Sabtu, 28 Februari 2015

APA DOSA NEELOFA?

Sumber : Google

Anugerah Meletop Era baru sahaja melabuhkan tirainya pada minggu lepas. Tiada apa yang saya mahu tegur tentang anugerah tersebut kecuali pemenang anugerah tidak boleh bercakap lebih daripada lima patah perkataan. Saya tahu semua program mahu mengejar masa namun pada saya lima patah perkataan untuk membuat ucapan bukanlah satu tindakan yang bagus sebenarnya. Banyak pihak yang mahu dihargai oleh pemenang tidak dapat disebut ketika menyampaikan ucapan.

Pada saya, Anugerah Meletop Era pada tahun ini lebih bagus daripada tahun lepas. Ini mungkin kerana adanya kehadiran Johan sebagai pengacara bersama Datuk AC Mizal, Nabil, Neelofa dan Zizan yang mampu menggamatkan suasana dengan lawak jenakanya. Itulah kelebihan Johan yang tidak ada pada pelawak dan pengacara lain yang ada di Malaysia ini.

Di sebalik ramai orang memperkatakan tentang kehebatan Johan sebagai ‘teraju utama’ dalam anugerah tersebut, kehadiran Neelofa sebagai pengacara bersama tidak lepas daripada diperkatakan dan mendapat ulasan orang ramai. Apa yang menyedihkan, kata kata dan ulasan yang dilemparkan kepada Neelofa hanyalah kritikan dan bersifat negatif semata mata seolah olah Neelofa itu melakukan dosa yang sangat besar! Pelbagai perkara yang dilakukan oleh gadis kelahiran Kelantan itu mendapat kritikan dan kecaman daripada masyarakat terutama di media media sosial.

Jumaat, 27 Februari 2015

ANTARA MENTERI DAN DIAM

Sumber : Google

                      
Ada seorang menteri,
Kaya raya orangnya,
Tapi dia diam sahaja,
Kita tidak tahu berapa kekayaannya,
Juga tidak tahu kerja kotornya.

Menteri ini jangan dicabar,
Kelak kau akan dikelar,
Dia punya wang dan juga harta,
Dia bisa lakukan apa sahaja,
Lebih lebih lagi dia punya kuasa.

Khamis, 26 Februari 2015

LELAKI KACAK TETAPI LEMBUT?

Ketika saya menjadi Pengerusi Majlis di Seminar Perniagaan Islam KPTM Bangi


Perempuan mana yang tidak suka akan lelaki yang kacak? Mesti kaum wanita berasa bangga dan bahagia jika mempunyai suami atau teman lelaki yang kacak seperti Charyl Chappuis. Lee Min Ho, Taufik Batisah, atau Taylor Lautner. Lebih membahagiakan apabila teman lelaki atau suami anda itu bukan sahaja kacak malah penyayang, beriman, bertanggungjawab dan lengkap serba serbi atau dalam bahasa sekarang dipanggil Suamiku Encik Perfect 10!

Namun begitu, bagaimana pula jika lelaki kacak itu tadi lembut macam perempuan? Apakah pendapat anda dalam hal ini? Di dalam entri ini saya ingin berterus terang tentang diri saya supaya anda tidaklah terlalu terkejut apabila melihat saya di luar dari dunia blog ini. Saya sebenarnya adalah seorang lelaki yang lembut tetapi tidak kacak! Jika dibuat perbandingan, sifat lembut saya ini sama seperti Datuk Redzuan Ismail atau Chef Wan tetapi jauh sekali dari personaliti Azwan Ali! 

Saya memang sama macam lelaki biasa di luar sana cuma perwatakkan saya memang lembut sehingga bernanah telinga apabila orang memanggil saya sebagai ‘pondan’ dan ‘bapok’ ketika zaman sekolah dahulu. Cuma ‘arbok’ sahaja yang belum lagi saya terima. Saya juga lelaki yang agak manja, tidak suka melakukan kerja kerja berat, kaki bangku dalam permainan bola sepak, tidak minat menonton perlawanan bola kecuali jika pasukan Malaysia bermain dengan negara lain, tidak suka aktiviti lasak, tidak bersenam di gimnasium dan tidak banyak yang saya boleh buat seperti mana yang lelaki lain mampu buat.

