Sabtu, 18 Januari 2014

CERPEN : SEORANG PENGACARA TUA

     Azmil memakirkan keretanya di hadapan pejabat Anda Broadcasting System Berhad sebelum berjalan kaki dari tempat pakir kereta ke bangunan enam belas tingkat yang mewah dan cantik itu. Dia terus menuju ke tingkat enam belas dengan menaiki lif yang disediakan di bangunan itu. Tujuan kedatangannya ke syarikat penyiaran itu adalah untuk bertemu dengan Tan Sri Arman yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Anda Broadcasting System Berhad.
    Sepanjang perjalanannya menuju ke pejabat Tan Sri Arman itu, dirinya tidak lepas lepas daripada pandangan mata dan perhatian pekerja pekerja serta orang yang berselisih dengannya. Mana tidaknya, Azmil seorang pengacara popular dan diminati ramai oleh rakyat Malaysia. Dia banyak menjadi pengacara dalam pelbagai rancangan di negara itu. Dia juga selalu menjadi MC untuk setiap majlis rasmi sama ada di buat oleh kerajaan mahu pun pihak swasta.
     Pendek kata, dia adalah pengacara paling popular di negara itu. Tidak hairanlah dia digelar sebagai MC Malaysia. Dia selalu menerima undangan mengacara dan disukai oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia walaupun usianya sudah mencecah 55 tahun. Kehadiran pengacara baru, muda dan segar ke dalam industri hiburan di negara itu langsung tidak memberi kudis kepada dirinya bahkan dirinya semakin popular dan namanya terus kukuh sebagai seorang Pengacara Nombor Satu Negara.
    Resipi untuk mencipta kejayaan itu bukan mudah sebenarnya. Pelbagai halangan dan cabaran yang perlu dia lalui untuk berada di tempatnya sekarang. Dia perlu berusaha keras untuk mendapatkan semua itu. Pelbagai cara telah dia lakukan untuk menempa nama sebagai seorang pengacara terbaik di negara ini.
     Setelah sampai di tingkat enam belas, dia lantas bertemu dengan setiusaha Tan Sri Arman untuk bertemu dengan ‘orang besar’ syarikat itu.
     “Tunggu sebentar. Saya akan beritahu dengan Tan Sri Arman bahawa Encik Azmil dah sampai.” Ujar setiausaha wanita yang dalam lingkungan usia 20an itu.
     “Baiklah.” Balas Azmil sambil tersenyum.
   Kemudian wanita itu lantas masuk ke bilik Tan Sri Arman. Mungkin untuk memberitahu tentang kedatangannya ke pejabat tokoh korporat itu. Beberapa minit kemudian, wanita itu pun keluar.
     “Encik Azmil boleh masuk sekarang.” Kata wanita itu.
     “Terima kasih.” Ucap Azmil sambil menghadiahkan sebuah senyuman buat wanita itu.
     Dia lantas bergerak ke pintu bilik Tan Sri Arman. Sebelum masuk, dia mengetuk pintu bilik itu terlebih dahulu. Apabila menerima arahan masuk, barulah dia memulas tombol dan membuka pintu itu.
     “Silakan duduk Encik Azmil.” Kata Tan Sri Arman ramah menyambut kehadiran Azmil
     “Terima kasih.” Ucap Azmil sambil tersenyum.
     “Ada apa yang Tan Sri panggil saya ke mari?” Soal Azmil. Dia yakin jemputan dari ‘orang kuat’ syarikat itu tentulah ada sebab musababnya yang tersendiri. Jika tidak, sudah pasti Tan Sri Arman tidak akan menjemputnya datang ke pejabat mewah itu.
     “Kalau awak tengok keadaan sekarang ini, awak rasa bagaimana dengan pengacara pelapis yang ada sekarang?” Tan Sri Arman menjawab soalan Azmil dengan bertanya soalan juga.
     “Saya lihat mereka bagus bagus juga. Kenapa Tan Sri tanya macam itu?”
   “Saya ingat saya mahu buat satu rancangan yang boleh melahirkan pengacara pengacara baru dalam industri hiburan kita ini. Saya nak awak yang jadi salah seorang tenaga pengajarnya.”
   “Bagus cadangan Tan Sri tu tapi bolehkah rancangan itu berjaya?”“Mestilah boleh sebab rancangan macam tu memang jarang dibuat dalam Malaysia ni. Biasanya program program nyanyian dan lawak yang biasanya menjadi ‘hidangan’ stesen televisyen kat negara kita ni. Saya yakin rancangan tu pasti akan berjaya.”
     “Macam mana rancangan itu akan dijalankan?”
