Saya
bukanlah orang yang sering pergi bercuti. Pengalaman saya bercuti terutama di
tempat-tempat yang jauh memang tidak banyak. Boleh dibilang dengan jari berapa
kali sahaja saya pergi bercuti.
Saya
juga bukanlah orang yang tidak suka bercuti. Saya memang suka bercuti terutama
bercuti ke tempat yang jauh daripada rumah saya. Namun, peluang untuk saya
bercuti itu memang tidak banyak. Selain daripada kekangan masa dan wang
ringgit, kekangan keluarga juga antara sebab saya tidak banyak peluang untuk
pergi bercuti. Hal ini kerana, keluarga saya bukanlah keluarga yang
menyeronokkan untuk diajak bercuti. Saya lebih suka bercuti dengan kawan-kawan
berbanding bercuti dengan keluarga. Apa sebabnya biarlah saya seorang sahaja
yang tahu. Hendak didedahkan di sini takut mengaibkan keluarga sendiri pula.
Jika
saya tidak pergi bercuti, saya suka menghabiskan masa di restoran-restoran
mewah untuk menikmati makanan yang enak-enak. Jika tidak pun, saya suka
menghabiskan masa saya untuk pergi menonton wayang. Dalam bab-bab menonton
wayang atau filem ini, saya lebih suka menonton filem-filem Barat daripada
filem-filem Malaysia (lebih tepat lagi filem-filem Melayu) di pawagam. Seingat saya,
hanya tiga sahaja filem Melayu yang saya pernah tonton di pawagam iaitu Special
KL Force, Munafik 2 dan Paskal.
Mengapa
saya tidak suka menonton filem Melayu di pawagam? Saya sendiri tidak mempunyai
jawapan yang tepat berkenaan perkara tersebut. Mungkin kerana filem-filem
Melayu ini kurang menghiburkan atau filem-filem ini bakal ditayangkan di Astro
akhirnya, jadi saya memang tidak bercadang untuk menonton filem-filem Melayu di
pawagam. Jika filem-filem Melayu itu mendapat ulasan yang positif daripada
orang ramai, barulah saya akan pergi menonton.
Ini
bukanlah bermaksud saya menganggap filem-filem Melayu itu tidak berkualiti. Bukan
semua filem Melayu tidak berkualiti. Sebenarnya tetdapat banyak filem
Melayu/Malaysia yang berkualiti yang boleh ditonton di pawagam. Cuma saya
sahaja yang mempunyai banyak kekangan untuk pergi menonton.
Berbalik
kepada soal bercuti pula, tidak banyak tempat di negara ini yang saya pernah
pergi. Selain daripada tempat-tempat bersejarah di kampung saya yakni Melaka,
saya pernah sampai ke beberapa tempat di Kuala Lumpur (sudah semestinya kerana
saya tinggal di sini), Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Perak, Kedah
dan Sarawak. Negeri-negeri yang tidak pernah saya kunjungi ialah Perlis, Pulau
Pinang, Terengganu, Kelantan dan Sabah.
Dalam
negeri-negeri yang pernah saya pergi pun, terdapat pelbagai tempat menarik yang
tidak saya kunjungi. Di tempat tinggal saya sendiri yakni Kuala Lumpur, banyak
tempat menarik di sini yang belum lagi saya pergi. Maksudnya di sini, banyak
sungguh tempat menarik di negara saya sendiri yang saya belum menjejakkan kaki.
Namun, Insha Allah, jika mempunyai rezeki lebih dan masa terluang, saya pasti
akan pergi.
Negeri
yang ingin benar saya kunjungi ialah Pulau Pinang. Selain mempunyai banyak
tempat-tempat menarik, sering dikhabarkan kepada saya bahawa makanan di sana
banyak yang enak-enak. Saya sekarang ini sedang merancang bersama kawan-kawan
untuk pergi ke sana dalam tahun hadapan.
Selain
bercuti di dalam negara, di luar negara pun saya pernah menjejakkan kaki. Pengalaman
saya menjejakkan kaki ke luar negara sekali sahaja iaitu di Pulau Jeju, Korea
Selatan. Itulah pengalaman bercuti di luar negara yang paling menyeronokan di
samping memenatkan yang saya pernah alami. Jika mempunya rezeki lebih, saya
teringin benar untuk melancong ke United Kingdom (terutama London) dan Jepun.
Menjejakkan kaki ke Korea Selatan (kali ini Seoul) pun ada dalam perancangan
saya.
Perkara
yang paling menyeronokan ketika bercuti bagi saya ialah ketika dalam perjalanan
untuk sampai ke tempat percutian. Saya suka melihat ke luar tingkap kereta, bas
atau kapal terbang untuk melihat pemandangan. Oleh sebab itulah saya tidak suka
memandu ketika pergi bercuti. Oleh sebab itulah juga saya suka duduk di tepi
tingkap kereta, bas, atau kapal terbang ketika pergi bercuti. Tidur dalam perjalanan
untuk pergi bercuti (walaupun bahaya) adalah sesuatu yang saya suka buat juga.
Meskipun
telah banyak tempat yang pernah saya pergi melancong, namun bukan semuanya
menyeronokan. Hal ini kerana, keluarga saya sendiri yang suka merosakkan
suasana percutian yang menyeronokan itu dengan tingkah laku mereka. Oleh sebab
itulah mengapa saya tidak suka pergi bercuti atau melancong bersama keluarga
saya.
Umur saya sekarang ini sudah pun mencecah 24
tahun. Saya sekarang sudah boleh merancang untuk bercuti dengan kawan-kawan
lebih-lebih lagi setelah saya telah bekerja ini. Saya berharap agar segala
impian saya untuk menjejakkan kaki ke tempat-tempat yang saya ingin pergi
dimakbulkan oleh Allah hendaknya.
Menonton
wayang, bermain boling, karoeke, makan di restoran mewah, melancong di dalam
dan luar negara adalah antara perkara yang saya suka lakukan. Saya ingin
menikmati kehidupan saya setelah saya penat bekerja. Begitu juga dengan anda. Lakukanlah
perkara yang anda lakukan setelah anda penat bekerja. Nikmati hidup anda
sepuasnya dengan melakukan perkara-perkara yang anda suka.