Rabu, 25 Februari 2015

SEORANG DATIN KAYA

Gambar Hiasan


Seorang posmen tua,
Menjalankan tugasnya seperti biasa, 
Menghantar surat sebagi kerja,
Dari rumah ke rumah orang berada,
Hingga sampai ke rumah datin kaya.

Dia menekan loceng pintu,
Dengan harapan untuk bertemu,
Untuk serahkan surat berdaftar itu,
Datin keluar dengan muka seperti hantu,
Sumpah seranah yang keluar dahulu,
Bukan salam atau senyum selalu.

Selasa, 24 Februari 2015

Ahad, 22 Februari 2015

HANIPA WAJAR DEBAT DENGAN DAP, BUKAN SHAFEE

Sumber : Google


Tindakan peguam PAS dan ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin yang mahu berdebat dengan Tan Sri Shafee Abdullah (peguam Saiful Bukhari Azlan) dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar terhadap isu liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu tindakan yang lucu sebenarnya.

Pemimpin PAS yang tidak menggambarkan sikapnya sebagai ahli politik yang beragama Islam ini sewajarnya menyahut cabaran debat yang dikemukakan oleh Setiausaha DAPSY Pulau Pinang, Syeleena Abdul Rashid terhadap isu Hudud kepada Zaharuddin Muhammad (Ahli Majlis Syura Ulama PAS). Saya fikir sebagai peguam PAS, Hanipa wajar menggantikan Zaharudin dalam menyahut cabaran debat itu. Itu adalah lebih baik buat PAS dan DAP. Diharapkan debat yang akan berlangsung antara Hanipa dan Syeleena itu akan lebih membuka kefahaman kaum Cina dan pemimpin DAP terhadap hukum Hudud.

Pelik bin aneh apabila Hanipa hanya berani berlawan dengan UMNO atas isu Hudud ini tetapi menikus dengan DAP. Saya tidak tahu ke mana hilangnya keberanian peguam PAS yang lantang bersuara di Parlimen ini apabila bertemu dengan pemimpin DAP. Hanipa seorang pemimpin yang lantang bersuara tetapi hanya dengan bangsanya sahaja tetapi tidak dengan bangsa lain.

Sabtu, 21 Februari 2015

PAS RUGI BERSAMA PAKATAN RAKYAT

Sumber : Google

Tentu entri saya ini akan dituduh sebagai sengaja ingin memecahkan perpaduan di antara parti parti politik dalam Pakatan Rakyat. Terpulanglah kepada pandangan masing masing. Saya lebih suka umat Islam dan umat Melayu bersatu padu daripada parti politik yang belum tentu arah tujunya itu bersatu padu. Sejujurnya lebih banyak kebaikkan yang akan kita semua terima jika umat Islam bersatu padu berbanding parti politik bersatu padu.

Parti politik boleh musnah pada bila bila masa. Apabila satu satu parti politik itu musnah, kita boleh menggantikannya dengan parti politik yang lain. Tetapi bagaimana pula jika Islam dan negara yang musnah? Adakah begitu mudah untuk kita menggantikannya? Adakah kita boleh menggantikan dua perkara itu dengan mudah? Tepuk dada dan tanya iman kita.

Sebagai blogger, saya menggerakkan pena adalah untuk satu perkara – melihat Islam, Melayu dan Malaysia kekal sejahtera dan terpelihara sampai bila bila. Terpulanglah apa pandangan anda kepada saya. Saya tidak mampu berjuang untuk mengangkat senjata bagi kesejahteraan ketiga tiga perkara itu. Apa yang saya ada hanyalah minat dalam bidang penulisan dan saya menggunakannya bagi memastikan ketiga tiga entiti itu tidak diganggu gugat oleh sesiapa pun.