    “Mula mula kita akan buat sesi uji bakat terlebih dahulu. Kita akan pilih dalam dua puluh orang peserta. Sepuluh peserta lelaki dan sepuluh peserta perempuan. Kemudian kita akan adakan pertandingan supaya mereka boleh bersaing untuk mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga. Awak dan beberapa orang pengacara lain yang terkenal kat Malaysia ini akan menjadi juri dan tenaga pengajar dalam rancangan yang akan disiarkan dalam saluran televisyen syarikat ini nanti.” Tan Sri Arman memberi penerangan yang terperinci kepada Azmil berkenaan rancangan itu.
   Azmil mengangguk angguk kepalanya memberi isyarat bahawa dia faham tentang apa yang telah disampaikan dan dikehendaki oleh Tan Sri Azman. Dia sendiri berasa teruja dan seronok untuk terlibat sama dalam projek yang mahu dilaksanakan oleh Tan Sri Azman itu. Dia berazam mahu menjayakan rancangan itu dengan sebaik mungkin.
    “Kalau macam tu baiklah. Saya setuju.” Azmil memberi persetujuan.
  Sudah lebih dua puluh tahun dia menjadi seorang pengacara. Sudah sampai masanya untuk dia mencurahkan segala ilmu dan pengalaman yang pernah ditimbanya kepada anak anak didiknya dalam rancangan itu nanti.
   “Bagus! Saya yakin dengan penyertaan awak ke dalam rancangan ini, saya pasti rancangan ini akan berjaya.” Kata Tan Sri Arman. Azmil hanya tersenyum sahaja mendengar pujian dari Tan Sri Arman itu. 
    “Kalau tak ada apa apa lagi, saya keluar dahulu. Hrmmm… bila rancangan itu akan dijalankan?” Tiba tiba terpacul soalan itu dari mulut Azmil sebelum dia sempat meninggalkan Tan Sri Arman.
    “Oh, lupa pula saya nak beritahu. Dalam masa sebulan lagi kita sudah boleh mula. Awak pun bolehlah buat apa apa persediaan.” Jawab Tan Sri Arman.
     “Baiklah.” Balas Azmil dan terus berlalu dari situ.



     SEPERTI yang telah dirancangkan, sebuah rancangan pencarian pengacara pelapis baru yang diberi nama Menjejak MC telah dilancarkan oleh Tan Sri Arman. Sidang media untuk menghebahkan tentang rancangan itu telah dilakukan. Banyak akhbar akhbar utama negara telah menulis dan menyiar berkenaan dengan rancangan itu. Bukan itu sahaja, stesen televisyen Anda TV yang dimiliki oleh Anda Broadcasting System Berhad juga turut menyiarkan tentang rancangan itu.
   Anda TV turut menjemput mana mana individu dari serata Malaysia untuk ke sesi uji bakat bagi menyertai rancangan Menjejak MC itu. Uji bakat itu akan dinilai oleh tiga orang panel juri iaitu Azmil, Mior dan Suraya. Ketiga tiga mereka adalah seorang pengacara atau wartawan penyiaran yang berpengaruh dan berpengalaman dalam bidang penyiaran di negara ini.
     Memandangkan Azmil yang paling menyerlah, maka dia dilantik sebagai ketua juri. Mereka akan memilih dan membuat saringan kepada mana mana peserta yang layak untuk menjadi seorang pengacara atau wartawan penyiaran. Mereka juga akan mendidik dan mengajar para peserta itu bagaimana untuk menjadi seorang pengacara yang hebat seperti diri mereka.
     Sesi uji bakat, kelas pembelajaran dan sesi penilaian juga akan disiarkan di Anda TV untuk tatapan para penonton. Bukan sahaja peserta yang mahu menyertai rancangan itu berasa teruja, malahan juga para penonton. Mereka tertanya tanya bagaimana rancangan itu akan dikendalikan? Bagaimana peserta peserta itu akan membuat uji bakat dan apakah perkara yang mereka perlu lakukan untuk menjadi seorang pengacara atau wartawan penyiaran?
     Semua persoalan persoalan sebegitu yang bermain di benak para penonton adalah merupakan kunci kepada keterujaan untuk menonton rancangan itu. Bukan itu sahaja, mereka juga mahu melihat bagaimana MC Malaysia iaitu Azmil mengendalikan dan mendidik peserta peserta itu untuk menjadi seorang pengacara yang setanding dengan dirinya. Azmil yang sememangnya diminati ramai kerana kehebatannya dalam bidang pengacaraan dan keramahannya bersama peminat membuatkan rancangan itu seolah olah akan mendapat rating yang tinggi apabila disiarkan kelak.
      Pada hari yang ditetapkan, bermulalah sesi uji bakat peserta peserta dari seluruh Malaysia. Uji bakat itu diadakan di zon utara terlebih dahulu meliputi negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Uji bakat itu diadakan di sebuah hotel yang agak terkemuka di Pulau Pinang. Azmil, Mior dan Suraya telah bersedia untuk memulakan tugas mereka sebagai juri. Setiap peserta yang hadir akan di suruh untuk menunjukkan bakat mereka sebagai seorang pengacara atau wartawan hiburan mengikut rancangan yang mereka mahu pilih.
