Sumber : Google |
Tindakan Ketua Pemuda UMNO, Khairy
Jamaludin (KJ) mahu menjelajah seluruh negara bagi menerangkan kepada rakyat
tentang kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah satu kerja sia sia. Bagi
saya, KJ tidak perlu membuang masa untuk menerangkan kepada seluruh rakyat
tentang kes tersebut kerana penerimaan segelintir rakyat terhadap keputusan
mahkamah tetap tidak akan berubah.
Apa pun yang akan dicakapkan oleh KJ,
mereka tetap percaya bahawa Anwar Ibrahim tidak bersalah. Mereka tetap percaya
bahawa mahkamah bersetongkol dengan kerajaan untuk memusnahkan karier politik
Anwar. Mereka tetap percaya bahawa kes liwat itu hanyalah satu konspirasi
kerajaan untuk menjatuhkan Anwar. Mereka tetap percaya bahawa hakim sengaja
mahu menyumbat Anwar ke dalam penjara.
Oleh itu, KJ tidak perlulah membuang
masa, tenaga dan wang ringgit untuk melakukan semua itu. Lebih molek jika KJ
memikirkan bagaimana untuk memajukan sukan negara yang kian malap hari demi
hari sementelahan beliau adalah Menteri Belia dan Sukan. Lebih molek sekiranya
beliau mencari idea untuk ‘membersihkan’ minda golongan mahasiswa yang kebanyakkannya
belia yang telah dikuasai oleh aliran pemikiran sesat campur songsang sejak
akhir akhir ini.
Lebih molek jika KJ dapat menerapkan
nilai nilai Islam yang suci murni itu dalam pemikiran anak anak muda kerana
jika dilihat pada hari ini kebanyakkan anak anak muda kita semakin jauh dari
Islam. Pelbagai aliran pemikiran yang sesat dan songsang seperti liberalisme,
pluralisme, dan sebagainya sudah menguasai minda anak muda kita. Bukan itu
sahaja, masalah sosial dalam kalangan belia juga semakin membarah macapada ini.
Dengan menanamkan nilai nilai Islam itu, Insha Allah, segala masalah itu dapat
dikekang sebelum menjadi lebih parah.
Sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO
(parti Melayu), molek juga jika KJ dapat menanamkan roh kemelayuan ke dalam
diri anak anak muda Melayu yang semakin terhakis sifat kemelayuannya sejak
akhir akhir ini. Isu Bahasa Melayu, agama Islam, budaya Melayu, hak istimewa
orang Melayu dan adat istiadat Melayu perlu diterangkan semula kepada anak anak
muda Melayu oleh KJ.
Bukan itu sahaja, KJ juga perlu
berusaha untuk memulihkan UMNO yang ‘cedera parah’ itu jika benar KJ mahu
melihat UMNO mendapat mandat lagi daripada rakyat pada PRU yang akan datang.
Jika KJ tidak mampu memulihkan UMNO, tunggulah UMNO dikuluhumkan oleh rakyat
nanti.
Jika benar KJ terlalu ‘rajin’ untuk menjelajah kepada
rakyat, bagus juga jika KJ dapat menerangkan segala masalah yang menghantui
kerajaan yang dipimpin oleh UMNO kepada rakyat secara keseluruhannya seperti
kenaikan harga barang, isu rasuah, isu 1MDB, isu pemimpin yang terlibat dalam
pelbagai skandal dan sebagainya. Saya fikir itu lebih bagus dilakukan oleh KJ.
Kesimpulannya, KJ tidak perlu
membuang masa untuk menjelajah ke sana ke mari untuk memberi penerangan kepada
rakyat tentang kes liwat yang dihadapi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim itu. Adalah
lebih molek KJ memperkasakan golongan belia, memajukan sukan negara dan
berusaha memulihkan UMNO yang semakin ditolak oleh rakyat itu.
satu pandangan yang agak panas..tetapi demi kebenaran itu yang sebaik-baiknya
BalasPadamssh kan nk tuka pemikiran org....masing2 ada pendapat kan...so kita biarkan saje luncai terjun dengan labu2 nya..
BalasPadamYup, KJ.. Don't waste your precious time.
BalasPadamMemang banyak lagi yang perlu dilakukan especially untuk reset minda budak-budak muda sekarang yang nampaknya dah makin hanyut dengan arus kemodenan...