Jumaat, 20 Februari 2015

PARA IBU TIDAK PERLU RISAU LAGI JIKA ANAK ANDA MENGIDAP ECZEMA

Sumber : Google


Hari ni saya nak cerita pasal eczema. Korang tahu tak apa itu eczema? Eczema adalah masalah penyakit kulit yang biasa dialami dalam kalangan bayi. Walaubagaimanapun, penyakit ni jugak boleh kena pada orang dewasa tau. 

Biasanya penyakit ini akan menyerang bayi yang berusia antara 2 hingga 6 bulan. 

Punca punca eczema 

- keturunan : ada di antara ahli keluarga yang pernah mengidap eczema.

- terkena kepada bahan bahan irritasi contohnya macam asap rokok, bahan kimia, dan cuaca yang terlalu panas.

- emosi kerap berubah dengan ketara. Selalu sangat stress atau resah.

- alahan pada sabun, syampu, bahan pencuci dan alat kosmetik.  

- selalu minum minuman beralkohol, kerap makan produk tenusu, gandum, telur dan makanan laut yang boleh menyebabkan anda elegi. 

ADAKAH MEMBUAT TAHLIL ITU HARAM?

Sumber : Google

Baru baru ini wujud pertikaian tentang amalan tahlil yang mahu dilakukan selepas kematian seseorang Muslim itu sama ada mengikut Sunnah atau pun tidak. Pelbagai pendapat yang dikemukakan oleh ramai agamawan di dalam hal ini dan sebagai blogger inginlah saya memberi pandangan terhadap isu yang tidak berapa panas itu tetapi memberi kesan yang besar kepada masyarakat. Saya bukanlah seorang ustaz, mufti, ulamak, mursyidul am, atau agamawan tetapi saya mempunyai sedikit pengetahuan berkenaan hal itu.

Saya akui memang Rasulullah tidak pernah melakukan tahlil. Ya, saya juga mengakui bahawa tahlil itu tidak ada dalam Sunnah Rasulullah s.a.w. Sebab itu golongan yang berfahaman mazhab Wahabi cenderung untuk mengatakan bahawa tahlil itu adalah bidaah hasanah! Bukan sahaja tahlil, begitu juga dengan membaca Yaasiin malam Jumaat, menyambut sambutan Maulidur Rasul dan banyak lagi. Tidak perlulah saya menyenaraikan satu persatu di dalam entri yang serba terhad ini. 

Dalam hal ini, kita perlu kembali kepada sejarah kedatangan Islam ke Tanah Melayu. Dahulu orang Melayu bukan beragama Islam. Orang Melayu dahulu menganut agama Hindu/Buddha. Apabila pendakwah pendakwah Islam datang ke Tanah Melayu dan berdakwah kepada Sultan dan penduduk Tanah Melayu, barulah orang Melayu memeluk agama Islam.

Khamis, 19 Februari 2015

BLOGGER PERLU BERPADA PADA CARI WANG DARI BLOG

Sumber : Google

Menjadi seorang blogger memang menyeronokkan. Bermacam kelebihan yang boleh kita perolehi apabila bergelar seorang penulis blog atau pun blogger. Antara keseronokkan menjadi seorang blogger adalah kita boleh ‘memuaskan’ tuntutan minat yang terlalu mendalam di dalam dunia penulisan, boleh melontarkan idealisme, boleh melontarkan pendapat, mencurahkan perasaan, membongkar kebenaran, mendapat kawan baru, dan paling menyeronokkan dalam diri seorang blogger adalah boleh menjana pendapatan dari blog yang dikendalikannya.

Itulah kelebihan kelebihan yang sempat saya perhatikan sepanjang saya menjadi seorang blogger separuh masa ini. Saya yakin dan percaya bahawa tidak ada keseronokkan dalam hidup seorang blogger kecuali boleh menjana pendapatan dari blog yang mereka kendalikan itu. Macapada ini, pelbagai cara dan kaedah yang boleh kita gunakan untuk menjana pendapatan daripada blog.