     Semua peserta menunjukkan bakat masing masing. Pelbagai ragam manusia yang terpaksa dihadapi oleh ketiga tiga juri tersebut.  Ada yang buat persembahan secara sambil lewa, ada yang menangis kerana terlalu gugup, ada yang datang hanya kerana mahu melihat Azmil secara dekat dan seribu satu ragam yang terpaksa di hadapi oleh mereka bertiga.
     Walaubagaimanapun, ada peserta yang mampu mempamerkan bakat mereka dengan begitu baik sekali. Mereka tidak segan dan silu untuk menunjukkan kebolehan mereka dalam bidang pengacaraan. Gaya mereka berbicara seolah olah mereka adalah seorang pengacara yang sudah lama menceburi bidang penyiaran itu.
     “Saya suka dengan budak perempuan tu. Cara dia cakap memang lancar dan terang. Itulah kriteria kriteria yang saya mahu.” Ujar Azmil kepada Mior dan Suraya.
     “Betul tu Mil. Bukan senang nak jumpa bakat bakat yang bagus macam tu. Kebanyakkan yang datang buat uji bakat hari ni semuanya entah apa apa. Mengarut je.” Mior yang merupakan seorang wartawan hiburan berpengalaman mula merungut.
     “Saya dah biasa dah hadap situasi macam ni. Mereka ni datang bukannya nak buat uji bakat tapi nak main main je.” Suraya yang merupakan seorang pengacara juga menambah.
     “Okeylah, panggil peserta seterusnya.” Arah Azmil kepada urus setia yang berada di situ.  
    Urus setia yang bertugas mula memanggil seorang nama peserta mengikut giliran nombor yang telah diberikan. Kelihatan seorang remaja lelaki berusia pertengahan 20an mula masuk ke bilik uji bakat.
     “Okey perkenalkan diri awak.” Kata Azmil kepada ramaja lelaki itu.
    “Nama saya Sulaiman. Saya berasal dari Butterworth, Pulau Pinang. Sekarang saya bertugas sebagai seorang kerani kat sebuah syarikat di Alor Star.” Remaja lelaki itu memperkenalkan diri.
     “Baik, awak nak jadi apa? Pengacara atau wartawan penyiaran?” Soal Azmil.
     “Pengacara rancangan gossip.” Jawab Sulaiman.
     “Bagus, teruskan.” Kata Azmil.
    Sulaiman berusaha untuk menunjukkan bakatnya sebagai seorang pengacara rancangan tersebut. Dia memang bercita cita untuk menjadi seorang pengacara. Jadi, kehadirannya ke sesi uji bakat itu adalah untuk melihat sejauh mana kebolehannya untuk menjadi seorang pengacara. Walaupun perasaan gemuruh tidak lepas lepas menguasai diri, namun dia cuba sedaya upaya untuk menunjukkan kebolehan yang ada pada dirinya.
    Setelah tempoh masa percubaan tamat, juri juri yang hanya menjadi pemerhati sejak tadi mula memberikan komentar komentar mereka terhadap kualiti persembahan yang telah dilakukan oleh Sulaiman tadi.
    “Saya lihat awak langsung tak ada bakat sebagai seorang pengacara. Awak terlalu gemuruh dan gementar. Awak tergagap gagap. Seorang pengacara yang baik mana boleh tergagap gagap. Nampak sangat awak tak buat persediaan.” Azmil mula memberi ulasannya terhadap persembahan Sulaiman.
     “Betul cakap Azmil tu. Awak ni langsung tak ada kualiti sebagai seorang pengacara. Lagipun awak ni langsung tak handsome. Muka awak tu langsung tak ada nilai nilai komersial.” Giliran Suraya pula memberi komentar.
      “Sebagai seorang pengacara yang baik kita kena kawal rasa gemuruh yang ada pada diri kita dan ternyata awak gagal dalam semua itu.” Kata Mior pula.
      “Oleh itu, awak tak terpilih sebagai seorang pengacara. Maaf, terima kasih sebab datang uji bakat ni.” Ucap Azmil sebagai tanda menyuruh Sulaiman keluar.
      Sulaiman yang berasa marah dan tidak berpuas hati dengan komentar kementar yang diberi oleh juri itu mula menghamburkan kemarahannya kepada jurukamera yang merakam sesi uji bakat yang akan disiarkan di stesen televisyen Anda TV itu di luar bilik uji bakat. Dia mengatakan juri sepatutnya tidak patut mengeluarkan komentar komentar seperti itu. Juri sepatutnya tidak boleh mengukur paras rupa sebagai satu sandaran untuk terpilih sebagai peserta dalam rancangan itu.



