaan untuk memusnahkannya.  

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.