Kebiasaannya, ramai blogger menggunakan iklan Nuffnang bagi mencapai tujuan itu. Ada juga yang menyertai program Affiliate, Shaklee, advertorial dan dropship bagi meraih pendapatan lumayan hasil daripada menulis blog. Tidak kurang juga seseorang blogger itu meraih pendapatan daripada banner banner iklan yang dipasang di blog mereka. Memandangkan bilangan unique visitor dan total pageview blog mereka sangat tinggi, maka mudahlah bagi mereka untuk menarik orang yang mahu memasang iklan produk dan perkhidmatan di blog mereka. 

KHAIRY JAMALUDDIN TIDAK PERLU BUAT KERJA SIA SIA

Sumber : Google


Tindakan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin (KJ) mahu menjelajah seluruh negara bagi menerangkan kepada rakyat tentang kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah satu kerja sia sia. Bagi saya, KJ tidak perlu membuang masa untuk menerangkan kepada seluruh rakyat tentang kes tersebut kerana penerimaan segelintir rakyat terhadap keputusan mahkamah tetap tidak akan berubah.

Apa pun yang akan dicakapkan oleh KJ, mereka tetap percaya bahawa Anwar Ibrahim tidak bersalah. Mereka tetap percaya bahawa mahkamah bersetongkol dengan kerajaan untuk memusnahkan karier politik Anwar. Mereka tetap percaya bahawa kes liwat itu hanyalah satu konspirasi kerajaan untuk menjatuhkan Anwar. Mereka tetap percaya bahawa hakim sengaja mahu menyumbat Anwar ke dalam penjara.

Oleh itu, KJ tidak perlulah membuang masa, tenaga dan wang ringgit untuk melakukan semua itu. Lebih molek jika KJ memikirkan bagaimana untuk memajukan sukan negara yang kian malap hari demi hari sementelahan beliau adalah Menteri Belia dan Sukan. Lebih molek sekiranya beliau mencari idea untuk ‘membersihkan’ minda golongan mahasiswa yang kebanyakkannya belia yang telah dikuasai oleh aliran pemikiran sesat campur songsang sejak akhir akhir ini.

Rabu, 18 Februari 2015

RASIS, HAK DAN KEBEBASAN

Sumber : Google


Orang Melayu/Islam sekarang sedang terhimpit dan tersepit di negaranya sendiri. Keadilan yang diharapkan sudah hilang entah ke mana. Orang Melayu pada masa kini sudah hidup seperti zaman penjajahan dahulu. Mereka sudah tidak bebas lagi seperti dahulu. Kebebasan yang dicetuskan dari kemerdekaan yang digerakkan oleh Tunku Abdul Rahman sudah tidak lagi bermakna pada masa sekarang apabila orang Melayu sudah tidak boleh lagi bercakap tentang hak bangsanya walaupun hak itu terjamin dalam Perlembagaan sejak negara ini mencapai kemerdekaan.

Apabila orang Melayu bercakap atau mempertahankan hak mereka yang termaktub dalam Perlembagaan itu, mereka akan dituduh rasis oleh chauvinist yang entah mengapa menunjukkan sikap anti-Melayunya sejak akhir akhir ini. Namun, apabila mereka menghina bangsa Melayu dan agama Islam, mereka tidak pula dituduh sebagai rasis!

Jika benarlah orang Melayu itu rasis, mereka tidak akan membenarkan kerakyatan diberikan secara jus soli kepada kaum Cina dan India sebelum Tanah Melayu merdeka dahulu. Jika benarlah orang Melayu rasis, orang Melayu tidak akan benarkan kewujudan sekolah Cina dan sekolah Tamil di negara ini. Jika benarlah orang Melayu rasis, orang Melayu tidak akan membenarkan kaum kaum lain mengamalkan budaya dan amalan keagamaan serta bertutur bahasa masing masing di negara ini.