     SESI uji bakat yang diadakan di zon utara itu sudah pun tamat setelah dua hari berlangsung dengan jayanya. Para juri telah memilih 17 orang untuk disenarai pendekkan. Itu bukanlah keputusan muktamad. 17 orang ini akan disaring dan dinilai terlebih dahulu. Hanya mereka yang benar benar layak sahaja akan dipilih sebagai peserta yang akan bertanding dalam rancangan realiti Menjejak MC itu.
      Kini sesi uji bakat itu akan berlangsung di sebuah hotel yang terletak di Kuala Lumpur untuk mewakili zon tengah pula. Sekali lagi tenaga Azmil, Mior dan Suraya dituntut untuk memilih bakal bakal pengacara pada masa akan datang bagi memeriahkan lagi industri hiburan di negara ini.
    “Panggil peserta seterusnya.” Arah Azmil kepada seorang urus setia yang bertugas dalam hal ehwal pengurusan pendaftaran peserta.
     Urus setia itu terus menuju ke tempat yang dikhaskan untuk semua peserta menunggu. Dia memanggil nama seseorang dan kelihatan seorang remaja perempuan dalam lingkungan awal 20an masuk ke dalam bilik uji bakat itu.
     “Okey, perkenalkan diri awak.” Ujar Azmil.
     “Nama saya Salina. Saya berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur.” Kata gadis perempuan itu.
     “Okey, awak nak buat persembahan apa?” soal Azmil.
     “Saya nak jadi wartawan penyiaran.” Jawab Salina.
     “Teruskan. Saya nak yang terbaik dari awak.” Kata Azmil kepada gadis itu.
    Maka Salina pun mula membuat persembahan sebagai seorang wartawan penyiaran yang kononnya bertanya kepada seorang artis berkenaan gossip yang melanda artis tersebut. Namun begitu, akibat terlalu gemuruh, maka gadis itu gagal untuk membuat persembahannya dengan baik. Ternyata dia gagal dalam sesi uji bakat itu.
     “Seperti yang saya katakan tadi yang saya menuntut sesuatu yang terbaik dari awak dan ternyata awak buat sampah kat sini. Kedatangan awak dalam sesi uji bakat ini hanya membuang masa. Bukan sahaja masa awak yang terbuang malahan juga masa saya. maaf, awak telah gagal.” Itulah komentar yang pedas lagi berbisa dilontarkan oleh Azmil kepada Salina.
     “Saya setuju dengan pendapat Azmil tu. Awak langsung tiada bakat sebagai seorang pengacara. Lebih baik awak balik, awak tolong mak awak kat rumah lebih bagus. Pengacara macam awak ni lebih layak mengacara kat pesta ria.” Ujar Suraya pula.    
     “Saya nasihatkan awak supaya cermin dahulu diri awak sebelum awak datang ke mari. Awak langsung tak ada bakat sebagai pengacara atau wartawan hiburan namun mahu mencuba untuk masuk ke dalam rancangan ini.” Kata Mior.Tanpa melengahkan masa, Salina terus berlari keluar dari bilik sesi uji bakat itu. Tidak tertanggung rasanya apabila mendengar komentar komentar yang diberikan oleh ketiga tiga orang juri itu tadi. Terasa bagai berada dalam neraka apabila mendengar kata kata juri yang pedas, tajam dan berbisa itu. Pada hematnya, juri sepatutnya memberikan komen dan bukannya menghina.
     Dia menyifatkan komentar komentar yang diberikan oleh ketiga tiga orang juri itu sebagai menghina. Dia tidak menyangka Azmil – pengacara yang amat diminatinya boleh berkata begitu kepada dirinya. Setahunya Azmil seorang pengacara yang baik. Namun, apabila berhadapan dengan pengacara popular itu, ternyata indah khabar dari rupa. Kata kata Azmil langsung tidak mencerminkan dirinya sewaktu mengacara rancangan  di televisyen yang kelihatan baik dan berbudi bahasa.
     Salina lantas pulang ke rumah. Di rumah, Hamzah – bapa saudaranya begitu teruja untuk melihat Salina pulang dengan membawa surat tawaran kemasukan ke rancangan Menjejak MC itu. Dia tahu sejak kecil lagi Salina sudah bercita cita untuk menjadi seorang pengacara yang terkemuka sama seperti idolanya. Namun, apabila Salina sampai sahaja di rumah, bukan surat tawaran yang dibawanya tetapi linangan air mata yang tidak henti henti turun dari kelopak mata gadis itu.
     “Kenapa Salina? Kenapa menangis ni? Salina berjaya tak dalam uji bakat itu?” Soal Hamzah bertalu talu.
     Dia yakin pasti ada sesuatu telah berlaku kepada Salina sehingga membuat gadis itu menangis tanpa henti. Salina lantas menceritakan apa yang telah berlaku semasa sesi uji bakat itu tadi. Mendengar cerita Salina itu, darah Hamzah lantas meruap ruap panas. Merah padam mukanya menahan marah. Dia tidak menyangka, pengacara yang dianggap baik seperti Azmil itu begitu angkuh untuk mengeluarkan kata kata sebegitu.