BERPOLITIKLAH DENGAN IKHLAS DAN JUJUR

Sumber : Google

Saya mula minat dalam dunia politik ketika saya di tingkatan dua atau pada umur 14 tahun. Pada waktu itu, PRU12 sedang berlangsung. Suka saya melihat gelagat ahli ahli politik kita di pentas pentas politik dan teringin menjadi seperti mereka. Tetapi, apabila difikirkan semula saya lebih sesuai menjadi penulis yang menulis dan mengulas tentang isu politik daripada menjadi ahli politik itu sendiri.

Menjadi ahli politik mesti berani ambil risiko, pandai membaca situasi yang berlaku, bijak, jujur, ikhlas, beriman, dan boleh survive dalam apa jua keadaan. Jika tidak ada sifat sifat yang saya sebutkan di atas, lupakanlah cita cita anda untuk jadi ahli politik. Jika jadi pun, jadilah ahli politik yang merosakkan atau ahli politik mee segera yang akan terkubur dalam masa yang singkat!

Jujur saya katakan, jika saya menjadi ahli politik, saya mungkin boleh mengelakkan diri saya dari mengambil dan memberi rasuah tetapi tidak dalam mengamalkan kronisme dan nepotisme walhal itulah sikap yang perlu dielakkan oleh seorang ahli politik. Oleh itu, sebelum saya mengamalkan sikap mazmumah itu, adalah lebih baik saya tidak menjadi ahli politik. Cukuplah sekadar menjadi penulis dan pengulas politik di dalam blog ini sahaja.

LIHAT KEBENARAN DENGAN AKAL DAN MATA HATI, BUKAN MATA KASAR

Sumber : Google


Kebenaran itu satu perkara yang baik namun kadang kala menyakitkan. Bukan semua manusia boleh menerima kebenaran kerana sifat kebenaran yang kadang kala menyakitkan itu tadi. Sungguh pun kebenaran itu boleh muncul di hadapan mata kita namun kadang kala kita cuba menafikannya atau kita tidak berjaya melihatnya kerana sebab sebab tertentu yang hanya diketahui oleh diri kita sahaja.

Seperti yang saya sebutkan di atas, bukan semua manusia boleh menerima kebenaran dan boleh melihat kebenaran yang sebenarnya. Hanya manusia yang diterangi dengan cahaya keimanan yang jitu sahaja mampu melihat dan menerima kebenaran dengan tabah dan redha. Selebihnya, ada di antara kita yang sukar untuk melihat dan menerima kebenaran tadi kerana sebab sebab tertentu termasuklah diri saya sendiri.

Suka saya mengupas tentang sebab sebab manusia yang sukar melihat dan menerima kebenaran itu. Mungkin manusia yang sukar melihat dan menerima kebenaran tersebut terlalu taksub dan percaya dengan pegangannya. Mungkin juga kerana dia menerima imbuhan imbuhan tertentu sehingga dia tega menolak kebenaran. Mungkin juga kerana dendam kesumat dan perasaan benci yang terlalu pekat di dalam sanubari terhadap seseorang dan mungkin juga kerana mereka kurang diterangi cahaya keimanan.

Isnin, 16 Februari 2015

BLOGGER JUJUR ATAU BLOGGER BERANI MATI (KONTROVERSI)?

Sumber : Google

Jika ditanya kepada anda, anda mahu menjadi blogger yang bagaimana? Blogger jujur atau blogger berani mati (kontroversi)? Apakah jawapan yang akan anda beri? Menjadi jujur atau berani mati ini berbeza sebenarnya dalam pegangan hidup seorang blogger. Kedua duanya mempunyai kelebihan dan kedua duanya perlu menanggung risiko. Cuma risiko itu sama ada berat atau ringan sahaja.

Menjadi blogger yang berani mati dalam memperkatakan dan membongkar sesuatu isu mungkin akan lebih dikenali oleh masyarakat. Ini telah terbukti apabila Raja Petra Kamaruddin, penulis blog Malaysia Today mengambil pendekatan itu. Menjadi blogger yang berani mati juga menyebabkan kita mungkin mempunyai kedudukan yang istimewa dalam masyarakat dan serta merta blog yang kita kendalikan itu menerima tempias populariti kita.

Berbeza pula dengan blogger yang mengambil sikap jujur dalam penulisannya. Saya bercakap dalam konteks memperkatakan sesuatu isu panas dan isu politik yang berlaku. Mungkin menjadi blogger yang jujur kita akan lambat dikenali kerana kita bercakap berdasarkan fakta yang sahih dan diambil dari sumber yang sahih serta diketahui ramai sahaja seperti akhbar dan portal berita. Namun, jika tidak kena gaya, nasib kita juga akan sama seperti menjadi blogger berani mati tadi. 

Ahad, 15 Februari 2015

HAJI HADI TIDAK CEKAP MACAM DR. MAHATHIR

Sumber : Google
 
Siapa tidak kenal dengan Haji Hadi dengan Dr. Mahathir. Kedua duanya tokoh politik yang disegani oleh kawan dan lawan. Namun begitu, banyak juga perbezaan di antara mereka. Haji Hadi berideologi politik siasah Islamiyah manakala Dr. Mahathir berfahaman politik Islam nasionalisme.
 
Dr. Mahathir pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun manakala Haji Hadi pernah menjadi Menteri Besar Terengganu selama lima tahun (lebih kurang). Haji Hadi berpendidikan dalam bidang Islam dan keagamaan manakala Dr. Mahathir berpendidikan dalam bidang kedoktoran dan perubatan.
 
Persamaan di antara kedua dua sosok politikus ini adalah mereka menjadi Presiden kepada dua buah parti politik yang berlainan. Dr. Mahathir pernah menjadi Presiden UMNO menggantikan Tun Hussein Onn manakala Haji Hadi menjadi Presiden PAS bagi menggantikan Ustaz Fadzil Noor.

LIEBSTER AWARD OLEH SHUKRAN TQ



Tiba tiba sahaja saya menerima tag daripada blogger Shukran TQ untuk menyiapkan soalan soalan Liebster Award yang dia bagi. Jom tengok apa soalannya dan apa jawapan saya.


1. Apa yang anda akan buat bila bergaduh dengan kawan?

Buat bodoh je. Hahaha. Kalau saya yang salah, saya akan minta maaf cepat cepat. Kalau dia yang salah, dia kenalah minta maaf dengan saya. Kalau dia tak minta maaf, saya buat tak tahu je. Jahat tak aku. hahaha

2. Love story movie apakah yang paling best?

Banyak la nak sebut satu persatu. Saya pun dah lupa. Okeylah... yang saya ingat adalah Twilight. Semua filem Twilight saya tengok. 

3. Apakah kelebihan anda?

Entahlah...huhu. Saya MUNGKIN banyak pengetahuan am kot sebab saya banyak baca. Tapi tak tahulah. Itu orang selalu cakap kat saya. Saya rasa kelebihan saya adalah boleh menulis pelbagai perkara antaranya novel, cerpen, hiburan, isu semasa dan isu politik mengikut pandangan saya tetapi tak bagus mana la...biasa biasa je...

Sabtu, 14 Februari 2015

MELAYU, DADAH, DAN ISLAM

Sumber : Google

Baru baru ini saya ada menonton rancangan 999 yang disiarkan di TV3. Saya jarang menonton rancangan tersebut tetapi apabila bapa saya sudah membukanya, suka atau tidak perlu juga saya menonton. Menarik juga kupasan kupasan isu jenayah yang diketengahkan dalam rancangan itu. Antara yang menarik perhatian saya adalah tentang isu dadah yang melanda anak Melayu pada masa kini.