     Dia begitu marah dengan Azmil. Tanpa membuang masa lagi, dia lantas menghidupkan enjin keretanya dan lantas menuju ke hotel tempat uji bakat itu diadakan tanpa sempat dihalang oleh Salina. Dia mahu bertemu empat mata dengan Azmil. Niatnya bukan mahu memarahi lelaki itu tetapi mahu mencari jawapan mengapa Azmil tega bercakap seperti itu kepada anak saudaranya.
     Sampai sahaja dia di hotel itu, dia lantas menyerbu masuk ke bilik uji bakat tanpa sempat dihalang oleh pengawal dan urus setia yang bertugas pada waktu. Berlaku kekecohan di bilik uji bakat itu. Azmil yang sedang melihat peserta uji bakat membuat persembahan begitu terkejut dengan kehadiran Hamzah yang tiba secara mendadak itu.
     “Apa yang kecoh kecoh ni?” Soal Azmil kepada salah seorang urus setia lelaki yang cuba menahan Hamzah dari terus masuk ke bilik uji bakat itu.
     “Lelaki ini nak masuk Encik Azmil tapi saya tak bagi.” Jawab urus setia lelaki itu.
    “Ya, ada apa?” Soal Azmil dengan nada angkuh. Dia membentuk bentuk mukanya menandakan dia tidak suka dengan kehadiran lelaki gempal yang berada di hadapannya kini.
     “Apa yang awak cakap dengan anak saudara saya sampai dia menangis balik rumah?” Soal Hamzah dengan nada suaranya yang keras namun perlahan. Dia tidak mahu kejadian buruk berlaku di situ.
     “Cakap apa? Saya cakap apa yang patut sajalah. Kalau anak suadara awak tak bagus, saya akan cakap tak bagus. Kalau anak saudara awak bagus, saya akan cakap bagus. Itu sahaja. Yang awak nak serang saya tak tentu pasal ni kenapa?”
     “Awak jangan kurang ajar….”
     “Habis yang awak datang ke sini… main terjah saja tak kurang ajar?”
     “Awak sepatutnya cakap elok elok dengan anak saudara saya, bukan hina dia. Awak kena bagi peluang. Ini semua budak budak. Mereka baru mencuba awak dah bagi kritikan pedas pada mereka.”
    “Kalau anak saudara awak tak suka dengar kritikan pedas saya, janganlah datang uji bakat ini. Jangan mimpi pun nak jadi pengacara kalau kena tegur sikit dah menangis tak tentu pasal.”
   “Awak ni memang sombong. Saya tak sangka macam ni perangai awak. Dulu saya minat awak sebab saya ingat awak baik…”
     “Saya tak suruh pun awak minat saya.”
     “Sombong betul awak ni. Ingat, kalau tak ada kami awak takkan berada kat sini.”
    “Sudah! Sudah! Saya datang sini nak buat uji bakat bukannya nak dengar ceramah awak. Pengawal! Halau lelaki ini keluar sekarang.” Azmil mula memanggil pengawal.
      Beberapa orang pengawal mula masuk ke dalam bilik uji bakat itu dan membawa Hamzah keluar. Belum sempat Hamzah membalas kata kata Azmil itu dia telah diheret keluar oleh beberapa orang pengawal itu. Hamzah benar benar tidak berpuas hati dengan layanan yang diterimanya daripada seorang pengacara popular negara tersebut. Dia tidak menyangka pengacara yang diminatinya begitu angkuh sekali. Perasaan minat yang tumbuh di hatinya sudah mula menjadi benci.
      “Menyusahkan orang je. Kalau tak suka kena kritik jangan datang uji bakat.” Azmil mula meluahkan rasa tidak puas hatinya.



      SETELAH berminggu minggu uji bakat untuk mencari peserta rancangan Menjejak MC itu diadakan, akhirnya Azmil telah berjaya mengumpulkan dua puluh orang peserta lelaki yang terdiri daripada sepuluh peserta lelaki dan sepuluh peserta perempuan. Mereka yang terpilih ini telah disaring dan dinilai oleh Azmil dengan bantuan Mior dan Suraya.
     Hanya peserta yang layak dan terbaik sahaja yang terpilih untuk memasuki rancangan itu. Azmil telah menggunakan syarat yang amat ketat untuk memilih peserta peserta itu. Semua itu dilakukan demi memastikan rancangan itu benar benar melahirkan pengacara yang berkualiti dan bukannya pengacara yang hanya bergantung kepada populariti atau dengan kata lain pengacara cap ayam mahupun pengacara mee segera.