Sedih saya melihat anak Melayu yang berusia belasan tahun sudah mula terjebak dalam najis dadah. Ini semua gara gara pengaruh rakan sebaya. Sebab itulah penting kita memilih kawan yang betul supaya kita tidak terlibat dalam perkara perkara yang karut marut seperti itu. Didikan ibu bapa dan guru juga penting supaya anak anak muda Melayu kita ini boleh terhindar dari najis dadah tersebut.

Di Malaysia, 99.99% orang Melayu adalah beragama Islam. Maka, pengaruh dadah yang ‘menyerang’ anak Melayu ini juga boleh memberi kesan buruk kepada agama Islam itu sendiri. Tanggapan negatif masyarakat bukan Islam terhadap najis dadah yang membelengu anak Melayu kini sedikit sebanyak telah mencalarkan imej Islam itu sendiri.

Jumaat, 13 Februari 2015

BEZA TOK GURU NIK AZIZ DENGAN NAJIB TUN RAZAK

Sumber : Google


Saya bukanlah orang PAS dan saya juga tidak mengaku yang saya orang UMNO. Saya lebih suka mengambil pendekatan non partisan atau dalam konteks pilihan raya dipanggil pengundi atas pagar.

Saya yakin tulisan saya ini mungkin tidak disukai oleh sesetengah orang dan mungkin juga saya akan dikecam kerana menyiarkan tulisan ini. Tetapi, sebagai orang yang sentiasa berpihak kepada kejujuran, saya menulis entri ini dengan penuh jujur untuk memberi kesedaran kepada kita semua. Bacalah entri ini dengan pandangan positif, Insha Allah...anda akan lihat kebaikkannya.

Saya menyanjungi Tok Guru Nik Aziz sebagai seorang ulamak dan politikus Islam yang tulin. Di saat kematiannya, semua orang berasa sedih. Bukan hanya orang PAS dan orang tidak minat politik sahaja malah orang UMNO pun begitu juga. Walaupun Tok Guru pernah mendoakan agar UMNO di 'K.O' kan oleh Allah suatu ketika dahulu, walaupun Haji Hadi pernah mengkafirkan UMNO ketika dahulu, walaupun TGNA pernah kata sembahyang orang UMNO tak dapat pahala suatu ketika dahulu, orang orang UMNO tetap sedih dan menyanjung beliau. 

Khamis, 12 Februari 2015

CARA MENCEGAH OSTEOPOROSIS DENGAN BERKESAN

Sumber : Google

Tahukah anda apa itu penyakit Osteoporosis? Osteoporosis adalah satu keadaan kehilangan kepadatan tulang yang menyebabkan tulang menjadi rapuh dan mudah patah. Penyakit ini biasa berlaku kepada orang tua dan wanita selepas monopaus apabila badan tidak lagi dapat menggantikan tisu tisu tulang yang lama dengan tisu baru yang lebih sihat. Apabila usia anda meningkat, anda akan mengalami kekurangan kepadatan tulang menyebabkan tulang menipis. Oleh itu, tulang akan menjadi rapuh dan mudah patah terutama tulang belakang, pergelangan tangan dan tulang pinggul.

Faktor faktor yang menyumbang kepada masalah osteoporosis



  • Menggunakan tenaga di tahap maksimum seperti atlet pelari     marathon.
  • Kurang bersenam
  • Jarang mengambil makanan yang mempunyai kalsium yang tinggi
  • Jantina : wanita mudah untuk mendapat penyakit ini kerana kerap kurang kalsium dalam badan.
  • Kawasan tempat tinggal : orang Asia memang mudah untuk       mendapat penyakit ini berbanding orang Barat.

JIKA DAP MASUK BN…

Sumber : Google

Cakap cakap politik mengatakan, ada pihak pihak tertentu yang mahukan DAP meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) dan bersama dengan keluarga besar Barisan Nasional (BN). Setakat mana dakwaan itu benar tidak dapat saya pastikan. Dakwa cakap cakap politik itu, ini berikutan kegagalan UMNO mengajak PAS masuk ke dalam BN.