      Apabila peserta sudah terpilih untuk menyertai rancangan ini, maka mereka perlu mengharungi pelbagai ujian dan tugasan untuk menilai sejauh mana kebolehan mereka dalam mengacara. Jika mereka gagal dan ujian dan tugasan tersebut, mereka pasti akan disingkirkan dari terus menyertai rancangan ini.
      Pada hari pertama rancangan itu berjalan, Azmil menugaskan mereka untuk melaksanakan satu ujian iaitu ujian penampilan diri. Setiap peserta perlu mengenakan pakaian dan make up yang disediakan untuk menjadikan penampilan diri mereka lebih cantik dan kacak. Penampilan yang baik menurut Azmil adalah satu perkara yang penting untuk seorang pengacara.
      Jika penampilan kita menarik dan cantik, sudah pasti orang akan tertarik untuk mendengar dan menonton apa yang kita lakukan. Oleh itu, amat penting seseorang pengacara itu memilih gaya yang sesuai dengan diri mereka.
     Setiap peserta telah mula ke bilik menukar pakaian untuk ‘mencantik’ dan ‘mengemaskan’ diri masing masing.  Mereka telah memilih pakaian yang sesuai dengan diri mereka untuk diperagakan seterusnya dinilai oleh para juri. Kamil yang merupakan salah seorang peserta dalam program itu mula berasa panik kerana dia tidak pandai untuk memilih baju apa yang harus dipakainya.
     Justeru itu, dia meminta bantuan Azfar yang merupakan salah seorang peserta rancangan itu juga. Azfar seorang yang baik dan peramah. Dia yakin Azfar pasti dapat membantu dirinya.
      “Azfar, aku betul betul tak tahu nak pakai baju apa sekarang ini. Tolong bagi aku idea sikit baju apa yang patut aku pakai.” Ujar Kamil kepada Azfar yang sedang sibuk menyolek itu. 
      “La… kesian betul kau ni. Jom ikut aku pergi bilik pakaian.” Kata Azfar.
       Kamil lantas mengikut Azfar ke bilik pakaian itu. Azfar memandang Kamil dari atas ke bawah. Dia cuba mencari pakaian yang sesuai dipakai oleh Kamil yang berbadan agak gempal dan berkulit hitam manis itu. Dia juga memilih beberapa helai baju untuk dipadankan dengan badan Kamil dan mengacu baju itu di badan Kamil.
     “Aku rasa baju ni sesuai dengan kau.” Kata Azfar sambil menyerahkan sehelai baju dan seluar kepada Kamil.
     “Baju ni? Kau pasti ke?” Soal Kamil meminta kepastian.
     “Seratus peratus aku pasti.” Azfar memberi jaminan.
      “Terima kasih Azfar. Kalau tak ada kau, aku tak tahu nak buat apa sekarang ni.” Kata Kamil.
     “Sama sama. Kita kan masuk satu bidang yang sama. Jadi tak salah untuk kita tolong menolong.” Ujar Azfar.
     Kamil yang sudah menerima ‘nasihat’ dari Azfar itu lantas ke bilik persalinan untuk menukar pakaian. Apabila masa yang diberikan telah tamat, kesemua peserta menuju ke bilik penilaian di mana Azmil, Mior, Suraya dan Meen – seorang pereka fesyen telah menunggu mereka semua di sana. Semua peserta dinilai dan diberi komen oleh para juri. Ada yang dipuji dan tidak kurang juga ‘dihentam’ dengan teruk oleh pihak juri termasuklah Kamil yang sebenarnya kurang ilmu dalam bidang fesyen itu.
     “Inilah fesyen paling teruk antara yang terteruk yang ada pada hari ini. Macam mana awak pilih pakaian awak? Kenapa penampilan awak teruk sangat ni?” Soal Azmil yang semestinya melontarkan soalan yang pedas.
     “Sejujurnya saya tak berapa tahu pasal fesyen fesyen ni. Jadi saya minta bantuan Azfar untuk tolong saya untuk pilih pakaian yang sesuai untuk saya.” Jawab Kamil.
     “Ooo, jadi Azfarlah yang pilih baju untuk awak? Dia sendiri pun kena kritik dengan teruk sebab pakaian yang dia pilih tak sesuai dengan diri dia, awak boleh minta nasihat dia? Awak tahukan seorang pengacara kena tahu tentang fesyen terbaru dan terkini. Dalam pertandingan macam ni, awak tak boleh percaya orang seratus peratus. Mana tahu Azfar saja nak menganiaya awak sebab nak awak kalah?” Ujar Azmil.
     Azfar yang mendengar kata kata Azmil itu mula disimbah rasa marah. Niatnya ikhlas untuk membantu Kamil. Langsung tidak terlintas di sanubarinya untuk menganiaya Kamil. Tuduhan yang dilemparkan oleh Azmil itu terlalu melampau. Dia tidak menyangka bahawa orang yang kelihatan baik dalam mengacara sesebuah rancangan itu, boleh bercakap seperti itu kepada dirinya. Azmil ini umpama pepat di luar tetapi rencong di dalam.
     Apabila kesemua peserta telah dinilai oleh ketiga tiga juri, Azmil mengumumkan peserta terbaik dalam ujian penampilan diri itu. Dia juga mengumumkan peserta terburuk dan sudah pasti menjadi milik Kamil. Kamil berasa sedih dengan keputusan itu. Jatuh air mukanya ke lantai apabila mendengar pengumuman itu. Tercalar maruahnya apabila mendengar komentar yang pedas dilontarkan oleh Azmil – idolanya dalam dunia pengacaraan.
      Aku minta maaf Kamil. Sebab aku kau jadi malu tapi demi Allah, aku tak ada niat nak menganiaya kau. Demi Allah Mil.” Bagitu bersungguh sungguh Azfar meminta maaf dari Kamil. Dia berasa bersalah dengan Kamil. Gara gara dirinya, Kamil dihentam teruk oleh Azmil.
    “Tak apa Far. Aku faham. Aku tahu niat kau ikhlas nak tolong aku tapi apa boleh buat kalau itu keputusan juri.” Ujar Kamil sambil tersenyum namun pahit.
     Dia sedih kerana dihentam teruk oleh Azmil. Putus semangatnya untuk terus berjuang dalam rancangan Menjejak MC itu. Ini baru ujian penampilan diri. Itu pun sudah dihentam teruk oleh Azmil. Bagaimana dia mahu menghadapi ujian ujian yang lain. Dia yakin dia pasti tidak dapat membuat tugasan tugasan seterusnya dengan baik. Dia yakin dia adalah peserta yang pertama sekali yang akan disingkirkan.

     

     SUDAH hampir tiga minggu rancangan Menjejak MC itu telah berlangsung. Setiap peserta akan melalui ujian dan tugasan yang telah berikan oleh pihak penerbit. Mana mana peserta yang gagal melaksanakan tugasan dan menjalani ujian dengan baik pasti akan disingkirkan dengan serta merta. Hanya mereka yang benar benar layak dan berkualiti sahaja akan terpilih untuk menuju ke peringkat akhir.
     Seperti biasa, Azmil yang bertindak sebagai ketua juri telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik sekali. Berdasarkan ilmu dan pengalamannya, dia hanya memilih peserta yang terbaik sahaja untuk dijadikan sang juara pencarian pengacara dalam rancangan Menjejak MC itu. Mana mana peserta yang dirasakan tidak layak, mereka akan disingkirkan dengan serta merta.
     Pada pagi itu, Azmil bersarapan pagi di rumahnya sebelum ke studio Menjejak MC bagi menilai tugasan dan ujian yang telah diberikan kepada peserta peserta rancangan itu. Pembantu rumahnya telah meletakkan surat khabar di atas meja makan itu sejak surat khabar yang dilanggannya itu sampai pagi tadi. Dia lantas membaca satu demi satu berita yang disiarkan pada surat khabar itu.
     Apabila sampai di ruangan hiburan, mencerlang matanya menatap berita yang bertajuk Pengacara Tua Yang Sombong. Berita itu ditulis oleh seorang wartawan hiburan akhbar itu yang agak berpengaruh.  Berita itu adalah berkenaan dirinya yang dikritik teruk oleh wartawan hiburan itu.
     "Saya sendiri berasa terkejut dengan kelakuan Azmil yang merupakan MC Malaysia – seorang pengacara yang terkenal sejak dia menjadi ketua juri dalam rancangan Menjejak MC itu. Saya tidak menyangka yang dia boleh berubah dari seorang pengacara yang baik kepada seorang pengacara yang sombong. Komentar komentar yang dia berikan kepada peserta peserta uji bakat Menjejak MC itu amat tidak patut sekali.
     Dia sanggup menghina paras rupa orang lain semata mata mahu mencari seorang pengacara yang setaraf dengan dirinya. Kata katanya itu seperti dia itu terlalu tampan dan kacak. Dia juga tega menghina peserta peserta uji bakat yang gagal membuat persembahan seolah olah dia itu terlalu bagus. Adakah Azmil lupa siapa dirinya dahulu sewaktu mula mula menjadi pengacara?
    Adakah sewaktu mula mula menjadi pengacara dahulu dia tidak melakukan kesalahan? Inilah dia pengacara yang sudah sombong dan lupa daratan. Baru mendapat gelaran Pengacara Nombor Satu Malaysia sudah sombong dan berlagak. Cakap pun sudah tidak bertapis tapis lagi. Akibat kata katanya kepada seoarang peserta uji bakat itu, dia diserang oleh seorang lelaki yang merupakan bapa saudara kepada peserta uji bakat itu.