Menurut Tokoh Pendidikan, Tan Sri Nordin Kardi di dalam kolumnya di Utusan Malaysia, perjuangan DAP yang mahu mewujudkan konsep ‘Malaysian Malaysia’ jika berjaya memerintah Malaysia kelak adalah sama dengan konsep 1Malaysia yang diuarkan-uarkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Saya tidak tahu setakat mana bagusnya cadangan itu namun pada saya cadangan itu agak dangkal bunyinya. Ini kerana pasti akan berlaku pertelingkahan dalam keluarga besar BN terutama dalam kalangan MCA dan GERAKAN dengan DAP dari segi jawatan dalam kabinet dan dalam pembahagian kerusi pilihan raya.

PENGACARA MENGARUT

Sumber : Google


Pengacara yang mengarut,
Lawak lawakmu sungguh karut,
Disulami dengan nada mencarut,
Sejak dirimu mendapat Datuk,
Sikapmu bertukar menjadi buruk.

Dirimu sudah mula berubah,
Dari rambut sampai ke jubah,
Cakapmu juga berubah rubah,
Kutuk mengutuk biasa sudah,
Hina menghina bukanlah payah,
Itulah dirimu yang kian punah.

Rabu, 11 Februari 2015

MELAYU : BANGSA YANG MUDAH TERPENGARUH

Sumber : Google

Melayu itu satu bangsa yang hebat. Jika tidak hebat, bagaimana Melayu boleh bina Empayar Kesultanan Melayu Melaka yang masyhur suatu ketika dahulu. Jika Melayu tidak hebat, masakan ramai penjajah mahu datang menjajah di negara ini. Jika Melayu tidak hebat, masakan nama Tanah Melayu dan Bangsa Melayu itu sendiri tercatat dalam banyak catatan sejarah dunia.

Pendek kata, Melayu itu bangsa yang hebat. Tetapi sayangnya, ramai orang Melayu malu untuk mengaku dia Melayu. Dia berasa jijik untuk mengaku dia berbangsa Melayu. Tidak hairanlah, ramai Melayu pada hari ini menjadi pengkhianat bangsa. Ramai Melayu pada hari ini sudah tidak cinta lagi akan bangsanya.

Walaubagaimanapun, satu kelemahan Melayu adalah bangsa ini mudah terpengaruh sama ada terpengaruh dengan perkara yang baik atau terpengaruh dengan perkara yang tidak baik. Saya beri contoh. Apabila Parameswara memeluk agama Islam, tiada seorang pun yang menentang pengIslaman Parameswara malah mereka sama sama memeluk agama suci itu.

ANWAR KE PENJARA, BN USAH TERLALU GEMBIRA

Anwar Ibrahim ke penjara
Sumber : Google

Ternyata ramalan saya yang mengatakan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibebaskan dari dikenakan hukuman penjara lima tahun silap sama sekali. Semalam Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Anwar didapati bersalah kerana meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan dan dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh oleh Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria.

Saya yakin pasti penyokong dan keluarga Anwar tidak berpuas hati dengan keputusan itu. Pelbagai perkara akan mereka lemparkan kepada mahkamah kerana keputusan kehakiman tidak berpihak kepada Anwar. Jika keputusan berpihak kepada Anwar, sudah pasti tepukan kegembiraan dan pujian melambung kepada mahkamah akan berkumandang di ruang langit Malaysia.

Nasihat saya, terimalah keputusan itu dengan tangan dan fikiran terbuka. Kes itu sudah berlanjutan selama 6 tahun dan telah dibuat pengangguhan sebanyak 60 kali. Maksudnya, sudah banyak ruang yang diberi untuk membuktikan yang Anwar tidak bersalah namun ternyata Anwar gagal memanfaatkan peluang itu sebaliknya terus menghangatkan suhu politik Malaysia dengan kes tersebut.