     Sudahlah tidak mahu meminta maaf, malahan semakin tunjuk lagak pula. Inilah dia peserta yang tidak sedar diri. Azmil bukan muda lagi. Usianya sudah lebih separuh abad. Bak kata orang rumah kata pergi kubur kata mari. Tapi perangai masih terkinja kinja lagi di atas pentas sewaktu mengacara tanpa sedar diri. Inilah agaknya perangai apabila sudah menjadi  Pengacara Nombor Satu Malaysia.
      Saya bersetuju dengan kata kata lelaki yang menyerang Azmil semasa sesi uji bakat itu. Memang sepatutnya manusia yang sombong, bongkak dan angkuh ini perlu dineri pelajaran. Dirinya baru sahaja balik daripada menunaikan haji di tanah suci. Namun perangainya langsung tidak melambangkan yang dia pernah pergi haji. Masih lagi terkinja kinja di atas pentas tanpa segan silu seperti orang tua nyanyuk.
      Masih lagi memakai seluar ketat dan sendat seperti orang muda padahal usianya sudah  layak dipanggil datuk yang bercucu. Kemudian, ada hati mahu mengkritik fesyen orang lain. Nampak sangat tidak sedar diri. Saya menulis ini bukan mahu menghina Azmil namun nasihat saya berubahlah wahai Azmil. Awak tu sudah tua. Tidak lama lagi akan dijemput Ilahi.
      Jangan nak berlagak sangat sebab Tuhan tak suka manusia yang sombong dan berlagak seperti itu. Sedarlah wahai Azmil, pakailah pakaian yang sesuai dengan usia awak. Usia awak sudah tua dan janganlah berpakaian seperti orang muda. Memakai seluar yang sendat dan ketat. Sungguh buruk rupa Azmil. Seperti nangka busuk pun boleh dikatakan juga. Ingat ingatlah Azmil, tapis tapislah perkataan itu ketika mengkritik.
      Jangan nak sombong sangat. Awak jangan ingat awak sudah popular awak mahu berlagak. Jangan ingat semua orang suka dengan cara awak itu. Orang tua tidak sedar diri. Dahulu saya suka juga melihat Azmil mengacara, tapi sekarang menonton dia di televisyen juga saya sudah menyampah! Saya rasa pihak pengurusan Anda TV perlu menilai semula pemilihan Azmil ini sebagai ketua juri rancangan iru.
      Kalau dahulu ramai orang begitu teruja untuk menonton rancangan itu tetapi sekarang orang sudah mula menyampah apabila Azmil berkelakuan seperti itu. Lebih lebih lagi ada Suraya di situ. Dia mengatakan rupa peserta yang hadir semasa uji bakat itu sebagai tidak tampan, adakah rupa dia itu terlalu cantik? Rupanya pun seperti rumah tidak siap, ada hati mahu mengutuk wajah orang lain.
       Bukankah wajah itu ciptaan Allah? Kenapa mesti kita hina? Kita menghina ciptaan Allah bermakna kita menghina Allah. Pandai pandailah jawab dalam kubur nanti wahai Cik Suraya. Cara perempuan ini bercakap seperti dia itu terlalu bagus dalam mengacara sedangkan popularitinya pun hanya suam suam kuku juga. Jadi tidak perlulah mahu berlagak sangat wahai Cik Suraya.
      Nasihat saya kepada Azmil, Mior dan Suraya, berhati hatilah dalam mengeluarkan komentar komentar dalam rancangan itu. Semakin anda mengeluarkan komentar yang karut marut, semakin ramai manusia yang membenci kamu bertiga di luar sana.’
     Azmil berasa marah dengan tulisan wartawan hiburan itu. Dia mahu menyaman wartawan itu secepat mungkin. Dia lantas menelefon peguamnya untuk menyaman wartawan hiburan tersebut dan membawa kes itu ke mahkamah.


      AZMIL berasa agak sedih kerana mahkamah menolak pendakwaannya untuk menyaman wartawan hiburan yang telah mengkritik dirinya. Bukan itu sahaja, dirinya sudah tidak dijemput lagi untuk mengacara mana mana rancangan atau mana mana majlis yang dianjurkan oleh pihak swasta mahupun kerajaan. Beberapa orang pengacara pengacara baru yang lahir daripada program Menjejak MC itu mula mendapat tempat di stesen stesen televisyen.
      Kalau dahulu hanya wajahnya sahaja yang kerap kaluar di kaca televisyen tapi kini tidak lagi. Orang sudah tidak lagi untuk memberi kepercayaan kepada dirinya untuk mengacara apa jenis rancangan sekalipun. Pendapatannya kini hanya bergantung sebagai seorang juruhebah radio sahaja. Dia sudah kurang mengacara lagi sejak rancangan Menjejak MC itu tamat. Itulah balasan Allah kepada seorang pengacara tua yang angkuh.


  




















0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.